Erti Sebuah Cerita

Berbual
Saya orangnya suka bercerita. Cerita saya sering merapu sahaja. Oleh kerana itu saya memiliih untuk bercerita hanya kepada orang yang saya rasa dekat di hati.

Blog adalah tempat saya bercerita lebih daripada apa yang saya katakan. Entah mengapa apabila saya menulis di blog ini, saya terasa saya mampu bercerita lebih. Walhal di luar sana entah bila saya bercerita entah siapa yang menangkap cerita saya.

Baru baru ini sebuah kejadian membuatkan saya berfikir. Orang terdekat saya mula tidak solat lima waktu. Serius saya terpempan. Serius saya berfikir lebih daripada dua kali akan hal ini.

Mengapa dia tidak solat? Adakah ada unsur lain yang membuatkan dia tidak solat? Adakah aku penyebab dia tidak solat? Adakah saya hipokrit dalam 'share' di Facebook hal-hal keagamaan tetapi orang terdekat saya hampir semua tidak solat? Allahu Allahu Allahu.

Terlalu banyak persoalan yang muncul. Yang pasti persoalan itu membuatkan saya sangat sedih. Orang itu sangat sangat dekat dengan saya. Dia membesar bersama saya. Kami sering berkongsi masalah. Kami sering berkongsi kegembiraan.

Allahurobbi. Saya berasa sangat lemah. Ini membuatkan saya terfikir mengapakah dia solat selama ini? Adakah dia solat hanya kerana Allah atau kerana lain? Apakah faktor yang membuatkan dia tidak solat?

Adakah kerana saya lupa untuk memberi peringatan kepada orang terdekat dengan saya tentang keutamaan dan kewajiban solat itu kepada ummat?

Persoalan.

Persoalan.

Persoalan.

Terus saya tetap berdukacita tentang hal ini. Tetapi...

Begitulah hakikatnya. Sebuah cerita yang dihidangkan akan memberi kesan kepada yang berfikir. Kadang, kita tak dapat mengalami hal itu sendiri. Kadang Allah tunjukkan kepada kita untuk kita fikir melalui kejadian pada orang lain.

Dan Allah memberi ujian kepada saya untuk melakukan dakwah kepada orang terdekat saya. Saya tahu hal ini perlu diubah. Saya perlu berusaha. Alangkah ruginya ilmu yang saya ada hanya digunakan kepada orang lain tetapi saya lupa akan saudara kandung saya. Bahawa mereka juga memerlukan hati untuk disentuh secara berhikmah.

Jelas, perkara ini masih menghantui saya. Dakwah. Ia sukar. Tetapi saya tahu, ini hanyalah sebuah ujian kepada saya.

Tentang bangsa. Tentang agama. Tentang keluarga.

Semoga saya diberikan kekuatan untuk sama-sama membimbing keluarga ke arah jalan yang benar.
Berminat Baca

Teori, pengalaman dan perkembangan ilmu

Berbual
Saya mempelajari teori dan mendapat pengalaman sebagai seorang ahli hortikultur sepanjang saya bergelar pelajar sarjana muda Sains Hortikultur di UPM. Pembelajaran saya selama 4 tahun saya kecapi dengan perasaan suka dan duka.

Kini apabila saya mula menubuhkan grup FB membincangkan tentang hortikultur untuk orang awam, saya terkesima. Rupanya banyak lagi perkara perlu saya pelajari.

Terutamanya bagaimana menjadikan baja sendiri. Serius saya tak sangka ada banyak lagi ruang untuk saya tambah ilmu ini.

Saya dahulu bersikap skeptikal terhadap penanaman di dalam pasu. Masakan boleh pokok berbuah di dalam pasu yang kecil itu? Lama-kelamaan minda saya terbuka. Di dalam hortikultur, tiada istilah tidak. Apa-apa boleh kerana di dalam isitilah hortikultur mengandungi perkataan seni.

Hortikultur adalah seni dan sains penanaman buah, sayur, bunga dan landskap.

Nah. Bukankah seni itu berkait rapat dengan kreativiti? Aduh. Saya terkesima.

Lama-kelamaan juga saya terbuka menerima konsep baru dalam membuat baja. Kita sebenarnya boleh membuat baja sendiri! Bukan setakat kompos tetapi juga baja cecair. Bayangkan!

Dan apabila saya membuka grup itu, saya lebih mengenali orang awam yang berani. Mereka sanggup mencuba apa jua demi kelestarian ilmu berkebun. Merek tidak takut untuk mencuba. Asalkan menjadi.

Manakala saya pula takut untuk mencuba kerana terlalu banyak ilmu saya serap mengatakan sesuatu hal itu tidak mungkin terjadi. Aduh! Saya telah terperangkap dalam ilmu saya sendiri.

Terus, saya membiarkan sahaja orang awam bereksperimen dengan ilmu yang mereka ada. Jika ada masalah barulah saya mula menegur. Jika tak, apa salahnya saya pun mendapat sesuatu yang baharu?

Oleh itu, lebih baik saya terus belajar. Sesungguhnya saya berasa kerdil apabila mengetahui akan hal ini.

Moga terus saya dapat memanfaatkan ilmu yang saya ada ini demi kemajuan sejagat.
Berminat Baca

Generasi X dan Generasi Y

Berbual


Saya mengendalikan sebuah Facebook group. Terdapat pelbagai ragam ahli di situ. Apatah lagi Facebook group itu mula mencecah sebanyak 20,000 ahli.

Bayangkan! Permulaannya saya hanyalah ingin mengumpulkan ahli daripada page yang saya cipta.

Saya lihat ramai yang ingin berkongsi gambar dan progres tanaman mereka tetapi tidak begitu mendapat perhatian. Saya fikir lebih baik saya buka lagi satu saluran perkongsian iaitu Facebook group.

Maka berduyun-duyunlah orang menyertai Facebook group kami. Saya lantik kawan-kawan saya sebagai admin. Semua kawan saya itu adalah sama jurusan dengan saya semasa saya di UPM dahulu iaitu Bacelor Sains Hortikultur.

Antara yang saya dapati adalah apabila terdapat juga golongan generasi X (40 tahun ke atas) juga menyertai group itu.

Di situ saya lihat ramai suka berkongsi apa yang mereka tanam. Alhamdulillah ia seperti yang saya bayangkan.

Saya juga menghadkan sebarang jualan di situ. Mana-mana yang bersifat jualan langsung akan terus mendapat pengajaran dengan saya 'delete and remove user'. Saya yakin ada Facebook group jualan untuk barangan seperti ini.

Ada juga orang yang menyelinap menjual barang tetapi tidak langsung. Itu saya tak kisah sebab mereka bijak. Haha.

Kebanyakan generasi Y yang masuk tahu akan etika post.

Tetapi ada juga isu ahli yang mencarut kerana tidak puas hati bahawa dia dahulu post gambar yang sama. Saya rasa itu satu yang tak bagus. Nasib baik dia sendiri yang mengundur diri daripada group itu.

Lagipun saya lihat dia tidak berapa aktif komen di grup. Lebih suka post dan tinggalkan begitu sahaja. Jadi itu sudah menunjukkan dia sendiri tidak aktif dalam berkongsi maklumat. Lebih kepada hendak mendapatkan populariti.

Sebagai admin, saya membuka ruang untuk perbincangan. Lagipun, tugas admin hanya memantau agar grup itu kekal sihat persekitarannya.


Berminat Baca

Kekok dalam Majlis Sosial

Berbual
Hari ini saya berkesempatan menghadiri dua majlis berkaitan dengan makanan.

Pertamanya berkaitan majlis perkahwinan rakan saya. Yang ini rakan yang saya kenal begitu begitu sahaja. Tapi alangkah terharu saya apabila dia PM Facebook saya dan minta kebenaran untuk jemput ke majlis perkahwinannya melalui Facebook Event Invitation.

Dahulu saya agak ortodoks dalam menerima jemputan sebegini. Tetapi apabila saya sendiri akan membuat majlis seperti ini nanti, saya terfikir ini sungguh menjimatkan! Bayangkan jika kad kahwin 30 sen satu. Kalau nak jemput 500 orang katakan. Mahu mencecah RM1,500 hanya untuk menjemput orang!

Saya mula berfikiran terbuka apabila hal seperti ini kepada saya.

Dan saya teringat hadis nabi yang mengatakan bahawa kita wajib memenuhi jemputan seseorang. Aduh. Saya menyesal kerana mengendahkan hadis nabi itu. Astaghfirullahal'azim.

Baik.

Keduanya pula berkaitan dengan majlis hari raya terbuka anjuran surau di tempat saya tinggal.

Terus, apa yang kekoknya? Saya kekok ketika menghadiri majlis pertama. Ini kerana saya seorang sahaja yang hadir. Saya seorang sahaja makan di meja makan. Serius rasa 'forever alone'.

Ketika untuk meminta diri pun saya tidak tahu bagaimana caranya. Lalu saya pun pergi ke bahagian ramai orang berkerumun. Rupanya rakan saya itu sedang menjalani acara makan beradab. Saya sempat melambai tangan kepadanya.

Yelah orang silih berganti berjumpa dengan pengantin.

Saya hendak mengundur diri tetapi bagaimana ya? Saya pun tak kenal tuan rumah. Yang saya kenal hanya rakan saya itu. Fikir punya fikir, akhirnya saya melangkah senyap tanpa sebarang khabar.

Agak kekok di situ.

Di majlis kedua pun begitu. Selesai makan, saya terus bergerak secara senyap mengundur diri. Walhal saya sendiri tahu majlis ini lah masanya bergaul mesra dengan penduduk sekitar.

Tetapi, itulah. Saya ini masih lagi perlu bimbingan dalam hal-hal begini.
Berminat Baca

Ilmu Bisnes

2 bualan
Saya pernah berkomplot dengan kawan-kawan tentang idea untuk membuka ladang herba.

Pelbagai teknik kami andaikan. Berbincang hampir berminggu-minggu. Namun langsung tiada tindakan.

Keputusan berakhir dengan kami tidak jadi membuka ladang herba.

Beberapa hal yang boleh saya simpulkan mengapa perancangan kami gagal:

1. Tiada mentor dalam bidang bisnes.
Mentor merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kita menjayakan ilmu bisnes. Mereka telah mengalami cahaya dan gelap bisnes lebih awal daripada kami.

2. Terlalu berharap
Kami terlalu berharap kepada orang itu dan ini untuk membantu. Walhal kami tidak berjumpa dengan orang yang betul boleh membantu kami,

3. Kekurangan keyakinan diri
Kerana kami tidak pernah menjayakan ilmu pertanian tidak lebih daripada kelas amali semasa kelas dahulu. Ilmu bisnes ladang ini lain sungguh dengan teori!

Saya juga berkesempatan bermentor dengan seorang Cina. Beliau begitu semangat berkongsi dengan kami pengalaman beliau mencari tanah untuk berkebun. Tip dan trik ini memang sangat membantu saya kini. Terima kasih Abang H.
Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia