Video Kontroversi Sempena Kemerdekaan ke-56

2 bualan


Pelik. Video ini memaparkan realiti namun ada juga yang tersedak ketika menonton video. Apakah yang cuba ISMA bawa ini menyimpang jauh dari realiti Islam di Malaysia?

 

Oh, juga ada azan selepas upacara Kemerdekaan. Allahuakbar.
Berminat Baca

Motorsikal

Berbual
Alang-alang saya menukar tiub motorsikal, saya juga menukar minyak hitam sekali dengan filter. Kemudian saya menukar juga lampu hadapan yang rosak.

Meter motor tertera nombor 5103. Apabila tiba 5303, wajib saya tukar lagi minyak hitam, tanpa menukar filter pula nanti.

Menurut pomen lagi, eksos motorsikal saya telah bocor. Lebih elok ditukar baharu kerana eksos bocor memakan petrol banyak. Harga RM58 ditawarkan.

Saya menelan air liur. Terfikir manalah hendak saya dapat duit sebanyak itu. Namun, bukanlah buat masa ini.

Jumlah kesemua RM27 tidak termasuk bayaran tiub.

Minyak hitam - RM16
Filter - RM6.50
Lampu hadapan - RM4.50

Entah. Saya tak tahu itu harga standard, murah ataupun mahal. Yang saya tahu saya membayar dengan duit halal yang saya dapat ketika mengajar tuisyen. =)
Berminat Baca

Pengorbanan sahabat

Berbual
Saya teringat kisah semalam.

Tayar hadapan motorsikal saya pancit gara-gara saya terlebih pam. Saya keruan. Azan Zuhur sudah berkumandang tanda khatib akan menyampaikan khutbah Jumaat nanti. Apa perlu saya buat? Satu persatu kereta berlalu pergi. Ingin saya tumpang tetapi saya tak kenal mereka.

Saya membelek telefon. Fansuri adalah orang terakhir saya telefon tadi.

Saya senyum selepas meminta pertolongannya. Alhamdulillah dia ada masa untuk datang mengambil saya dan pergi solat bersama di masjid UPM.

"Jom. Ada apa urusan tak selepas solat nanti?"

Saya hanya menggelengkan kepala tanda tiada.

"Kalau begitu, ikut aku kedai printing dan kemudian kita pergi ke HEP. Ok?"

Hanya senyuman dapat saya balas. "Selepas itu baru kita cek motorsikal kamu."

Deruan motorsikal memecah kesunyian di fakulti ini.

Dalam pukul 4 petang, kami tiba di fakulti semula. Saya memandang motorsikal. Berfikir cara nak memboncengnya. Tadi hujan lebat, sekarang hanya merintik sahaja.

"Tak apa. Kamu bawa perlahan-lahan. Aku ikut dari belakang." Fansuri menderam-deram motorsikalnya tanda memberi sokongan kepadaku.

Eh? Saya rasa lebih baik Fansuri pulang. Lagipun dia mungkin ada hal untuk diselesaikan nanti.

Dia hanya tersenyum meminta saya terus membawa motorsikal ke bengkel berdekatan. Tak la dekat. Sekitar 3 km juga saya membonceng motorsikal ini.

"Baiklah. Nanti kalau pancit lagi bagitau aku," kata Fansuri apabila kami selamat tiba.

Saya hanya senyum. "Jazakallah." Itulah ucapan yang sempat saya ucapkan.

Di dalam hati, sebenarnya saya berasa amat bersyukur ada sahabat seperti ini. Fansuri sebenarnya boleh sahaja terus meninggalkan saya keseorang membonceng motorsikal ke bengkel. Tiada masalahpun buat saya. Lagipun susana gelap dengan hujan gerimis. Habis basah nanti dia hanya kerana menemankan saya.

Tetapi dia berkorban masanya bagi memastikan saya selamat sampai ke destinasi.

Jazakallah. Hanya Allah sahaja mampu membalas kebaikannya itu.
Berminat Baca

Kelebihan Mencangkung ketika membuang air besar

2 bualan


Siapa sangka bercangkung ketika berak rupanya ada hikmah. Banyak faedah dan kebaikan buat si pencangkung. Huh.
Berminat Baca

Menyampaikan kebenaran

1 bualan
Saya selalu terkena dengan khabar angin. Saya serik untuk mendengar khabar angin. Serik juga ingin menyebarkan khabar angin. Sesungguhnya ia boleh membawa kepada fitnah.

Lebih elok saya berdiam diri jika saya tak tahu hal yang sebenar.

Oh perkara ini juga sama seperti memberi nasihat kepada kawan. Saya dahulu selalu ambil serius dengan apa yang kawan nasihatkan. Apabila mendapati kawan itu menipu, saya terasa sangat kecewa. Ini kerana saya telah menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada apa yang dia sampaikan.

"Aku cakap je boleh mohon tinggal di kolej. Lebih itu, kau kena la pandai pandai cari."

Ah. Saya sudah terkena. Saya terus dapat pengajaran, jangan percaya kepada orang yang hanya tahu bercakap. Entah tak entah ya dia sudah mengalami atau mendaftar perkara itu.

Kerana itu, apabila memberi nasihat, saya lebih suka memberi nasihat apa yang saya pernah alami. Contohnya apabila memohon sesuatu. Saya akan menyampaikan apa yang saya tahu dan apa yang saya tak tahu. Selebihnya terserah kepada orang tersebut untuk percaya atau tak.

Yang penting niat saya ikhlas kerana Allah membantu menyampaikan benda yang baik.

Jadi sebelum saya kongsikan apa-apa benda menarik di blog, saya rasa lebih elok saya selidik betul atau tak maklumat yang saya beri itu. Ada tak kesahihannya agar saya sendiri boleh merujuk nanti dan juga pengunjung terserampak di sini.
Berminat Baca

Taqiyyah Syiah di Fakulti Pertanian UPM

1 bualan
Saya melihat di jendela di bilik siswazah. Angin bertiup sepoi bahasa hari ini. Elok suasana di luar. Saya menoleh melihat sekeliling bilik pula. Kosong.

Bilik siswazah yang saya duduki tidak banyak penghuninya. Semua datang dan pergi. Minggu lepas, Oghef anak lelaki Muhammad Karbalei telah kembali ke negara asalnya iaitu Iran.

Saya hanya tersenyum memikirkan perbualan saya dengan Man beberapa hari sebelum dia pulang.

"Man, pelik la. Aku nampak si Oghef solat di surau," kata aku kepada Man.

"Eh? Biar betul. Aku dengar bapanya Kristian."

"WHAT!?" Saya terkejut mendengar berita ini.

"Ya. Kak Ina yang bagitau aku."

"Takkanlah. Nama dia bukankah Muhammad?"

"Hello. Nama tak melambangkan agama."

Saya terdiam seketika. Takkanlah. Mana mungkin orang Kristian akan menggunakan nama Muhammad. Takkan sekali dan tak pernah sekali saya mendengarnya.

Lagipun saya pernah melihat Muhammad solat di surau.

"Kemudian aku lihat si Oghef bangun selepas tamat solat Zuhur. Aku rasa dia solat Asar pula. Syiah suka jamak solat. Ketika rakaat terakhir aku lihat dia menepuk-nepuk peha sama seperti warga Iran lain solat."

Man hanya mengangguk, endah tak endah dengan perbualan kami.

Hendak dijadikan cerita, keesokannya saya terlewat solat. Ketika tiba di surau jam 2.30 petang, saya terlihat kelibat Muhammad solat. Mata saya terbungkam. "Sah taqiyyah mamat ni," kata saya dalam hati.

Entah apa pula akan dia jawab jika saya bertanya kepadanya, "What is your religion, Muhammad."
Berminat Baca

Dunia blog dan perubahannya kepadaku

2 bualan
Kali ini saya ini berbicara menggunakan perkataan aku. Terasa rindu nak guna bahasa aku.

Aku berblog pada tahun 2011. Pada awalnya aku sangat takut untuk berblog. Bagi aku ketika itu, blog ini hanyalah untuk yang pakar menulis.

Aku ini memang susah sangat nak menulis. Yelah.

Tapi semua berubah aku lihat kawan aku giat menulis. Huh. Dia menulis merapu sahaja. Tambahan penuh dengan bahasa SMS.

Aku pun bermulalah berblog.

Sehingga pada tahun lepas aku dapat satu tugasan untuk menjaga blog persatuan. Uhhh. Aku taknak sebenarnya sebab blog aku sendiri pun tak terjaga. Inikan nak jaga blog lain.

Namun, ketua aku terus memujuk. "Inilah masanya nak serlahkan potensi," katanya.

Dari situ, aku bertekad nak belajar templat blog pula. Memang aku tak tahu apa. Nak tukar templat memang tak tahu langsung.

Nak mula dari mana aku pun tak tahu. Memang bermula daripada kosong. Inilah dinamakan tingkat permulaan pembelajaran.

Aku menghabiskan masa lebih kurang 2 bulan untuk memahami bagaimana templat berfungsi. Alhamdulillah dapat mentor pula.

Kerja aku semakin lancar. Dari situ juga aku belajar bagaimana melihat blog dari sudut aku sendiri. Sudut jiwa blogger. Setiap blogger ada juga 'suaranya' tersendiri sama seperti penulis.

Tapi aku taklah dapat membuat blog dari kosong. Aku kini sudah pandai ubahsuai templat yang sedia ada.

Pada awalnya memang susah juga. Nak ubah itu dan ini. Lama-kelamaan kemahiran itu terbentuk. Aku dapat ubah templat dalam masa seminggu sahaja berbanding dahulu aku mengambil masa 1 bulan.

Di sini aku dapat simpulkan bahawa, untuk berjaya, memang kita akan bermula seperti bayi. Merangkak dan jatuh. Namun ketahuilah, itulah yang membuatkan kita berjaya.
Berminat Baca

Pergi ke Mines

2 bualan
Saya sedang membaca post lama kawan saya tentang travelognya dahulu.

Oh sungguh menggamit memori!

Saya teringat lagi semasa saya pertama kali pergi outing ke luar dari UPM. Saya ketika itu pergi bersama Haidi. Kami berdua menaiki bas UPM terus menunggu di hadapan fakulti Alam Sekitar.

Kami sebenarnya tak tahu bagaimana sistem bas di UPM bergerak. Jadi sebab itulah tunggu di sana. Tunggu punya tunggu, akhirnya kelihatan basa berwarna hijau biru membawa kertas KTM Serdang.

Huh. Apa lagi, kami terus naik.

Sampai sahaja di komuter Serdang, kami turun dan tertanya, manalah lokasi The Mines ini. Kami lihat hanyalah KTM dan bangunan di seberangnya pula deretan kedai biasa. Pelik.

"Mungkin nun di sana yang ada tertulis Giant," kata saya kepada Haidi.

"Kena naik teksi ke?" tanya dia pula.

Saya hanya mengunjit bahu tanda tak tahu.

"Adik mahu pergi mana?" Tiba-tiba seorang macha mendekati kami.

"The Mines."

"Jom naik teksi. Murah sahaja. RM10."

"Apa!?"

Kami berpandangan sesama kami.

Oleh kerana kami sangatlah naif pada hari itu, kami naik sahaja.

Sampai sahaja di depan The Mines, kami terkesima. Eh ini Mines ke? Atau yang ada tulis Giant tu?

"Abang, salah ni. Kami nak pergi yang ada Giant tu," kata saya.

"La. Kenapa you tak cakap awal-awal." Muka dia bengang.

100 meter daripada The Mines, Haidi kata memang tadi kita sudah ada di The Mines sebab kawan dia kata itu memang The Mines.

Aiseh. Salah. Kami minta teksi itu patah balik.

Sampai sahaja semula di The Mines. "RM20."

"Apa!?" saya mula nak naik hangin! Patah balik sahaja pun.

"Diskaun. Nah RM15." Serah saya.

Dia ambil sahaja. Agaknya dalam hati sudah tersengih dapat menipu dua budak polosan di tengah hari ini. Rezeki haram katanya. Cais.

Habis sahaja beli-belah, baru kami tahu jalannya pulang. Itu pun setelah kawan Haidi tunjuk jalannya. Pengajaran, jangan tanya pemandu teksi arah ke The Mines!
Berminat Baca

Kesusahan bersama

1 bualan
Saya mendapat SMS daripada pihak tertentu. Mohon untuk turut serta dalam satu program keusahawanan. Teringin saya pergi tetapi saya juga takut untuk pergi.

Yelah. Sebagai seorang pelajar siswazah, saya juga perlu menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh.

SMS tersebut meminta saya membuat pembayaran sebanyak RM30 agar dapat memudahkan kerja mereka nanti.

Dalam hati ada juga la saya terdetik nak bayar di minit terakhir. Yelah. Sebab saya tak pasti saya dapat pergi atau tak.

Kemudian saya teringat satu hadis yang pernah saya baca, bermaksud begini:

"...Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat..." - Hadis riwayat Muslim
Saya diam memikir.

Lebih baik saya bayar RM30 dahulu bagi memudahkan kerja urusetia yang bertugas.

Kalau tak dapat pergi, dapat minta balik. Jika tak, nak buat macam mana, halalkan sahajalah.
Berminat Baca

Titik Bersambung antara Sahabat

3 bualan
Saya selalu pelik. Bagaimana seorang itu boleh berkawan dan ketahui bahawa kawan itu kawan kepada kawannya.

Pelik. Namun ia satu kebenaran. Saya berkawan dengan Hambali atas tiket sejurusan. Saya berkawan dengan Hamzah atas tiket sekolej. Saya berkawan dengan Arif atas tiket sepasukan.

3 orang itu asing tanpa bertemu apa-apa.

Kemudian, saya ketahui pula Hamzah berkawan dengan Hambali atas tiket sesama rakyat Malaysia yang pergi ke Acheh.

Kemudian, saya ketahui pula Hambali berkawan dengan Arif atas tiket setingkat kolej.

Uh. Dunia ini memang satu kebetulan. Semuanya seperti kebetulan pula.

Apabila saya gabungkan kesemua titik, hanya satu sahaja saya dapat - persahabatan. =)

Moga kami kekal sehingga ke Jannah.
Berminat Baca

Tali Gitar No 6 - Dimanakah Melayu?

Berbual




Saya suka menonton video ini. Ia membuatkan saya berfikir dimanakah perjuangan bangsa dan dimanakah perjuangan agama?

Adakah ia berpisah atau seiring sejalan? Khir Rahman cuba menjelaskan melalui persepsi videonya ini.

"Dah bagi, kena la berusaha."

Teringat pesanan penyelia saya sendiri. "Orang Melayu ni memang kena tolong. Tetapi kalau tolong macam kamu.. hmph.." Beliau memandang masam ke muka saya. Heheh.

Saya faham Dr. 
Berminat Baca

Harapan Ummah - 22 Ogos Tarikh Penting Umat Islam di Malaysia

2 bualan

Pada 22 Ogos ini akan menjadi tarikh penting buat seluruh umat Islam di Malaysia.

Jika kita faham akan gerakan serangan pemikiran ini, pastinya kita tidak akan membenarkan hal sebegini berlaku. Kita tahu kesannya yang telah terjadi di negara jiran kita, Indonesia.

Langkah-langkah menangani isu adalah dengan tidak membenarkan perkongsian nama Allah. Ini sama sahaja seperti isu surau yang dikongsi bersama oleh agama lain.

Jelas dalam surah al-Kafirun, Allah telah menyatakan "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku" (109:6).

Marilah sama-sama kita, yang bergelar Islam, prihatin akan hal ini.
Berminat Baca

Salju di Sahara

3 bualan


Sebenarnya saya tak kisah pun dengan Anggun. Kenal pun tak. Tetapi saya pernah dengar lagu nyanyiannya di era hujung 90an.

Kawan saya, Bed rekomen untuk turut serta mendengar Anggun.

Pandangan saya? Lagunya enak didengar. Itu sahaja rasanya. Heh.
Berminat Baca

Terkena dan beringat dengan janji

Berbual
Telefon saya berdering. Saya mengangkat dan menjawab salam.

"Maaf Wong. Malam ini terpaksa batal la perjumpaan kita. Aku sekarang berada di UKM," kata Fansuri.

Saya hanya mengiyakan. Tidak kisah dengan alasan itu. Bukan apa, sudah saya kenal si Fansuri ini siapa. Orangnya sangatlah sibuk dan sukar nak menepati janji yang dibuat.

Jadi apabila berjanji dengannya, saya sudah ada plan B iaitu B untuk Batal.

Plan A-nya, Akan. Saya set Akan kerana temujanji saya dengan dia selalunya berada di persimpangan Jadi atau Tidak. Tiada kepastian.

Kemudian saya akan terus ambil Plan C setelah plan B berjalan. C untuk Cari kerja lain. Heh.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.” (HR Bukhari & Muslim)

Daripada saya sakit hati dengan temujanji yang dibatal di saat akhir, lebih baik saya bersedia dengan apa yang akan berlaku.

