Di satu sudut bilik itu duduk termenung seorang lelaki. Memikirkan kehidupannya kini. Ia telah banyak berubah dari dahulu. Syukur dia ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kurnia akan nikmat ini. Berjumpa dengan sahabat yang amat memahminya kini.
Dahulu dia bukanlah begini. Selalu termenung tanpa sebab. Selalu dia rasa takut tentang kehidupan ini. Terlalu banyak kisah pahit yang dia lalui. Terlalu takut untuk dia tempuhi. Mungkin kerana dia berfikiran begitu.
"Mungkin sebab dahulu, aku tidak tahu protokol sosial yang perlu aku lalui. Aku terlalu naif dalam kehidupan ini," keluh dia.
Dia itu bernama Muhammad Hakim Muhd Ikramul Muslim atau pendeknya Hakim Ikramul. Sungguh dia tidak sangka perangai yang dia pegang selama ini sudah kian pudar di hatinya itu.
Sungguh. Dia pun tidak tahu mengapa, tapi ia pergi perlahan-lahan sejak ia mula mengenali sahabatnya itu. Ya sahabatnya yang setia yang dikenali baru sahaja tahun lepas.
Entah kenapa apabila Hakim Ikramul pertama kali bertemu dengan sahabat itu dia begitu terasa dekat. Mungkin perasaan dekat itu hanya mainan hati. Cuma tidak pula disangka mainan hati itu sebenarnya tafsiran yang membawa kepada kelainan kini.
Itulah ia erti sebuah persahabatan yang baru.
"Hakim, tidak pernahkah kau rasa kenapa kita ini bersahabat mesra? Walhal kita baru sahaja kenal tahun ini," terngiang-ngiang pertanyaan sahabatnya itu di gegendang telinga Hakim Ikramul.
Tika itu dia hanya diam membatu. Lidahnya kelu untuk menjawab persoalan yang ditujukan ikhlas oleh sahabatnya.
Dia bukanlah seperti yang orang lain sangkakan. Dia mempunyai masalah yang sudah lama terpendam dalam dirinya sejak kecil lagi. Mungkin kerana masalah keluarga. Entahlah. Keluarganya tampak bahagia. Emaknya kadang-kala ada menelefon bertanya khabar petanda ia ambil berat akan anaknya yang keempat ini.
Tapi kenapa jiwa Hakim Ikramul masih tetap rasa begitu kosong.
Sering kali dia dibuli kerana sikapnya yang pelik itu. Masa itu jugalah dia selalu berdoa kepada Tuhan agar dikurniakan semangat untuk terus hidup menempuh dugaan-Nya ini.
Inferior complex - perasaan mengatakan diri sendiri bukan apa-apa. Terlalu takut untuk melakukan sesuatu kerana keyakinan diri yang rendah.
Terkesima Hakim Ikramul apabila membaca ayat ini. Dia yang sedang mengisi masa membelek pamphlet kesihatan di klinik kesihatan universiti itu terasa seperti terkena ayat itu padanya. Lama betul temujanji dengan doktor di sini. Dia hanya hendak membuat pemeriksaan ringkas dirinya yang terasa panas sejak semalam lagi.
Ketika itu jugalah ada yang menyapanya,
"Assalamualaikum. Boleh saya duduk di sebelah?" tegur seorang lelaki berkemeja seperti orang yang hendak ke pejabat.
Hakim Ikramul hanya mengangguk kosong. Fikirannya masih tertumpu kepada pamphlet di tangannya itu.
"Kusyuk kamu baca. Ada perkara menarikkah mengenai inferior complex itu?" tegur lelaki yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelah Hakim Ikramul.
"Nama saya Abdul Hafiz Al-Mutahar. Panggil sahaja Hafiz tapi saya bukan hafiz yang menghafaz al-Quran tau," hulur tangan lelaki itu pada Hakim Ikramul sambil tersenyum girang tanpa sebab.
Dia terkejut dengan sapaan itu. Selama dia pergi ke klinik atau mana-mana tempat menunggu jarang sekali orang menegurnya. Mereka semua selalu kusyuk dengan hal sendiri sahaja.
Demi tidak menghampakan huluran itu, dia pun menghulurkan tangannya sebagai membalas salam. Sebenarnya dia tidak berapa berminat untuk kenal dengan orang sebelahnya itu. Dia lebih suka hidup dalam dunia rumitnya itu.
"Saya Muhammad Hakim Ikramul. Rakan panggil Hakim sahaja," jawab endah tak endah si dia.
Namun, ketika bersalaman itu seperti terdapat satu kisah dan perasaan mengalir terus ke hati Hakim. Seperti terkena renjatan elektrik kecil ketika mengubah antena TV yang rosak. Hatinya terkejut tenang untuk seketika.
Kenapa lelaki ini baik pula? Walhal mereka akan pergi dan berlalu sahaja selepas bertemu dengan doktor. Bukan penting pun ingin kenal di tengah kesibukan orang ramai mencari ubat bersama doktor di sini.
Ketika itulah perasaan yang semacam lain mula dirasai Hakim. Dia yang jarang tersenyum tiba-tiba boleh tersenyum dengan lelaki yang baru sahaja dia kenal ini. Entahlah. Apakah ini satu mainan perasaan?
Seperti peristiwa ini permulaan untuk yang baru. Sesuatu yang akan mengubah hidupnya selama-lamanya.
----
2 mengomel
Menarik.. :D
terima kasih. =)
Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon