Memaparkan catatan dengan label pandangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pandangan. Papar semua catatan

Khamis, 13 Februari 2014

Kedatangan Misionari Kristian berdekatan UPM

Misionari Kristian dari Filipina di UPM
Penyanyi jalanan mempunyai agenda tersembunyi.
Sedang saya dan rakan-rakan datang makan ayam penyet di Padang, Seri Serdang berdekatan UPM, kami terlihat sepasang penyanyi jalanan.

Pada mulanya saya tak syak apa-apa. Kemudian kawan saya, Fansuri berkata, "Mereka mengutip derma untuk badan amal kebajikan Kristian."

Syahmi mencelah, "Misionari Kristian?"

Fansuri mengangguk. Saya terbeliak mendengarnya. Seperti tidak percaya.

"Mereka menggunakan taktik mendekati dan mengutip derma di kawasan majoriti orang Islam. Apabila sudah penduduk tempatan sudah selesa, mereka akan masuk ke agenda seterusnya. Mereka akan membina gereja di tempat yang padat dengan penduduk Melayu Islam," terang Fansuri dengan lanjut.

Saya berasa geram. Rupanya mereka ada agenda tersembunyi. Untuk mengukuhkan kepercayaan dengan apa yang Fansuri katakan dan kemudian saya google 'Children's Joy Foundation', nama di atas kertas yang si minah Filipina ini edarkan.

Ya memang betul. Di dalam laman web mereka sendiri mengatakan bahawa mereka mengutip derma untuk membantu mangsa yang susah. Dan ada pembangunan kerohanian. Apakah pembangunan kerohanian mereka jika lain tak bukan pembangunan agenda Kristianisasi?

sumber: http://www.childrensjoyfoundation.org/what-we-do/

Astaghfirullah. Mohon penduduk di sekitar UPM berhati-hati dalam menderma. Haram hukumnya kita membantu mereka menyebar agama mereka kepada umat Islam. Ini dipanggil dakyah. Setiap wang yang kita salurkan akan bakal membawa saudara sesama muslim kita murtad jika mereka lemah iman. Sanggup kita menjawab di akhirat kelak ke mana wang yang kita derma ini?

Sama-sama kita bertanya kepada mereka jika mereka datang lagi ke tempat makan kita. Kepada siapakah yang akan mereka salurkan wang ini? Tanya sampai dapat!

Sabtu, 8 Februari 2014

Agenda Melayu, Agenda Islam?




Kini saya lihat orang Melayu dikaburi dengan konsep Melayu-Islam. Mereka kata mengapa perlu Melayu ada? Biarlah Islam?

Pelik. Adakah kita berbahasa Melayu? Adakah kita berbahasa Arab? Islam tidak menolak perjuangan bangsa. Apa yang dikatatakan perkauman apabila sesuatu perjuangan bangsa itu dibawa atas untuk menindas bangsa lain.

Melayu Boleh, Islam Boleh

Alhamdulillah. Video ini memberi penjelasan ringkas dan padat slogan 'Melayu Sepakat, Islam Berdaulat'.

Moga kita mengenali kembali diri kita. Asal usul kita dan nikmat yang Allah turunkan kepada umat Melayu.

Sabtu, 25 Januari 2014

Memasak hanyalah Hobi Si Bujang



Tadi berjalan-jalan bersama sahabat saya Fakrul di Mydin Putrajaya. Dia hendak membeli beberapa barang. Alamatnya terbeli banyak barang pula. Baru saya ingat ingin mengajak dia beratur di kaunter 10 barang.

Fakrul ingin membeli barang masakan untuk dia masak di bilik nanti. Saya lihat dia ingin membeli dengan kadar yang banyak.

"Aku rasa, baik kau beli sikit sahaja. Nanti membazir," nasihat saya kepadanya.

"Tak apa. Nanti aku masak semua. Ini untuk jangka masa panjang," jawab Fakrul.

Saya menarik nafas bersedia untuk memberi penjelasan setelah 2 tahun saya duduk membujang di rumah.

"Berdasarkan pengalaman aku, orang bujang tidak akan ada masa memasak. Kita ini lebih suka dan senang makan di luar. Terutama apabila ada kawan ajak makan. Proses memasak adalah satu proses yang lama. Nikmat makan tiada kerana kita seorang diri. Lebih baik makan di luar."

Fakrul mula mengangguk tanda setuju dengan pandangan saya.

Saya menyambung, "Lagi, kita memasak hanyalah sebagai hobi. Rugilah jika kita beli banyak barang jika masak hanya beberapa kali dalam sebulan. Aku kata sebulan, bukan seminggu."

Fakrul meletakkan kembali botol minyak masak besar. Dia mengambil saiz yang paling kecil.

"Yang penting kita ambil yang kecil dahulu. Memanglah nampak macam rugi dari segi harga, tetapi lebih elok beli dalam kuantiti sedikit. Kita uji diri kita ada komitmen tak dalam dunia masakan yang pelopori oleh kaum wanita ini."

Fakrul tersenyum mendengar kata-kata saya itu.

Ya betul. Saya tak nafikan bahawa memasak itu hanyalah hobi bagi orang bujang seperti saya. Ia tidak boleh dijadikan sebagai satu rutin harian. Dengan pelbagai kerja yang perlu dilakukan seperti membuka facebook, menangkap gambar dan muatnaik ke instagram, berkicau dengan tweeter, menulis blog dan bersosial di alam maya memang memerlukan masa dan tenaga yang banyak.

Berbekalkan wang yang saya dapat, lebih baik saya gunakannya demi kebaikan saya - beli makanan di luar.

Selasa, 21 Januari 2014

Latihan Menulis untuk Penulis

Saya tertarik dengan satu buku yang menerangkan konsep latihan bagi seorang penulis. Dalam buku itu pengarang menerangkan bahawa seorang penulis mestilah menulis demi melatih dirinya menulis.

Persoalannya apakah yang perlu seorang penulis menulis? Katanya senang sahaja. Tulis dahulu apa sahaja yang terpacul di minda kita. Saya sedang menaip. Laptop berbunyi. Orang lalu lalang di hadapan bilik. SV mula naik angin.

Tulis sahaja katanya. Abaikan segala kesalahan ejaan, tatabahasa mahupun perkataan. Tidak kira walaupun ayat yang ditulis tadi tunggang langgang dan diulang semula. Yang penting tulis. Elakkan penulisan SMS juga katanya.

Saya mencuba hal ini dan memang menjadi. Saya mula rasa tenang sahaja apabila menulis. Saya mula rasa senang sahaja apabila menulis. Entah apa yang melekat di tangan saya, semua perkataan senang sahaja saya pilih dan nukilkan.

Ada yang bertanya kepada pengarang, apa perlu buat setelah latihan menulis selesai? Pengarang membalas, apa kita buat setelah minum air? Saya terdiam. Mestilah kita tidak akan fikir apa-apa. Begitu jugalah dengan latihan menulis. Jadikan ia sebagai rutin harian sehinggakan ia meresap masuk ke dalam tabiat kita seperti kita sedang bernafas.

Fuh.

Saya termengkelan. Dalam maksud pengarang tentang dunia penulisan.

Katanya, apabila kita selalu menulis, secara semula jadi kita akan boleh mengeluarkan idea idea hebat dari dalam minda separa sedar kita terus ke minda sedar. Kita tidak akan terlalu kaku dengan idea lama.

Entah. Ini saya tidak pasti lagi.

Yang saya tertarik lagi adalah bagaimana pengarang mengatakan setiap draf pertamanya adalah sangat buruk. Malahan lebih buruk daripada siapa yang membacanya.

Kemudian setelah itu barulah dia menyunting dengan senang hati. Itupun setelah dia bersiar-siar merehatkan minda.

Saya membaca isi ini membuatkan saya terfikir. Patutlah selama ini saya rasa takut sahaja nak menulis. Saya fikir penulisan pertama itulah yang terbaik. Rupanya ada proses suntingan seterusnya selepas siap draf satu.

Yang penting menulis. Dan saya terus menulis sehingga kini.

Khamis, 16 Januari 2014

Tugas Pengerusi Mesyuarat



Saya cukup benci apabila menghadiri apa-apa perjumpaan atau mesyuarat, pengerusi majlis atau pengendali majlis datang paling lewat. Walhal dialah yang sepatutnya hadir dahulu.

Ini berlaku di kalangan rakan-rakan saya. Bukan apa, pengerusi adalah orang tunggak yang mengendalikan acara. Dia mestilah hadir awal bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Apabila berjanji mesyuarat akan diadakan pada pukul 9 malam, maka hadirlah awal. Waktu Isyak masuk lewat hanyalah alasan. Datang awal dan cari surau berdekatan. Bukannya solat di rumah atau pun kolej dahulu kemudian baru bertolak ke tempat mesyuarat.

Ini juga menjadi pengajara kepada saya bahawa apabila saya mengendalikan apa-apa kegiatan haruslah saya yang dahulu datang. Peserta atau hadirin lewat tidak mengapa. Bukan semua boleh menepati masa.

Bayangkan jika ada yang memang datang awal tetapi melihat tiada siapa yang datang lagi pada tempat tersebut. Memang sakit hati.

Namun, sakit hati tidak membawa saya ke mana jua. Saya berlapang dada kerana manusia ini pelbagai ragam ada. Walaupun begitu, jika saya sudah nasihat banyak kali tetapi perangai lama masih ada, ini satu perkara yang tidak dapat diabaikan!

Kesimpulannya, hargailah masa orang lain apabila kita mengendalikan sesuatu mesyuarat atau acara. Pengerusi sebagai tunggak utama perjalanan majlis harus bijak mengurus masa sebelum, semasa dan selepas mesyuarat.

Rabu, 15 Januari 2014

Bolos dengan Teknologi Media Sosial

sumber: Pensel Zen

Adakah kita akan jadi seperti mereka? Saya mula melihat perkara ini kala pergi makan di luar. Kala pergi menunggu pengangkutan awam di luar. Kala berjalan-jalan di kompleks membeli-belah. Dan paling teruk semasa bersembang dengan rakan-rakan saya! Ceish!

Kehadiran telpin (singkatan untuk telefon pintar) amat menggerunkan bagi sesiapa yang tidak tahu akibatnya.

Saya ada sahabat yang sibuk melihat telpin. Kadang saya suka bersembang dengannya. Kadang benci sembang dengannya. Tak habis dengan telpin. Mungkin kedatangan saya di bilik bukan pada masanya.

Ketika keluar makan bersama, saya amat benci kalau ada kalau yang asyik dengan telpin. Tidak bolehkah melihatnya nanti? Kita keluar bersama untuk bersosial juga. Mengapa harus asyik dengan telpin?

Menyusahkan!

Ini secara tak langsung memberi pengajaran kepada saya agar tidak menjadi seperti mereka. Terlalu asyik dengan 'kemajuan' sehingga hilang adab dalam bersosial.

Serius. Saya kurang senang apabila orang tak habis melihat telpin seperti telpin inilah sahaja mereka ada. Tiada benda lain kah nak buat?

Moga-moga kita dijauhkan dengan perkara tidak bermanfaat ini.

Selasa, 14 Januari 2014

Blogger Muda Licik



Saya pada mulanya tidak percaya bahawa ada blogger muda di Malaysia. Penulisannya sangat bernas dan cantik. Sedap dibaca dari ayat pertama sehingga akhir.

Serius.

Aiman Amani, Ahmad Ali Karim, dan Aeshah Adlina telah membuka minda saya tentang dunia penulisan. Tiada terhad umur dalam meneroka keindahan penulisan ini.

Saya terkesima seketika. Apakah budak-budak mampu menulis sebegitu baik? Saya membaca kisah mereka. Ya, seperti yang ramai katakan, mereka memang pandai menulis. Tulisan mereka dalam bahasa Inggeris lebih baik berbanding saya.

Saya cuba mencari formula apakah yang membuatkan mereka menulis begitu baik? Terdapat beberapa perkara yang saya jumpa tentang ini;

1. Mereka mendapat galakan dan sokongan keluarga
2. Mereka berusaha keras menulis dengan baik
3. Mereka banyak membaca. Tidak terhad kepada pembacaan umur kanak-kanak sahaja
4. Mereka serius dalam penulisan

Saya pula? Blog ini sepatutnya saya jadikan wadah dalam penulisan BMT atau Bahasa Melayu Tinggi dalam harian pandangan saya. Tetapi kadang, saya terlepas pandang.

Mungkin kerana faktor wang membutakan saya untuk menulis dengan baik. Mungkin juga.

Yang penting saya perlu perbanyakkan bacaan saya dan menambahbaik penulisan saya ini. Saya tidak boleh kalah kepada kanak-kanak licik ini! *senyum