Selasa, 12 November 2013

Pantang larang di dalam hutan

"Pak cik, jauh lagi ke?" Rungut kak Surisa. Saya pula hanya mengikuti dari belakang di antara kak Bunga dan kak Surisa.

Tok Chik, renjer hutan hanya mengangkat tangan tanda suruh terus berjalan.

"Kalau jauh, tak apa lah pak cik. Lain kali sahaja pergi."

Saya lihat Tok Chik mengabaikan keluhan kak Surisa. Jelas dia tetap dengan pendiriannya mencari pokok lekir untuk kami. Misi ini harus tercapai dengan jawapan bahawa Perak juga ada terkandungnya pokok ini tumbuh melatar meliar.

Beberapa kalu saya mendengar keluhan kak Surisa.

Setelah lama berdiam dan dia agak jauh dari Tok Chik, saya membisik kepadanya. "Kak, ada pantang di dalam hutan ni. Perkataan jauh dan letih tak boleh cakap. Kak perasan tak kenapa Tok Chik diam je bila kak tanya jauh lagi ke?"

Kak Surisa tergumam seketika. Dia memandang saya dengan muka "awak serius?". Saya hanya mengangguk kepala tanda betul.

Setelah itu speanjang perjalanan tiada lagi rungutan kedengaran. Perjalanan seperti terasa mudah sahaja. Entah berapa lama, kami tiba jua di perkampungan orang Asli di Ulu Kinta ini.

Isnin, 11 November 2013

COMANGO - Agenda Menghapuskan Identiti Islam di Malaysia


Apakah itu COMANGO? Mengapa orang sibuk-sibuk pasal COMANGO?

COMANGO adalah satu kesatuan puak-puak yang tidak suka Islam dan ingin membebaskan Islam sebenar dari bumi Malaysia.

Beberapa persatuan yang bertopengkan Islam menyokong COMANGO.

Adakah sebagai rakyat biasa kita patut biarkan isu ini sahaja? Bagi saya tak. Isu ini besar kesannya kepada kita, rakyat Malaysia.

Apakah bahayanya COMANGO? Kita lihat isi-isinya dahulu:

1. Memperjuangkan hak Lesbian, Gay, Bisexual dan Transexual
2. Mengiktirafkan Syiah sebagai salah satu Mazhab Islam
3. Membebaskan Malaysia dari ikatan Hak Istimewa Orang Melayu
4. Kalimah Allah adalah untuk semua

dan banyak lagi. Rujuk sini.

Semua yang mereka bawa atas dasar 'hak asasi manusia'. Manusia sepatutnya bebas. Tidak terikat dengan mana-mana agama. Itu yang mereka bawa.

Eh? Jangan bersangka buruk.

Eh? Sudah baca apa tuntutan COMANGO?

Tapi...

Baca sekali lagi. Dan hayatilah apa yang mereka bawa itu sebenarnya ancaman kepada kita, umat Islam.

Sebagai umat Islam yang peka, kita patut merasakan bahawa ini satu ancaman. Kita bukan sahaja setakat duduk di masjid solat lima waktu dan membaca al-Quran setiap hari namun tidak kisah dengan persekitaran kita. Ini bagaikan umat yang tidak kisah dengan perihal orang lain.

Sikap "asalkan aku tidak kena, sudahlah" bakal mendatangkan bencana kepada umat Islam di bumi Malaysia. Ia sama seperti nasihat oleh Dr. Zainur Rashid tentang menjadi ummah peduli.

Jika tidak kena pada kita, akan kena pada saudara-saudara dan sahabat handal keliling kita. Anak saudara, adik, abang, kakak, sepupu, pak saudara yang kita sayangi.

Jadi, kita harus cakna isu ini dan mengambil inisiatif menentang selagi boleh. Islam tertegak dengan kuasa. Walaupun kuasa Melayu Islam kian lemah, namun kita masih ada kuasa lagi.

Ayuh cakna isu ini. Jangan bersikap 'ini bukan hal aku' kerana sabda Rasullulah yang bermaksud

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,

“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya."

(Hadith riwayat Bukhary)

Marilah kita menjadi ummat yang peduli akan nasib bangsa kita.

Ahad, 10 November 2013

Preposition dalam Bahasa Inggeris


Tertarik dengan gambar ni. Mudah nak faham.

Jumaat, 8 November 2013

Paksaan

"Tidak. Aku tak mahu turut terlibat dalam apa-apa perancangan ini." Aku bingkas bangun ingin sahaja terus keluar dari bilik perbincangan ini.

Adli menahan tangan aku. Dia memberi isyarat supaya aku kekal. "Duduk dan dengar sahaja sudah mencukupi."

"Tapi." Aku cuba menolak tangan Adli. Adli menjegilkan matanya. Ah. Aku sudah terperangkap dengan kancah ini.

Perbincangan berterusan sehingga lewat malam. Aisyah dan Aminah keluar sekali sekala membeli makanan untuk kami.

Di dalam bilik ini terdapat lebih 10 orang duduk berbincang tentang hal yang aku masih tidak dapat cerna. Jelas aku memang bukanlah daripada golongan mereka.

Semua muka serius. Mereka juga berharap aku serius. Ah bagaimana ingin aku serius dengan hal ini walhal aku baru sahaja menyertai kumpulan ini.

Tidak aku sangka Adli mempunyai agenda di sebalik perkawanan kami. Aku terlalu naif mempercayainya di awal pertemuan.

"Assalamualaikum." Tegur Adli di awal pertemuan kami di stesen bas di hadapan fakulti. Aku menjawab salam. Terkejut juga dengan orang baru menyapa aku. Jarang sekali orang menyapa aku dengan salam. Mereka sering kali ingat aku ini daripada kaum Tiong Hua.

Kami berbual panjang. Entah mengapa aku dengan senang hati memberi nombor telefon dan nombor bilik kolej kediaman aku tinggal kepada Adli.

Lebih aku terkejut apabila malam itu juga Adli datang menziarahi aku seperti yang dia janjikan di awal pagi tadi.

Di saat itu aku rasakan kelainan.

Hidup ini bukanlah sahaja tentang pemilihan, tetapi takdir yang menentukan segalanya.

Aku bangun lewat keesokannya selepas perbincangan tamat. Hampir sahaja aku terlepas solat Subuh. Usai solat, aku duduk termenung di atas katil. Apakah mampu aku membawa agenda kumpulan rahsia ini?

Langsung tiada kata semangat yang mereka berikan. Hanya tugasan itu dan ini berselerak di atas meja belajar aku.

Ah serabut aku memikirkannya. Aku hanyalah orang biasa. Aku datang ke fakulti ini pun dengan impian biasa-biasa. Mana mungkin mereka berharap yang luar biasa daripada aku ini.

Mata aku kian gelap. Walaupun di awal pagi pelbagai tegahan tentang tidur mengatakan bahawa kurang membawa berkat, tetap aku tidak dapat menahan mata aku lelap.

Tuk tuk tuk. Pintu bilik aku diketuk. Suara yang aku kenali memanggil nama aku. "Khairul, jom pergi makan tengah hari. Aku tahu kau ada di bilik. Selipar di hadapan tidak dapat menipu aku."

Ah Adli. Masih dengan sikap telitinya itu. Kerana itu aku kagum dengannya. Hidupnya penuh dengan falsafah. Ada sahaja perkara falsafah kehidupan ingin dia sampaikan kepada aku kala kami bertemu di waktu makan. Tidak kiralah makan pagi, petang mahupun malam. Pasti terselit agenda kehidupan menjadi seorang pelajar muslim berjaya.

"Kita perlu ada agenda. Kita datang ke universiti ini bukanlah hanya sebagai produk kilang. Universiti bukanlah kilang menghasilkan kita untuk pihak industri datang memilih mana yang terbaik. Kita ada tanggungjawab lebih daripada itu. Jangan kita dikatakan lesu. Jangan kita dilabel mahasiswa lembik oleh generasi akan datang. Arus perubahan bermula di zaman kita."

Apakah maksud Adli ini?

"Tidak semua mahasiswa sedar ancaman-ancaman yang datang menyerang mereka. Apa yang mereka lihat kebrobokan pemimpin. Mereka hanya tahu mengkritik dan akhirnya apabila memegang jawatan, mereka sama sahaja seperti pemimpin yang mereka kritik dahulu."

Tidak aku sangka segala apa agenda dan cerita itu ada kepingan yang ingin dicantum Adli. Satu pesatu cantuman itu hadir dalam diri aku.

Aku ini bukanlah senang dipengaruhi. Pernah sekali datang seorang penjual barangan MLM. Sungguh dia mempamerkan pelbagai barangan yang mampu menggugah rasa seorang pelajar untuk turut serta. Pandai dia berbicara. Tetapi aku menolak sahaja.

Bukan minat saya, kata aku ringkas.

Tetapi pelik. Apabila Adli membuka cadangan ini, aku tanpa soal bicara banyak setuju sahaja. Walhal ini juga bukanlah minat aku. Malahan aku masih lagi orang biasa. Cadangan Adli sungguh luar biasa.

Kepingan jigsaw puzzle ini mula mencantum kuat apabila Adli membawa aku berjumpa dengan kawan-kawannya yang lain. "Kawan aku, kawan kau juga," kata Adli.

Mereka juga mesra seperti Adli.

Mungkin kerana aku jarang sekali dapat bersosial mesra dengan orang, aku terasa begitu kekok apabila bersama mereka di awal waktu. Aku menjadi pendiam. Tetapi entah mengapa mereka bijak membawa diskusi mesra bersama aku. Lama kelamaan aku hilang sedikit demi sedikit rasa kekok itu.

"Mungkin nanti apabila dia bersedia." Aku terdengar perbualan Adli semasa aku ingin menziarahi biliknya yang berada di blok sebelah.

Aku tidak tahu dengan siapa dia bercakap di telefon. Aku biarkan sahaja dia terus berbual dengan aku membelek pula telefon aku. Aku terlanggar kasut Adli membuatkan dia perasan aku di pintu yang terbuka sedikit.

"Eh Khairul. Jemput masuk."

"Nanti kita bual lagi. Assalamualaikum," kata Adli menutupi telefonnya.

"Malam ini aku ingin bawa kau ke tempat yang istimewa."

Aku muka kekeliruan.

Terukir senyuman manis di muka Adli.

(bersambung)

Menjadi Penulis atau Menulis?

Saya banyak mendapat input-input baru apabila saya mula meninggikan impian saya. Input-input baru ini memberi saya lebih semangat untuk terus menulis.

Saya tertarik dengan satu esei tentang penulisan. Pengarang mengatakan bukan tentang kita menjadi penulis tetapi tentang kita menulis.

Menjadi penulis sesiapapun boleh. Namun menulis bukan semua orang boleh.

Saya dapati hal ini benar apabila sesetengah rakan saya tidak dapat menulis dengan baik. Malahan ada yang meminta saya menulis bagi pihak mereka.

Lalu membuat saya terfikir apakah saya mempunyai bakat menulis atau kemahiran menulis?

Sukar untuk mentafsir sesuatu tanpa memikirkan sesuatu.

Ahad, 3 November 2013

Berjumpa MLMners Cina

Saya bersiap-siap untuk ke Alamanda. Ada temu janji penting perlu saya tunaikan. Dari minggu lepas penemu janji saya ini telah menghubungi saya. Tekun orangnnya.

Saya berkenalan dengannya secara tidak sengaja semasa saya sedang menunggu di hadapan perkarangan Kolej Kedua. Dia datang bertanya dalam bahasa Mandarin. Saya kurang tangkap apa yang dia cakapkan, lalu menjawab, "Ni zuo bashi qu KMR."

Dia tercengan mendenganr jawapan saya. Terus saya sambung, "Wo de huayu jiang de bu hao." Dia tersenyum. "Ni shi hua ren ma?"

"Wo de mama shi hua ren," jawab saya ringkas.

Saya melihat jam tangan. Saya menunggu kawan untuk datang. Terus dia meneruskan perbualan yang entah apa saya pun kurang faham. Yelah. Sudah 2 tahun saya meninggalkan kelas bahasa Mandarin. Jadi memanglah berkarat.

Apa yang saya faham perkataan 9 malam. Saya hanya mengangguk buat-buat faham. Haha.

"Errr. Ini malam ada ceramah bisnes pukul 9. You mau join tak?"

"Ah! Baru faham," spontan saya menjawab.

Kesian dia. Terang punyalah panjang lebar, apabila cakap dalam bahasa Melayu pendek dan ringkas, terus senang saya faham. Eksyen nak mengasah bahasa Mandarin saya tidak menjadi. Haha.

Saya menolak kerana ini bukanlah masanya. Dia mengambil nombor telefon saya dan beredar.

Minggu lepas dia menelefon saya untuk temu janji. Namun saya demam. Jadi saya terpaksa menolak.

Lalu dia menelefon lagi pada hari Selasa meminta temujanji lain dibuat.

Baiklah. Saya tidak ingin menghampakan harapannya itu. Hari ini kami bertemu di Subway Alamanda.

"Aha, Wong. Silakan duduk," kata Mr. Lim.

Kami berbual panjang. Dia bertanya tentang aktiviti saya semalam. Saya bercerita tentang perjalanan saya dan rakan-rakan mendaki Gunung Nuang untuk mandi air terjun.

Kemudian berbincang tentang idea bisnes. "Penulisan juga itu satu bisnes."

Dia seperti terkejut.

"Betul. Kalau you treat penulisan sebagai bisnes, pasti ia akan membuahkan hasil. Malahan untung yang berganda. Kenal tak Ramlee Awang Mursyid? Penulis novel Melayu terkenal."

Mr. Lim menggelengkan kepalanya seperti yang saya agak. Orang Cina mestilah baca novel Cina.

"Dia boleh digelar jutawan. Bukunya lebih daripada 25 buah. Dan setiapnya sentiasa ada jualan keras."

Tapi saya tahu. Dia bukanlah mengharapkan penerangan lebar saya ini. Dia hanya ingin mendengar memberi keselesaan kepada saya dan kemudian menerangkan produk yang patut saya ceburi.

Mr. Lim membuat pengenalan dengan menerangkan satu kajian kes tentang Tesco di Korea. Pembelian barang runcit secara online. Satu info baru buat saya.

"Ini adalah produk terbaik kami, AmWay. Kita tidak perlu menjual. Hanya melatih orang untuk menjual dan menggunakan produk AmWay. Nanti ada peringkat keuntungan." iPad di hadapan kami digesek Mr. Lim.

Saya hanya mengangguk kepala. Saya tidak mahu mencelah dan mematikan semangatnya bahawa saya pembaca blog Aidid Muadib, blogger pengutuk sistem MLM. Sejak membaca blog Aidid, kepercayaan saya bahawa sistem MLM ini memang salah bertambah kukuh.

Saya memberi hint bahawa saya tidak berminat dengan produk ini. "Berniaga ini perlu ada passion. Saya rasa berniaga cara TQB ini bukanlah minat saya. Seperti saya terang tadi, minat saya kepada penulisan."

"Mungkin you boleh cuba?" Mr Lim masih lagi berkeras ingin memujuk saya.

Saya hanya senyum sambil menggelengkan kepala. 2 buah buku berkaitan syarikat TQB dia berikan kepada saya. "You boleh baca dahulu. Nanti pulangkan kepada saya."

Saya membelek-belek ringkas buku-buku itu. Saya meletakkan kembali di hadapan Mr. Lim. "Sorry. Saya ada 10 buku menunggu untuk dibaca. Buku agama. Buku motivasi. Buku bisnes. Buku Master." Saya menolak baik hasrat Mr. Lim menggalakkan budaya membaca oleh bakal pelanggannya.

Lama juga kami berbual. Hampir 2 jam. Perut saya sudah lapar. Mr. Lim seperti tidak ingin membelanja saya makan. Adeh. Kalau MLMers Melayu ada juga la belanja makan di kedai Mamak.

Ini Subway setakat habis air liur... Adeh.

Selepas gagal meyakinkan saya, jelas kelihatan sedikit raut kekecewaan di muka Mr. Lim.

Saya tahu perasaannya apabila bertemu orang seperti ini. Saya pernah berjumpa orang sebegini, hati keras menerima ajakan kebaikan. Tapi niat saya ketika itu menyampaikan perkara kebaikan kerana Allah. Mengajak mereka untuk mengaji al-Quran bersama. Jika dia tidak menerima, itu bermakna ada sesuatu yang masih kurang dalam diri saya, atau bukannya sekarang pintu hidayah terpancar di hatinya.

Saya bangun dan bersalam. "Kalau Lim mahu tahu tentang gardening, jangan segan call saya. Insya-Allah saya boleh beri konsultasi secara percuma."

Sabtu, 2 November 2013

Pasar

Di tengah kesibukan pasar, duduk seorang budak menangis. Dia menangis tanpa henti. Ketakutan dengan pelbagai mata yang memandangnya. Dilihat sekeliling bagaikan kegelapan malam. Hanya yang bercahaya berpuluhan sinaran mata.

Dia terus menangis. Tiada siapa yang mempedulikannya. Seorang ibu meninggalkannya kerana perangainya. Hanya kerana ingin membeli barang permainan. Ibu itu ada kerja yang lebih besar ingin dilakukan. Ibu itu perlu membeli barangan pasar. Sayur, ikan, santan, dan masa untuk pergi ke salon.

Akhirnya budak itu tersedu keletihan. Perasaannya untuk memiliki barang permainan di kedai di hadapannya sudah hilang. Apa yang dia inginkan hanyalah sebuah pelukan hangat seorang wanita yang dikenalinya.

Namun kelibat wanita itu tiada. Dia rasa sungguh kesunyian. Apakah dunia ini sudah meninggalkannya? Apakah dia kini berseorangan hidup? Adakah kata-kata yang ibu akan meninggalkannya itu bakal menjadi kenyataan?

Tenaga yang tersisa ada membuatkannya menangis kembali. Menangis mengingati perbuatannya. Dia hanya mahukan pujukan ibu. Permainan itu bukanlah yang utama. Tetapi mengapa ibu begitu kejam meninggalkannya?

Pancaran terik matahari mula memendekkan bayang-bayang yang melalui di atasnya. Budak itu mengesot mendekati dinding yang ditumpannya.

Dari jauh dia melihat kelibat wanita berbaju merah. Dia geram. Mengapa baru sekarang hendak berjumpa dengannya? Setelah dia habis melimpahkan segala air mata. Sehingga dia tidak mampu bersuara lagi?

Dia memaling muka ke arah lain. Dia geram.

Ibu memandangnya sambil berkata, "Jom pulang."

Budak itu teragak-agak. Adakah dia mahu teruskan protesnya itu? Atau dia akan ditinggalkan lagi?

"Lihat apa yang ibu belikan." Sebatang lolipop besar bersaiz piring cawan dihulurkan kepadanya.

Tersenyum budak itu. Rupanya ibu masih mengingatinya. Terus ibu mendukung dia walaupun tangan si ibu penuh dengan plastik.

"Sudah. Aiman baikkan? Jom kita pulang," pujuk ibu sambil mengusap kepala Aiman yang sedang leka menjilat lolipop di tangan kanannya.

Aiman duduk di hadapan raga motorsikal. Ibu meletakkan plastik di pemegang motorsikal memberi laluan untuk Aiman duduk di hadapan. Dia mahu Aiman menikmati lolipop sampailah pulang nanti walaupun kebiasaannya Aiman duduk di belakannya memeluk erat pinggangnya.