Dengarnya Bunyi Biawak

Berbual
Pin It
Dalam hidup ini, terdapat banyak perkara saya kesali. Saya kesali saya tidak jadi pandai semasa kecil. Saya kesali saya tidak berkawan dengan baik. Saya kesali kerana tidak solat sempurna dahulu.

Dan apa yang saya kesali kini adalah berjumpa dan mengetahui sifat sebenar Johari. Saya telah berkawan dengan Johari semenjak saya di tahun kedua di UPM.

Orangnya bagi saya tidaklah kacak. Hanya sedang sedang sahaja. Peramah dan suka berbicara. Saya seronok bersamanya bersembang.

Tetapi bagaikan peristiwa dahulu, langit tak semestinya sentiasa cerah.

Tembelang Johari akhirnya pecah. Perangai sebenarnya meresap masuk ke telinga saya. Puan Za sangat baik dengan saya.

Suatu hari beliau sedikit gementar untuk memberitahu saya sebuah cerita. Saya kata tak mengapa. Cerita sahajalah. Saya berfikiran terbuka.

Dan beliau bercerita tentang apa yang telah Johari buat pada Tadika tempat Johari mengajar. Aduh! Bagaikan ada jarum jarum halus menusuk hati saya. Mana taknya. Saya yang memperkenal Johari kepada Puan Za!

Ia bagaikan saya memperkenalkan seorang perompak kepada Puan Za. Johari mengambil kesempatan atas kebaikan Puan Za. Selalu ponteng kerja atas alasan bekerja di UPM. Mengambil barangan-baranga di Tadika dan mengaku haknya.

Saya selama ini tidak sangka Johari mempunyai sifat-sifat seorang pencuri.

Ya saya pernah mendengar pantun

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama lama mencuri.

Tak sangka perkara itu berlaku di hadapan mata saya sendiri.

Hendak dijadikan cerita, saya terbaca sebuah kisah oleh Tuan Osman Affan. Kisahnya berkaitan bagaimana Tuan Osman Affan ditikam belakang oleh pekerja yang dipercayainya.

Dan siapa sangka perangai pekerjanya itu sama seperti Johari! Bermulut manis di hadapan bos. Datang kerja selalu sahaja lewat. Tapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.

Saya terpempan. Terus saya kongsikan kisah itu kepada Puan Za.

Puan Za memberitahu bahawa Johari telah selamat untuk berpindah kerja. Saya lega. Seperti ada beban yang terangkat di atas bahu saya.

Beberapa hari sebelum Johari berhenti, dia mengajak saya bertandang ke rumahnya di Sri Serdang.

Kami biasa membuat aktiviti Pillow Talk. Kali ini tiba giliran Johari membuka pekung di dada. Aduh! Dia mengutuk Puan Za dan tadikanya!

Jelas, jika di hadapan saya dia sudah mengutuk orang lain, masakan tidak dia tidak pernah atau akan mengutuk saya pula? Dasar orang lidah biawak!

Saya terkesan. Akhirnya saya setuju dan mengakui apa yang Puan Za katakan. Saya akhirnya menjarakkan diri saya daripada Johari.

Saya tak mahu terpalit dengan orang sebegini rupa. Di hadapan kita alim alim kucing sahaja.

Saya adalah orang teraniaya terhadap segala cerita dusta yang dia sampaikan. Dan untuk itu terus saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, bersihkan hati kawanku, Jo, daripada kejahatan mulut yang cabul. Jadikanlah dia seorang yang bercakap benar walaupun pahit. Jadikanlah dia orang yang sentiasa bercakap jujur walau dalam apa keadaan pun. Amiin."

Kerana doa orang teraniaya itu makbul. Amiin.
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 mengomel:

Catat Ulasan

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia