Pengalaman berniaga cempedak

4 bualan
Apabila niat ingin berniaga, cabaran pasti datang. Tadi saya cuba menjual beberapa biji buah cempedak yang saya beli. Pada minggu lepas, ketika saya ingin membeli cempedak goreng, saya terkejut dengan harga yang dijualnya.

Sebiji dijual dengan 50 sen. "Mahalnya," rungut saya dan rakan.

"Biasalah dik. Cempedak susah nak dapat. Sekilo kami beli RM8!"

"Eh? Mahalnya."

"Kalau adik ada jual cempedak, bawa sahaja ke sini. Kami beli."

Timbul perasaan berminat untuk cuba berniaga cempedak.

Saya pun membeli beberapa biji buah cempedak dengan harga murah. Saya pun singgah ke gerai abang tersebut untuk menjualnya.

Abang itu memandang belakang dan meminta saya berurusan dengan bos.

"Berapa adik jual?"

"1 kg = RM6."

"Ish mahalnya! Tak dapat la dik. Kami berniaga. Tak untung kalau kami beli begitu." Dan saya mendengar 1001 alasan yang mak cik itu berikan.

Saya tersenyum kelat.

"Kalau RM3-4 kami beli."

Kemudian saya membawa dia melihat cempedak yang ada. "Ni tak masak lagi dik. Tak apalah dik. Adik cuba pergi ke gerai sebelah. Mungkin dia nak beli. Akak tak pandai nak peram cempedak." Kak itu berlalu pergi sambil senyum mesra dilontarkan.

Saya termengkelan. Minggu lepas beria nak beli. Kali ini kenapa tak nak beli langsung? 1001 alasan diberi. Saya berfikir. Dan terus berfikir.

Akhirnya saya dapat membuat beberapa kesimpulan ringkas:

1. Peniaga menjual mahal. Apabila ada pelanggan merungut mahal, peniaga akan berdalih dengan membeli alasan rasional mengapa mereka menjual mahal.

2. Peniaga pandai mengaut untung. Apabila saya menjual cempedak dengan harga yang mereka katakan ingin beli, tawaran saya ditolak mentah. Katanya saya jual dengan harga persendirian dan bukannya borong.

3. Jual pada keperluannya. Saya rasa saya kurang membuat kajian tentang ini. Saya dengan bersikap terburu-buru cuba merasionalkan harga. Saya ingat bahawa peniaga akan membeli daripada saya dengan harga yang mereka tawarkan minggu lepas. Tetapi sebaliknya. Saya diminta menawarkan harga saya.

4. Mengetahui harga pasaran. Di sini saya dapat lihat kelemahan saya yang cuba ingin memasuki pasaran berniaga buah. Saya tidak tahu harga pasaran dan saya sembereno sahaja masuk. Saya diminta menawarkan harga dahulu. Jelas, kak itu pandai memujuk tidak mahu membeli dengan mengatakan cempedak saya tidak berkualiti dan dia tidak sanggup ambil risiko.

5. Beli pada penjual yang dipercayai. Kelakuan kak itu menolak saya dan tidak percaya kepada jualan cempedak saya itu menunjukkan bahawa dia hanya membeli pada pembekal yang boleh dipercayai. Dia tidak ingin menanggung risiko tersalah beli bahan mentah. Saya rasa ada betulnya juga. Mana boleh beli begitu sahaja. Nanti jika dia buka dan lihat isinya tiada, dia juga rugi.

Sememangnya kalau nak berniaga perlu ada cabaran. Dan saya belajar banyak perkara. Itu lebih baik.
Berminat Baca

Iklan Thailand: Kejar Mengejar

Berbual

Saya tertarik dengan iklan kejar mengejar bak Jackie Chan berlakon. Saya ingatkan iklan Cina, tetapi rupanya iklan orang Siam. Kreatif juga iklan ini.
Berminat Baca

Kenapa Harus Mengharamkan Buku-buku Syiah dan Islam Liberal

Berbual
sumber: Facebook dan penulisnya.

Jangan samakan tanggungjawab pemerintah dengan tanggungjawab sarjana.

Dalam siyasah syar'iyyah, "Tindakan pemerintah ke atas rakyatnya adalah tertakluk kepada maslahah".

Apabila pemerintah mengharamkan sesuatu buku seperti buku Syiah, ia bukan bertujuan untuk memandulkan pemikiran rakyat tetapi demi memelihara kemaslahatan ummah yang pelbagai latar itu.

Menurut Ibnu ‘Aqil, "siyasah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun (tindakan itu) tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan oleh wahyu" (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin: 6/26)

Dalam bab pengharaman buku, kata al-Imam Ibnu al-Qayyim, "Bahawa buku-buku sebegini yang berisi dengan pembohongan dan bid'ah, maka hendaklah dimusnahkan dan dihapuskan. Ia lebih utama daripada menghapuskan alat hiburan, alat muzik dan bekas arak. Sesungguhnya bahayanya (buku-buku tersebut) lebih besar daripada bahaya semua ini..." (al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar'iyyah: 714)

Adapun bagi para sarjana Islam, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk berhujah secara ilmiah, berdiskusi, berdebat, mengarang, berceramah dan sebagainya bagi menjelaskan kesesatan sesuatu ideologi secara intelektual dan keilmuan.

Maka barangsiapa yang memutarbelit, menukar tempat atau menafikan tanggungjawab salah satu atau kedua-duanya, maka sungguh dia telah keliru lagi mengelirukan!

--

Ini adalah balasan komen kepada artikel 'so called' ustaz Wan Ji, pemegang pemikiran Islam Liberal.

nota: Untuk makluman, Projek Dialog adalah pemegang kepada agenda Liberal, Pluralisme, dan adik beradik yang mampu menyesatkan lagi mengelirukan!
Berminat Baca

16 Personaliti Yang Menggugah Rasa!

4 bualan
Saya duduk diam memerhati apa lah si Fakrul lakukan. Kusyuk benar di melihat skrin laptopnya.

"Hang buat apa tu?"

Dua kali saya menyapa barulah dia menyahut.

"Ni aku sedang menyiapkan ujian personaliti. Mai la cuba."

Saya pun kemudian pergi ke http://www.16personalities.com/.

Menarik. Keputusan menunjukkan saya ini jenis INTJ.

Belek punya belek. Ish. Mungkin juga.
Berminat Baca

7 Jenis Pengomen Blogger

6 bualan
Saya tertarik dengan satu pandangan bernas oleh blogger Jeremy Myers tentang jenis-jenis pengomen yang ada dalam dunia blog ini.

Mari kita lihat dan baca setelah saya adaptasi post dia itu. Dimanakah kita?

1. Penyempam

Jenis ini kita akan dapat lihat dari segi komennya yang ada pautan apa entah. Selalunya dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa yang bukan Orang Melayu guna seharian.

2. Penjela-jela

Dia menulis sampai boleh buat satu karangan panjang! Lebih daripada 300 patah perkataan!

Mereka selalunya adalah daripada orang yang baru nak masuk dunia blog. Selalunya mereka tak faham bahasa tersembunyi komen dunia blog yang biasanya pendek dan manis (lebih kurang 50 patah perkatan sahaja).

Bagaimana mengendalikan mereka?

Pertama, puji usaha mereka mengomen dengan baik. Tidak salah nak komen berjela. Semangat itu harus dipuji. Kemudian beri cadangan kepadanya untuk tulis satu entri khas respon kepada post blog.

Di samping itu dapat bertukar idea dan menjalin hubungan baru antara blogger.

3. Pentak masuk akal

Anda baca komen itu dan terpacul, "apa!?" Entah tak terkata nak fahami apa yang dia tuliskan itu. Nak kata bahasa pengomen Alien tak juga.

Bagaimana mengendalikan mereka?

Tulis sahaja, "saya kurang faham. Boleh jelaskan?" atau lebih mudah, "uh? apa?"

Selalunya jika memang dia selalu datang ke blog anda, dia akan komen memberi penjelasan. Jika tak, hanya penjalan blog yang tegar. Abaikan.

4. Pentak baca

Pengomen ini memang tak baca apa-apapun selepas tajuk. Terus sahaja komen. Entah pendahuluan pun tak sempat nak baca.

Selalunya blogger akan menulis tajuk 'umpan' dan perenggan pertama yang 'bump' bagi menarik minat orang baca. Yang si pembaca ini memang sudah menjadi tabiat penjalan blog tegar, terus sahaja komen tanpa asal usul niat nak membaca.

Apa yang kita dapat buat hanya gelak sahaja. Mereka ini memang terburu-buru orangnya. Komen suruh dia baca kembali post itu. Jika tak, dia hanyalah blogwalker tegar yang datang sekali dan tak kisah nak datang lagi. Hanya titipan salam pautan sahaja.


5. Pempromosi diri

Dia ada agenda tersendiri. Dia ingin menterkenalkan dirinya dengan pelbagai pautan diletakkan selepas komen apa entah.

Bagaimana nak respon? Saya tak kisah sebenarnya kerana memang itulah kebenaran blog. Sedikit promosi diri tidak akan memakan diri. Tetapi jika berlebihan, nampaknya ada sesuatu yang mengurang senang hati ini.

Saya akan balas, "Terima kasih! Saya akan cek pautan itu nanti." Ya saya akan cek kemudian, dan tinggalkan komen juga atas membalas jasa dia datang komen ke blog. Hey, kita perlu saling bekerjasama bukan?

6. Pen-umum

Kita dapat kenal orang ini dengan komen bersahaja tidak lebih 3 patah perkataan. "Terima kasih. Menarik!", "Hebat! Suka baca.", "Tahniah! Baik orangnya.", "Memang begitu jadinya..." dan anda sendiri tahu, bukan?

Pada mulanya saya buang sahaja komen sebegini. Namun, kemudian saya menerima emel daripada mereka bertanyakan mengapa? Rupanya mereka memang setia membaca blog saya. Hmmm.

Lama-kelamaan saya biarkan sahaja. Hanya balasan, "Terima kasih kerana membacanya." sudah memadai.

7. Pengomen ikhlas dan jujur

Dia memang patut dihargai dan perhatian diberikan sepenuhnya. Komen dia selalunya kurang daripada 100 patah perkataan dan kena pada topiknya. Apatah lagi ada unsur-unsur mesra dalam komen mereka.

Kita patut menghargainya dengan menyediakan satu widget khas di sidebar dengan tajuk 'Pengomen Teratas' demi menghargai usaha mereka itu.


Berminat Baca

Puisi: Di bawah lampu jalan

2 bualan


Malam itu gelap nan sepi
Mulut-mulut mengeluar bunyi...

Mereka kata dia bodoh.
Mencari kunci yang hilang di bawah lampu jalan.

Mereka kata dia dangkal.
Mencari kunci yang hilang berdekatan cahaya.

Mereka kata dia dungu.
Mencari kunci yang hilang bukan pada tempatnya.

Kerana apa dia mencarinya di situ?
Mungkin selesa kerana petunjuk hanya itu
Walau dia tahu kunci itu jatuh ketika kita keluar dari rumah

Entah di mana kunci itu hilang
Mencarinya di bawah cahaya
senang memberinya kelegaan.
Berminat Baca

Di sebalik kebenaran dengan tanamsendiri.com

7 bualan
Saya suka melawat blog-blog homegardening. Mereka mempunyai gaya berkebun cara tersendiri yang kadang kadang berlainan dengan apa yang saya belajar selama ini. Menarik. Saya juga kagum dengan keteguhan mereka berkebun.

Tanamsendiri.com adalah salah satu blog yang pernah saya suka lawat dan baca. Empunya mempunyai idea berkebun, yang bagi saya menarik dan inovatif. Empunya blog juga sanggup menanggung risiko memakan makanan tanam sendirinya yang dia baca (moringa konon?)

Jika sayalah, saya memang takkan mencuba selain apa yang saya nampak sendiri atau kawan bagitahu. Jika hanya baca buku dalam kisah dongeng orang puteh, memang takkanlah saya mencuba sendiri makan hal itu.

Lalu saya memang hormat sama empunya blog akan hal itu.

Namun, semakin tinggi ilmu seseorang itu, betullah akan sombong jua ia. Saya ingatkan semakin berisi padi, semakin tunduk padi itu. Tetapi semakin tinggi padi itu sampai hingga nak patah batangnya!

Bukti jelas resmi padi itu bukan menunduk, tetapi meninggi.

Jelas, empunya blog telah bersikap jumud dalam perkongsian ilmunya dengan menganggap orang lain itu ilmunya tiada. Ya jangan ingat empunya blog sahaja pandai merujuk jurnal dan bagai. Kami, saya dan rakan-rakan juga tergolong dalam dunia akademik. Kami juga tahu jurnal untuk dirujuk.

Sepatutnya blogger homegardening saling lengkap melengkapi. Jika saya tak jual, saya boleh forward kepada orang yang jual. Jika benih yang saya jual juga tiada dalam stok, saya boleh forward kepada yang ada. Bergerak dalam kumpulan itu lebih bagus berbanding berlagak bahawa dia sahaja yang jual murah.

Inilah akibat apabila ada yang ingin memonopoli pasaran. Baru saya faham kelemahan erti 'pasaran monopoli' semasa saya ambil subjek pemasaran dahulu.

Perenggan terakhir itu semacam mengatakan empunya blog tidak menyindir. Heh.

Saya tegaskan di sini bahawa niat saya hanya berkongsi. Tidak lebih daripada itu.

Mungkin empunya ingat saya melepaskan geram untuk menjatuhkan blog empunya? Hmmm. Mungkin kerana terlalu sibuk berbisnes sampai ulasan atau komen saya dianggap begitu. Maaf ya tuan. Saya tak bermaksud begitu.

Saya percaya rezeki itu milik Allah. Dan rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kesihatan, masa, isteri, anak, dan kekayaan.

Lalu, saya tidak lokek untuk mempromosikan blog tanamsendiri.com tentang kebaikan yang mereka sebarkan. 

Gambar di atas hanyalah sebahagian yang saya tolong untuk mempromosikan blog tanamsendiri.com.

Namun, apakan daya, empunya blog sudah mula lupa diri, bagi saya yang selalu melawat blognya.

Ketahuilah bahawa rezeki itu milik Allah. Dan janganlah lokek nak berkongsi dengan orang lain, hanya kerana nama sudah mula naik. Memandang pandangan orang lain itu hanya picisan? Heh.

Tak kurang pun sedikit ilmu saya kerana saya percaya ilmu itu segalanya milik Allah.

Akhir kata, saya memohon maaf kerana tersalah tempat memberi komen. Dan, Terima kasih atas sindiran itu.

Semoga maju jaya empunya blog yang dikasihi oleh Allah dan Nabi.
Berminat Baca

Nasihat RIngkas

Berbual
Saya mengenali abang Azrin pada awal tahun ini di Masjid UPM. Abang Azrin ketika itu mengambil kelas pada hari Selasa dan Khamis. Kemudian terasa hendak menukar pada hari Isnin dan Rabu, kelas mengaji sama dengan Ustaz Hafiz.

Abang Azrin ini peramah orangnya. Suka menegur setiap orang yang ada di dalam kelas. Saya gembira berkawan dengannya.

Apabila masuk ke peringkat sarjana ini, saya mula sibuk dengan tugas harian. Apatah lagi cuaca sekarang tidak menentu. Hujan selalu di petang hari.

Saya mengambil keputusan untuk kurang hadir ke kelas mengaji. Lama-kelamaan kehadiran saya hampir tiada setiap bulan. Bukan apa, masa saya banyak dihabiskan di fakulti.

Petang tadi saya terkejut menerima satu mesej Whatsapps daripada abang Azrin.

"Salam. Apa cer tak datang kelas?"

Saya membalas,

"Maaf bang. Sibuk kebelakangan ni. Lagipun hujan petang hari."

"Kami pun sibuk juga. Tapi kami sanggup meluangkan masa datang mengaji."

Dup. Satu anak panah melekat di hati saya. Aduh. Terasa benar pula.

"Insya-Allah saya akan datang." Balas saya.

"Saya bukan apa. Hanya mengingatkan. Nanti kena dush dengan malaikat maut dan kita tak sempat nak khatam al-Quran, macam mana?"

Saya terkesima.

"Terima kasih kerana mengingatkan saya."

"Beres bos."

Walaupun jarang bertemu, abang Azrin tetap mengingati rakan sekelasnya. Saya bersyukur ada kawan sebegini. Walaupun kadang-kadang kami bersembang perkara dunia, namun hal akhirat selalu sahaja dia ingatkan saya.

Alhamdulillah.
Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia