Saat saya dan Hakimi berdebat tentang ikhlas, tiada kata lain oleh pendengar di sekeliling kami.
Saya hanya diam menganggukkan kepala. Tanda cuba memahami apa yang Hakimi ingin sampaikan. Saya sudah tahu perangai dia yang suka berdiskusi. Tetapi niat saya ini hanya ingin bercerita tentang ikhlas dalam belajar.
"Ramai orang salah anggap tentang ikhlas. Apa itu ikhlas?" soal Hakimi kepadaku.
Ah.. aku hanya ingin mengatakan bahawa belajar itu biar ikhlas. Barulah ada keberkatan dalamnya. Ini disoalnya aku kembali.
Oleh kerana tiada jawapan daripadaku, terus dia menyambung, "ikhlas itu membuat tanpa mengharapkan balasan apapun daripada manusia. Hanya Allah sahaja kita serahkan segalanya."
"Ikhlas itu hanya diri kita sendiri dan Allah sahaja tahu," celah aku.
Kami semua tersenyum sahaja. Suasana menjadi sepi sementara waktu.
"Bagaimana kalau ikhlas dalam memberi pula?" suara Sujono keluar memecahkan sunyi.
Kami hanya mendiamkan diri.
"Ia ibarat kita pergi ke tandas dan melepaskan hajat. Nikmatnya datang dan tidak lagi kita berfikir apa tentang apa yang kita lepaskan."
Terus kami semua tergelak. Ada betul juga analogi yang Akhi Sujono katakan itu.
Sambil itu saya melihat 2 mangkuk Bakso yang baru saya habiskan. Nasib dia menceritakan selepas kami selesai memenuhi kehendak kami ini. Heh.