Jumaat, 30 November 2012

Berkata perkara kebaikan


Semalam saya sempat bersembang dengan salah seorang junior jurusan saya. Dia seorang pelajar tahun kedua di UPM. Dalam bercerita tentang hortikultur, saya tertarik untuk bertanyakan pandangan dia terhadap Dr. Siti Hajar, seorang pensyarah yang terkenal di kalangan kami alumni sains hortikultur dahulu.

"Kadang-kala terasa ingin marah apabila bercakap dengan beliau. Susah jika sudah tua masih lagi ingin bekerja," antara komen yang dia berikan tentang Dr. Siti.

Aku hanya mendiamkan diri. Tersenyum dan cuba menasihati dia agar berbicara molek. Mungkin bagi yang baru kenal Dr. Siti Hajar akan berkata begitu. Tetapi tidak bagi aku ini. Aku telah mengambil projek tahun akhir di bawah kelolaannya. Bukan setakat itu sahaja, beliau juga telah banyak mengajar aku akan erti sebenar sebagai seorang pelajar ijazah sarjana muda.

Terasa menyesal di hati ini apabila membangkitkan isu Dr. Siti. Yelah. Sepatutnya saya terus menukar topik perbualan agar kami tidak terus terjebak dalam membuka aib orang lain. Astagfirullah'azim.

Daripada perbualan itu saya mula memahami bahawa lebih elok kita tidak berkata buruk tentang seseorang kerana ia tidak baik untuk diri kita mahupun orang yang mendengarnya. Apatah lagi orang yang mendengar itu mengenali sungguh orang yang dikatakan itu. Lagipun, kita sendiri tidak mengenali mereka sepenuhnya.

Bagi yang mendengar pula, lebih elok jauhi perbualan seperti itu. Eloklah berlakunya penukaran topik lain. Biarlah suasana menjadi aman dengan kisah kebaikan orang.



Khamis, 29 November 2012

Sup Tauge Kasar Ala-ala Korea

Saya pernah membuat projek tahun akhir saya tentang taugeh kasar. Taugeh kasar secara kasarnya adalah cambahan benih kacang soya. Di Malaysia taugeh kasar banyak digunakan dalam masakan tempoyak. Rasanya rangup pada kacang soya itu sendiri.

Ia tak sama seperti taugeh halus yang lebih kepada hipokotil yang manis. Jadi memang berbeza 2 jenis taugeh ini.

Saya cuba mencari resipi lain untuk masakan tauge kasar dan terjumpa akan masakan oleh makcik Korea ini. Slangnya lebih kepada Kenglish (kalau Malaysia, Manglish).

Operasi berjaga selama 63 jam dengan buku


Jangan lepaskan peluang untuk bermalam di sini!
Terkejut saya apabila melihat promosi Big Bad Wolf yang mengatakan mereka akan membuka jualan selama 63 jam tanpa henti!

Bermula dari 6.30 pagi Jumaat sehingga 9.30 malam Ahad!

Memang jualan buku terbesar di Malaysia dan dunia!

Jom ramai-ramai meriahkannya!

Rabu, 28 November 2012

Kesan Wikipedia kepada Dunia


Wikipedia mungkin tidak boleh dipercayai, tetapi ia membantu saya dalam memahami subjek susah. Ia telah memudahkan apa yang susah dan membuka ruang baru untuk saya memahami lagi sesuatu perkara bukan berdasarkan kamus sahaja.

Wikipedia juga terbahagi kepada banyak bahasa. Ia tidak fokus kepada bahasa utama di dunia ini sahaja, malahan bahasa Jawa pun ada! Dan yang pasti bahasa Melayu juga berkembang.

Pernah saya lihat satu proposal untuk mencipta Wikipedia tulisan Jawi, namun ia tidak menjadi. Antara sebabnya ialah kekurangan perisian taipan jawi. Mungkin tulisan Arab ada tetapi jawi setakat ini saya lihat hanyalah secara online. Tambahan pula, penyumbang penciptaan dan pembaikan rencana di Wikipedia Bahasa Melayu adalah sangat kurang. Boleh kira dengan jari untuk penyumbang bagi kategori-kategori tertentu.

3 Monyet Kejahatan (Sanzaru) - Filem Pendek


Apabila saya menonton filem pendek ini, entah kenapa hati terasa seperti sungguh sedih. Tertanya kenapa masyarakat dalam filem ini boleh jadi seteruk begini?

Sanzaru, 3 monyet kejahatan dalam lagenda Jepun.

Jangan berkata kejahatan. (Say no evil)
Jangan dengar kejahatan. (Hear no evil)
Jangan lihat kejahatan. (See no evil)

Penerbit buku menjamin kualiti isi buku


Saya setuju dengan kenyataan itu. Berdasarkan pengalaman saya membeli pelbagai jenis buku setakat ini, penerbit buku memainkan peranan penting dalam isi kandungan sesuatu buku. Terdapat tiga sebab utama saya berkata begitu antaranya ialah kerana penerbit buku sebagai pemasar kepada buku penulis, melambangkan jenis-jenis buku yang diterbitkan, kredibiliti penerbit dalam menerbitkan buku berkualiti.

Pertama, penerbit buku sebagai pemasar buku penulis. Ini bermula dari kulit muka buku sehinggalah cara penyusunan buku. Setakat ini saya berpuas hati dengan cara PTS menerbit buku-buku mereka. Ia tersusun dan tampak profesional tidak seperti beberapa penerbit lain. Al-hidayah mungkin menguasai pasaran buku keagamaan Islam, tetapi sayangnya ia masih berada pada tahap membosankan. Kulit buku yang tak cantik, penyusunan isi yang kurang menarik, dan terdapat kesalahan ejaan mahupun terjemahan dalam hampir setiap buku yang saya beli daripada terbitan tersebut.

Apatah lagi saya lihat al-Hidayah cuba memasuki pasaran selain daripada keagamaan seperti herba dan tumbuhan. Namun, saya hampa dengan cara penyampaiannya kurang menarik dan isi yang seakan boleh sahaja di dapati di blog-blog biasa.

Kedua, simbol penerbit sebagai lambang kepada buku mereka. Contoh terbaik adalah PTS. Terdapat banyak anak syarikat PTS dan setiapnya melambangkan niche yang berlainan. Apabila saya melihat novel dan ia diterbitkan oleh PTS Litera secara automatik saya sudah tahu ia buku terjemahan. Manakala apabila saya terlihat novel terbitan PTS One saya sudah dapat menjangka ia novel berkaitan remaja.

Ketiga, kredibilit penerbit penentu kredibiliti buku. Saya mungkin salah tetapi itulah yang saya nampak. Saya juga dapat lihat bagaimana Hilal Asyraf juga telah bertukar penerbit buku terbarunya daripada Galeri Ilmu Sdn. Bhd. kepada PTS. Saya lihat ia lebih menarik dan kukuh.

Kesimpulannya, jika saya terlihat buku-buku baru di pasaran, perkara pertama saya akan nilai adalah syarikat penerbit buku itu. Kemudian barulah saya nilai penulis dan isi kandungannya. Yang pasti, terbitan Synergi Media mendapat tempat buruk di hati saya.

Selasa, 27 November 2012

Beramal dengan menderma ke Aman Palestin


Jom derma melalui Aman Palestin.
Saya juga ingin menjadi sukarelawan Aman Palestin.