Cuit-cuit celoteh kakak


Saya mempunyai seorang kakak. Dia bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Saya tinggal sementara dengan kakak sebelum saya menamatkan pengajian master.

Baru-baru ini ibu dan abah datang melawat rumah kakak. Terdapat rungutan daripada kakak mengatakan saya ini seorang yang pemalas. Bilik bersepah dan tidak berkemas. Saya endah tak endah sahaja mendengar rungutan itu. Lagipun itu bilik saya mengapa kakak harus bising.

Abah hanya mendengar. Saya tutup pintu bilik kerana malas melayan rungutan kakak pada ibu dan abah.

Di rumah kakak ada tiga bilik. Saya tinggal di bilik kedua terbesar selepas bilik kakak. Terdapat satu bilik sedikit kecil daripada bilik saya terletak bertentangan dengan bilik saya. Di antara bilik saya dan bilik itu terdapat sebuah bilik air kecil.

Abah melalui bilik itu dan bilik saya sebelum sampai ke bilik air. Kakak masuk sekejap ke bilik kecil itu yang dahulu ingin dijadikan bilik ruang perpustakaan. Tempat dia menjahit baju, membaca buku dan sebagai satu pejabat kecil di rumah.

Namun dek alasan sibuk, kakak tidak sempat mengemas bilik itu. Saya tak mahu masuk campur kerana nanti kakak tak suka. Itu bilik dia.

Kemudian abah keluar dari bilik air. Dia melalui hadapan bilik itu yang kakak terlupa menutup pintu bilik. Kakak perasan abah berhenti di hadapan bilik itu lalu menjerit, "jangan tengok!"

Namun tak sempat kerana abah sudah berada di hadapan bilik itu.

"Hmmm." Abah menggosok dagunya. "Katanya bilik Wong bersepah."

Kakak seperti dapat mengagak apa yang abah maksudkan. "Ah biarlah. Ini bilik akak."

Abah memandang kakak dan berkata dengan nada sinis, "Kamu tu pun dua kali lima sahaja."

Kakak memandang ke atas dengan mengumam bibir.

Saya di dalam bilik ini terkekek ketawa mendengar telatah mereka. Itulah perangai kakak saya. Suka berceloteh.
Berminat Baca

Ertinya Membaca Karya Hebat

1 bualan

Aduh. Saya terkesima apabila membaca karya Faisal Tehrani bertajuk 'Tunggu Teduh Dulu'. Ternyata karya itu telah memikat hati saya si hortikulturist. Sungguh pandai beliau mengulit kisah cinta si protagonis dengan ilmu bantu betik.

Saya terpesona kerana beliau cukup pandai meratai maklumat yang susah menjadi seperti senang sahaja.

Ah ini berbeza sungguh dengan Tuah Sujana penukil karya 'Cakerawati Teluki'. Dua karya yang bagi saya ditulis oleh orang hebat dalam bidang sastera.

Tuah hanya berumur berlahir tahun 1991. Berbeza dengan Dr. Faisal. Namun karyanya membuatkan saya terpaksa membaca dua kali memahami istilah yang digunakan. Ia terlalu asing untuk saya fahami. Mungkin kerana bacaan saya tidak setingginya yang melangit buku sastera.

Bacaan terhadap karya Faisal Tehrani lebih membumi dengan saya. Saya faham erti istilah yang digunakan. Jenis baja dan mengapa digunakan.

Terus ini telah membuatkan saya tahu novel apa yang boleh saya contohi untuk saya menulis novel fiksyen sains saya.

Ya saya tahu tentang kesesatan yang telah dibawa oleh Faisal Tehrani. Saya masih tidak dapat percaya orang yang begitu berbakat sepertinya boleh terpesong dengan ajaran Syiah. Allah lebih mengetahui. Moga beliau dikurniakan hidayah dan kembali kepada ajaran yang benar.

Sambil itu mata saya masih terlekat dengan novel TTD ini. Pastinya saya dapat rasakan si penulis mampu memberi harapan kepada saya bahawa saya mampu menulis.

Mungkin saya ini terlalu jauh untuk memahami siapakah Tuah Sujana dan mengapa beliau menulis sebegitu rumit. Tetapi tidak saya nafikan pembacaan yang kurang saya fahami itu membuatkan saya sendiri puas setelah membaca. Saya tahu jauh di sudut hati terdapat satu kepuasan yang entah menyelinap masuk ke sudut itu.

Kedua-dua karya ini membolehkan saya berfikir tentang kehidupan. Tentang manusia. Siapakah manusia dan apakah tujuan manusia ini dicipta.

Dan saya yakin, karya saya mungkin berbaur seperti mereka, namun ia tetap suara saya. Suara menyampaikan apa yang terpendam di dalam atma yang biasa ini.
Berminat Baca

Konspirasi Dajjal dan Penyelesaiannya

3 bualan


"Aku percaya kepada konspirasi." Kata kawanku Fakrul apabila kami sudah memesan makanan di restoran makanan Arab. Kedai yang memakan limat lot kedai ini memang sentiasa penuh dengan orang datang.

Saya termenung apabila Fakurl masih dengan pendiriannya tentang peristiwa akhir zaman. Bukan apa, zaman saya mempercayai konspirasi ini telah lama berlalu. Saya tahu memang ada konspirasi tetapi apa boleh saya buat jika ia benar?

"Terutama bab kedatangan dajal. 8 ulama besar dunia telah bermimpi dajal akan keluar!" kata Fakrul serius.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Suka sangat dia berkongsi perkara yang terdapat di media sosial. Saya boleh baca tetapi percaya sukar sekali.

"Ni dikongsikan oleh Ustaz Kazim sendiri!" Fakrul cuba meyakinkan kenyataannya.

"Kau ni biar betul Fakrul. Ustaz Kazim telah mengaku dia tiada akaun facebook, twitter mahupun youtube. Dia sendiri kata semasa aku hadir ceramah dia."

Fakrul terdiam. "Tapi kita tidak dapat menafikan tentang kedatangan dajal. Semua petanda ada."

Baik. Saya faham. Ketaksuban Fakrul sudah menghampiri tahap moksya. Saya berfikir bagaimanalah nak menyedarkan si Fakrul ini.

"Ada hadis nabi mengatakan akan ada satu tahun hujan dan dua tahun kemarau. Balik nanti aku nak pergi beli tong air. Nak simpan air." Fakrul masih dengan muka serius.

Saya terus menggelengkan kepala. Apalah si Fakrul ini. Sampai ke situ taksubnya.

"Dan aku hendak survey beberapa gua terdekat di sini. Aku juga ingin belajar survival skills."

Saya diam seketika. Saya cuba mengubah suara saya di tahap yang boleh diplomasi.

"Fakrul, apakah senjata paling ampuh buat seorang muslim?"

Dia diam.

"Tentulah doa, bukan?" Saya menyambung setelah tiada jawapan daripadanya.

Suasana bingit dengan kanak-kanak bermain di keliling kami di restoran Arab ini kami abaikan.

"Berdoalah. Ingatlah semula peristiwa Abrahah dan kedatangan burung Ababil. Sekuat mana perancangan manusia, lagi maha berkuasa perancangan Allah itu."

Fakrul mengangguk.

"Ini," tangan saya menunjuk kepada buku 'The Deadly Mist' terbitan PTS yang baru sahaja dia beli di MPH Alamanda demi menghabiskan baucer buku 1 Malaysianya. "Buku konspirasi ini kita boleh baca untuk tambah pengetahuan tetapi jangan terlalu taksub. Aku pernah menegur pihak PTS agar jangan terlalu taksub mempromosi kisah seorang bapa tidak membenarkan anak-anaknya divaksin dek kerana terpengaruh dengan konspirasi. Kau tahu berapa peratus penyakit polio menyerang Pakistan dek kerana konspirasi?"

Aku lihat raut wajah Fakrul mula berubah.

"Kita boleh percaya sesuatu tetapi percayalah dengan berhati-hati. Kita golongan intelektual. Kita tahu mengapa kita divaksin dan apa sebabnya. Percayalah segalanya di tangan Allah. Apapun yang terkena pada diri kita ini sama ada penyakit ataupun kesusahan pasti ada hikmahnya. Bukankah penyakit itu salah satu kafarah dosa kita di dunia ini? Bukankah kesusahan itu ujian kepada kita? Jangan taksub dengan konspirasi sampai kita lupa Allah yang maha berkuasa. Allah yang maha menentukan segalanya."

Kami menghirup minuman masing-masing.

"Jadi, jangan kita putus doa berharap kepada Allah. Soal diri kita semula. Adakah dengan takut dengan perkara ini akan menaikkan iman dan takwa kita kepada Allah atau sebaliknya? Jika tak, lupakan sahajalah."
Berminat Baca

Ikhlas dalam memberi

Berbual
Prof Mansor UPM

Saya diuji dengan pemberian ikhlas. Ia tidak semudah yang kita selalu dengar. Hanya apabila kita mengalaminya barulah kita merasainya.

Kisahnya begini. Saya menghadiri satu syarahan inaugral oleh pensyarah di fakulti Pertanian. Sesiapa yang menghadiri syarahan ini akan mendapat sebuah buku inaugral berkenaan tajuk kajian itu secara percuma.

Saya postkan di facebook melalui instagram tentang apa yang saya dapat ketika menghadiri ceramah ini. Ia berkisar tentang industri lebah madu dan peningkatan industri lebah kelulut di Malaysia.

Ada kawan facebook saya yang terlihat hal ini lalu meminta jika boleh diberikan buku itu. Saya berfikir apa salahnya. Lebih baik saya menyebarkan ilmu ini berbanding kekal di fakulti pertanian sahaja. Terus saya meminta alamat daripada tiga orang rakan facebook saya.

Seorang adalah adalah pengusaha lebah kelulut. Seorang lagi bekas pengkaji MARDI. Seorang lagi adalah pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu.

Dua daripada mereka memberi respon yang begitu baik. Orang dari MARDI menawarkan saya buku yang beliau ada sebagai tukaran. Saya berterima kasih kepadanya atas buku yang berharga itu walaupun saya langsung tidak meminta apa-apa daripadanya.

Pengusaha lebah kelulut pula ingin membayar saya. Saya menolak kerana saya buat ikhlas dan berharap agar ilmu ini terus tersebar luas berdasarkan pekerjaannya itu.

Ketika inilah datang bisikan syaitan yang membisikkan saya perasaan marah kepada orang yang ketiga saya berikan buku. Hanya satu sebutan 'TQ' dibalasnya di facebook.

Terus, saya berfikir semula niat saya memberi buku inaugral ini. Saya beristighfar panjang. Jelas ini adalah ujian ikhlas yang Allah berikan kepada saya.

Saya juga belajar bagaimana hendak memberi respon apabila ada orang ingin memberikan kita sesuatu. Hargainya dengan ucapan terima kasih. Beritahu kepadanya betapa kita menghargai pemberiannya itu. Jangan setakat 'TQ' sahaja!

Kala inilah saya mula memahami apakah itu ertinya ikhlas dalam memberi. Selama ini saya hanya membaca dan mendengar sahaja. Rupanya ia tidak semudah itu sehinggalah saya diuji. Moga Allah menerima keikhlasan saya ini dalam memberi dan menyebar ilmu hanya kerana-Nya.
Berminat Baca

Artikel Terbit di Dewan Kosmik

2 bualan
Ketika sampai di rumah, saya terlihat satu sampul surat di atas meja dengan nama saya tertera atasnya. Apa yang paling mengejutkan, ia datang daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jantung saya berdegup. Apakah ada lagi artikel yang saya tulis terbit di Dewan Kosmik? Saya tiada hantar artikel baru.

Saya perlahan-lahan mengoyak sampul itu. Terpampang majalah Dewan Kosmik seperti saya jangkakan. Terus saya membelek-belek ruang isi kandungan. Mungkin ada terselit artikel yang pernah saya hantar.

'Kelulut pengganti Lebah Madu' membuatkan saya terpana. Terus mulut saya mengucapkan 'Alhamdulillah'.

Tak sangka terbit jua artikel ini yang saya langsung tak jangka akan terbit.

Jemput semua baca majalah Dewan Kosmik edisi Mac.

Berminat Baca

Futur - Berhenti setelah berjalan

Berbual
Perkara ini telah lama saya fikirkan. Adakah saya telah futur dalam dunia penulisan blog? Saya semakin kurang menulis di blog. Entah tidak tahu apa yang hendak dituliskan. Saya banyak meluangkan masa di ruang muka buku sahaja.

Mungkin itu kesilapan saya. Yelah. Sepatutnya saya menulis di blog kerana nanti senang saya hendak menyampaikan maklumat kepada umum. Ini tidak. Saya gedik juga hendak menulis di facebook.

Saya sedar kesilapan saya. Akibat kesilapan itu saya tidak berani lagi menulis di blog. Perkongsian lebih kepada cerita apa entah.

Futur adalah satu perkataan yang saya baru belajar apabila menyertai geng tarbiah ini. Setelah saya menyelidik, ia bermaksud harfiahnya berhenti setelah berjalan. Kata lain pula jemu setelah berjalan. Moga moga saya tidak futur dalam dunia penulisan ini.

Baiklah. Mari saya ceritakan satu kisah yang saya dapat ketika saya membaca buku 'Jangan Hidup Jika Tak Memberi Manfaat' oleh Muhamad Yasir.



Raja Yang Peduli

Dikisahkan di sebuah negeri, terdapat seorang raja yang bijaksana lagi adil ingin menguji kepedulian rakyatnya.

Pada suatu hari raja itu meletakkan sebongkah batu betul-betul di tengah jalan tempat rakyatnya selalu lalui. Pasti hal ini akan menyusahkan orang yang lalu-lalang di jalan itu. Sengaja raja itu ingin melihat reaksi rakyat dengan eksperimennya itu.

Datangnya seorang petani membawa gerobak barang yang penuh. Dia terlihat bongkah batu itu lalu berkata, "Dasar orang di sini yang malas! Batu di tengah jalan dibiarkan sahaja!"

Petani itu membelok ke tepi, tidak mengendahkan langsung batu itu dan meneruskan perjalanannya.

Beberapa lama kemudian lalu seorang perajurit yang sedang bersenandung mengenang keberaniannya di medan perang. Kerana kealpaanya itu, dia tersandung dek batu itu dan hampir-hampir tersungkur. Lalu dia berteriak, "Sialan! Mengapa orang yang lalu-lalang di sini tidak mahu membuang batu keparat ini?"

Sekalipun mengeluh dan marah-marah, perajurit itu tidak mengambil tindakan langsung. Dia melangkah batu itu dan pergi sambil mulut masih menyumpah seranah.

Cahaya matahari makin menurun. Seorang pemuda miskin yang baru sahaja menghabiskan tugasnya berlalu di atas jalan yang terdapat batu itu. Dia terlihat batu itu. Dia berkata dalam hati, "Hari sudah ingin gelap. Jika ada yang melalui jalan ini pasti mereka sukar melihat batu ini. Batu ini akan memberi kesusahan kepada orang yang datang selepas aku."

Si miskin itu berusaha susah payah mengalihkan batu itu walaupun badannya sudah letih dek kerana telah bekerja seharian.

Apabila dia selesai mengubah bongkah batu itu dia terkejut melihat sesuatu benda di bawah batu itu. Terdapat satu peti berisi surat di dalamnya di bawah tempat bongkah batu itu tadi.

"Wahai rakyatku. Engkau adalah seorang yang prihatin yang telah memudahkan orang lain. Dengan ini aku memberikan kau 5 keping emas sebagai tanda penghargaan dari rajamu."

Terus pemuda miskin itu sujud syukur kerana merasa gembira. Dia pun memuji kedermawanan rajanya.

Dan berita ini tersebar luas ke seluruh pelusuk negeri. Raja telah berjaya mengajar erti pentingnya nilai ketekunan dan keprihatinan terhadap sesama insan, serta keberanian dalam menghadapi rintangan.
Berminat Baca

Innalillah kepada sahabatku

Berbual


Pagi tadi sedang saya mengajar tuisyen, saya mendapat khabar buruk tentang seorang sahabat saya kemalangan di UPM malam tadi. Kes langgar lari.

Entah mengapa saya terasa sayu hati mendapat berita itu. Jadi, menjalankan tanggungjawab sebagai seorang sahabat, saya ingin menziaharinya selepas habis bertugas. Baru pagi tadi juga dia check out dari hospital Serdang.

Namun, takdir Allah. Saya tidak kesampaian atas beberapa sebab yang mendatang. Dia kini pulang ke kampung bersama keluarga yang datan dari jauh.

Saya doakan moga Allah berikan kebaikan dan kesihatan kepadanya.

Beberapa ketika kemudian, saya tersentak. Hadis nabi yang bermaksud,

“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”
(HR Muslim)

berkumandang di telinga saya.

Inilah perasaan yang patut umat Islam ada apabila hal-hal kesakitan berlaku kepada saudaranya. Perasaan inilah yang patut kita rasakan apabila umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohingya dan terbaru di Afrika dianiaya.

Mereka diseksa dan dibunuh. Ia lebih teruk dan kejam berbanding kejadian yang saya dengar pagi tadi.

Ya Allah, berikanlah kekuatan, kesatuan dan sensiviti terhadap umat Islam di Malaysia tentang saudaranya termasuklah isu akidah yang menyerang di bumi Malaysia ini.

Dan saya akhiri ingatan saya dengan hadis yang bermaksud,

“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang hal ehwal kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka.”
Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia