Rabu, 31 Disember 2014

Ubat Terbaik Di Kala Bencana Hadir

Apabila berlaku bencana, bagaimanakah caranya menghiburkan hati yang lara? Kita lihat pada contoh terdekat kita. Palestin.
Palestin hancur dirodok Zionis laknatullah. Bangunan dan kebun banyak hancur.

Kanak-kanak, remaja dan belia mengalami kemurungan emosi. Mereka kosong. Emosi dan jiwa mereka kosong dan terganggu akibat peperangan yang berterusan.

Warga dewasa berfikir bagaimanakah caranya kita mengurang dan menghilangkan kerosakan emosi dan minda mereka ini?

Lalu mereka bina tapak permainan untuk anak-anak muda bersukan. Ya pemuda dan pemudi mereka terhibur tapi jiwa mereka masih kosong.

Akhirnya datanglah satu seruan yang membawa perubahan total kepada tiang bangsa Palestin. Mereka mendidik anak-anak mereka kembali kepada al-Quran. Mereka isi masa masa luang anak-anak mereka dengan al-Quran. Al-Quran dibaca, didendang, dan dihafal.

Kesannya, lihatlah sekarang. Jiwa-jiwa bangsa Palestin kembali bercahaya.

Kembalilah kepada alQuran. Dengar alQuran. Baca alQuran. Hafal alQuran. Dan, tadabbur (hayati) ayat-ayat yang menerangi dunia ini sehinggalah hari kiamat nanti.

Memuji Pada Keadaan Yang Betul

Saya pernah terkena akan hal berkenaan puji. Saya antara pengendali sebuah grup bertani di facebook. Di situ saya dan rakan-rakan menjaga kualiti grup dengan tidak membenarkan sebarang jualan.

Oleh kerana kami sudah mengatakan objektif grup itu untuk berkongsi tip dan trik berkebun, maka kami rasakan tidak perlu menulis ayat larangan menjual.

Tetapi tidak. Manusia rupanya tidak faham jika tiada ayat larangan.

Seorang Mak Cik, saya gelar MC Lin aktif berjual beli di dalam grup. Kami benarkan kerana perkongsian beliau tentang berkebun. Tetapi keaktifannya menjual melebihi berkongsi tip.

Ayatnya juga ada berunsur kurang enak dibaca. Beberapa ahli membuat laporan kepada kami.

Saya menghantar mesej peribadi mengatakan hal ini. Tahu apa yang saya dapat? Kata-kata makian yang mengatakan kenapa tak letak ayat larangan menjual?

Dan dari situlah saya dapat tahu bahawa niatnya menyertai grup hanyalah untuk berjual beli. Perkongsian tip dan trik bertani hanyalah sampingan. Memang dasar penjual tegar.

Saya cuba memuji dengan mendoakan agar beliau murah rezeki. Namun, beliau mentafsir ayat saya itu sebagai ayat sindirian. Lagilah mengamuk mak cik Lin kita. Aduh. Salah tempat rupanya saya ingin meredakan keadaan.

Saya sudah lihat grup FB yang sudah terkena dengan penjual tegar. Mereka tega menjual sampai hati kering untuk menjaga adab. Dan kami tidak mahu hal ini berlaku kepada grup ini.

Lalu kami akhirnya dengan berat hati meletakkan ayat larangan menjual. Dan sesiapa yang didapati menjual akan terus ditendang keluar dari grup. Tiada maaf bagimu.

Isnin, 29 Disember 2014

Bermain lumpur di bola padang

Saya semalam bermain lumpur bersama rakan-rakan. Lumpur ini hanyalah tambahan kepada permainan utama kami iaitu bola sepak.

Saya ini bukanlah pemain bola sepak unggul seperti Syafiq. Saya hanyalah seorang yang ingin mengenali diri ini. Untuk itu saya usahakan diri untuk bermain bola.

Dalam kotak kepala ini 1001 macam pemikiran saya muncul. "Adakah saya boleh bermain bola? Kalau saya dapat bola nanti nak buat apa? Apa orang fikir kalau saya tersalah tendang bola? Apa orang fikir kalau saya kejar bola tak dapat?"

Tangan saya menggeletar. Pemikiran-pemikiran kecil ini menyusup minda saya. Saya jadi takut. Kerana itu saya cuba merenggangkan badan ketika bermain bersama rakan-rakan.

Saya memakai baju berwarna putih. Ketika 20 minit di awal permainan, baju saya masih bersih. Hanya ada sedikit percikan lumpur terkena baju. Ketika itu Fansuri menjerit. Katanya saya ini masih bersih lagi. Tanda saya kurang beraksi.

Saya senyum sahaja. Saya rasa tergugat. Yelah. Dengan pelbagai kekuatan pemain yang ada, siapalah saya?

Saya lihat saya seperti kanak-kanak yang turut serta dalam permainan bola ini. Mereka mengejar bola tetapi tidak dapat menedang langsung.

Oh.Terus hati saya bergetar. Terus saya teringat memori saya bermain bola ketika di tingkatan 2. Saya benci memori itu. Saya benci rasa itu. Saya rasa tegang. Saya tidak dapat beraksi dengan baik.

Akhirnya saya menggagahkan diri untuk terus meluncur merampas bola.

Di sini saya dapat pengajaran. Apa yang berkisar di minda ini hanyalah mainan kisah dahulu. Saya telah menghadkan diri dan keupayaan saya untuk bermain bola hanya kerana kisah dahulu.

Walhal saya tidak patut memenjarakan diri saya ini untuk menikmati permainan bola sepak dengan gembiranya.

Kisah dahulu tidak akan berulang jika saya sendiri tidak melonjak memikirkannya sangat.

Saya terus menghalang dan menggelecet bola yang datang. Ah. Bolos. Satu gol masuk kerana kecuaian saya di hadapan tiang gol.

Ada yang menjerit kecewa memarahi kecuaian saya. Seperti biasa, saya kosong. Entah nak terasa apa, pun saya tak pasti. Saya tak tahu bertindak balas dengan kata-kata itu.

Fansuri cuba mengawal keadaan dengan mengarah saya pergi ke bahagian tengah pula.

Pemikiran saya mula memusat ke arah salah saya. Ah. Perasaan ketika di tingkatan 2 muncul kembali. Baru sahaja saya ingin menyahnya keluar.

Biarlah. Janji saya buat yang terbaik.

Pengajarannya, jangan sesekali terhadkan diri saya untuk perkara yang dahulu.

Jumaat, 19 Disember 2014

Pengakhir Hujung 2014

Pejam celik pejam celik sudah sampai penghujung 2014. Saya rasa bagaikan semalam saya baru menulis kisah hidup saya di awal Januari tahun ini. Cepat betul masa berlalu.

Terdapat pelbagai kisah yang telah saya lalui sepanjang 2014. Yang paling saya tak boleh lupa adalah apabila kawan baik saya sebenarnya adalah kaki putar belit cerita. Itu yang buat saya geram sampai sekarang. Tetapi bak kata Stephen R. Covey, jangan pusatkan pemikiran kamu kepada musuh kamu atau kamu akan hancur (lebih kurang begitulah). Jadi saya mahu lupakan sahaja peristiwa saya dan dia.

Baik. Kemudian peristiwa paling indah untuk tahun ini adalah saya berkahwin! Alhamdulillah! Aha. Ramai juga terkejut beruk mengetahui saya akan berkahwin ketika saya hantar kad jemputan elektronik. Zaman sekarang tak guna kad. Tapi ada juga kawan saya yang beria nak kad. Hampeh saya bagipun dia tak datang. Ceh. Saja je.

Yang terkejut itu ingat saya ini gay kah? Hahaha. Sampai saya kahwin pun boleh mengerut dahi mendengarnya.

Sedih jugalah. Beberapa kawan baik saya ketika di universiti tidak semua datang. Yang datang pula orang yang saya tak jangka datang. Itulah kehendak Allah. Apapun saya tak kisah sangat. Sekurang-kurangnya mereka tahu saya sudah berkahwin.

Memang mencabar kehidupan selepas berkahwin. Ada turun ada naiknya. Jadi sesiapa yang sudah berkahwin sahaja boleh cerita hal ini. Haha.

Nanti saya buat satu entri khas tentang ini. Setakat itu, ini sahajalah penyampaian saya yang kekok ini akibat sudah lama tidak menulis di blog.

Khamis, 4 Disember 2014

Pengajaran Daripada Pengalaman Memandu Kereta

Pengajaran Daripada Pengalaman Memandu Kereta

Saat seorang remaja berumur 17 tahun, dia sudah diberi kebenaran untuk mengambil lesen kereta. Saat itu bercampur baur perasaan saya. Adakah saya boleh memandu kereta?

Saya masih ingat lagi ketika Abang Cina datang mengambil saya di rumah untuk latihan memandu. Berdebar sungguh hati saya ketika itu. Masakan tidak saya memang tidak tahu memandu. Saya seorang anak yang taat dengan perintah abah. Saya tidak curi-curi memandu kereta. Saya takut mengambil risiko jika kereta rosak.

Apakan daya perasaan itu akhirnya memakan saya sehingga kini. Saya takut memandu.

Saya lebih selesa membonceng motorsikal. Itu adalah lebih mudah bagi saya. Senang untuk saya mencelah kiri dan kanan kereta. Senang untuk saya parkir motorsikal saya di tempat yang tidak berbayar. Ah indahnya itu.

Namun, kenikmatan itu bukanlah yang bagus. Ia membuatkan saya takut untuk mencuba. Dan kali ini saya memaksa diri saya untuk mencuba kembali apa yang saya takuti. Saya kembali memandu kereta demi orang tercinta.

Sudah genap 10 hari saya memandu hari ini. Semacam seriau untuk saya ceritakan pengalaman saya di sini. Seakan saya akan menipu diri sendiri jika saya mengubah cerita bahawa indah belaka pengalaman kali pertama memandu kereta.

Semua orang ada pengalaman. Dan pengalaman saya mungkin tidak seindah yang membaca ini.

Boleh dikatakan ini seperti memberi trauma kepada saya. Saya berhubung dengan biras saya akan hal ini. Dia hanya tergelak. "Insya-Allah lepas ini kamu akan lebih berhati-hati. Boleh parkir lipat la lepas ini."

Adeh. Saya tergelak membacanya. Memang memberi sokongan betul biras saya ini.

Bab saman pula kerana saya berhenti pada petak kuning. Ketika itu lampu isyarat sudah merah. Saya lihat ada celah untuk ke hadapan. Nampaknya tak cukup. Kereta terbehenti di atas petak kuning. Tak sampai 10 saat cermin tingkap kereta diketuk. Seorang lelaki berpakaian uniform mengarahkan saya memberi kad pengenalan dan lesen.

Aduh. Hati saya tak keruan. Yelah. Pertama kali kena saman. Balik itu saya telefon abah memohon konsultasinya. Abah kata jangan risau. Berikan sahaja nombor plat kereta pada Kein.

Esok paginya kes ini selesai. Saman dibayarkan oleh abah dengan saya berhutang sekian sekian pada abah.

Beberapa hari kemudian ketika sedang memandu di Kajang, cermin pandang tepi kiri terlanggar kereta apek. Saya gementar. Salah saya sebenarnya kerana cuai memandu. Saya masih lemah dalam mengagak lokasi tengah kereta di jalan raya.

Saya ingatkan kes itu selesai sahaja. Rupanya tidak. Selang beberapa minit sebuah kereta honda mengejar kami sambil menghon kuat. Saya sempat memandang sekejap. Muka apek tak puas hati sambil entah apa dia mencaci di dalam kereta mewahnya itu. Saya hanya mengangkat tangan kiri tanda memohon maaf.

Kemudian saya lihat kereta apek itu masuk ke simpang kiri. Sah. Dia mengejar saya semata-mata hendak menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Saya menelan air liur. Kesat.

Bab parkir masih lagi saya lemah. Saya masih tidak faham bagaimana sebuah kereta MyVi kecil boleh muat dalam sebuah petak parkir yang kecil.

Ketika hendak fotostat buku pasangan saya, saya pergi ke Pembina TS. Ketika itu saya lihat hanya ada sebuah petak parkir di bawah kawasan berbumbung. Saya gementar. Firasat saya mengatakan jangan tetapi minda saya kata boleh.

Dan begitulah ceritanya bagaimana kereta boleh mendapat calar besar di bahagian belakang kanan pintu penumpang. Saya rasa sangat bersalah kepada empunya kereta, iaitu pasangan saya. Maafkan saya. (sob sob)

Setelah 9 hari bergelumang dengan kereta saya mendapat satu saman, satu calar besar pada kanan pintu belakang kereta dan satu amaran keras daripada Apek kerana terlanggar cermin pandang belakang keretanya.

Mungkin trauma itu kekal ada tetapi saya tak boleh kekal dengannya.

Inilah dinamakan keluar dari zon selesa. Selama ini saya selesa dengan motorsikal. Kali inilah saya perlu selesa dengea