Isnin, 4 Februari 2013

Teknik menambah 'Like' untuk Facebook page

Pada asalnya saya tidak tahu tentang Facebook page. Kemudian rakan saya membuat Facebook page untuk blognya. Jumlah like untuk pagenya pun hanyalah sekitar 20-30 sahaja ketika itu. Saya terfikir kenapa tidak pula saya?

Akhirnya saya ikut serta. Saya lihat senang sahaja page-page terkenal mempunyai jumlah like yang banyak. Saya mengidam untuk mendapat jumlah like sama seperti mereka. Sekurang-kurangnya satu ribu.

Setelah 2 tahun berlalu, page Facebook saya hanyalah mencecah sekitar 300 like sahaja. Rupanya bukan mudah untuk mendapat Facebook like untuk sesuatu page.

Saya dapati juga page yang selalu berkongsi kisah-kisah menarik setiap hari mendapat jumlah kongsi yang banyak. Walaupun page itu hanya berkongsi apa yang page lain kongsikan. Gambar sama, isi sahaja berlainan.

Melalui pengamatan saya itu, saya lihat rakyat Malaysia tak kisah kalau isi itu asli atau tidak daripada pemilik page tetapi yang penting isi perkongsian itu. Juga kekerapan page itu berkongsi gambar-gambar dan maklumat-maklumat berguna.

Ini jelas terbukti apabila saya mula berkongsi gambar yang saya dapat di page lain dan saya muat naik semula ke page saya dengan menggunakan tagline bahasa Melayu. Ternyata jumlah like page saya meningkat.

Sekarang barulah saya yakin jumlah like juga memainkan peranan penting populariti sesuatu page itu. Kadang-kala saya hairan bagaimana page yang guna bahasa Alien pun boleh mencecah ribu riban like. Ini mendatangkan ketidakpuasan di hati saya ini.

Pelik tetapi benar.

Perkahwinan - Mahal atau Murah?

Apabila berkata tentang perkahwinan setiap orang mempunyai reaksi yang berlainan. Bagi anak dara sunti, pasti tersipu-sipu malu. Buat teruna pula, tersenyum sengih. Buat pasangan suami isteri pula, melirik manja antara satu sama lain.

Bagi saya, perkahwinan itu satu perjalanan lain selepas bujang. Ia tidak sama apabila hidup ini sudah menjadi dua. Tidak juga sama seperti hidup adik beradik.

Persoalannya, perlukah mencari pasangan untuk kita kahwin atau berserah sahaja kepada Illahi? Ia satu yang subjektif. Jika orang dahulu, mereka meletakkan sepenuhnya kepada keputusan ibu bapa. Orang sekarang pula, suka mencari sendiri. Kata mereka ingin cari yang sesuai.

Bagi saya itu elok tetapi perlulah ada adabnya. Saya lihat anak muda mudi sekarang cuba mencari alasan untuk melakukan perkara yang hampir kepada zina dengan alasan mereka berdua akan berkahwin nanti. Berdua-duaan berpacaran. Ada juga yang lebih ekstrem menunggang motorsikal berdua.

Bukankah itu berdosa? Mereka tahu tapi mereka tetap melakukannya. Hmmm. Dan apakah kes pembuangan bayi meningkat di Malaysia tidak mereka baca? Itu membuatkan saya keliru.

Pernah saya bersembang dengan rakan saya tentang ini.

"Ish Wong. Kalau nak kahwin mestilah besar-besaran. Mana boleh kahwin kecil-kecilan. Tambahan kau nak jadi penulis terkenal. Kenalah belanja besar," kata kawan saya.

Saya terkesima mendengar pandangannya itu.

"Standardlah untuk orang sekarang belanja RM40 ribu untuk kahwin sahaja. Kita bukan orang kampung lagi."

Untuk tidak mengecilkan hatinya, saya hanya senyum sahaja. Tidak mahu bertelagah tentang ini. Jika duit saya banyakpun, bukanlah saya orangnya yang mengikut adat. Saya mengikut agama.

Tidak hairanlah apabila kes zina meningkat jika orang kita fikir kahwin itu memerlukan kos yang tinggi sehinggakan terpaksa berhutang sama seperti kita berhutang membeli rumah dan kereta.

"Insya-Allah, akan dicukupkan rezeki kalau niat ikhlas nak kahwin," kata kawan saya yang lain pula.

Erk. Kenapa apabila umur ~24 tahun ini ramai pula bercerita tentang kahwin. Hmmm.

Mendisiplinkan Diri

Sejak kebelakangan ini saya kerap kali berada di fakulti untuk melakukan kerja. Walaupun kebanyakannya hanya duduk di meja kerja dan tidak tahu hendak buat, sekurang-kurangnya saya berasa lega.

Saya rasa tidak selesa apabila berada di rumah. Yelah. Saya rasakan saya bukanlah pelajar sarjana apabila saya asyik melepak di rumah. Memanglah rumah saya ada sambungan Internet laju (unifi you~), tapi rasanya lain sungguh. Walaupun ada begitu banyak buku di rumah, saya masih rasa lain.

