Ubat Terbaik Di Kala Bencana Hadir

Berbual
Apabila berlaku bencana, bagaimanakah caranya menghiburkan hati yang lara? Kita lihat pada contoh terdekat kita. Palestin.
Palestin hancur dirodok Zionis laknatullah. Bangunan dan kebun banyak hancur.

Kanak-kanak, remaja dan belia mengalami kemurungan emosi. Mereka kosong. Emosi dan jiwa mereka kosong dan terganggu akibat peperangan yang berterusan.

Warga dewasa berfikir bagaimanakah caranya kita mengurang dan menghilangkan kerosakan emosi dan minda mereka ini?

Lalu mereka bina tapak permainan untuk anak-anak muda bersukan. Ya pemuda dan pemudi mereka terhibur tapi jiwa mereka masih kosong.

Akhirnya datanglah satu seruan yang membawa perubahan total kepada tiang bangsa Palestin. Mereka mendidik anak-anak mereka kembali kepada al-Quran. Mereka isi masa masa luang anak-anak mereka dengan al-Quran. Al-Quran dibaca, didendang, dan dihafal.

Kesannya, lihatlah sekarang. Jiwa-jiwa bangsa Palestin kembali bercahaya.

Kembalilah kepada alQuran. Dengar alQuran. Baca alQuran. Hafal alQuran. Dan, tadabbur (hayati) ayat-ayat yang menerangi dunia ini sehinggalah hari kiamat nanti.
Berminat Baca

Memuji Pada Keadaan Yang Betul

Berbual
Saya pernah terkena akan hal berkenaan puji. Saya antara pengendali sebuah grup bertani di facebook. Di situ saya dan rakan-rakan menjaga kualiti grup dengan tidak membenarkan sebarang jualan.

Oleh kerana kami sudah mengatakan objektif grup itu untuk berkongsi tip dan trik berkebun, maka kami rasakan tidak perlu menulis ayat larangan menjual.

Tetapi tidak. Manusia rupanya tidak faham jika tiada ayat larangan.

Seorang Mak Cik, saya gelar MC Lin aktif berjual beli di dalam grup. Kami benarkan kerana perkongsian beliau tentang berkebun. Tetapi keaktifannya menjual melebihi berkongsi tip.

Ayatnya juga ada berunsur kurang enak dibaca. Beberapa ahli membuat laporan kepada kami.

Saya menghantar mesej peribadi mengatakan hal ini. Tahu apa yang saya dapat? Kata-kata makian yang mengatakan kenapa tak letak ayat larangan menjual?

Dan dari situlah saya dapat tahu bahawa niatnya menyertai grup hanyalah untuk berjual beli. Perkongsian tip dan trik bertani hanyalah sampingan. Memang dasar penjual tegar.

Saya cuba memuji dengan mendoakan agar beliau murah rezeki. Namun, beliau mentafsir ayat saya itu sebagai ayat sindirian. Lagilah mengamuk mak cik Lin kita. Aduh. Salah tempat rupanya saya ingin meredakan keadaan.

Saya sudah lihat grup FB yang sudah terkena dengan penjual tegar. Mereka tega menjual sampai hati kering untuk menjaga adab. Dan kami tidak mahu hal ini berlaku kepada grup ini.

Lalu kami akhirnya dengan berat hati meletakkan ayat larangan menjual. Dan sesiapa yang didapati menjual akan terus ditendang keluar dari grup. Tiada maaf bagimu.
Berminat Baca

Bermain lumpur di bola padang

2 bualan
Saya semalam bermain lumpur bersama rakan-rakan. Lumpur ini hanyalah tambahan kepada permainan utama kami iaitu bola sepak.

Saya ini bukanlah pemain bola sepak unggul seperti Syafiq. Saya hanyalah seorang yang ingin mengenali diri ini. Untuk itu saya usahakan diri untuk bermain bola.

Dalam kotak kepala ini 1001 macam pemikiran saya muncul. "Adakah saya boleh bermain bola? Kalau saya dapat bola nanti nak buat apa? Apa orang fikir kalau saya tersalah tendang bola? Apa orang fikir kalau saya kejar bola tak dapat?"

Tangan saya menggeletar. Pemikiran-pemikiran kecil ini menyusup minda saya. Saya jadi takut. Kerana itu saya cuba merenggangkan badan ketika bermain bersama rakan-rakan.

Saya memakai baju berwarna putih. Ketika 20 minit di awal permainan, baju saya masih bersih. Hanya ada sedikit percikan lumpur terkena baju. Ketika itu Fansuri menjerit. Katanya saya ini masih bersih lagi. Tanda saya kurang beraksi.

Saya senyum sahaja. Saya rasa tergugat. Yelah. Dengan pelbagai kekuatan pemain yang ada, siapalah saya?

Saya lihat saya seperti kanak-kanak yang turut serta dalam permainan bola ini. Mereka mengejar bola tetapi tidak dapat menedang langsung.

Oh.Terus hati saya bergetar. Terus saya teringat memori saya bermain bola ketika di tingkatan 2. Saya benci memori itu. Saya benci rasa itu. Saya rasa tegang. Saya tidak dapat beraksi dengan baik.

Akhirnya saya menggagahkan diri untuk terus meluncur merampas bola.

Di sini saya dapat pengajaran. Apa yang berkisar di minda ini hanyalah mainan kisah dahulu. Saya telah menghadkan diri dan keupayaan saya untuk bermain bola hanya kerana kisah dahulu.

Walhal saya tidak patut memenjarakan diri saya ini untuk menikmati permainan bola sepak dengan gembiranya.

Kisah dahulu tidak akan berulang jika saya sendiri tidak melonjak memikirkannya sangat.

Saya terus menghalang dan menggelecet bola yang datang. Ah. Bolos. Satu gol masuk kerana kecuaian saya di hadapan tiang gol.

Ada yang menjerit kecewa memarahi kecuaian saya. Seperti biasa, saya kosong. Entah nak terasa apa, pun saya tak pasti. Saya tak tahu bertindak balas dengan kata-kata itu.

Fansuri cuba mengawal keadaan dengan mengarah saya pergi ke bahagian tengah pula.

Pemikiran saya mula memusat ke arah salah saya. Ah. Perasaan ketika di tingkatan 2 muncul kembali. Baru sahaja saya ingin menyahnya keluar.

Biarlah. Janji saya buat yang terbaik.

Pengajarannya, jangan sesekali terhadkan diri saya untuk perkara yang dahulu.
Berminat Baca

Pengakhir Hujung 2014

1 bualan
Pejam celik pejam celik sudah sampai penghujung 2014. Saya rasa bagaikan semalam saya baru menulis kisah hidup saya di awal Januari tahun ini. Cepat betul masa berlalu.

Terdapat pelbagai kisah yang telah saya lalui sepanjang 2014. Yang paling saya tak boleh lupa adalah apabila kawan baik saya sebenarnya adalah kaki putar belit cerita. Itu yang buat saya geram sampai sekarang. Tetapi bak kata Stephen R. Covey, jangan pusatkan pemikiran kamu kepada musuh kamu atau kamu akan hancur (lebih kurang begitulah). Jadi saya mahu lupakan sahaja peristiwa saya dan dia.

Baik. Kemudian peristiwa paling indah untuk tahun ini adalah saya berkahwin! Alhamdulillah! Aha. Ramai juga terkejut beruk mengetahui saya akan berkahwin ketika saya hantar kad jemputan elektronik. Zaman sekarang tak guna kad. Tapi ada juga kawan saya yang beria nak kad. Hampeh saya bagipun dia tak datang. Ceh. Saja je.

Yang terkejut itu ingat saya ini gay kah? Hahaha. Sampai saya kahwin pun boleh mengerut dahi mendengarnya.

Sedih jugalah. Beberapa kawan baik saya ketika di universiti tidak semua datang. Yang datang pula orang yang saya tak jangka datang. Itulah kehendak Allah. Apapun saya tak kisah sangat. Sekurang-kurangnya mereka tahu saya sudah berkahwin.

Memang mencabar kehidupan selepas berkahwin. Ada turun ada naiknya. Jadi sesiapa yang sudah berkahwin sahaja boleh cerita hal ini. Haha.

Nanti saya buat satu entri khas tentang ini. Setakat itu, ini sahajalah penyampaian saya yang kekok ini akibat sudah lama tidak menulis di blog.
Berminat Baca

Pengajaran Daripada Pengalaman Memandu Kereta

1 bualan
Pengajaran Daripada Pengalaman Memandu Kereta

Saat seorang remaja berumur 17 tahun, dia sudah diberi kebenaran untuk mengambil lesen kereta. Saat itu bercampur baur perasaan saya. Adakah saya boleh memandu kereta?

Saya masih ingat lagi ketika Abang Cina datang mengambil saya di rumah untuk latihan memandu. Berdebar sungguh hati saya ketika itu. Masakan tidak saya memang tidak tahu memandu. Saya seorang anak yang taat dengan perintah abah. Saya tidak curi-curi memandu kereta. Saya takut mengambil risiko jika kereta rosak.

Apakan daya perasaan itu akhirnya memakan saya sehingga kini. Saya takut memandu.

Saya lebih selesa membonceng motorsikal. Itu adalah lebih mudah bagi saya. Senang untuk saya mencelah kiri dan kanan kereta. Senang untuk saya parkir motorsikal saya di tempat yang tidak berbayar. Ah indahnya itu.

Namun, kenikmatan itu bukanlah yang bagus. Ia membuatkan saya takut untuk mencuba. Dan kali ini saya memaksa diri saya untuk mencuba kembali apa yang saya takuti. Saya kembali memandu kereta demi orang tercinta.

Sudah genap 10 hari saya memandu hari ini. Semacam seriau untuk saya ceritakan pengalaman saya di sini. Seakan saya akan menipu diri sendiri jika saya mengubah cerita bahawa indah belaka pengalaman kali pertama memandu kereta.

Semua orang ada pengalaman. Dan pengalaman saya mungkin tidak seindah yang membaca ini.

Boleh dikatakan ini seperti memberi trauma kepada saya. Saya berhubung dengan biras saya akan hal ini. Dia hanya tergelak. "Insya-Allah lepas ini kamu akan lebih berhati-hati. Boleh parkir lipat la lepas ini."

Adeh. Saya tergelak membacanya. Memang memberi sokongan betul biras saya ini.

Bab saman pula kerana saya berhenti pada petak kuning. Ketika itu lampu isyarat sudah merah. Saya lihat ada celah untuk ke hadapan. Nampaknya tak cukup. Kereta terbehenti di atas petak kuning. Tak sampai 10 saat cermin tingkap kereta diketuk. Seorang lelaki berpakaian uniform mengarahkan saya memberi kad pengenalan dan lesen.

Aduh. Hati saya tak keruan. Yelah. Pertama kali kena saman. Balik itu saya telefon abah memohon konsultasinya. Abah kata jangan risau. Berikan sahaja nombor plat kereta pada Kein.

Esok paginya kes ini selesai. Saman dibayarkan oleh abah dengan saya berhutang sekian sekian pada abah.

Beberapa hari kemudian ketika sedang memandu di Kajang, cermin pandang tepi kiri terlanggar kereta apek. Saya gementar. Salah saya sebenarnya kerana cuai memandu. Saya masih lemah dalam mengagak lokasi tengah kereta di jalan raya.

Saya ingatkan kes itu selesai sahaja. Rupanya tidak. Selang beberapa minit sebuah kereta honda mengejar kami sambil menghon kuat. Saya sempat memandang sekejap. Muka apek tak puas hati sambil entah apa dia mencaci di dalam kereta mewahnya itu. Saya hanya mengangkat tangan kiri tanda memohon maaf.

Kemudian saya lihat kereta apek itu masuk ke simpang kiri. Sah. Dia mengejar saya semata-mata hendak menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Saya menelan air liur. Kesat.

Bab parkir masih lagi saya lemah. Saya masih tidak faham bagaimana sebuah kereta MyVi kecil boleh muat dalam sebuah petak parkir yang kecil.

Ketika hendak fotostat buku pasangan saya, saya pergi ke Pembina TS. Ketika itu saya lihat hanya ada sebuah petak parkir di bawah kawasan berbumbung. Saya gementar. Firasat saya mengatakan jangan tetapi minda saya kata boleh.

Dan begitulah ceritanya bagaimana kereta boleh mendapat calar besar di bahagian belakang kanan pintu penumpang. Saya rasa sangat bersalah kepada empunya kereta, iaitu pasangan saya. Maafkan saya. (sob sob)

Setelah 9 hari bergelumang dengan kereta saya mendapat satu saman, satu calar besar pada kanan pintu belakang kereta dan satu amaran keras daripada Apek kerana terlanggar cermin pandang belakang keretanya.

Mungkin trauma itu kekal ada tetapi saya tak boleh kekal dengannya.

Inilah dinamakan keluar dari zon selesa. Selama ini saya selesa dengan motorsikal. Kali inilah saya perlu selesa dengea
Berminat Baca

Komitmen

Berbual
"Aku tak rasa kamu akan ada komitmen dalam kehidupan kamu, Fakrul." Saya berkata sambil memandang di luar kawasan ladang sawit UPM.

"Mana hang tau? Perubahan dalam diri ini aku jela tau. Aku baca buku Antony Robin!" Fakrul membalas balik kata-kata saya.

Bukan apa. Saya kadang sangat geram dengan perangai Fakrul. Ada sahaja benda yang dia nak buat. Tetapi entah apa benda dia buat saya pun tak tahu. Bayangkan. Dia telah mengikat janji dengan saya untuk hadir satu program tarbiah.

Esoknya dia mesej saya mengatakan tak boleh atas alasan ada kawan dia dari jauh datang. Ha!?

Wat de heck?

Itu alasan yang sangat lemah. Sekarang dunia telefon pintar. Mengapa nak terlalu bermesra dengan rakan yang hanya datang untuk temuduga? Walhal kamu telah mengikat janji?

Saya geram. Saya terus lontarkan hadis dan ayat al-Quran berkaitan janji.

Seperti saya agak, Fakrul akhirnya mengalah dengan jawapan saya. Dia datang juga ke program tarbiah itu. Niat saya hanya untuk menyedarkan Fakrul untuk mendahulukan mana yang dahulu dan mana yang penting.

Dia ini kadang terlalu baik hati. Dan bagi saya kadang itu terlalu naif dalam menentukan kepentingan hidupnya.

"Habis tu? Dalam seminggu kamu gunakan berapa jam untuk buat master? Dalam seminggu ada berapa jam setelah tolak makan tidur? Katakan lah 12 jam digunakan secara berleluasa. Kita darabkan dengan 7 hari. Kamu akan ada 84 jam. Takkan lah dalam masa 84 jam kamu itu tidak langsung boleh diluangkan 1 jam untuk kita berdiskusi.

Come on. Tetapkan pendirian. Ini adalah salah satu latihan diri kamu Fakrul dan aku. Kita sama-sama menetapkan komitmen dalam kehidupan. Ya ia nampak sikit tetapi kesannya besar. Kalau kamu tak dapat nak meletakkan komitmen hanya satu jam ini, bilakan masa kamu dapat tetapkan komitmen untuk hal-hal besar lagi?"

Saya meluahkan segala rasa. Apakan daya. Saya hanya mampu bersembang dengannya begini. Jika tiada orang beritahu hal ini, saya yakin Fakrul akan terus lena dengan mimpi-mimpinya bersama pakar motivasi pujaannya, si Antony Robin.

Suasana hening seketika. Saya tahu inilah masa si Fakrul cuba muhasabah diri. Entah betul entah tak jawapan apa dia akan beri.

Kereta yang dipandunnya terus bergerak menaiki bukit di ladang sawit UPM ini.

"Ok. Hari Isnin. 1 jam bincang buku Stephen R Covey." Jawab Fakrul ringkas.

Dan oleh itu, kami telah menetapkan setiap Isnin, selama 1 jam akan kami berdiskusi hal-hal buku 7 habits of Highly Effective People.
Berminat Baca

Pemanduan Kereta MyVi di Kajang

Berbual
Huh? Skema tak tajuknya? Aha. Kali ini saya sudah mula ingin bercerita di blog. Sudah lama meninggalkan blog kerana kesibukan apa enta.

Tadi saya memandu kereta MyVi. Buat pertama kalinya saya boleh katakan alhamdulillah. Selamat! Dari Putrajaya terus ke Hospital Kajang. Allah permudahkan jalan kerana tidak sesak. Kenapa? Kerana saya menghantar orang. heh. 20 minit sahaja perjalanannya.

Cuak juga semasa memandu. Yelah. Saya selalu didoktrinkan nak bawa kereta ini perlu cekap. Hal itu membuatkan saya rasa takut untuk memandu kereta.

Kemudian saya mendapat jaminan daripada pasangan saya. Katanya ok je. Haha. Saya pun ok je la apabila orang sudah kata begitu.

Tetapi hal lain pula berlaku. Oleh kerana terlalu seronok memandu kereta, ketika parkir, saya terlupa menutup lampu hadapan kereta. Sudah. 2 jam sahaja saya tertinggal, kereta sudah tidak boleh dihidupakan.

Terpaksa saya menelefon abang Mahmud. Nasib baik abang Mahmud baik menolong saya. Saya doakan moga Allah sentiasa membukap pintu rezeki kepadanya.

Ok. Saya dapat simpulkan membawa kereta tidak susah. Yang penting ada brek. Tekan sahaja brek kalau ada masalah.
Berminat Baca

Kekok di Lif

Berbual
Putrajaya Kekok di Lif


Saya tinggal di aparment 17 tingkat. Di sini kehidupan tidak seperti di rumah atas tanah. Dunia kami hanya berkisar antara rumah dan tempat parkir kereta. Tidak lebih tidak kurang. Jiran-jiran tidaklah begitu dikenali. Kami bagaikan terhilang komunikasi saat pintu rumah dikatup rapat.

Entahlah. Mungkin itulah suasana hidup di rumah apartment di Putrajaya ini.

Ceritanya untuk naik ke rumah saya yang bertingkat 12 ini perlulah dengan lif. Jika dengan menaiki tangga, alamatnya badan saya sudah berbau ketika turun dari rumah sehingga ke motorsikal.

Apabila masuk lif dan tiba-tiba ada kelibat manusia lain memang akan menimbulkan rasa kekok. Kebanyakannya mengamalkan sikap nafsi nafsi atau kata Melayunya sendiri sendiri. Hanya senyuman dapat dilemparkan. Itupun jika ada yang berbalas.

Sedang saya menunggu lif ke peringkat bawah, tetiba lif berbunyi. Ah. Sudah sampai. Terus saya keluar. Kemudian saya terhenti. Eh? Mengapa suasana sekitar berlainan sungguh.

Mata saya terbuntang. Alamak! Masih di tingkat satu. Budak jahanam mana main tekan butang lif ini, hati saya memaki. Sudah sekarang saya perlu berpatah balik ke lif.

Pintu lif terbuka. Rupanya abang yang naik sama sekali tersenyum sahaja. Dia mungkin mengerti perasaan saya. Saya buat tak tahu sahaja. Cubaan mengawal kemaluan saya ini. Hohoho.

Sampai sahaja di tingkat bawah terus saya memecut ke motorsikal. Nasib baik abang itu ke arah lain. Huh.

Beberapa ketika saya bersembang dengan adik saya. Rupanya bukan saya seorang mengalami begitu. Adik saya pun pernah terkena. Kami sama-sama tergelak mengingatkan peristiwa ini.

Hendak dijadikan cerita, kes ini berulang lagi di hadapan mata saya. Kali ini bukan ke atas diri saya tetapi pada seorang kakak yang saya tak kenali.

Hohoho.

Begitulah rasanya apabila terlalu kusyuk memandang pintu lif dan bukannya nombor yang bergerak.
Berminat Baca

Meminati bola sepak?

2 bualan
Saya tidak berminat bola sepak. Bola sepak adalah permainan untuk orang yang suka bola. Halnya saya tidak bermain bola kerana pernah saya dibuli ketika bermain bola.

Saya masih ingat lagi peristiwa di tingkatan satu. Ketika itu saya naif sekali. Saya jenis bertindak balas atas hal yang berlaku kepada saya ketika itu. Jika tiada rakan mengajak saya bermain bola bersama maka saya hanya tercegat di tiang gol.

Hal ini menyebabkan saya rasa seperti tersisih. Yelah. Tiada siapa yang ingin mengajar saya bermain bola sepak.

Namun tidak bermakna saya membenci bola sepak. Cuma peristiwa itu memberi kesan pada psikologi saya. Saya akan berasa rendah diri tatkala bermain bola sepak bersama rakan-rakan.

Petang tadi saya baru sahaja selesai melakukan kem perkhemahan selama 3 malam 3 hari di Kuala Kubu Bharu.

Sedang saya mengikut belakang kawan saya Baem, dia ditegur Arif berkenaan apps keputusan permainan bola sepak dunia.

"Aku tak minat pun main bola. Aku lebih kepada badminton," kata Baem.

Arif menunjukkan muka pelik. "Habis tu kenapa install apps ni?"

"Terpaksa."

Kami berjalan menuju ke surau.

"Apabila aku bersama rakan-rakan kelas aku tak faham mereka sembang apa. Majoriti sembang pasal bola sepak. Nak tak nak sekurangnya aku kena tahu pasal apa mereka sembang. Barulah aku boleh masuk dengan mereka."

Kami menghampiri surau.

"Sama macam aku. Alah. Asalkan kita tahu serba sedikit keputusan permainan bola, lepas tu kita diam je. Nanti mereka yang lebih pula bercakap." Amer menyampuk.

Baem mengangguk.

Sesuatu yang baru saya tahu. Adakah saya juga perlu mempelajari hal-hal bola untuk turut masuk bersama kawan-kawan?
Berminat Baca

Pengendalian Fitrah Media Sosial

Berbual
Memahami fitrah sesuatu benda akan memudahkan kerja dalam pengurusan.

Saya mula terfikir hal ini apabila terbaca satu artikel tentang penggunaan sosial media. Secara fitrahnya, sosial media berfungsi untuk menghubungkan seseorang dengan kumpulan sosialnya.

Setiap medium sosial media ada 'natural' nya tersendiri.

Kita ambil contoh medium Facebook group. Sangat-sangat susah nak scroll down info terdahulu. Terutama jika tiga hari tidak buka FB (contohnya di grup Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri)

Begitu juga dengan Whatsapp/Telegram.

Terdapat beberapa trik yang saya gunakan agar pengurusan media sosial ini dapat digunakan sepenuhnya.

Di Facebook group, saya sebolehnya jika ternampak post yang tidak dijawab, saya akan cuba sedaya upaya untuk menjawab. Jika tidak pun, saya akan tag mana-mana nama yang saya tahu mempunyai ilmu dalam pertanyaan itu.



Berminat Baca

Menulis dan Melukis Sastera?

Berbual
Berminat Baca

Pandang atau Tolong?

Berbual


Saya suka bercerita perkara semalam. Merujuk semalam tidak bermakna semalam itu pada sehari yang lepas. Ia mungkin merujuk beberapa hari yang lepas.

Jadi ceritanya semalam (memang semalam), saya dan kawan saya duduk duduk di dalam kereta sebelum berangkat pulang usai solat Jumaat.

Kala itu kami melihat sebuah kereta pacuan 4 roda yang besar gagah tersangkut di kawasan berlumpur. Seorang menolak di bontot kereta manakala seorang lagi memulas enjin. Entah cerita bagaimana mereka parkir di situ jangan tanya saya.

Kami lihat ramai lagi orang di situ. Fikir saya, mungkin akan ada yang akan membantu. Kami tunggu. Terus tunggu. Kemudian saya berbicara, "Itulah rakyat Malaysia. Tahu tengok sahaja. Punyalah banyak kereta aku lihat parkir di sini. Masing-masing buat tak tahu sahaja."

Terus kawan saya keluar dari kereta berjalan menuju ke arah empunya yang sedang sibuk mengelilingi kereta pacuan empat roda itu. Kawan saya pun berkata, "Dah tu, kamu pun tengok juga ka?"

Adeh. Saya terasa.

Saya pun turun membantu. Kudrat kami berdua ini tidak mampu menolak kereta itu. Saya sudah tahu lama. Lihatlah badan kami yang kering ini. Nanti saya ceritakan mengapa.

Sedang kami membantu itu, saya lihat satu per satu kereta lalu. Seperti ada hijab yang menutup mereka menolong 2 insan ini setelah kami berdua datang membantu.

Saya lihat nun di hujung bersebelahan kereta kawan saya itu sebuah kereta dengan penghuni di dalamnya. Saya pelik. Adakah mereka juga seperti saya tadi? Ternanti-nanti diminta pertolongan?Kami abaikan sahaja kerana mungkin mereka sedang bersiap untuk sambung kerja. Terlalu sibuk untuk membantu kami.

Apabila dua cinta bertaut di seuntai tali.

Sedang kami berhempas pulas seperti Allah mendengar rintihan kami. Seorang pak cik berjambang datang membantu. Namun, pertolongan pak cik itu gagal kerana kereta jipnya tiada alat untuk menarik kereta jip insan malang ini.

Ini pun kena dua orang pulas ka? Nampak sangat cekeding kami ini.

40 minit kemudian datang pula dua orang lelaki membantu. Dengan kudrat kami semua, akhirnya berjaya ditolak kereta itu keluar dari kemelut yang melanda. Alhamdulillah.

Kami kembali ke kereta. Kereta yang tadi parkir di hujung rupanya ada manusia. Yang penumpangnya lelaki kuat sasa badannya (fizikalnya). 4 orang gitu.

Masyarakat. Apakah yang mereka fikirkan? Hanya menunggu dan lihat sahaja orang dalam kesusahan? Walhal tahu boleh tolong.

Lain kali saya tahu nak buat apa jika ada masalah kereta. Orang kita kena panggil baru tolong.
Berminat Baca

Dengarnya Bunyi Biawak

Berbual
Dalam hidup ini, terdapat banyak perkara saya kesali. Saya kesali saya tidak jadi pandai semasa kecil. Saya kesali saya tidak berkawan dengan baik. Saya kesali kerana tidak solat sempurna dahulu.

Dan apa yang saya kesali kini adalah berjumpa dan mengetahui sifat sebenar Johari. Saya telah berkawan dengan Johari semenjak saya di tahun kedua di UPM.

Orangnya bagi saya tidaklah kacak. Hanya sedang sedang sahaja. Peramah dan suka berbicara. Saya seronok bersamanya bersembang.

Tetapi bagaikan peristiwa dahulu, langit tak semestinya sentiasa cerah.

Tembelang Johari akhirnya pecah. Perangai sebenarnya meresap masuk ke telinga saya. Puan Za sangat baik dengan saya.

Suatu hari beliau sedikit gementar untuk memberitahu saya sebuah cerita. Saya kata tak mengapa. Cerita sahajalah. Saya berfikiran terbuka.

Dan beliau bercerita tentang apa yang telah Johari buat pada Tadika tempat Johari mengajar. Aduh! Bagaikan ada jarum jarum halus menusuk hati saya. Mana taknya. Saya yang memperkenal Johari kepada Puan Za!

Ia bagaikan saya memperkenalkan seorang perompak kepada Puan Za. Johari mengambil kesempatan atas kebaikan Puan Za. Selalu ponteng kerja atas alasan bekerja di UPM. Mengambil barangan-baranga di Tadika dan mengaku haknya.

Saya selama ini tidak sangka Johari mempunyai sifat-sifat seorang pencuri.

Ya saya pernah mendengar pantun

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama lama mencuri.

Tak sangka perkara itu berlaku di hadapan mata saya sendiri.

Hendak dijadikan cerita, saya terbaca sebuah kisah oleh Tuan Osman Affan. Kisahnya berkaitan bagaimana Tuan Osman Affan ditikam belakang oleh pekerja yang dipercayainya.

Dan siapa sangka perangai pekerjanya itu sama seperti Johari! Bermulut manis di hadapan bos. Datang kerja selalu sahaja lewat. Tapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.

Saya terpempan. Terus saya kongsikan kisah itu kepada Puan Za.

Puan Za memberitahu bahawa Johari telah selamat untuk berpindah kerja. Saya lega. Seperti ada beban yang terangkat di atas bahu saya.

Beberapa hari sebelum Johari berhenti, dia mengajak saya bertandang ke rumahnya di Sri Serdang.

Kami biasa membuat aktiviti Pillow Talk. Kali ini tiba giliran Johari membuka pekung di dada. Aduh! Dia mengutuk Puan Za dan tadikanya!

Jelas, jika di hadapan saya dia sudah mengutuk orang lain, masakan tidak dia tidak pernah atau akan mengutuk saya pula? Dasar orang lidah biawak!

Saya terkesan. Akhirnya saya setuju dan mengakui apa yang Puan Za katakan. Saya akhirnya menjarakkan diri saya daripada Johari.

Saya tak mahu terpalit dengan orang sebegini rupa. Di hadapan kita alim alim kucing sahaja.

Saya adalah orang teraniaya terhadap segala cerita dusta yang dia sampaikan. Dan untuk itu terus saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, bersihkan hati kawanku, Jo, daripada kejahatan mulut yang cabul. Jadikanlah dia seorang yang bercakap benar walaupun pahit. Jadikanlah dia orang yang sentiasa bercakap jujur walau dalam apa keadaan pun. Amiin."

Kerana doa orang teraniaya itu makbul. Amiin.
Berminat Baca

Bahasa Tinggi Sebagai Bahasa Persuasif

Berbual
"Aku rasakan, bahasa Indonesia lebih sedap didengari. Lebih basah mengena hati," ujar Nasrul.

Saya senyum sahaja mendengarnya. Asyik betul dia memuji bahasa Indonesia. Rambu-rambu bahasa Indonesia sentiasa menusuk hatinya. Masakan tidak, jika ada filem Indonesia yang 'hit', pastinya jika ada kesempatan dia akan menonton. Tak kira di biskop ataupun di laptop. Hit di sini bermaksud yang berunsur Islamik ya. Bukan sederetan dengan 'Bawang Putih Bawang Merah' yang melarat ceritanya itu!

"Sebenarnya kamu nak tahu kenapa bahasa mereka begitu menusuk sehingga ke kalbu?"

Nasrul terpana seketika. Belum lagi habis bicaranya tentang apa yang dia dengar tentang bahasa Melayu. Bagaimana seorang wakil daripada Dewan Bahasa dan Pustaka intonasi dan sebutannya seperti orang Indonesia.

Saya menunggu reaksi mukanya. Jika berminat, barulah saya meneruskan kata. Taktik memancing yang klise tapi berkesan.

Nasrul mengangguk. Umpan terkena.

"Kerana bahasa tinggi itu bahasa persuasif. Sedap bunyinya. Lain rasanya. Hiburnya tak terkata!"

Saya tahu Nasrul juga seperti belia Melayu yang lain. Tersekat dalam paradigma bahasa perlu membumi kepada khalayak.

Diorang. Kitaorang. Kencing. Kat mana. Dan len len.

Pelik. Bahasa itu seakan hidup dalam kalangan masyarkat bergelar belia. Oleh itu mereka seperti sudah terbiasa itulah bahasa pertuturan jagat ini. Ah penipuan penjajah.

Saya menyambung, "Bahasa Melayu Tinggi, jika betul diamalkan memang lain bunyinya. Nabi (selawatlah ke atasnya) berkata dalam bahasa Arab tinggi. Kerana bahasa yang betul akan menjadikan kita unik. Nilainya sangat tinggi sehinggakan mampu menjadi bahasa retorik kelas yang aneh."

Pastinya Nasrul diam memikirkan sesuatu. Saya faham. Dia hanyalah pengamal kepada bahasa muda mudi tahap pasar. Saya sendiri cuba membumi bahasa Melayu tinggi dalam percakapan. Bukan mudah kawan. Ia ibarat mencari jarum dalam seguni sekam padi!

Dicari-cari dan jika terjumpa, aduh mungkin tercucuk di tangan sendiri.

Jadi, fikirkanlah. Apakah kita mahu menjadi orang yang mampu memujuk dengan kata-kata azimat tinggi. Ataupun hanya mengikuti ombak-ombak di persisiran yang mengaut mutiara pasir pantai, dikit demi dikit.
Berminat Baca

Hutang

2 bualan
Saya mendapat mesej ringkas daripada nombor yang tidak saya simpan. Kata mesej itu dia mahu meminjam duit saya sebanyak RM300.

Saya berfikir siapalah yang tiba-tiba ingin meminjam duit ini. Firasat saya ini adalah nombor Zaki. Hal ini kerana sebelum ini dia telah meminjam duit saya sebanyak RM300 dan telah pun memulangkannya.

Saya pernah berbincang dengan Nasrul tentang hal ini. Nasrul dimahari abangnya kerana sanggup meminjam duit sebanyak itu tanpa menyoal siasat kenapa.

Ah. Saya berfikiran lain. Tiada sebab orang nak meminjam jika tiada keperluan.

Saya bertanya Nasrul tentang nombor tersebut. Ternyata benar firasat saya. Zaki seperti kesempitan lagi.

Saya balas mesej tersebut. Saya ingin berjumpa dengannya dahulu.

Kami berjumpa di Restoran Bismillah. Saya terus mengajaknya makan bersama.

"Usah risau. Aku belanja." Saya perlu katakan hal ini kerana pengalaman saya, jika tak kata 'belanja' nanti kawan yang kekurangan dana ini akan segan untuk memesan makanan.

Kami berbual. Dia terus kepada agenda utama. Saya menarik kepada sisi agenda. Dalam perbualan santai jangan terus kepada isi. Biar bertanya khabar dahulu. Biar masing-masing selesa.

Saya lihat mukanya gelisah sahaja. Risau jika saya tidak mahu beri pinjam. Saya senyum sahaja.

Tup tup. Saya mendapat panggilan daripada klien tuisyen bertanya tentang tuisyen. Aduh! Saya lupa saya ada tuisyen hari ini. Lantas saya pendekkan bualan dengan Zaki.

Hati saya kuat mengatakan biarlah saya tolong Zaki. Ya Nasrul ada mengatakan kita perlu mengajar orang memancing.

Tetapi bukan semua orang boleh memancing. Saya lihat muka Zaki berserabut. Tak baik jika saya serabutkan dengan mengajarnya memancing seperti saya.

Saya niatkan ikhlas untuk membantunya.

Dalam hati telah saya sematkan, jika dia tak mampu bayar sekalipun, saya halalkan. Kerana itu hutang dibolehkan di dalam Islam. Bagi membantu sesama kita. Bagi merapatkan ukhwah sesama kita.
Berminat Baca

Sambut Hari Jadi

Berbual
Saya terkesan akhirnya. Hari lahir saya jatuh pada Hari Malaysia. Namun hanya 2 orang rakan saya yang PM saya untuk ucap selamat hari lahir.

4 orang yang berada sekumpulan dengan saya pula langsung tiada apa-apa ucapan. Tetiba saya rasa terkilan. Entah kenapa. Walhal saya langsung tidak harapkan apa-apa daripada mereka. Jelas, jauh di sudut hati saya memang saya mengharapkan mereka berempatlah yang terawal akan mengucapkan Selamat Hari Lahir. Namun, itu bukanlah yang terjadi.

Saya sebenarnya tidak kisah tentang hari lahir. Keluarga saya sendiri tidak menyambut hari lahir. Ah. Biarlah. Saya malas melayannya.

Ya saya membaca kitab ukhwah. Antara yang patut diucapkan kepada seorang mukmin adalah pada hari gembiranya. Mungkin hari lahir ini bukanlah hari gembira.

Entahlah. Saya tak kisah tentang majlis makan makan. Tetapi...

Betullah. Ada kesan juga jika orang terdekat seperti tidak mengendahkan hari penting kita. Ini membuatkan kita terfikir kembali tentang apa yang telah saya buat kepada orang sekeliling.

Mungkin kerana saya ini terlalu kejam sehinggakan tiada yang mengingati saya. Tiada sayang dalam jiwa. Oh.. haha. Terasa negatif di sini.

Sebenarnya zaman sekarang ramai berharap Facebook membantu mengingatkan mereka tentang hari lahir kawan.

Biarlah. Saya sambut hari lahir dengan makan kek sendirian. Heh.

;)
Berminat Baca

Tarian Tradisional Thailand - Filem Pendek

Berbual


Apabila menonton video ini, saya terpana seketika. Saya terharu. Erti bagaimana sebuah minat dan keghairahan seseorang dalam mengekalkan budaya tradisional mereka.
Berminat Baca

Filem Pendek Aiskrim Nanas Thailand

Berbual


Saya tertarik dengan filem pendek ini. Ia mengisahkan bagaimana seorang ibu yang tidak bersekolah tinggi mampu memberi erti kehidupan kepada anaknya.

Subjek utama cerita ini adalah nanas. Daripada nanas itu terhasillah sebuah cerita tentang kehidupan sebuah keluarga. Serius cerita ini membuatkan saya terharu.
Berminat Baca

Filem Pendek Tauge Thailand - We Can Try

Berbual



Iklan Thailand memang mempunyai inspirasi. Sama seperti cerpen-cerpen orang mereka.

Saya suka sikap ibu budak ini. Sangat optimistik.

Anak kecil bermuka polos bertanya, "Boleh jadi ke, ibu?"

Ibu senyum, "Kita cuba."

Sikap beginilah yang patut ada dalam diri kita. Jangan kita sekat pemikiran kita tentang sesuatu hal.
Berminat Baca

Ketawa bersama

Berbual
Apabila saya mula melebarkan networking saya bersama orang lain, saya mula kenal pelbagai bentuk keluarga. Ada keluarga yang penyayang dan ada juga keluarga yang keras. Keluarga saya entah saya hendak letakkan di bahagian mana.

Fansuri pernah bercerita tentang pengalamannya membeli KFC. Ketika itu dia mamai. Baru bangun tidur katakan.

Mereka sekeluarga pergi membeli makanan malam di KFC. Fansuri yang mamai di minta membeli. Selepas membeli, Fansuri terus pergi ke tong sampah dan campak semua beliannya.

Balik di dalam kereta, abangnya bertanya, "Di mana ayam KFC?"

Fansuri baru sedar perbuatannya itu. Melihat keadaan itu, satu keluarga mereka ketawa di dalam kereta. Hal itu menjadi bahan jenaka mereka ketika bertemu semula terutama di Hari Raya.

Sebenarnya mendengar cerita itu saya menjadi gerun. Hal ini tidak akan sama apabila ia melibatkan keluarga saya. Pastinya ia akan mendatangkan trauma yang sangat teruk kepada saya!

Anda faham maksud saya? Ngee~
Berminat Baca

Pengalaman yang lalu

Berbual
Saya dahulu tinggal dalam sebuah komuniti Melayu moden. Di sana mereka tidak pernah selesai dengan tradisi terdahulu.

Saya tidak katakan Melayu lama kerana amalan agama mereka tidak mencerminkan orang Melayu dahulu. Amalan masyarakat sahaja mereka laksanakan. Saya tidak nafikan mereka mungkin terpengaruh dengan agenda sekular. Walaupun mereka cuba menafikan itu, tetapi saya tahu ada sisa-sisa sekular di situ.

"Kau solat sendiri sahajalah. Solat jemaah ini fardu kifayah sahaja."

Saya hampir tergolong dalam golongan yang ingin melupakan sunnah Rasullullah terbesar iaitu dakwah. Apakah itu dakwah? Yang saya fahami secara ringkas adalah amar makruf nahi mungkar. Kita ajak kepada kebaikan dan kita cegah kemungkaran.

Mungkin ketika itu saya masih lagi jahil dalam bab agama ini. Saya terpengaruh dalam dunia kejahilan.

Berkat doa, saya mula mendapat laluan cahaya oleh Allah melalui kawan saya. Pada mulanya mungkin kerana dia saya menjadi seperti ini.

Namun, perancangan Allah itu besar. Bayangkan dia pula yang mula tersimpang jauh. Dan kerana sebuah peristiwa, saya mula kenal siapa kawan saya itu. Mulutnya manis dengan pembohongan.

Itu cerita yang lain.

Yang pasti, tempat komuniti saya tinggal itu telah lama saya buang sejauh buang. Saya mahu bebas. Jika saya kembali pun, saya akan kembali dengan membawa cahaya. Saya ingin menerangi tempat itu dari kotoran Melayu yang mula terkikis agama mereka.

Bukan. Mereka bukan melupakan agama tetapi mereka mula menjauhi agama.

Moga ada yang mampu membawa mereka kembali kepada al-Quran dan sunnah.
Berminat Baca

Erti Sebuah Cerita

Berbual
Saya orangnya suka bercerita. Cerita saya sering merapu sahaja. Oleh kerana itu saya memiliih untuk bercerita hanya kepada orang yang saya rasa dekat di hati.

Blog adalah tempat saya bercerita lebih daripada apa yang saya katakan. Entah mengapa apabila saya menulis di blog ini, saya terasa saya mampu bercerita lebih. Walhal di luar sana entah bila saya bercerita entah siapa yang menangkap cerita saya.

Baru baru ini sebuah kejadian membuatkan saya berfikir. Orang terdekat saya mula tidak solat lima waktu. Serius saya terpempan. Serius saya berfikir lebih daripada dua kali akan hal ini.

Mengapa dia tidak solat? Adakah ada unsur lain yang membuatkan dia tidak solat? Adakah aku penyebab dia tidak solat? Adakah saya hipokrit dalam 'share' di Facebook hal-hal keagamaan tetapi orang terdekat saya hampir semua tidak solat? Allahu Allahu Allahu.

Terlalu banyak persoalan yang muncul. Yang pasti persoalan itu membuatkan saya sangat sedih. Orang itu sangat sangat dekat dengan saya. Dia membesar bersama saya. Kami sering berkongsi masalah. Kami sering berkongsi kegembiraan.

Allahurobbi. Saya berasa sangat lemah. Ini membuatkan saya terfikir mengapakah dia solat selama ini? Adakah dia solat hanya kerana Allah atau kerana lain? Apakah faktor yang membuatkan dia tidak solat?

Adakah kerana saya lupa untuk memberi peringatan kepada orang terdekat dengan saya tentang keutamaan dan kewajiban solat itu kepada ummat?

Persoalan.

Persoalan.

Persoalan.

Terus saya tetap berdukacita tentang hal ini. Tetapi...

Begitulah hakikatnya. Sebuah cerita yang dihidangkan akan memberi kesan kepada yang berfikir. Kadang, kita tak dapat mengalami hal itu sendiri. Kadang Allah tunjukkan kepada kita untuk kita fikir melalui kejadian pada orang lain.

Dan Allah memberi ujian kepada saya untuk melakukan dakwah kepada orang terdekat saya. Saya tahu hal ini perlu diubah. Saya perlu berusaha. Alangkah ruginya ilmu yang saya ada hanya digunakan kepada orang lain tetapi saya lupa akan saudara kandung saya. Bahawa mereka juga memerlukan hati untuk disentuh secara berhikmah.

Jelas, perkara ini masih menghantui saya. Dakwah. Ia sukar. Tetapi saya tahu, ini hanyalah sebuah ujian kepada saya.

Tentang bangsa. Tentang agama. Tentang keluarga.

Semoga saya diberikan kekuatan untuk sama-sama membimbing keluarga ke arah jalan yang benar.
Berminat Baca

Teori, pengalaman dan perkembangan ilmu

Berbual
Saya mempelajari teori dan mendapat pengalaman sebagai seorang ahli hortikultur sepanjang saya bergelar pelajar sarjana muda Sains Hortikultur di UPM. Pembelajaran saya selama 4 tahun saya kecapi dengan perasaan suka dan duka.

Kini apabila saya mula menubuhkan grup FB membincangkan tentang hortikultur untuk orang awam, saya terkesima. Rupanya banyak lagi perkara perlu saya pelajari.

Terutamanya bagaimana menjadikan baja sendiri. Serius saya tak sangka ada banyak lagi ruang untuk saya tambah ilmu ini.

Saya dahulu bersikap skeptikal terhadap penanaman di dalam pasu. Masakan boleh pokok berbuah di dalam pasu yang kecil itu? Lama-kelamaan minda saya terbuka. Di dalam hortikultur, tiada istilah tidak. Apa-apa boleh kerana di dalam isitilah hortikultur mengandungi perkataan seni.

Hortikultur adalah seni dan sains penanaman buah, sayur, bunga dan landskap.

Nah. Bukankah seni itu berkait rapat dengan kreativiti? Aduh. Saya terkesima.

Lama-kelamaan juga saya terbuka menerima konsep baru dalam membuat baja. Kita sebenarnya boleh membuat baja sendiri! Bukan setakat kompos tetapi juga baja cecair. Bayangkan!

Dan apabila saya membuka grup itu, saya lebih mengenali orang awam yang berani. Mereka sanggup mencuba apa jua demi kelestarian ilmu berkebun. Merek tidak takut untuk mencuba. Asalkan menjadi.

Manakala saya pula takut untuk mencuba kerana terlalu banyak ilmu saya serap mengatakan sesuatu hal itu tidak mungkin terjadi. Aduh! Saya telah terperangkap dalam ilmu saya sendiri.

Terus, saya membiarkan sahaja orang awam bereksperimen dengan ilmu yang mereka ada. Jika ada masalah barulah saya mula menegur. Jika tak, apa salahnya saya pun mendapat sesuatu yang baharu?

Oleh itu, lebih baik saya terus belajar. Sesungguhnya saya berasa kerdil apabila mengetahui akan hal ini.

Moga terus saya dapat memanfaatkan ilmu yang saya ada ini demi kemajuan sejagat.
Berminat Baca

Generasi X dan Generasi Y

Berbual


Saya mengendalikan sebuah Facebook group. Terdapat pelbagai ragam ahli di situ. Apatah lagi Facebook group itu mula mencecah sebanyak 20,000 ahli.

Bayangkan! Permulaannya saya hanyalah ingin mengumpulkan ahli daripada page yang saya cipta.

Saya lihat ramai yang ingin berkongsi gambar dan progres tanaman mereka tetapi tidak begitu mendapat perhatian. Saya fikir lebih baik saya buka lagi satu saluran perkongsian iaitu Facebook group.

Maka berduyun-duyunlah orang menyertai Facebook group kami. Saya lantik kawan-kawan saya sebagai admin. Semua kawan saya itu adalah sama jurusan dengan saya semasa saya di UPM dahulu iaitu Bacelor Sains Hortikultur.

Antara yang saya dapati adalah apabila terdapat juga golongan generasi X (40 tahun ke atas) juga menyertai group itu.

Di situ saya lihat ramai suka berkongsi apa yang mereka tanam. Alhamdulillah ia seperti yang saya bayangkan.

Saya juga menghadkan sebarang jualan di situ. Mana-mana yang bersifat jualan langsung akan terus mendapat pengajaran dengan saya 'delete and remove user'. Saya yakin ada Facebook group jualan untuk barangan seperti ini.

Ada juga orang yang menyelinap menjual barang tetapi tidak langsung. Itu saya tak kisah sebab mereka bijak. Haha.

Kebanyakan generasi Y yang masuk tahu akan etika post.

Tetapi ada juga isu ahli yang mencarut kerana tidak puas hati bahawa dia dahulu post gambar yang sama. Saya rasa itu satu yang tak bagus. Nasib baik dia sendiri yang mengundur diri daripada group itu.

Lagipun saya lihat dia tidak berapa aktif komen di grup. Lebih suka post dan tinggalkan begitu sahaja. Jadi itu sudah menunjukkan dia sendiri tidak aktif dalam berkongsi maklumat. Lebih kepada hendak mendapatkan populariti.

Sebagai admin, saya membuka ruang untuk perbincangan. Lagipun, tugas admin hanya memantau agar grup itu kekal sihat persekitarannya.


Berminat Baca

Kekok dalam Majlis Sosial

Berbual
Hari ini saya berkesempatan menghadiri dua majlis berkaitan dengan makanan.

Pertamanya berkaitan majlis perkahwinan rakan saya. Yang ini rakan yang saya kenal begitu begitu sahaja. Tapi alangkah terharu saya apabila dia PM Facebook saya dan minta kebenaran untuk jemput ke majlis perkahwinannya melalui Facebook Event Invitation.

Dahulu saya agak ortodoks dalam menerima jemputan sebegini. Tetapi apabila saya sendiri akan membuat majlis seperti ini nanti, saya terfikir ini sungguh menjimatkan! Bayangkan jika kad kahwin 30 sen satu. Kalau nak jemput 500 orang katakan. Mahu mencecah RM1,500 hanya untuk menjemput orang!

Saya mula berfikiran terbuka apabila hal seperti ini kepada saya.

Dan saya teringat hadis nabi yang mengatakan bahawa kita wajib memenuhi jemputan seseorang. Aduh. Saya menyesal kerana mengendahkan hadis nabi itu. Astaghfirullahal'azim.

Baik.

Keduanya pula berkaitan dengan majlis hari raya terbuka anjuran surau di tempat saya tinggal.

Terus, apa yang kekoknya? Saya kekok ketika menghadiri majlis pertama. Ini kerana saya seorang sahaja yang hadir. Saya seorang sahaja makan di meja makan. Serius rasa 'forever alone'.

Ketika untuk meminta diri pun saya tidak tahu bagaimana caranya. Lalu saya pun pergi ke bahagian ramai orang berkerumun. Rupanya rakan saya itu sedang menjalani acara makan beradab. Saya sempat melambai tangan kepadanya.

Yelah orang silih berganti berjumpa dengan pengantin.

Saya hendak mengundur diri tetapi bagaimana ya? Saya pun tak kenal tuan rumah. Yang saya kenal hanya rakan saya itu. Fikir punya fikir, akhirnya saya melangkah senyap tanpa sebarang khabar.

Agak kekok di situ.

Di majlis kedua pun begitu. Selesai makan, saya terus bergerak secara senyap mengundur diri. Walhal saya sendiri tahu majlis ini lah masanya bergaul mesra dengan penduduk sekitar.

Tetapi, itulah. Saya ini masih lagi perlu bimbingan dalam hal-hal begini.
Berminat Baca

Ilmu Bisnes

2 bualan
Saya pernah berkomplot dengan kawan-kawan tentang idea untuk membuka ladang herba.

Pelbagai teknik kami andaikan. Berbincang hampir berminggu-minggu. Namun langsung tiada tindakan.

Keputusan berakhir dengan kami tidak jadi membuka ladang herba.

Beberapa hal yang boleh saya simpulkan mengapa perancangan kami gagal:

1. Tiada mentor dalam bidang bisnes.
Mentor merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kita menjayakan ilmu bisnes. Mereka telah mengalami cahaya dan gelap bisnes lebih awal daripada kami.

2. Terlalu berharap
Kami terlalu berharap kepada orang itu dan ini untuk membantu. Walhal kami tidak berjumpa dengan orang yang betul boleh membantu kami,

3. Kekurangan keyakinan diri
Kerana kami tidak pernah menjayakan ilmu pertanian tidak lebih daripada kelas amali semasa kelas dahulu. Ilmu bisnes ladang ini lain sungguh dengan teori!

Saya juga berkesempatan bermentor dengan seorang Cina. Beliau begitu semangat berkongsi dengan kami pengalaman beliau mencari tanah untuk berkebun. Tip dan trik ini memang sangat membantu saya kini. Terima kasih Abang H.
Berminat Baca

Serangan Pemikiran di Hari Raya

Berbual
Menulis dan terus menulis

Saya suka baca buku tip dan trik menulis. Satu perkara yang memang ditekankan oleh semua penulis adalah:

1. Penulis wajib menulis setiap hari. Minimum 10 minit.
2. Penulis wajib ada jurnal menulis
3. Penulis wajib peka dengan keadaan sekelilingnya

Dengan tiga perkara di atas akan terbentuk suara atau identiti penulisan seorang penulis.

Contohnya seorang penulis Islam liberal di belah Projek Dialog giat mempromosikan pemikiran liberal. Antaranya adalah hak untuk seorang berlaku songsang menjad gay, lesbian ataupun biseksual. Juga untuk ada hak mempersoal dan memutarbelit idea (katanya) dalam al-Quran.

Itu adalah suara mereka. Suara yang ingin menjadikan akal sebagai perilaku utama akidah mereka. Saya cuba memahami istilah liberal mengikut bahasa mereka.

Saya tak salahkan mereka. Mereka hanya ingin memperjuangkan sesuatu yang sama teruk dengan pembunuhan di Gaza. Iaitu pembunuhan akal ummat yang berteraskan al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Ia dinamakan serangan pemikiran atau Al-Ghazwul Fikri.

Penulisan mereka dengan ajakan-ajakan suara begitu mampu menjadikan rakyat kita liberal. Entah apa yang mereka ingin liberal di bawah hak asasi manusia, saya masih musykil.

Oh dengar kata ada satu gabungan yang akan mempertahankan perlembagaan dengan sebuah NGO Islam menyertainya juga. Negara-Ku namanya.

Saya tak salahkan NGO terkenal yang bersama NGO-NGO yang dahulu meminta perlembagaan Malaysia diubah. Mereka hanya mempertahankan hujah mereka dengan hujah-hujah berteraskan akal. Kata mereka Islam itu rahmatan lil alamin. Satu juzuk atau keratan-keratan ayat al-Quran dari al-Quran diambil. Beberapa juzuk dipejamkan sahaja dahulu.

Itu suara mereka.

Ini pula suara saya sebagai rakyat marhaen. Risau juga risau akan serangan terhadap Islam dari luar mahupun dalam. Sangat risau.

Tapi suara saya ini, saya yakin bersama Allah. Saya juga yakin saya tidak berkeseorangan. Untuk itu doa wajib disisipkan setiap hari. Doa agar umat Islam di Malaysia kenal akan suara-suara sumbang itu. Agar dengan mengetahui suara musuh, secara langsung bersiap melawan dan mempertahankan akidah.

Oh.

Itulah akibat menulis tiga hal di atas setiap hari membuatkan hal nombor 3 menjadikan saya peka.

Teruskan usaha kita peka dengan keadaan sekeliling ya rakan-rakan FB.
Berminat Baca

Siapa akan Boikot Astro?

3 bualan
Baru-baru ini kita dihebohkan tentang serangan rejim Zionis di negara haram Israel membunuh saudara-saudara seIslam kita di sana.

Mereka menggunakan alasan dengan penculikan tiga orang pelajar Israel. Walhal apabila diteliti semula tiada apa-apapun kaitan dengan Gaza.

Mereka sengaja menggunakan alasan ini untuk menjarah rakyat Gaza. Allahu. Saya membaca dan melihat terasa begitu tipis pertolongan yang mampu saya berikan.

Di samping itu kempen boikot oleh Aqsa Syarif bergiat lancar. Manakala Aman Palestin terus menghantar dana. Polis juga menasihati tentang kita memberi sumbangan derma kepada NGO yang diiktiraf sahaja.

Kedua-dua NGO ini saya percaya tentang kredibiliti mereka menyalurkan sumbangan kepada saudara kita di Palestin. Aman Palestin sendiri mempunyai pejabat di Gaza. Pengalaman mereka yang banyak dalam menyalurkan dana ini mampu memberi peluang untuk penduduk Gaza menerima sumbangan kewangan daripada kita.

Apabila bercakap tentang boikot, saya pernah menukilkan sebuah cerpen ringkas pada tahun lepas.

Kali ini saya juga terkejut apabila mengetahui Astro rupanya ada hubungan dengan syarikat Israel!

Ini apabila saya terbaca dalam portal Melayu Islam, ISMA bertajuk 'Astro harus beri penjelasan atau diboikot kerana berurusan dengan syarikat Israel – YDP YADIM'.

Pada pendapat saya, yang hanya akan boikot Astro hanyalah orang yang tak menggunakan khidmat Astro. Antara orangnya itu adalah saya.

Pilihan alternatif kepada Astro adalah UniFi.

Saya tahu ramai kawan-kawan saya begitu ketagih dengan siaran Astro. Tidak Astro Ceria, mesti dengan siaran dokumentari. Apakan daya, mereka sudah ketagih seperti perokok tegar yang berdiam diri untuk boikot merokok!

Rasionalnya mereka akan cuba mencari 1001 alasan untuk berdolak dalih memberi tekanan kepada Astro. Itulah perangai orang yang telah dipautkan kepada keduniaan.

Saya mungkin jadi begitu jika saya pengguna tegar Astro. Alhamdulillah saya telah lama meninggalkan dunia televisyen. Sekarang beralih kepada dunia blog (kaitannya?).

Seperti boikot Macdonald, Astro juga kita harus beri tekanan agar duit yang umat Islam di Malaysia tidak digunakan untuk membeli butir-butir senjata membunuh anak-anak Palestin.
Berminat Baca

Tayar motorsikal pancit

Berbual
Apabila mencapai 10 hari Ramadhan terakhir kebanyakan umat Islam akan diseru untuk mencari malam Lailatul Qadr.

Saya pun ingin mencari Lailatul Qadr. Terdapat pelbagai hadis mengatakan ciri-ciri malam 1000 bulan ini.

Ada di kalangan rakan saya yang menakul itu dan ini tentang bagaimana hari-hari 10 malam terakhir ramadhan adalah malam yang ingin mereka jumpa.

Di sepanjang itu saya ingin bercerita tentang hari malam ke-23 ramadhan. Ketika itu saya pergi ke Masjid Besi untuk menunaikan janji saya kepada kawan saya membantu dia melihat jika ada beg plastik sampah program tertinggal di sana.

Saya pergi dengan hati yang geram. Mengapa saya pula? Padahal dia yang patut uruskan sendirian. Dan mengapa harus dia lupa dan meminta bantuan saya? Yelah apabila perut ini kosong ada sahaja suntikan negatif datang ke dalam minda saya.

Saya biarkan pemikiran itu menyusup masuk. Setelah puas saya sulap pemikiran negatif itu. Bukankah ini ujian kepada saya dalam menyertai jemaah? Jika saya tolong dia kerana saya suka kawan dengan dia, tentu tidak akan tertegak nilai persahabatan kami. Saya tolong dia kerana Allah. Lagipun saya teringat membaca hadis tentang menolong orang yang susah. Jika kita tolong orang yang susah, pasti Allah akan tolong kita di dunia dan di akhirat. 2 dalam 1 tu wooo.

"...Sesiapa yang mempermudahkan bagi orang dalam kesusahan, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat..." - Hadis riwayat Muslim


Jadi saya pun pergilah ke sana. Alhamdulillah beg plastik itu tiada di sana. Usai solat maghrib berjemaah saya ingin berangkat ke Masjid Putra pula.

Di sana lebih selesa untuk menunaikan solat berbanding di Masjid Besi. Masjid Besi terasa bahangnya akibat orang ramai yang datang solat di situ.

Ketika saya membawa motorsikal saya keluar, terasa gelong sahaja tayar belakang motorsikal saya. Aduh! Saya sudah dapat firasat bahawa tayar belakang pancit.

Apabila saya turun dan lihat, kebenaran terselah. Saya termenung seketika. Bagaimana ingin saya pulang jika hal begini berlaku? Saya teringat adik saya lalu menelefonnya meminta bantuan.

Akhirnya saya membonceng motorsikal yang pancit ini terus ke rumah dengan adik saya mengekori di belakang.

Esoknya saya pergi ke bengkel motorsikal di Persint 14. Selalunya kalau tukar tiub motorsikal harga sekitar rm9.

"Saya tukar baik ppunya tiub," kata cina apek bengkel itu. Saya angguk sahaja.

Apabila tiba di kaunter, "RM20," kata minah Melayu yang menjaga kaunter. Aduh! Saya tepuk kepala. Memang kedai ini mahal mahal belaka harganya.

"Harga tiub baik RM18. Servis tukar RM2," kata cina apek itu.

Saya diam sahaja sambil menghulur not RM20. Dalam hati memang saya kata saya sukar nak pergi ke bengkel ini lagi kalau motorsikal saya bermasalah. Saya akan cari di bengkel-bengkel lain yang ada di sini.

Begitulah kisahnya.
Berminat Baca

Bagaimana Menghadapi Situasi Kawan Yang Menipu?

Berbual

Saya pernah menawarkan sesuatu pekerjaan kepada kawan saya. Saya tahu dia juga minat menulis novel. Saya mendapat tawaran daripada mentor penulisan saya bahawa beliau memerlukan dua orang pelajar untuk membantu beliau mengendalikan bengkel penulisan novel.

Lalu saya sarankan rakan saya itu. Rakan saya terima. Dia berkata dia akan hubungi mentor saya.

Malangnya pada hari tarikh akhir, mentor saya bertanya, "Tuan, tiada siapakah yang tuan cadangkan untuk membantu saya nanti?"

Saya terkejut. Saya kata saya sudah beritahu kepada kawan saya untuk hubungi mentor saya itu. Pada petang itu juga saya mesej FB rakan saya itu.

Rupanya dia kata dia ada hal keluarga. Tidak dapat penuhi permintaan saya. Baik. Saya agak terkilan untuk hal ini. Hanya kerana selepas saya hubungi dia baru lah dia hendak memberitahu akan hal ini. Dia tidak mengambil inisiatif memberitahu saya dari awal lagi.

Agak geram tetapi saya lupakan sahaja kerana dia mengalami masalah keluarga. Lalu saya terpaksa berhempas pulas mencari orang lain pula. Alhamdulillah saya dapat gantikan dengan adik saya pula.

Pada hari kejadian, hendak ditunjukkan Allah, saya terlihat post rakan saya itu di Facebook. Dia sedang menghadiri satu program bersama pelajar sekolah menengah.

"WHAT!?"

Katanya ada masalah keluarga. Tetapi di Facebook lain pula. Sudah. Saya menyimpan ketidakpuasan hati saya kepadanya.

Serius. Selepas itu memang saya tidak akan menawar apa-apa kepentingan program kepadanya. Saya terasa seperti ditipu. Sepatutnya dia beritahu saya bahawa dia juga ada program lain selain itu. Tidak perlu nak berdolak dalih bahawa ada masalah keluarga.

Beritahu sebenar-benarnya.

Ini secara tidak akan merosakkan hubungan antara rakan. Perkara yang saya boleh buat adalah bersangka baik atau husnuzon bahawa dia baru sahaja selesaikan masalah keluarga dan kemudian membantu kawan untuk program bersama pelajar sekolah menengah.

Untuk itu ini beri pengajaran kepada saya. Berkata benarlah walaupun pahit. Menolak permintaan orang dengan baik itu lebih elok berbanding memberi alasan atau penipuan yang akhirnya terbongkar.
Berminat Baca

Hadiah

Berbual
Asas Penulisan Tesis


Hadiah. Saya selalu terfikir apakah memberi hadiah itu ada kesannya? Saya sendiri tidak suka memberi hadiah.

Al-kisahnya saya pernah ingin menyambut hari lahir seorang sahabat. Kisahnya saya pun membelek lah barang-barang yang sesuai di MPH Alamanda.

Lalu teringin saya ingin membelanja dia makan. Saya ini memang lemah bab pergaulan sosial ini. Al-maklumlah saya jarang dapat sertai majlis sambutan hari jadi. Al-maklum jugalah keluarga saya sendiri tidak amalkan sambutan hari jadi.

Saya pun membeli penanda buku memikirkan sahabat saya itu banyak buku untuk dibaca.

Saya cuba hantar SMS bertanya khabar dan ingin mengajak dia makan. Tetapi, rupanya dia sibuk.

Kemudian beberapa hari kemudian saya lihat di media sosial, sahabat saya itu sambut hari jadi bersama rakan-rakan lain. Haha.

Mungkin saya agak terkilan sedikit. Tetapi salah saya sebenarnya. Entah mengapa nak sambut hari jadi orang walhal saya memang kekok bab ini. Terus, saya pun terasa. Saya berazam untuk tidak memberi hadiah lagi kepada kawan-kawan. Ini kawan, perangai yang jangan ditiru. Bahaya!

Tetapi rajukan saya itu tidaklah lama.

Saya ada seorang kawan pula yang sebilik siswazah dengan saya. Dia suka sangat dengan pakaian. Dari seluar, baju hingga ke jaket. Saya maklum tentang itu.

Pada suatu hari, dia kasihan melihat saya selalu memakai jaket usang. Bukan apa, saya malas nak beli jaket baharu jika belum tamat tempoh setahun. Rugilah kalau beli jaket baharu hanya kerana jaket lama koyak sedikit.

Justeru itu dia pulang ke kampung halamannya. Sekembali ke UPM, dia membawa jaket lama yang dia tidak pakai lagi.

"Nah, aku bagi kat hang. Jaga elok-elok."

Saya dengan tangan terbuka menerimanya. Hei, ia barang percuma! Siapa yang tak berkenan dengan jaket yang harganya mencecah RM80. Padang Besar mari!

Apabila saya memakainya, entah ramai pula memuji saya ini kacak seperti pelakon Korea yang saya sendiri tak kenal nama mereka. Yelah. Saya tahu saya ini kacak. Haha.

Selang beberapa bulan, dia melihat saya selalu memakai baju yang sama. Saya memang tak beli baju baru. Hanya masa raya sahaja saya beli. Itu namanya baju raya. Setahun sekali sahaja beli. Itupun namanya baju jalan. Ketika saya keluar berpacaran (jika saya sudah berkahwin tentunya!) sahaja baru pakai. Jika tak, hanya terperuk di almari dalam tempoh setahun sebelum boleh digunapakai untuk kegunaan harian.

"Nah, aku bagi kat hang. Jaga elok-elok."

Alhamdulillah. Saya terima sahaja. Hei, barang percuma jangan ditolak.

Dan, apabila saya memakainya, ramai pula memuji saya bertambah kacak dengan gaya pemakaian baharu ini. Hei, saya memang kacak!

Terima kasih sahabatku.

Kawan saya sendiri yang saya rapat pun tak memberi hadiah. Ini kawan yang saya rapat pun beri hadiah. Terharu saya. (muka menangis tahap biasa).

Kesimpulannya, saya dapati kita dapat memberi hadiah atas apa yang kita minat. Contohnya saya minat buku. Lalu saya berilah buku yang kena dengan kawan yang ingin saya berikan.

Baru-baru ini saya ada buku tentang berkahwin. Bagus buku itu. Terus saya fikir lebih baik saya berikan kepada Syahmi. Dia juga ada ura-ura ingin berkahwin tetapi was-was dengan gelarannya sebagai graduan segar.

Moga ia bermanfaat. Saya pula berpegang kepada Surah An-Nur ayat 32 (ini... boleh rujuk terjemahan al-Quran).

Sekian.
Berminat Baca

Penulisan

1 bualan
Kadang saya pelik mengapa sejak tahun ini saya sudah mula kurang menulis di blog? Adakah kerana faktor kekangan masa atau kemalasan sudah melanda saya?

Hmmm. Saya sebenarnya kekeringan idea untuk menulis. Selalunya saya akan menulis berdasarkan pengalaman saya. Mungkin pengalaman saya sudah menurun. Atau saya sudah menulis pengalaman pada tempat lain. Entahlah.

Bukan senang nak menulis dengan jayanya. Terutama menulis dari hati. Cewah.

Apa yang saya dapati dalam hidup ini perlu ada tujuan. Jika tiada tujuan tentulah menerawang sahaja kehidupan ini. Contoh yang paling tepat adalah di hujung minggu. Tentunya kita akan bangun lewat? Atau tidakpun sambung tidur selepas solat subuh?

Itu saya dapati kerana tiadanya perancangan dalam kehidupan.

Jadilah mulalah merancang dengan baik untuk berjaya.
Berminat Baca

SMS di Bulan Ramadhan

1 bualan

Alahai. Terasa malas saya ingin SMS kepada rakan-rakan tentang Ramadhan. Dahulu menjadi satu kegilaan saya memberi salam Ramadhan kepada kawan-kawan apabila malam pertama Ramadhan tiba.

Kali ini entah mengapa hati lesu untuk mengucapkan apa-apa. Entah tak tahu mengapa tidak ingin menghantar apa-apa SMS.

Biarlah. Entahlah. Sudahlah.

Saya hanya duduk di komputer riba menulis tentang kepahitan kehidupan ini. Tentang kemanisan hidup ini. Entalah. Tangan tidak tahu hendak berkongsi apa.

Biarlah.

Selamat menyambut Ramadhan semua.
Berminat Baca

Universiti Senior vs Universiti Junior

Berbual


Saya bersembang dengan seorang pensyarah. Katanya universiti senior tak semestinya bagus.

Saya mengerut. Apa maksud beliau?

"Contohnya saya ambil satu universiti di Pantai Timur. Pensyarah di sini pergi mengajar di sana. Terdapat perbezaan ketara dalam sifat pelajar di sana. Di sini, pelajar kurang mesra dan menghormati orang lebih tua. Terutamanya pensyarah. Di sana berbeza."

Saya cuba menelan maksud ini. Ada betulnya juga. Jadi apakah rahsia mereka mendidik mahasiswa menjadi insan bergelar manusia di sana?

"Program Bakti Siswa mereka memang membumi bersama masyarakat."

Saya ada setuju dengan kenyataan itu. Program Bakti Siswa bukanlah sekadar buatan untuk melepasi kredit berkokorikulum. Tetapi harus lebih daripada itu.

Kami kemudian berbincang tentang penglibatan mahasiswa dalam aktiviti fakulti. Pelajar terlalu asyik dengan aktiviti kolej yang bersifat lokal. Mereka membina kemahiran insaniah hanya di kalangan pelajar. Mereka kurang berinteraksi dengan masyarakat.

"Ini berbeza dengan satu universiti yang saya lawati di Indonesia. Pelajar mereka memang aktif dalam kelab-kelab fakulti. Malahan mereka sendiri menganjurkan pertandingan lembu sihat. Mereka menjemput pakar luar negara untuk mengajar mereka mengadili kriteria lembu sihat dan berkualiti."

Saya melihat pelajar di UPM kurang bersemangat dalam aktiviti fakulti. Mereka lebih pentingkan aktiviti kolej. Apatah lagi bagi yang tinggal di kolej kediaman tradisional.

Alasannya untuk mendapatkan merit. Tetapi kesannya jelas. Pelajar bersifat duduk di bawah tempurung.

Tiada integrasi antara aktiviti fakulti dan kolej.

Junior saya pernah merungut aktiviti kolej telah mengekang dia untuk aktif di fakulti. Walhal dia melihat aktiviti fakulti lebih memberi sumbangan berimpak tinggi kepada dirinya. Dengan melibatkan aktiviti fakluti, dia lebih mengenali pensyarah-pensyarahnya dan mendalami ilmu tentang jurusan yang dia ambil.

Nampaknya, jauh lagi universiti yang saya duduk mendidik pelajar mereka dengan baik.
Berminat Baca

Mengapa Harus Berterima Kasih kepada Cikgu

Berbual


Sebuah video tentang seorang cikgu...
Berminat Baca

Kekoknya Cikgu Tuisyen

3 bualan
Pusat Tuisyen Putrajaya

Selasa lepas terdapat seorang pelajar baharu masuk menyertai kelas tuisyen di Putrajaya. Saya mengendalikan kemasukannya.

Bapanya datang membawa sekali dengan yuran pendaftaran. Saya kenal bapanya. Bapanya adalah bilal di surau tempat saya tinggal. Kami menyapa dan saya menguruskan apa yang patut untuk pendaftaran.

Kemudian saya perkenalkan Hariz kepada tujuh orang murid yang lain. Mereka gembira berkenalan dengannya.

Maaf ya. Saya tak mengajar pelajar sekolah rendah. Lalu saya serahkan kepada rakan kerja saya menguruskan mereka setelah saya selesai memperkenalkan Hariz.

Ketika kelas habis, rakan kerja saya membeli kek kepada anak-anak muridnya. Kelapan-lapan anak murid gembira. Saya turut gembira kerana dapat makan sepotong kek percuma hari itu. Alhamdulillah.

Beberapa hari kemudian ketika saya hendak ke surau saya lihat seorang anak kecil keluar dari pintu surau. Lalu dia menjerit mengangkat tangan kepada saya dengan berkata, "Cikgu!"

Saya membalas dengan mengangkat tangan dan senyum. Oh rupanya Hariz juga ada datang ke surau bersama bapanya. Selama ini saya tak pernah perasan pun kanak-kanak yang datang ke surau. Walaupun mereka comel, tetapi saya tidak begitu layan.

Kini seperti ada hubungan tak terkata antara saya dan Hariz.

Dia selalu solat di saf hadapan bersama orang dewasa. Tugas dia mencukupkan saf pertama.

Apabila selesai solat dia akan duduk kebelakang. Saya kadang terpandang dia lalu dia tersenyum sipu memandang saya. Saya senyum kembali.

Apa entah perasaan menyusup diri saya. Malu mungkin. Ya malu kerana seorang budak khusyuk solat berjemaah di samping saya. Seorang budak yang dahulu kami tidak pernah terhubung tetapi kini lain.

Bergelar cikgu rupanya ada sebuah kisah di sebaliknya. Tidak lagi boleh berkelakuan aneh. Risau jika terserempak dengan anak murid yang polos menghormati seorang lelaki selain daripada bapa mereka.

Ah. Saya terasa malu. Inilah rupanya apabila menjadi seorang guru.

Moga semua anak murid di pusat tuisyen itu menjadi orang berjaya kelak. Mengharumkan nama bangsa dan agama di bumi bertuah ini.
Berminat Baca

Tip Penulisan oleh Neil Gaiman

Berbual


Sungguh! Saya terinspirasi. Baca dan terus baca...
Berminat Baca

Cara Saya Kendali Kawan Yang Kurang Sensitif di Media Sosial

2 bualan
Pelangi Petang di Fakulti Pertanian UPM

Semalam saya dan kawan-kawan pergi ke Sri Serdang untuk membeli alatan untuk projek kami. Ketika itu petang dan hujan turun dengan lebatnya. Kami singgah sebentar di restoran mamak untuk minum petang.

Saya memesan ABC satu. Kami semua berkongsi makan kerana ABC itu sungguh banyak. Fakrul berhajat untuk menangkap gambar kami bersama ABC itu. Lalu saya buat gaya biasa.

Setelah snap, saya lihat gambar itu menonjolkan saya dengan gaya yang saya tidak suka.

"Hahaha. Aku rasa kena post ni."

Saya tersentak. Saya tak suka gambar ini dipostkan. "Kalau di Insta aku boleh pertimbangkan. Tapi jangan di FB!"

"Apa? Janganlah paranoid sangat. Tengok Mirul. Dia ok je." Fakrul memandang Mirul.

Min hanya tersenyum. Saya menggeleng. Apakah dia tak faham maksud saya? Beberapa saat kemudian dia tunjuk gambar yang telah diupload di Facebook.

Saya masih ingat lagi kes ketika bekerja menjadi RELA. Sekurangnya saya sudah memberi penjelasan kepada Fakrul mengapa saya tak suka. Sama seperti saya tak suka apabila rakan saya mengutuk saya di Facebook tetapi takut nak berkata itu di hadapan saya!

Perbuatan bodoh yang paling saya tak boleh lupa dan menjadi pengajaran kepada saya seumur hidup tentang privasi dan sensitiviti.

"Kan aku dah cakap aku tak suka?"

"Rilek la. Awat?"

"Dengan anak murid kamu kawan di FB dan..."

"Ala anak murid seorang je pun."

Saya malas nak bertengkar.

"Baiklah. Terpulang. Sekurangnya aku dah jelaskan komunikasi bahawa aku tak suka perbuatan kamu tu."

Terus saya menghirup ABC tanpa melihatnya. Suasana terasa lain. Saya dapat rasakan Fakrul terasa juga.

"Baik lah. Aku delete. Hang ni paranoid sangat." Fakrul tersengih.

Saya menggeleng kepala sahaja. Malas nak layan.

Ketika di dalam kereta perjalanan ke Fakulti Pertanian, saya mula memberi penerangan kepadanya.

"Lain kali jangan buat begitu lagi."

"What? Come on. Don't be so paranoid. Only you thinking like that."

Saya geram. Dia hanya buang sebab nak jaga hati saya tetapi tidak faham sensitiviti rakannya.

"Baik. Aku bagi satu analogi. Aku pernah tangkap gambar kamu merokok rokok daun. Ada aku post di instagram mahupun Facebook?"

Fakrul menggeleng.

"Sebab aku tahu gambar itu kalau aku post akan mendatangkan hal lain kepada kamu. Aku tahu ada sensitviti pada gambar itu."

"Tapi gambar aku ambil tadi bukan ada apa. Tak jejas apapun."

"Jadi gambar yang aku ambil kamu merokok tu pun bukan ada apa-apa. Ok tak kalau aku post di FB?"

"Tapi akan dilihat oleh ahli keluarga aku!"

"Sama macam aku. Gambar itu akan dilihat oleh rakan-rakan FB aku! Konsepnya sama. Aku tak suka gambar itu dan tak mahu dilihat oleh orang lain di laman sosial. Dan kamu tidak menghormati keputusan aku dan menuduh aku paranoid!"

Saya berhenti dan melihat apa respon Fakrul. Dia diam.

Lalu saya sambung, "Mungkin bagi pandangan kamu gambar itu ok. Tetapi tidak bagi aku. Aku mahukan privasi. Setiap orang ada sensitivitinya. Jagalah privasi dan sensitiviti mereka. Aku harap kamu faham tentang ini."

"Baik. Salah aku. Aku minta maaf."

"Aku harap hal seperti ini tidak jadi lagi. Aku terima maaf kamu itu."

Kereta sampai di hadapan blok B. Kami turun bersama untuk solat Asar berjemaah.
Berminat Baca

Tips Menulis oleh Andrea Hirata

2 bualan


Saya tertarik dengan tips penulisan yang dikongsikan oleh Andrea Hirata.


  1. Harus dikatakan keadaan dengan baik. Bukan dia datang dengan kereta. Nyatakan bentuk kereta itu agar dapat dibayangkan.
  2. Wajib ada keghairahan dalam dunia penulisan. Menulis itu adalah sebahagian daripada darah daging.
  3. Perlu rajin menulis
Andrea Hirata sendiri tidak sangka dia mempunyai bakat penulisan fiksyen. Sebelum ini dia hanya ingin menulis Lasykar Pelangi untuk dijadikan hadiah kepada Bu Muslimah, gurunya dahulu.

Dia kemudian diberi peluang untuk terbang ke Amerika belajar dengan pakar sastera penulisan.
Berminat Baca

The Malaysian Insider Adalah Penyebar Fitnah Yang Sebenar

Berbual
Saya pun tidak tahu apakah itu The Malaysian Insider. Namun setelah membaca satu kenyataan oleh rakan FB saya, (nama dilindungi kerana privasi);


Saya dapat simpulkan agenda TMI hanyalah ingin memecahbelahkan kesatuan antara kaum di Malaysia.

Kebanyakan berita dan artikel yang mereka paparkan hanya bersifat fitnah. Jelas, sudah terang lagi bersuluh, merekalah yang menjadi penjaja kebencian melalui artikel mereka.

Ya saya adalah ahli ISMA. Saya berjuang demi mempertahankan hak umat Islam di Tanah Melayu ini. Di bumi Malaysia ini.

Mereka membelit fakta bahawa Ustaz Abdullah Zaik menjaja kebencian. Mari saya balas sedikit komen,
Pandangan saya,

1. TMI adalah penjaja kebencian yang sebenar
2. Contoh yang digunapakai konteks salah sama sekali. Mereka yang menghalau umat Islam tanpa sebab. Walhal umat Islam tidak mengancam negara mereka.
3. Konteks sirah yang digunakan tidak kuat. Nabi ada membakar perkampungan Yahudi yang belot.
4. Ustaz Lah mengatakan sejarah yang benar. Kedatangan kaum lain di Tanah Melayu adalah tujuan British melemahkan orang Melayu di Tanah Melayu. Dasar pecah dan perintah.
5. Penulis tiada jati diri dalam menulis sejarah dalam konteks yang benar. Jelas ia membelit menyebar fitnah demi kebencian.

Wallahualam

Respon terhadap artikel penjaja fitnah besar dari TMI.
Berminat Baca

Menasihati Diri Sendiri

Berbual
Nasihat Umar al-Khatab

Dalam kehidupan ini kita sering lupa. Ya lupa. Lupa nak makan, lupa nak menonton televisyen malahan lupa nak minum!

Dalam kelupaan itu, kita selalu perlukan peringatan. Di sini saya lihat di mana perlunya nasihat. Nasihat ini dibahagikan kepada dua. Nasihat daripada orang dan nasihat untuk diri sendiri.

Saya terus terang saya tak suka beri nasihat. Saya jika bagi nasihat, ia ibarat arahan. Saya mahu orang itu berubah mengikut nasihat saya. Lama-kelamaan membuatkan saya benci memberi nasihat kerana tiada perubahan pada orang yang saya berikan nasihat.

Saya kata saya hanya berkongsi pengalaman. Namun, jauh di sudut hati saya sedar itu bukanlah yang terbaik.

Baru tadi saya mengajar seorang pelajar tuisyen saya mendapat idea. Nasihat diberi bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri. Bukankah telinga yang memberi itu lebih dekat berbanding telinga orang lain?

Lalu, saya dapat mengenalpasti bahawa jika saya ingin memberi nasihat, saya kena pastikan bahawa nasihat itu juga untuk diri saya. Barulah saya mengerti maksud kawan-kawan saya bahawa nasihat ini lebih kepada diri sendiri dan bukannya orang lain.

Kita tak mahu nanti di akhirat kita menjadi golongan pertama yang masuk neraka. Dan ketika orang yang kita nasihatkan terkejut dengan kita. "Bukankah kau yang menasihati aku dahulu?"

Saya tidak mahu tunduk malu dan berkata, "Aku sampaikan tetapi aku tidak amalkan."

Aduh! Itu satu kecelakaan kepada saya yang selalu memberi nasihat ini nanti. Justeru itu saya muhasabah diri ini apakah niat saya memberi nasihat. Adakah ingin saya mendapat pahala orang itu berubah atau ingin mengubah diri saya sendiri pula?

Hal ini sama juga dengan saya menulis di blog. Adakah saya ingin mengubah diri dan menjadi pesan kepada saya atau saya hanya memberi omong kosong tanpa ada tindakan?

Tepuk dada, tanya selera.
Berminat Baca

Kepercayaan

2 bualan

Saya mengenali Zarif sejak saya tahun dua lagi di UPM. Ketika itu saya masih naif lagi dalam kehidupan bersosial. Terasa mesra apabila saya berbual dengannya.

Kemudian saya rasa tidak berapa seronok bergaul dengannya kerana sifatnya yang terlalu suka bermanja. Tambahan dengan kata-kata tidak enak saya dengar oleh rakan-rakan sekeliling saya tentangnya. Saya termakan kata-kata mereka. Kami jarang bertemu dan hanya bertegur sapa begitu sahaja apabila terserempak di tepi jalan.

Apabila berjumpa di tahun keempat dia mengajak saya menyertai sebuah kem perkhemahan. Saya tak berminat tetapi dia bersungguh-sungguh mengajak saya. Jadi saya ikut sahajalah.

Alhamdulillah bermula saya menyertai kem itu hidup saya mula berubah ke arah kebaikan. Saya berterima kasih kepada Zarif kerana sanggup mengajak saya ke kem itu.

Namun, jauh di sudut hati saya, saya berharap sangat dapat mengajak Zarif kembali mengingati saat kami pergi bersama ke kem itu. Dia mula menjauhi program-program bersifat keagamaan.

"Cukuplah aku solat seorang diri di bilik," katanya. Saya termengkelan. Saya ingin sangat melihat dia dan saya bersama ke syurga nanti. Namun, saya tahu hidayah itu milik Allah.

Baru-baru ini Zarif berhenti kerja di sebuah syarikat swasta. Saya terkejut dengan keputusan drastiknya itu. Alasannya dia sudah fedup dengan kerja di sana. Dibuli oleh bangsa lain. Dia mahukan kebebasan.

Dia memilih untuk menjadi cikgu tuisyen sepenuh masa setelah mendengar perkongsian saya tentang kerja sambilan saya sebagai cikgu tuisyen.

"Aku amat berterima kasih kepada kau Wong. Dengan kaulah aku dapat menikmati hidup bebas. Terima kasih sangat-sangat."

Saya bergembira dengan kerelaan hatinya itu. Untuk membantunya, saya juga bertanya kepada klien sedia ada saya sama ada ingin mengajar subjek yang Zarif boleh ajarkan.

"Tak apalah. Bayaran itu aku ikut kau sahajalah. Sudah kau tetapkan begitu. Tak baik jika aku letak lain pula," katanya apabila saya menerangkan bahawa bayaran dia tentukan.

Mendengar jawapannya itu saya gembira kerana Zarif tidak kisah sangat dengan harga. Moga dia dapat mengajar dengan tulus ikhlas demi memandaikan anak bangsa.

Setelah sebulan mengajar, Zarif telefon saya. "Wong, aku ada hal penting nak bagitau kau. Aku SMS Puan Laila. Dia kata mengapa aku caj lebih mahal daripada kau."

Dan bermulalah Zarif menceritakan hal sebenar. Saya terpempan mendengar apa yang dia katakan. Dalam hati saya begitu marah dengan sikap Zarif yang tidak menepati janji. 

"Tak apalah. Aku ikut harga kau sahajalah." Ayat itu terngiang-ngiang di telinga saya. Mengapa kerana duit dia mula lupa janjinya dengan saya? Dia menipu!

Dua hari kemudian bos tempat Zarif bekerja selepas berhenti di syarikat swasta mengadu kepada saya tentang perilaku Zarif yang selalu ponteng kerja. Saya bertambah terpempan. Apakah yang telah terjadi?

Selama ini saya ingatkan saya begitu mengenali Zarif. Saya ingatkan dia adalah seorang yang jujur. Seorang yang boleh saya jadikan contoh orang berjaya. Tetapi atas penipuan yang telah dia lakukan kepada saya membuatkan kepercayaan saya kepadanya mendadak berubah 360 darjah.

Ia ibarat cermin yang pecah yang cuba dicantumkan. Retakan masih kelihatan walaupun telah bercantum dengan baik. Segala memori saya bergaul dengannya seperti hilang di balik cerminan kepercayaan saya dan dia. Ia masuk ke dalam retakan-retakan yang ada di dalam cermin itu. Saya cuba cantumkan memperbaiki agar ia kekal cantik, namun kepercayan saya itu betul-betul retak. Hati saya betul terkilan dengan tindakannya itu.

Ingatan saya mula membawa kepada cara-cara dia menipu di hadapan saya. Ya saya sedar dia banyak bercakap berbelit depan saya tetapi saya abaikan sahaja. Mungkin dia sahaja ingin mencari perhatian saya. Tetapi akhirnya Allah tunjukkan juga keaiban dan keburukan menipu dan tidak berlaku jujur dalam kehidupan.

Pagi tadi saya bertanya kepada pelajar tuisyen saya tentang Cikgu Zarif. "Mak kata dia tak ajar dah," kata Syamil. Saya agak terkejut dengan tindakan Puan Laila itu tetapi saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang cikgu tuisyen. Kuasa di tangan klien.

Betullah apa yang saya fikir. Jika kawan itu boleh menipu kawan yang lain di hadapan kita hanya ingin menegakkan benang yang basah, masakan dia tidak akan menipu kita juga?

Saya doakan agar Zarif kembali kepada kejujuran. Dalam dunia perniagaan, jangan sesekali menipu. Jangan. Saya masih ingat pesan bos saya ketika praktikal dahulu, "Dua perkara ini kamu mesti ingat apabila kamu sudah bekerja nanti iaitu kejujuran dan kepercayaan. Hilang salah satu ini akan menyebabkan kamu gagal dalam apa-apa jua pekerjaan."
Berminat Baca

Sakit Mata di Hari Selasa

Berbual


Kesakitan bermula sebaik sahaja saya bangun tidur di awal pagi Selasa di biilik Fakrul.

Saya menumpang bilik Fakrul kerana pada malam itu hujan turun dengan lebat. Saya malas ingin pulang ke rumah. Jadi Fakrul membenarkan saya menumpang tidur di biliknya buat sementara.

Ketika bangun terasa sangat sakit mata kiri saya. Saya biasa mengalaminya tetapi seperti hari ini tidak seperti hari yang lain.

Selepas solat Subuh, saya sambung tidur. Ketika bangun 11 pagi, mata kiri saya masih sakit. Ketika itu SV saya menelefon bertanya khabar. Saya kata saya sakit mata dan ingin pergi ke PKU.

Selepas itu saya gerak Fakrul untuk tolong menghantar saya ke PKU.

Petangnya ketika pulang motorsikal saya tidak boleh 'start'. Saya ingin meminta pertolongan Fakrul tetapi terasa malu kerana sudah banyak dia tolong saya hari ini dengan ambil dan hantar ke PKU UPM. Terus saya teringat akan Syahmi. Saya menelefonnya dan meminta pertolongannya itu.

Alhamdulillah sempat sampai ke bengkel motorsikal dan kereta di Persint 14, Putrajaya. Rupanya rosak 'spark plug' sahaja.

Mata saya masih sakit lagi. Dr. Zarina, bilik 14, memberi saya tiga jenis ubat. Pertama ubat anti-biotik untuk mata, kemudian krim mata sebelum tidur nanti, dan ubat tahan sakit.

Entah mengapa ubat tahan sakit seperti tidak berfungsi. Sakitnya bukan kepalang. Badan saya terasa panas. Terasa hendak demam.

Esoknya saya rasa saya perlu pergi semula ke PKU untuk meminta mereka kehadapankan kes saya ke Hospital Serdang. Kali ini jika dikira sudah tiga kali saya melawat ke Hospital Serdang.

Saya tidur sementara menunggu Fakrul datang tolong. Seperti biasa saya tahu saya tidak dapat meminta pertolongannya di awal pagi. Jika tiada kelas, atau saya bukan aweknya, pasti susah benar untuk dia bermotivasi bangun menolong saya di awal pagi.

Tetapi saya tahu dia begitu komited menolong saya. Jika tidak, takkan lah dia sanggup datang petang itu mengambil dan menghantar saya pulang dari PKU. Saya mendapat surat lambat. Maka saya rasa tidak sempat untuk pergi ke Hospital Serdang. Saya cadang esok pagi.

Pada hari Khamis keadaan seperti biasa. Saya telefon Fakrul sebanyak sekali selang sejam. Akhirnya dia berkata, "Macam ni jelah," dengan suara mamai lagi, "Nanti aku sudah sampai di rumah kamu, aku call, ok?"

Saya hanya mampu menahan sakit mata ini. Nak buat macam mana. Itulah yang saya mampu buat jika ingin meminta pertolongan orang lain.

Ada juga saya meminta pertolongan adik saya tetapi dia menolak. Alasannya dia ada ujian pada pukul 10 pagi nanti. Tak apalah.

Saya cuba mencari Syahmi. Tetapi dia pula akan ke Seremban untuk urusannya.

Ketika inilah baru saya memahami erti 'kawan untuk ketawa senang jumpa, kawan untuk menangis sukar sekali.'

Ya saya kagumi sama Fakrul kerana sanggup menolong saya sehingga saya selesai berjumpa pakar mata di Hospital Serdang pada lewat petang Khamis.

"Aku tak boleh janji esok pagi aku boleh tolong. Tetapi aku boleh katakan pasti aku akan tolong."

Seperti biasa, Fakrul masih tidak ingin berjanji. Walhal dia tahu janji itu bermula dengan kata.

"Kamu masih tidak faham erti janji," geleng saya. Malas nak melayan katanya itu sambil memejam mata di kereta Proton merah Fakrul.

Paginya saya terbangun ingin meminta tolonganya. Saya lihat SMS, "Maaf Wong. Aku ada kelas esok pagi. Minta tolong orang lain ya."

Aha! Seperti saya katakan, di awal pagi, hanya ada dua sebab sahaja Fakrul boleh bangun untuk motivasinya. Sama ada awek dia meminta tolong atau ada kelas. Tidak pasti kalau ada kawannya yang lain meminta tolong akan dia buat begitu juga. Saya tidak mahu berfikir panjang. Pertolongannya semalam pun saya rasa sudah lebih daripada baik.

Alhamdulillah pagi ini mata saya tidak sakit seperti beberapa hari yang lalu. Mungkin ubat yang doktor berikan itu sudah memberikan kesan.

Saya gagahkan diri membonceng motorsikal seorang diri ke Hospital Serdang.

"Mata awak semakin baik. Saya lihat luka kornea mata awak semaki mengecut. Hari Isnin ini kita jumpa lagi untuk follow up." Kata doktor wanita.

Saya ingat lagi, ini kali ketiga saya datang ke bilik 41 satu. Seorang lelaki India dan seorang wanita Melayu menjadi penjaga setia merawat pesakit di sini.

Nampaknya hari Isnin ini saya perlu berjumpa doktor mata lagi.
Berminat Baca

Kematian Karpal Singh - Berita Menggemparkan

1 bualan
Saya melihat ini satu isu yang hangat diperkatakan.

Saya lihat juga ramai yang berlagak pandai dengan memetik kata-kata ustaz itu dan ini. Dan saya juga ingin memetik kata-kata ulama pula.

--

Pandangan Dr Aznan Hasan, Pengerusi Majlis Ulama' ISMA:

"Merasa kegembiraan dengan kematian mereka yang memusuhi Islam (atau undang-undang Islam), apatah lagi dengan permusuhan dan penentangan yang terancang adalah warid di dalam sunnah.

Menyamakan ini dengan penghormatan nabi keatas jenazah Yahudi adalah suatu qiyas yang tidak tepat sama sekali. Yahudi tersebut adalah seorang yang tidak memerangi Islam, bahkan beliau merupakan seorang warganegara di dalam negara Islam Madinah. Dua perbezaan yang tidak boleh disamakan sama sekali.

Apatah lagi untuk menyamakan beliau dengan Abu Talib. Subhanallah, di mana persamaannya?

Untuk menyatakan RIP kepada seorang kafir yang meninggal dunia, di mana semasa hayatnya adalah secara konsisten menentang Islam (atau hukum-hukum Islam) adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali. Apatah lagi untuk mengucapkan Fatihah. Secara hukum-hakam syaraknya, kita sudah tahu ke mana akhirannya di sana.

Umat Islam perlu jelas hukum-hakam syarak dan tidak sepatutnya bersifat apologetik dalam hal ini."

--

Berita terbunuhnya Abu Jahal dengan cepat disampaikan kepada pasukan Islam. Mendengar berita tersebut, semangat juang mereka semakin membara. Manakala, bagi pihak Musyrikin, berita tersebut menghancur-luluhkan semangat mereka.

Rasulullah saw mendengar berita kematian Abu Jahal daripada Abdullah bin Mas’ud ra, baginda bersabda,
”Wallahi, Laa ilaha illaLLah , Laa ilaha illaLLah, Laa ilaha illaLLah, Allahu Akbar, AlhamduliLLah, Dia yang memenuhi janjiNya dengan menolong hambaNya dan mengalahkan musuhNya.”

Begitulah kematian musuh Allah dan Rasul. Abu Jahal mati dalam keadaan yang cukup hina walaupun pada ketika itu beliau termasuk manusia yang dihormati kaumnya. Beliau mempunyai kekayaan yang melimpah ruah tetapi Allah swt tetap mengotakan janjinya untuk menghinakan dirinya.

sumber: Muslim Abdullah Zaik.

--

Jangan kita keliru sehingga kita mengorbankan maruah kita sebagai umat Islam yang kuat. Agama tak melarang kita menghormati orang lain, tetapi ada batasnya. Jangan sehingga kita menggadai agama dek teringin mencapai sesuatu. Matlamat tidak menghalalkan cara dalam Islam.
Berminat Baca

Perjalanan yang panjang untuk bujang tiga serangkai

Berbual
Saya dan Murni berdua-duaan dalam kereta. Kami baru selesai menghadiri satu bengekel bertajuk 'Businesses Model Canvas'.

Banyak yang saya belajar di bengkel itu.

Ketika sedang mengharungi lambakan kereta ini, Murni berkata, "Tak sangka kita akan sampai ke tahap ini ya."

Saya memandang Murni.

"Kita yang dari tidak tahu apa-apa sekarang sudah boleh bergerak dengan begini," tambah Murni lagi.

"Semua bermula dengan idea gila-gila si Fakrul." Celah saya.

Ya perjalanan kami sungguh jauh. Jika diikutkan perjalanan tiga serangkai kami pada tahun lepas, memang tak sangka kami boleh sampai ke tahap ini.

Kami telah membeli satu koloni kelulut pada bulan November. Kemudian saya pergi menghadiri kursus di MARDI.

Berkenalan dengan orang-orang hebat di FB grup Indo-Malayan Stingless Bee. Sekurangnya ia telah membuka minda saya bahawa dunia ini banyak lagi perlu diterokai dan dicatat.

Jika saya tidak menulis tentang peristiwa penting kami menubuhkan komplot bisnes tiga serangkai, entah ke mana nanti hendak kami ceritakan ini.

Saya pun berkata, "Aku berdoa agar kita semua terus berjaya dalam segala. Aku masih bukan ketua yang hebat. Tetapi aku berusaha. Sama-sama kita memajukan diri kita dalam mempelajari bisnes demi ummah."

Murni seperti lega dan berkata, "Perjalan kita masih jauh lagi."

Kesesakan lalu lintas ini tidak lagi kami hairan.
Berminat Baca

Bosan

1 bualan
Entah mengapa perkataan ini menyusup dalam ke minda saya. Adakah aku bosan dengan kehidupan ini? Soal saya sendirian.

Tidak banyak saya dapat buat apabila terikat dengan isu-isu remeh. Bosan melingkari kehidupan saya ini. Apabila bosan ini mula sampai ke tahap tertinggi, saya rasa letih. Entah apalah kebosanan ini melanda saya.

Bosan membuatkan saya tidak mahu hadir apa-apa mesyuarat berkaitan persatuan. Saya menantikan satu kata sergahan agar saya terjaga dari lelap kebosanan ini.

Mungkin itulah dikatakan jemu. Entah ke mana jemu ini akan saya bawa. Saya masih mencari formula menghilangkan jemu ini.

Itu sahajalah nak update di blog pada hari ini.

Terima kasih.
Berminat Baca

Identiti Manusia Melalui Janjinya

1 bualan

"Jom solat Asar." Saya mengajak sahabat saya.

Sedang kami berdua ingin menuruni tangga, dia terserempak dengan kawannya.

"Hei, jom petang ini futsal."

"Jom."

"Pukul berapa?"

"Lima setengah."

Kawan itu senyum dan memandang seperti muka tak percaya.

"Kalau kau ni, 6 petang je lah."

Mereka berdua tergelak bersama sebelum beredar.

Saya tersentak. Rupanya bukan saya seorang sahaja perasan tentang perangai sahabat ini. Orang lain juga begitu.

"Teruk." Saya memulakan bicara sambil menggelengkan kepala.

"Awat?"

"Orang dah mengecop kamu sebagai seorang yang tidak menepati janji. Sangat teruk."

Dia memandang saya dengan kerutan di dahi. Saya tidak mahu teruskan perbualan ini. Kami terus bergerak menuju ke surau fakulti.

Usai solat Asar, kami berjalan bersama menuju ke blok B. Saya mengambil kesempatan menasihatinya.

"Aku rasa kamu perlu ada kesedaran dalam diri. Aku lihat kamu ini langsung tiada sifat ingin berubah. Kamu boleh baca macam-macam buku kejayaan tetapi jika diri kamu itu langsung tak nak berubah, amatlah parah."

"Sebab itu aku perlukan orang untuk menasihati aku." Dia mencelah.

Saya hanya senyum sebelum mengeluh.

"Sahabat, aku ini hanya mampu menasihati kamu. Aku bukanlah orang yang mampu menguubah kamu. Aku lihat nasihat aku seperti mencurah ke atas daun keladi sahaja. Berapa lama sudah aku berkawan dengan kamu? Dan berapa lama sudah kamu mengubah sikap kamu terhadap masa?"

Dia diam.

"Aku hanya mampu menasihati apa yang telah aku lakukan. Aku juga ada sikap malas dan kadangkala lambat dalam menepati janji. Tetapi kamu lain. Kamu istimewa. Sekali sekala sahaja datang awal. Janji kamu juga tidak sepertii yang kamu janji itu. Kata 10 minit lagi nak datang tetapi 30 minit atau lebih kemudian baru nampak muka. Janji biar janji yang betul. Cakap sahaja 30 minit. Jika kamu datang awal daripada apa yang dijanjikan, itu satu bonus dan penghormatan kepada janji. Jika tak, kamu dah mencalar imej kamu sebagai seorang muslim."

Dia diam.

"Dan kamu tahu mengapa nasihat kamu kurang meresap dalam hati aku ini? Kerana bagi aku dalam aspek masa sendiri kamu tidak dapat hargai, bagaimana dengan aspek yang lain? Agama Islam sendiri menekankan tentang pentingnya masa. Demi masa."

Kami tiba di hadapan bilik siswazah. Seperti biasa selepas waktu 5 petang selalunya bilik ini lengang. Tinggal kami berdua sahaja.

"Adakah kita bercakap tentang kebaikan tetapi kita sendiri tidak menunaikannya? Itu satu yang amat menjelekkan. Aku tak suka orang begitu. Dia seorang yang suka berbohong. Walaupun kata-katanya menyampaikan kebaikan tetapi dia sendiri tidak melakukan itu adalah munafik. Aku hanya akan beri nasihat apabila aku sendiri mengamal dan merasai amal nasihat itu."

Dia duduk di meja kerjanya. "Baik! Malam ini juga aku akan berubah."

Saya menggelengkan kepala. Dia masih tidak memahami apakah itu janji. Dia masih bermain-main dan itu membuatkan hati saya terusik. Apakah yang aku nasihat tadi meresap masuk ke dalam benak hatinya?

"Setkan masa bila kamu nak berubah. Itu sahajalah yang mampu aku nasihatkan. Aku dahulu malas juga tetapi aku tahu aku perlu berubah. Jika tak, sampai bila aku akan mencapai kejayaan. Disiplin adalah salah satu sifat orang berjaya. Mereka berdisiplin dalam masa mereka. Dan aku berdoa agar kamu ada kesedaran dan set bila masa hendak berubah itu. Tidak tahun ini, tahun depan pun boleh lah. Yang penting kita bergerak sedikit demi sedikit untuk berubah."

Saya memandang dia bergerak keluar dari bilik ini. Jam menunjukkan 5:45pm. "Baiklah. Aku nak pergi bermain futsal. Jumpa esok."
Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia