Ahad, 4 Mei 2014

Menasihati Diri Sendiri

Nasihat Umar al-Khatab

Dalam kehidupan ini kita sering lupa. Ya lupa. Lupa nak makan, lupa nak menonton televisyen malahan lupa nak minum!

Dalam kelupaan itu, kita selalu perlukan peringatan. Di sini saya lihat di mana perlunya nasihat. Nasihat ini dibahagikan kepada dua. Nasihat daripada orang dan nasihat untuk diri sendiri.

Saya terus terang saya tak suka beri nasihat. Saya jika bagi nasihat, ia ibarat arahan. Saya mahu orang itu berubah mengikut nasihat saya. Lama-kelamaan membuatkan saya benci memberi nasihat kerana tiada perubahan pada orang yang saya berikan nasihat.

Saya kata saya hanya berkongsi pengalaman. Namun, jauh di sudut hati saya sedar itu bukanlah yang terbaik.

Baru tadi saya mengajar seorang pelajar tuisyen saya mendapat idea. Nasihat diberi bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri. Bukankah telinga yang memberi itu lebih dekat berbanding telinga orang lain?

Lalu, saya dapat mengenalpasti bahawa jika saya ingin memberi nasihat, saya kena pastikan bahawa nasihat itu juga untuk diri saya. Barulah saya mengerti maksud kawan-kawan saya bahawa nasihat ini lebih kepada diri sendiri dan bukannya orang lain.

Kita tak mahu nanti di akhirat kita menjadi golongan pertama yang masuk neraka. Dan ketika orang yang kita nasihatkan terkejut dengan kita. "Bukankah kau yang menasihati aku dahulu?"

Saya tidak mahu tunduk malu dan berkata, "Aku sampaikan tetapi aku tidak amalkan."

Aduh! Itu satu kecelakaan kepada saya yang selalu memberi nasihat ini nanti. Justeru itu saya muhasabah diri ini apakah niat saya memberi nasihat. Adakah ingin saya mendapat pahala orang itu berubah atau ingin mengubah diri saya sendiri pula?

Hal ini sama juga dengan saya menulis di blog. Adakah saya ingin mengubah diri dan menjadi pesan kepada saya atau saya hanya memberi omong kosong tanpa ada tindakan?

Tepuk dada, tanya selera.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon