Sabtu, 31 Ogos 2013

Video Kontroversi Sempena Kemerdekaan ke-56



Pelik. Video ini memaparkan realiti namun ada juga yang tersedak ketika menonton video. Apakah yang cuba ISMA bawa ini menyimpang jauh dari realiti Islam di Malaysia?

 

Oh, juga ada azan selepas upacara Kemerdekaan. Allahuakbar.

Motorsikal

Alang-alang saya menukar tiub motorsikal, saya juga menukar minyak hitam sekali dengan filter. Kemudian saya menukar juga lampu hadapan yang rosak.

Meter motor tertera nombor 5103. Apabila tiba 5303, wajib saya tukar lagi minyak hitam, tanpa menukar filter pula nanti.

Menurut pomen lagi, eksos motorsikal saya telah bocor. Lebih elok ditukar baharu kerana eksos bocor memakan petrol banyak. Harga RM58 ditawarkan.

Saya menelan air liur. Terfikir manalah hendak saya dapat duit sebanyak itu. Namun, bukanlah buat masa ini.

Jumlah kesemua RM27 tidak termasuk bayaran tiub.

Minyak hitam - RM16
Filter - RM6.50
Lampu hadapan - RM4.50

Entah. Saya tak tahu itu harga standard, murah ataupun mahal. Yang saya tahu saya membayar dengan duit halal yang saya dapat ketika mengajar tuisyen. =)

Pengorbanan sahabat

Saya teringat kisah semalam.

Tayar hadapan motorsikal saya pancit gara-gara saya terlebih pam. Saya keruan. Azan Zuhur sudah berkumandang tanda khatib akan menyampaikan khutbah Jumaat nanti. Apa perlu saya buat? Satu persatu kereta berlalu pergi. Ingin saya tumpang tetapi saya tak kenal mereka.

Saya membelek telefon. Fansuri adalah orang terakhir saya telefon tadi.

Saya senyum selepas meminta pertolongannya. Alhamdulillah dia ada masa untuk datang mengambil saya dan pergi solat bersama di masjid UPM.

"Jom. Ada apa urusan tak selepas solat nanti?"

Saya hanya menggelengkan kepala tanda tiada.

"Kalau begitu, ikut aku kedai printing dan kemudian kita pergi ke HEP. Ok?"

Hanya senyuman dapat saya balas. "Selepas itu baru kita cek motorsikal kamu."

Deruan motorsikal memecah kesunyian di fakulti ini.

Dalam pukul 4 petang, kami tiba di fakulti semula. Saya memandang motorsikal. Berfikir cara nak memboncengnya. Tadi hujan lebat, sekarang hanya merintik sahaja.

"Tak apa. Kamu bawa perlahan-lahan. Aku ikut dari belakang." Fansuri menderam-deram motorsikalnya tanda memberi sokongan kepadaku.

Eh? Saya rasa lebih baik Fansuri pulang. Lagipun dia mungkin ada hal untuk diselesaikan nanti.

Dia hanya tersenyum meminta saya terus membawa motorsikal ke bengkel berdekatan. Tak la dekat. Sekitar 3 km juga saya membonceng motorsikal ini.

"Baiklah. Nanti kalau pancit lagi bagitau aku," kata Fansuri apabila kami selamat tiba.

Saya hanya senyum. "Jazakallah." Itulah ucapan yang sempat saya ucapkan.

Di dalam hati, sebenarnya saya berasa amat bersyukur ada sahabat seperti ini. Fansuri sebenarnya boleh sahaja terus meninggalkan saya keseorang membonceng motorsikal ke bengkel. Tiada masalahpun buat saya. Lagipun susana gelap dengan hujan gerimis. Habis basah nanti dia hanya kerana menemankan saya.

Tetapi dia berkorban masanya bagi memastikan saya selamat sampai ke destinasi.

Jazakallah. Hanya Allah sahaja mampu membalas kebaikannya itu.

Khamis, 29 Ogos 2013

Kelebihan Mencangkung ketika membuang air besar



Siapa sangka bercangkung ketika berak rupanya ada hikmah. Banyak faedah dan kebaikan buat si pencangkung. Huh.

Rabu, 28 Ogos 2013

Menyampaikan kebenaran

Saya selalu terkena dengan khabar angin. Saya serik untuk mendengar khabar angin. Serik juga ingin menyebarkan khabar angin. Sesungguhnya ia boleh membawa kepada fitnah.

Lebih elok saya berdiam diri jika saya tak tahu hal yang sebenar.

Oh perkara ini juga sama seperti memberi nasihat kepada kawan. Saya dahulu selalu ambil serius dengan apa yang kawan nasihatkan. Apabila mendapati kawan itu menipu, saya terasa sangat kecewa. Ini kerana saya telah menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada apa yang dia sampaikan.

"Aku cakap je boleh mohon tinggal di kolej. Lebih itu, kau kena la pandai pandai cari."

Ah. Saya sudah terkena. Saya terus dapat pengajaran, jangan percaya kepada orang yang hanya tahu bercakap. Entah tak entah ya dia sudah mengalami atau mendaftar perkara itu.

Kerana itu, apabila memberi nasihat, saya lebih suka memberi nasihat apa yang saya pernah alami. Contohnya apabila memohon sesuatu. Saya akan menyampaikan apa yang saya tahu dan apa yang saya tak tahu. Selebihnya terserah kepada orang tersebut untuk percaya atau tak.

Yang penting niat saya ikhlas kerana Allah membantu menyampaikan benda yang baik.

Jadi sebelum saya kongsikan apa-apa benda menarik di blog, saya rasa lebih elok saya selidik betul atau tak maklumat yang saya beri itu. Ada tak kesahihannya agar saya sendiri boleh merujuk nanti dan juga pengunjung terserampak di sini.

Isnin, 26 Ogos 2013

Taqiyyah Syiah di Fakulti Pertanian UPM

Saya melihat di jendela di bilik siswazah. Angin bertiup sepoi bahasa hari ini. Elok suasana di luar. Saya menoleh melihat sekeliling bilik pula. Kosong.

Bilik siswazah yang saya duduki tidak banyak penghuninya. Semua datang dan pergi. Minggu lepas, Oghef anak lelaki Muhammad Karbalei telah kembali ke negara asalnya iaitu Iran.

Saya hanya tersenyum memikirkan perbualan saya dengan Man beberapa hari sebelum dia pulang.

"Man, pelik la. Aku nampak si Oghef solat di surau," kata aku kepada Man.

"Eh? Biar betul. Aku dengar bapanya Kristian."

"WHAT!?" Saya terkejut mendengar berita ini.

"Ya. Kak Ina yang bagitau aku."

"Takkanlah. Nama dia bukankah Muhammad?"

"Hello. Nama tak melambangkan agama."

Saya terdiam seketika. Takkanlah. Mana mungkin orang Kristian akan menggunakan nama Muhammad. Takkan sekali dan tak pernah sekali saya mendengarnya.

Lagipun saya pernah melihat Muhammad solat di surau.

"Kemudian aku lihat si Oghef bangun selepas tamat solat Zuhur. Aku rasa dia solat Asar pula. Syiah suka jamak solat. Ketika rakaat terakhir aku lihat dia menepuk-nepuk peha sama seperti warga Iran lain solat."

Man hanya mengangguk, endah tak endah dengan perbualan kami.

Hendak dijadikan cerita, keesokannya saya terlewat solat. Ketika tiba di surau jam 2.30 petang, saya terlihat kelibat Muhammad solat. Mata saya terbungkam. "Sah taqiyyah mamat ni," kata saya dalam hati.

Entah apa pula akan dia jawab jika saya bertanya kepadanya, "What is your religion, Muhammad."

Ahad, 25 Ogos 2013

Dunia blog dan perubahannya kepadaku

Kali ini saya ini berbicara menggunakan perkataan aku. Terasa rindu nak guna bahasa aku.

Aku berblog pada tahun 2011. Pada awalnya aku sangat takut untuk berblog. Bagi aku ketika itu, blog ini hanyalah untuk yang pakar menulis.

Aku ini memang susah sangat nak menulis. Yelah.

Tapi semua berubah aku lihat kawan aku giat menulis. Huh. Dia menulis merapu sahaja. Tambahan penuh dengan bahasa SMS.

Aku pun bermulalah berblog.

Sehingga pada tahun lepas aku dapat satu tugasan untuk menjaga blog persatuan. Uhhh. Aku taknak sebenarnya sebab blog aku sendiri pun tak terjaga. Inikan nak jaga blog lain.

Namun, ketua aku terus memujuk. "Inilah masanya nak serlahkan potensi," katanya.

Dari situ, aku bertekad nak belajar templat blog pula. Memang aku tak tahu apa. Nak tukar templat memang tak tahu langsung.

Nak mula dari mana aku pun tak tahu. Memang bermula daripada kosong. Inilah dinamakan tingkat permulaan pembelajaran.

Aku menghabiskan masa lebih kurang 2 bulan untuk memahami bagaimana templat berfungsi. Alhamdulillah dapat mentor pula.

Kerja aku semakin lancar. Dari situ juga aku belajar bagaimana melihat blog dari sudut aku sendiri. Sudut jiwa blogger. Setiap blogger ada juga 'suaranya' tersendiri sama seperti penulis.

Tapi aku taklah dapat membuat blog dari kosong. Aku kini sudah pandai ubahsuai templat yang sedia ada.

Pada awalnya memang susah juga. Nak ubah itu dan ini. Lama-kelamaan kemahiran itu terbentuk. Aku dapat ubah templat dalam masa seminggu sahaja berbanding dahulu aku mengambil masa 1 bulan.

Di sini aku dapat simpulkan bahawa, untuk berjaya, memang kita akan bermula seperti bayi. Merangkak dan jatuh. Namun ketahuilah, itulah yang membuatkan kita berjaya.