Apabila berada di fakulti ataupun di perpustakaan, saya rasa bersemangat. Saya juga dapat berjumpa rakan-rakan. Bertanya khabar. Terasa hidup ini ada sesuatu untuk dilakukan.

Saya kemudian dapati saya lebih bersemangat dan kembali merujuk objektif tahunan saya apabila saya ada jumpa orang. Sekurang-kurangnya bertegur sapa.

Jika tak, motivasi saya mudah turun.

Agaknya, saya ini jenis yang kena jumpa orang barulah boleh hidup. Hmmm.

Dengan itu saya mendisplinkan diri saya untuk duduk di fakulti selama 8 jam sehari. Sama seperti waktu pejabat. Cuma saya gerak lewat iaitu pada pukul 10am. Biasanya awal pagi saya akan bersiap-siap dahulu. Buka emel, Facebook, cek Wikipedia, dan membuat beberapa kerja yang lain.

Apabila di fakulti pula, saya akan mula membuka netbook dan membuka emel dan Facebook juga. Erk.

Nampaknya saya kena disiplinkan diri untuk membuka dan membaca jurnal sebaik sahaja sampai di fakulti. Jika tak, bila lah projek sarjana saya akan tamat...

Saya balik ke rumah pada lewat pukul 6 petang. Selalu juga saya lihat penyelia saya, Dr. Husni di biliknya sedang ralit membuat kerja. Biliknya berada dalam laluan saya untuk pulang jadi saya selalu menegur Dr.. Kadang-kala jika Dr. terlalu ralit membuat kerja, saya berlalu sahaja tanpa menegur. Tidak mahu kacau beliau bekerja.

Apa yang penting sekarang, saya perlu mendisiplinkan diri untuk membuat kerja saya sebagai pelajar sarjana...

Ahad, 3 Februari 2013

Agenda, penyelesaian masalah umat Islam


Video ini mengisahkan realiti umat sekarang. Yang alpa dengan keduniaan. Terlalu asyik dengan diri sendiri sampai lupa akan matlamat hidup mereka yang sebenar. Tidak kisah persekitaran masyarakat.

Ayuh! Kembali mekarkan nilai Islami dalam diri kita wahai belia. Kembalilah mengingati kehebatan umat terdahulu. Mereka berjaya dengan mengamalkan apa yang telah dipesan oleh Rasulullah SAW iaitu dengan mengamalkan al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan.

Amar makruf nahi mungkar...

Sabtu, 2 Februari 2013

Membaca itu bagus, Bertindak itu cemerlang


Membaca buku adalah cara saya melepaskan tekanan perasaan. Terutama apabila ia berkait dengan ilmu. Saya kadang-kala rasa tertekan apabila kekurangan ilmu. Contohnya sekarang saya kekurangan ilmu untuk menulis rencana. Saya seperti seorang yang hilang arah. Seperti lalang ke sana ke sini apabila ditiup dengan pelbagai jenis kaedah menulis.

Saya ini jenis suka baca buku semua yang berkait dengan subjek yang saya minat pada satu-satu masa. Contohnya sekarang saya minat akan buku teknik menulis cerpen. Habis semua jenis buku teknik menulis cerpen saya baca. Tetapi, kemudian saya terfikir, apakah ada output daripada pembacaan saya yang 'banyak' itu?

Saya lihat saya masih lagi membaca dan terus membaca. Tapi tindakannya mana? Di blog ini sahaja cukup untuk kita lihat.

Dengan itulah saya teringat nasihat dari blog Leo Babauta mengatakan kita ini manusia terus membaca dan membaca dan mencari dan mencari tetapi hasilnya masih tidak memberangsangkan. Terdapat satu perkara yang membuatkan kita terus mencari walaupun sebenarnya apa yang kita cari telah jumpa.

Perkara itu ialah perasaan takut. Kita takut akan perubahan yang bakal melanda diri kita dan persekitaran kita jika kita buat seperti apa yang kita dapat. Contoh terbaik sayalah.

Saya baca teknik menulis cerpen terbaik. Perlulah bermula dengan peta minda, kena rajin menulis, sentiasa memerhati dan pelbagai lagi. Tapi saya takut untuk melaksanakan apa yang saya belajar itu.

Saya takut nanti kalau saya sudah cuba kemudian hasilnya masih tidak begitu baik.

Berhenti di situ, kata Leo. Penyelesaiannya mudah sahaja.

Kita boleh terus membaca tapi jangan terlalu banyak membaca. Mulakan sambil membaca. Baca sikit dan terus buat.

Saya setuju dengan padangan dia tentang ini. Sama seperti kisah saya menjadi cikgu BI, jika saya tidak mula sekarang bila lagi?

Saya perlu atasi perasaan takut itu dengan melihat kaedah-kaedah terbaik yang muncul. Ya saya mungkin boleh bertanya kepada beberapa orang yang mempunyai pengalaman, namun adalah pilihan bijak jika saya mulakannya juga.

Sama seperti menulis cerpen. Jika saya asyik membaca tetapi tak mula langsung untuk mencipta, bilakah satu cerpen terhebat akan terhasil dengan tangan saya sendiri?


Ertinya bermula sambil bertanya


Takut. Cemas. Tak tahu. Allah. Terasa lemah sahaja bila tiada pengalaman nak ajar anak orang. Yelah. Saya ini bukanlah pelajar aliran pendidikan. Keliru mana nak mula dan teknik terbaik mengajar.

Awal matlamat nak dapatkan duit, namun kemudian setelah mendapat nasihat daripada rakan alam maya, niat perlulah ikhlas kerana Allah. Insya-Allah rezeki akan Allah cukupkan. Terima kasih saya ucapkan.

Termengkelan seketika. Kembali muhasabah diri. Jika tidak mula sekarang bila lagi saya akan mula? Mungkin bertanya boleh, tapi kalau asyik bertanya tetapi tidak melakukan sebarang tindakan, ia ibarat menunggu buah yang ada di atas pokok. Entah bila ia akan jatuh...

Ia samalah seperti awal saya mula berblog. Memang saya bermula dengan kosong. Ada jugalah saya membaca dua tiga buah buku tentang blog tapi sungguh saya tak faham apa saya baca. Saya buat blog untuk seketika. Kemudian tinggal entah sudah berapa ia berhabuk.

Kemudian ada pula rakan saya yang sudah mula berblog. "Eh, blog susah la." kata aku kepada dia.

"Tak lah. Tulis sahajalah. Nak sempurna bila lagi?" jawab dia.

Ya cabarannya banyak. Apabila mula aktif blog barulah saya belajar satu demi satu apa itu blog. Ia samalah seperti ketika saya ambil jurusan hortikultur. Saya tidak boleh terus faham apa itu hortikultur dan bagaimana hendak mempraktikkannya dalam kehidupan.

Saya melalui proses 4 tahun dibasuh dan diasah untuk mengenali keindahan hortikultur. Setiap subjek yang saya ambil mula mendatangkan makna kepada saya apabila saya mula mempraktikkannya.

Sama juga lah seperti saya mula mengajar ini. Ya saya mempunyai pengalaman yang amat sedikit. Tapi saya yakin dengan, usaha dan doa, insya-Allah akan ada pertolongan daripada Allah. Bukankah Allah itu Maha Pemurah dan Penyayang terhadap hamba-Nya?

Saya ini bukanlah orang jenis 'perfectionist' atau terlalu suka akan kesempurnaan. Saya jenis belajar sambil mengamalkannya.

Buktinya, blog ini. Seperti saya katakan, ia bermula hujung 2010 dan 2011 mencatat arahnya sehinggalah kini.

Dari situ juga saya belajar bahawa blog ini ada caranya. Ada yang peribadi ada yang komersial. Namun asasnya tetap sama, iaitu memudahkan pembaca membaca blog kita. Jika tidak, kenapa kita berblog? Hanya suka-suka? Jika begitu pergi beli sebuah diari di kedai buku dan catatkan luahan isi di situ sambil letakkan beberapa 'aksesori' merimaskan.

Dengan ini, saya memulakan lafaz bismillah, untuk mengajar anak orang tentang ertinya bahasa Inggeris.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Umur Kejayaan


"Wong, apabila melihat umur aku, terasa aku tak capai apa-apa lagi." Memandang jauh Ariff semasa bersembang dengan aku.

Aku kehairanan.

"Yelah. Kalau orang lain, umur 25 seperti aku ini sudah kahwin. Sudah ada kerjaya yang gah. Aku ini pula hanyalah pelajar sarjana yang sedang bekerja sebagai RA," sambung dia lagi.

Saya hanya tersenyum mendengar luahan kata Ariff itu. Ya saya sedar tentang itu. Sudah masuk bulan Februari tahun ini dan saya masih berada di tahap yang biasa-biasa (mungin?).

Oh. Itu tidaklah seperti yang dikatakan. Ada beberapa perkara yang jauh lagi untuk saya capai lagi. Cuma apa yang penting, saya jalankan ia sikit demi sikit. Tidak boleh terlalu ingin berlari jika badan ini masih lagi tidak dapat menahan penat lelah yang bakal melanda.

Apabila stamina sudah mencukupi, terus saya akan berlari selaju mungkin untuk mencapai matlamat-matlamat yang saya tulis. Dan yang pasti, matlamat utama kita sebagai umat Islam hanyalah satu, untuk masuk ke syurga Allah yang paling tinggi sekali.

"Kita tak perlu fikir banyak. Aku yakin, jalan yang kita lalui ini ada kejayaannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui," balas aku selepas melihat Ariff masih termenung sayu.