Oh bukan Fansuri seorang sahaja. Ramai lagi rakan saya begitu. Saya tak mahu kaitkan dengan Janji Melayu kerana ini berkait rapat dengan sifat seseorang itu dan bukannya kaumnya.

Oleh kerana itu penting untuk kita beringat apabila sudah terkena dengan seseorang itu. Ini agar kita tidak kecewa seperti luka yang berdarah.
Berminat Baca

Mencarut dan Memaki di dunia IT

3 bualan

Apa perasaan anda apabila anda pergi ke kedai dan ingin membeli barang, anda dirapati penjual. Dia mengeluarkan beberapa barangan yang ingin dijualnya. Kemudian, anda baru sahaja ingin memegang dan membelek, dia menjerit ke telinga anda?

Oh semestinya terkejut dan marah, bukan?

Apabila menggunakan huruf besar dalam penulisan, ia bermakna anda menjerit kepada pembaca.

Saya amat sensitif dengan perkara ini. Kerana itulah pernah saya memberi komen di dalam satu blog tentang tips penjagaan biji benih, empunya blog menggunakan CAPS LOCK dalam mengucapkan TERIMA KASIH.

Jadi saya mentafsir dia tidak sudi membaca apa yang saya sampaikan. Terus sahaja saya meminta maaf dan berundur pergi dengan cara sopan.

Saya seorang sahaja fikir begitu? Baik anda pergi ke blog editor Maznina Mohd Nor.

Jadi, jika anda sudah faham, mengapa sombong untuk mengetahui dan mengelak perkara ini? *sengih.
Berminat Baca

Kekeliruan Kata Pemeri - Penjelasan Pakar

2 bualan
Saya lihat menjadi tren anak muda kini menjadikan Atuk Google sebagai pakar rujukan utama. Kata mereka para blogger yang mereka rujuk itu hebat dalam berhujah.

Persoalannya, adakah mereka itu ahli dalam bidangnya? Jika pandangan, bukanlah patut dijadikah hujah untuk menetapkan pendirian dalam sesuatu perkara. Pandangan tetap pandangan, bukan?

Jadi, saya mengambil inisiatif bertanya kepada ahli dan pakar Bahasa Melayu Tinggi, Prof. Abdullah Hassan.



Berminat Baca

Sahabat Istimewa

Berbual
"Aku bukan tak mahu berkawan dengan si Asif," kata Zamani sambil terus memandang ke hadapan. Kami baru sahaja selesai makan tengah hari bersama.

"Cuma aku rasakan apabila berkawan dengan orang seperti dia, aku terasa seperti aku ini bukanlah istimewa di matanya."

Kereta terus meluncur pergi.

Saya diam. Saya berfikir. Perasaan istimewa. Apakah itu?

Saya merenung kembali persahabatan saya dengan Asif. Kami berkenalan di awal pertemuan ketika minggu orientasi di univerisiti. Kemudian kami jarang bertemu setelah dia pindah semula ke kolej lama.

Takdir Allah, dunia ini memang kecil, saya bertemu dengannya lagi ketika mengambil subjek Statistik di peringkat sarjana.

Rupanya dia pun sambung ke peringkat lebih tinggi.

Orangnya seperti saya, ada juga rupa seiras masyarakat Tiong Hua. Ketinggiannya juga sedikit melebihi saya. Badannya lebih besar daripada saya. Tegap.

Orangnya juga sentiasa kelihatan segak dan cool.

"Bagaimana kau boleh berkawan baik dengannya?" soal Zamani.

Saya tersenyum. Ya Asif seorang yang mesra. Sesiapapun mudah bersembang dengannya. Orangnya sentiasa berfikiran positif. Mungkin sebab itu Zamani berfikir dia terlalu kecil di mata Asif?

Saya pula tidak sepertinya. Ada kala positif, ada kala negatif. Manusia.

"Aku jadi diri aku. Lagipun, aku telah lupakan perasaan ingin menjadi istimewa di mata orang lain, sejak aku keluar dari KTP." Saya melihat keluar tingkap kereta saga hitam ini.

"Aku telah tetapkan niat apabila aku mula berkawan. Bukanlah kerana dia itu pandai atau popular, tetapi aku berkawan dengannya kerana Allah. Penerimaan dia terhadap aku adalah hak dia. Bukan aku."

Dan bukankah Zamani sendiri ini sudah istimewa? Bagi saya, setiap orang yang saya berkawan adalah istimewa. Mereka ada keunikan tersendiri.

Contohnya Zamani cukup berbakat menulis. Apa yang dia kurang adalah keyakinan diri. Itu sahaja. Saya yakin jika dia percaya dan yakin bahawa penulisan itu rezekinya yang teragung, insya-Allah, by hook or crook, dia pasti menjadi penulis yang berjaya.

Saya? *senyum.

Biarlah belon membicarakannya nanti.
Berminat Baca

Hujan Meteor

Berbual

Terbangun daripada tidur
Jam telefon dilihat
Angka 4 tertera

Bunyi dentuman berkumandang,
Adakah hujan meteor telah tiba?

Menjenguk ke jendela
Langit masih diselimuti hitam

Percikan cahaya mengelipkan mata
Bunyi rintisan air kedengaran

Allahuma soyiban nafi'a

Hujan rahmat yang turun.
Berminat Baca

Hukum Karma (bukan Kamasutra)

1 bualan
Saya duduk bersembang bersama beberapa rakan di sebuah kedai makan.

Kedai ini berada di persimpangan laluan utama. Jalan raya sesak dengan kereta lalu lalang kerana di waktu tengah hari. Waktu pejabat. Waktu makan tengah hari?

"Kau tahu, apabila aku lihat kereta lalu lalang ni, aku terus teringat hukum karma?" Zeid membuka cerita.

Kami memandangnya pelik.

"Sebelum ini apabila aku keluar simpang, memang tiada kereta bagi laluan langsung pada aku."

Dia menghirup teh tarik. "Geram aku dibuatnya."

"Kemudian ini membuatkan aku terfikir kenapa? Ada orang kata hukum karma."

Saya hanya mendiamkan diri. Mata melirik memandang Azril di kiri saya.

"Apabila aku semak semula, betul juga. Aku sendiri tak pernah beri laluan kepada kereta lain untuk keluar simpang, masakan orang lain pula nak beri laluan kepada aku."

Pekerja di kedai makan ini datang menghantar beberapa lagi minuman yang ditempah tadi.

"Setelah itu aku pun ubah sikap aku. Ada peluang, aku beri laluan untuk kereta lain keluar simpang."

Sambil memegang secawan teh O ais, saya lihat Akmal tersenyum seperti dapat mengagak pengakhiran cerita ini.

"Kamu tahu, selepas itu memang ada pula orang lain beri laluan kepada aku apabila aku nak keluar simpang."

Subhanallah. Buat kebaikan dibalas kebaikan, kata aku di dalam hati.
Berminat Baca

Melayu - Usman Awang

3 bualan
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

 - Usman Awang
Berminat Baca

Seakan tetapi tak serupa

Berbual


Pernah anda terasa seperti melihat rakan anda apabila melihat orang yang anda tak kenali? Saya selali begitu. Keliru. Hampir seakan rupa mereka tetapi memang tak serupa.

Kes ini juga berlaku dalam video ini. Huh. Serius hampir seakan rakan saya apabila FT berambut pendek. Mati-mati saya ingat rakan saya tadi berlakon iklan Watson. =P


Berminat Baca

Bahasa Mandarin

4 bualan
Bahasa ini adalah bahasa ketiga saya belajar setelah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Saya masih ingat lagi ketika saya mengambil bahasa ini semasa saya di semester dua di universiti. Ketika itu saya amat teringin mempelajari bahasa ketiga. Tidak kira bahasa apapun. Terus, bahasa Mandarin menjadi pilihan. Tambahan pula saya ada keturunan berkaitan dengan bahasa itu.

Bahasa Arab? Inilah soalan klise yang selalu saya dapat apabila saya memberitahu saya mempelajari bahasa Mandarin. Ia mengikut kehendak masing-masing. Tidak salah mempelajari bahasa lain, bukan? Jadi tidak perlu diperpanjang hal yang remeh ini. Jika suka belajar bahasa Arab, belajarlah. Tak perlu nak mengata kehendak orang lain.

Sememangnya menjadi cabaran buat saya ketika itu. Yelah, dengan tambahan bahasa ketiga, jam kredit saya menjadi 24 jam semasa semester 2 berlangsung.

Dengan kelas renang lagi. Huh. Memang bebanan itu sangat berat. Di sini saya dapat pengajaran bahawa memang boleh ambil kelas sebanyak 6-8 subjek, tetapi kesannya adalah pada masa datangnya ujian dan peperiksaan nanti.

Apatah lagi dengan tugasan yang datang menimpa-nimpa.

Alhamdulillah. Berkat doa dan semangat yang berkobar-kobar, dapat juga saya teruskan pembelajaran bahasa setiap semester genap.

Saya berjaya menamatkan pembelajaran bahasa sehingga ke peringkat terakhir tawaran di universiti iaitu level 3.

Dengarnya di UMS ada sehingga level 6. Tetapi di sini hanyalah level 3.

Saya juga beruntung kerana mendapat sokongan rakan saya iaitu Bedaduz di mana dia juga turut serta dalam mengambil bahasa menadarin sehingga level 2 bersama saya.

Cikgu atau Lao Shi yang mengajar semasa level 2 dan 3 adalah orang yang sama iaitu Lao Shi Ng. Sungguh baik dan peramah orangnya. Sampai sekarang saya masih ingat apa yang beliau ajar. Dengan gaya dan mimik mukanya, siapa boleh lupa perkataan yao dengan zou? Hehe.

Semestinya pembelajaran sesuatu bahasa perlu berterusan. Jika tak, ia akan hilang sedikit demi sedikit.
Berminat Baca

Perancangan beraya ke rumah kawan

Berbual
Untuk hari raya pertama dan kedua selalunya saya akan beraya sekitar rumah jiran dan saudara sahaja. Tidak akan pergi jauh.

Jarang juga saya ingin beraya ke rumah kawan jika tak dijemput. Ini berdasarkan pengalaman saya, mereka juga akan beraya di rumah saudara ataupun balik ke kampung halaman belah ibu atau bapa.

Selalunya saya akan SMS dahulu memohon masa mereka untuk beraya.

Oh bukanlah apa. Memang menjadi tradisi di hari raya, orang Melayu di Malaysia akan ziarah menziarahi sesama mereka. Jadi saya meneruskan tradisi yang baik ini. Di samping itu boleh lah saya mengenali rakan-rakan baru. Juga inilah masanya saya mengenali lebih rapat rakan saya.

Apatah lagi jika kawan sekolah lama menjemput datang ke rumah mereka beraya.

Walaupun begitu, atas desakan masa dan kerja, saya tidak dapat duduk lama di kampung. Hari ini akan pulang semula ke kota.

Sudah masanya menjadi serius semula. Lagipun, puasa 6 menjadi amalan sunat di bulan Syawal ini.
Berminat Baca

Beraya di rumah kawan punya kawan

1 bualan
Di petang raya kawan saya SMS mengajak kami beraya di rumah kawannya. Saya yang tiada apa-apa perancangan ikut sahaja walaupun saya sendiri tidak kenal kawannya itu.

Bak kata orang puteh, your friend is my friend too.

Syed datang ke rumah menjemput saya pergi. Kemudian kami singgah mengambil Wan pula di rumahnya di Lahat Batu.

Pertama saya ingatkan Wan tinggal di Kuala Kangsar. Rupanya itu adalah kampung halamannya. Rumah ibu bapanya di Ipoh. Agak sedih juga kerana saya tidak tahu perkara ini selama 2 tahun berkawan dengannya.

Setelah itu kami terus pergi ke Ayer Tawar pula. Perjalanan memakan masa sekitar 1 jam. Ketika tiba di lokasi raya, kami bersalaman dan bertanya khabar. Oh saya tidak bertanya kerana ini pertama kali saya mengenali Khatib. Saya hanya memperkenalkan diri.

Mengikut perbualan mereka, saya dapat tahu bahawa mereka ini sudah berkawan semenjak dari matrikulasi lagi. Dahulu mereka belajar bersama di Matrikulasi Perak. Khatib pula adalah graduan UTeM, Melaka.

Saya kurang bersembang. Hanya tersenyum dan tergelak tawa kecil mendengar perbualan mereka. Al-maklumlah saya ini hanya pelawat sahaja.

Lagipun ini bukanlah acara utama saya. Ini acara utama mereka. Buat apa saya pula yang beria bersembang pula, bukan?

Dalam sesuatu hubungan, kita perlu pandai menilai keadaan sebelum boleh beramah mesra. Mungkin ada yang berkata saya ini bukanlah orang yang mesra, tetapi itu subjektif. Lain orang lain caranya, bukan?

Kami pulang sebelum matahari terbenam meninggalkan azan manghrib berkumandang.
Berminat Baca

Kembali Ke Zaman Kampung - Iklan Raya Maxis 2013

Berbual


Ada pengajaran yang bagus dalam video ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua!
Berminat Baca

Mari Beli Makanan McDonald - Best!

Berbual


Sila tonton baru komen ya. Jika tak, anda memang blogwalkers tegar. Muahahah.
Berminat Baca

Kesalahan Utama Menggunakan Anjing sebagai ikon ucapan

1 bualan

Mengapa perbuatan mengucap selamat hari Raya Aidilfitri dengan anjing itu salah? Bukan kerana kesalahan anjing itu tetapi balik kepada asas. Haram memegang tangan bukan muhrim. Ya itu betul. Manakala memegang anjing tidaklah haram tetapi tergolong dalam memegang najis.

Kita marahkan perbuatan orang itu dan bukannya orangnya. Itu sahaja.

*updated. Terima kasih kepada Kak Dell kerana membetulkan kesalahan saya.


Berminat Baca

Pengalaman Jualan Booth Ikan Bilis

4 bualan
Setiap kali buka saya membuka booth jualan pasti ada pengalaman yang berbeza. Ada saja yang menjadi inspirasi buat ikan bilis ini.

Alhamdulillah selesai 2 hari di Karnival Aidilfitri LHDN Cyberjaya. Kakak depan booth saya ini jual baju wanita yang intrend fesyennya.

Dia sarat mengandung 9 bulan dan sedang tunggu hari bersalin sahaja. Anak ke 4. Kagum dengan kegigihan dan kegagahan dia. Siang di sini dan lepas asar di uptown. Setakat RM10k itu seperti gaji asas sahaja. Ada dia cerita sales sehari yang kasar biasanya berapa. (Sekali sembang xkan org bgtau, kene sembang mcm sdara sendiri baru nk org share)

Dan dia dari Seremban. Dia angkut baju, hanger, tolak troli semua sendiri. Tiada staf kerana stafnya buka booth baju di tempat lain.(ada beberapa booth di sekitar KL & Putrajaya).

Dengan keadaan seperti itu, dia kata "kalau akak tak bermeniaga, susah la. Punca rezeki akak memang yang ini. Akak sanggup buat semua ni walaupun akak puasa dan menunggu hari je ni (bersalin) sebab akak SUKA meniaga dan akak memang SUKA," sambil memegang perutnya.

"Suami akak tak suka. Lagipun dia memang tak pandai berniaga. Lalu, dia beri keizinan, apa lagi dik, akak pulun habisan sampai akak bersalin sendiri nanti. Kau muda lagi dik. Jangan cepat rasa lemah semangat. Orang Melayu kena kuat berniaga sebab kita memang bangsa berniaga sejak dulu. Ambil peluang. Jangan tunggu peluang."

Kakak yang berumur lewat 30-an itu memasukkan barang-barang jualannya ke dalam kotak.

Saya melambai tangan. Hebat.

sumber: Facebook group.

nota: Ini bukanlah pengalaman saya tetapi pengalaman orang lain. Harap maklum.
Berminat Baca

Cerpen murahan

3 bualan


Terkesima saya apabila membaca syarat untuk memenangi hadiah yang seciput di blog Teman Cinta Hatiku.

Sungguh rendah nilai cerpen itu buat si mata penganjur. Hanya dengan jumlah Likes dan Comments penentu pemenang.

Huh!? Lebih baik saya menghantar karya cerpen saya terus ke media massa berbanding blog murahan itu. Cuba menjaja nilai blog yang apa entah.

Serius saya marah. Sebagai seorang peminat sastera, saya sama sekali menentang cara blog ini mempromosikan cerpen. Tiada nilai langsung.

Bagaimana ingin terhasilnya pengarang berkualiti jika cara lebih kurang ala-ala Akademi Fantasia digunapakai?

Maaf. Ini bukan cara saya.
Berminat Baca

Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan

Berbual


Lagu ini banyak isi tersurat dan tersirat...
Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia