Sabtu, 18 Oktober 2014

Pandang atau Tolong?



Saya suka bercerita perkara semalam. Merujuk semalam tidak bermakna semalam itu pada sehari yang lepas. Ia mungkin merujuk beberapa hari yang lepas.

Jadi ceritanya semalam (memang semalam), saya dan kawan saya duduk duduk di dalam kereta sebelum berangkat pulang usai solat Jumaat.

Kala itu kami melihat sebuah kereta pacuan 4 roda yang besar gagah tersangkut di kawasan berlumpur. Seorang menolak di bontot kereta manakala seorang lagi memulas enjin. Entah cerita bagaimana mereka parkir di situ jangan tanya saya.

Kami lihat ramai lagi orang di situ. Fikir saya, mungkin akan ada yang akan membantu. Kami tunggu. Terus tunggu. Kemudian saya berbicara, "Itulah rakyat Malaysia. Tahu tengok sahaja. Punyalah banyak kereta aku lihat parkir di sini. Masing-masing buat tak tahu sahaja."

Terus kawan saya keluar dari kereta berjalan menuju ke arah empunya yang sedang sibuk mengelilingi kereta pacuan empat roda itu. Kawan saya pun berkata, "Dah tu, kamu pun tengok juga ka?"

Adeh. Saya terasa.

Saya pun turun membantu. Kudrat kami berdua ini tidak mampu menolak kereta itu. Saya sudah tahu lama. Lihatlah badan kami yang kering ini. Nanti saya ceritakan mengapa.

Sedang kami membantu itu, saya lihat satu per satu kereta lalu. Seperti ada hijab yang menutup mereka menolong 2 insan ini setelah kami berdua datang membantu.

Saya lihat nun di hujung bersebelahan kereta kawan saya itu sebuah kereta dengan penghuni di dalamnya. Saya pelik. Adakah mereka juga seperti saya tadi? Ternanti-nanti diminta pertolongan?Kami abaikan sahaja kerana mungkin mereka sedang bersiap untuk sambung kerja. Terlalu sibuk untuk membantu kami.

Apabila dua cinta bertaut di seuntai tali.

Sedang kami berhempas pulas seperti Allah mendengar rintihan kami. Seorang pak cik berjambang datang membantu. Namun, pertolongan pak cik itu gagal kerana kereta jipnya tiada alat untuk menarik kereta jip insan malang ini.

Ini pun kena dua orang pulas ka? Nampak sangat cekeding kami ini.

40 minit kemudian datang pula dua orang lelaki membantu. Dengan kudrat kami semua, akhirnya berjaya ditolak kereta itu keluar dari kemelut yang melanda. Alhamdulillah.

Kami kembali ke kereta. Kereta yang tadi parkir di hujung rupanya ada manusia. Yang penumpangnya lelaki kuat sasa badannya (fizikalnya). 4 orang gitu.

Masyarakat. Apakah yang mereka fikirkan? Hanya menunggu dan lihat sahaja orang dalam kesusahan? Walhal tahu boleh tolong.

Lain kali saya tahu nak buat apa jika ada masalah kereta. Orang kita kena panggil baru tolong.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon