Segmen NASZ : NASZ cari bloglist Mei 2013

4 bualan


Teringin juga saya menceritakan kisah blog saya ini. Alang-alang Abang Naser mengajaknya.

Al-kisahnya blog ini saya hendak jadikan blog perkongsian pengajian ilmu hortikultur saya sepanjang saya bergelar mahasiswa. Seraya sambil memperkatakan kisah hidup mahasiswa di UPM...

Namun apakan daya, terlencong sedikit demi sedikit sehingga terpesong semuanya. Uhuks.

Sekarang hanyalah log-log ringkas yang dapat saya tuliskan sini. Baca lanjut di sini.


Berminat Baca

Penangan abang RAM

3 bualan
"Pada Sabtu lalu aku pergi ke seminar penulis. Panelisnya adalah Ramlee Awang Mursyid dan Zahiruddin Zaibidi," pembuka perbualan sarapan aku bersama Hambali dan Man.

"Eh? Ramlee Awang Mursyid. Novel dia best," sahut Hambali.

Muka aku berkerut.

"Eh takdalah. Kakak aku baca, jadi aku pun tertarikla nak baca."

Aku mengangkat kening. Hambali kelihatan seperti sedang berpeluh.

"Hmmm..." senyum aku.

"Sekarang adik lelaki aku pun ketagih baca novel Ramlee Awang Mursyid. Kau patut baca Wong. Best."

Man entah pandang ke mana. Aku rasakan dia tidak berminat dengan perbualan kami ini.

"Itulah. Menyesal pula aku tak bergambar dengan dia."

Di dalam hati ini, saya terdetik nak beli novel-novel tuan RAM. Hebat. Sampaikan kawan saya yang saya tak tahu pun dia baca novel sanggup mengaku dia membaca novel terbitan Alaf 21.

Nak juga mengkaji bagaimana boleh sampai Hambali mengatakan, "Tak jangka penulisan dia apabila kita baca novelnya."

Oh, kalau begitu, tuan RAM, novel-novelmu itu masuk dalam carta novel akan ku beli nanti (buat kajian).
Berminat Baca

Wanita Pakistan

Berbual
Saya melihat suasana sekeliling. Sunyi. Hanya bunyi penghawa dingin sahaja kedengaran. Sejuk. Suasana di sini sunyi dan sejuk. 10 meja kaku dan hanya 8 berisi. Setiap warga meja di bilik ini sibuk melayan hal masing-masing.

Saya lihat wanita di meja kiri sebelah pintu masuk bilik lena tidur dengan sari melilit di tengkuknya. Sejak pagi tadi saya lihat dia begitu. Bangun sahaja menghadap laptopnya dengan laman web berlatarkan putih dan biru.

Sekitar jam 11 pagi akan kedengaran seakan lagu-lagu hindustan yang biasa saya dengar di radio THR. Cuma tiada iringan  lagu. Hanya suara sahaja. "Acha.. acha..", "Zindagi?", "Kahona..".. Oh. Dia sedang membuat panggilan video skype bersama seorang lelaki. Tidak saya ketahui itu saudara atau kawannya.

Saya memandang semula laptop saya pula. Saya menarik nafas sedalam-dalamnya. Situasi wanita Pakistan itu seperti menyedarkan saya yang masih mengelamun. Penyelia saya sudah bertanya apakah tajuk yang saya ingin buat.

Ya saya sudah membuat keputusan tetapi tindakannya belum.

"Tu lah orang Melayu. Susah nak baca. Padahal ayat pertama Allah turunkan 'Iqra'. Bacalah." Itulah setiap kali saya dengar apabila terserempak dengan penyelia saya.

Saya tutup segala macam hubungan saya dengan rakan-rakan di dunia maya. Saya tidak mahu melihat wajah buku mereka. Biarlah saya beruzlah (menyendiri) buat sementara waktu ini sehinggalah saya tenang.

Saya menghebus nafas perlahan-lahan.

Di meja ini tersedia dua buah buku, 'Understanding Soils in Urban Environments' dan 'Urban Soils in Landscape Design'. Aku mula membukanya. Tiba-tiba di minda ini kedengaran lantuan ayat-ayat suci al-Quran 'Iqra bismirob bikal lazi kholak ..." yang baru aku baca usai solat Subuh tadi.

Aku mengerti.

Terima kasih wanita Pakistan.  Hanya apabila wajah ini dihadapkan kepada penciptanya, mungkin ketika itu baru aku sedar nanti bahayanya muka buku jika aku terus alpa. Namun, perilakumu membuatkanku sedar bahawa kerajinan membuka wajah buku menjadi pembunuh senyap masa laluku.
Berminat Baca

Seminar Penulis Sepenuh Masa

2 bualan
Alhamdulillah, telah diizinkan Allah untuk saya pergi ke Seminar Penulis Sepenuh Masa anjuran Kota Buku.

Dua panelis iaitu Zahiruddin Zabidi dan Ramlee Awang Murshid datang berkongsikan tip-tip menulis di seminar ini.

Saya dapat simpulkan dalam dua panelis tersebut:

Tuan RAM

Beliau mula curi-curi menulis ketika bekerja sebagai wartawan. Kemudian beliau berhenti melakukan perbuatan itu dan hanya menulis di waktu malam selepas tamat kerja. Lama kelamaan didapatinya kerja sebagai wartawan mula menarik masa beliau untuk menulis dengan tekanan yang banyak. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berhenti menjadi wartawan dan menjadi penulis sepenuh masa.

Baginya keputusan ini bukan datang dalam sekelip mata. Beliau mengambil masa setahun untuk berfikir dengan mengambil cuti tanpa gaji selama setahun. Setelah melakukan solat sunat istikharah, akhirnya beliau mendapat jawapan untuk menjadi penulis sepenuh masa. Kini beliau telah 2 tahun bergelar penulis sepenuh masa.

Antara tips yang beliau berikan:
1. Penulis sepenuh masa perlu berdisiplin dalam pengurusan masa
2. Dapat idea dan ilham penulisan dengan meminta pada pencipta kita - Allah.
3. Sentiasa berfikiran positif.

Tuan Zahiruddin Zabidi

Beliau baru dua bulan menjadi seorang penulis sepenuh masa. Sama seperti tuan RAM, beliau memakan masa untuk berfikir menjadi penulis sepenuh masa.

Beliau juga mengatakan amat penting untuk penulis masa kini menerapkan nilai-nilai Islami dalam penulisan mereka. Penulis ini ibarat daie' yang menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

--

Erk. Sebenarnya tak berapa sangat saya tangkap apa tuan Zahiruddin sampaikan. Yang menarik minat saya apabila tuan RAM berbicara. Heh. Maaf la yea. Kalau saya ingat saya tambah lagi.

Setakat ini, itu sahajalah yang dapat saya kongsikan bersama.
Berminat Baca

Sang Pemimpi

Berbual
Selesai jua saya membaca buku kedua dari tetralogi Lasykar Pelangi karya Andrea Hirata. Sungguh saya terpesona dengan kegigihannya demi mencapai impiannya.

Dicarinya ilmu sehingga ilmu itu diangkat membawa impiannya terus ke persada realiti.

"Aku tak suka baca novel Indonesia," kata ZJ, skeptikal dengan gaya penulisan orang sebarang itu. Saya hanya senyum tiada tanda setuju mahupun menidakkan katanya itu.

Sejak dari dahulu saya kenal dia sudah saya dapat dia seakan ada terpengaruh dengna pensyarahnya yang anti-Indon.

"Mereka tiada jati diri. Hilang nilai Melayu, Cina mahupun Jawa. Ini semua gara-gara konsep Pancasila mereka."

Saya masih senyum. Malas ingin berdebat bicara dengannya. Bagi saya, sastera tak mengenal bangsa. Jelas dalam karya Andrea Hirata ini dinukilkan beliau orang Melayu Belitong yang hidupnya melarat dan miskin mampu menggapai bintang kala mereka bermimpi.

Sebaik selesai membaca novel Sang Pemimpi, terus saya terfikir apakah mimpi-mimpi saya?
Berminat Baca

Pencuri Novel Kampung

1 bualan
Awang keluh kesah di hadapan laptopnya. Tiada daya dia ingin mencuri, namun hati dia tetap meronta agar dia terus mencuri. Sungguh dia tidak mahu melakukan perbuatan ini kerana dia tahu tiada keberkatan dalam perbuatan dia ini.

Satu jam sahaja, bukan apa, bisik hatinya. Ah. Bisikan syaitan selalu sahaja menggodanya untuk terus melakukan perbuatan dosa ini. Sudah dua bulan pencuriannya berlangsung. Ini semua bermula apabila dia dipindahkan kerja ke bidang yang tidak dia minati.

Memantau pasaran bursa saham di Internet. Ini bukanlah kerja yang dia mahukan. Seperti dia ditidakkan untuk bekerja sepenuh hati.

Dia lebih suka pekerjaan berjumpa dengan manusia berbanding terperuk seorang diri di pejabat. Ramai sahaja rakannya keluar berjalan mencari rezeki dengan berjumpa orang ramai. Tidak pula dia.

Awang tahu mencuri itu satu perbuatan yang berdosa. Apatah lagi ia melibatkan waktu kerjanya ini.

Mencuri masa. Itulah dia lakukan sekarang. Ketuk ketak bunyi papan kekunci di laptopnya itu. Dia mencuri masa untuk menulis di blognya. Teringin sangat dia menjadi seorang penulis. Terlalu sangat sampaikan habis masa kerjanya dicuri untuk menulis.

'Cerapan Akasinia', tertera jelas di skrin laptopnya itu. Kisah cintanya dilakarkan dalam blog. Nanti apabila ada masa ingin dia pergi ke mana-mana rumah penerbitan menagih simpati agar dapat terbit novelnya itu.

Sesungguhnya kisah novelnya itu terbit kala teman wanitanya, Syarifah mula menduakannya. Dia tahu dia hanyalah kuli sahaja di syarikat MLM ini. Bukan dia tidak mahu mencari kerja lain, tetapi itulah rezeki yang dia dapat setakat ini. Dan dua bulan lepas jugalah dia melepaskan Syarifah. Sudah tidak sanggup dia meratap kesedihan. Lebih elok dilepaskan berbanding terus disimpan ibarat duri dalam daging.

Gemercing lagu 'Anak Kampung' nyanyian Jimmy Palikat berdesing di telinganya.

...

Aku anak kampung tiada pelajaran
Kuli-kuli sahaja memang tidak padan
Cantik bha kau itu banyak yang tergoda
Lagi orang kaya
...

SPMnya tidaklah ke mana. Setakat dapat sambung hingga ke STPM sudah memadai. Awang datang ke Kuala Lumpur mencuba nasib. Ini semua gara-gara terpengaruh dengan kata-kata Leman, "Baik kau datang KL. Dengan STPM sahaja kau boleh menjadi pegawai."

Haram sampai kini tiada apa kerja bergelar 'pegawai' yang Awang dapat. Dengan pangkat 2.5, tidak menjanjikan dia apa-apa di ibu kota ini.

Dia lebih selesa menulis. Bait-bait puisi kampung disimpan rapi di bawah bantal di rumah setinggan dia tinggal. Takut dia untuk menghantar ke majalah-majalah sastera. Ramai pujangga indah jika hendak dibandingkan dia yang hanya anak kampungan dari Perlis.

Indah suasana padi selalu menggamit memorinya. Leka dia memerhati naik turun statistik di laptopnya, leka juga dia menyelit lirik kata yang bakal masuk dalam novelnya nanti.

Hatinya masih berbolak-balik kerana tahu perbuatannya itu masih jahat. Mungkin tidak di sisi manusia, tetapi di sisi Tuhan, balasannya di akhirat nanti.

Astaghfirullahaladzim. Awang mengucap panjang. Terus dia menutup laptopnya menjadi seperti papan hitam bersaiz 13 inci.

Tak boleh jadi. Dia tidak mahu novelnya nanti tidak berkat cerita dan jualannya.

(bersambung)
Berminat Baca

Pesta Buku Antarabangsa KL

1 bualan
Akhirnya saya dapat juga menjejak kaki di Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC. Sememangnya ia satu yang mengujakan buat saya yang kali kedua menjejak kaki ke sana.

Di sini sedikit ulasan yang ingin saya kongsikan bersama apabila saya pergi ke sana semalam.



Alhamdulillah, kemudahan surau di sini cukup selesa buat jemaah lelaki. Ruang cukup untuk jemaah yang datang silih berganti. Suasana pun selesa. Tiada berebut nak ambil wuduk.

Dari segi booth pula, saya lihat ramai juga orang yang datang. Boleh dikatakan kalau jalan, pasti terlanggar kiri dan kanan dengan manusia.

Saya pergi ke Pesta Buku ini bukan apa, nak dengar seminar 'Penulis sepenuh masa' anjuran Kota Buku. Dua orang panelis iaitu Ramli Awang Mursyid dan Zahiruddin Zaibidi. Kedua-duanya tak saya tahu siapakah mereka. Pernah dengar tetapi tidak pernah menatapi karya mereka.

Saya pergi ke sana bersama dengan seorang rakan blogger. Saya pun tak pernah bersemuka dengannya rakan tersebut. Itupun kali pertama berjumpa. Saya gelar dia kak sebab dia lebih tua daripada saya. Heh.

Usai solat Zuhur, kami berlegar sekitar Dewan PWTC untuk mencari tapak seminar tersebut dijalankan. Nasib baik ada kaunter pertanyaan. Seminar tersebut akan berlangsung di Dewan Sarawak.

Setibanya kami di sana, kelihatan ramai wanita berkumpul di Dewan Sabah. Jadi saya ingatkan kami terlambat sampai perlu beratur, kemudian rakan saya ingatkan bahawa seminar di Dewan Sarawak. Kami pergi ke sebelah dan lihat hanya 2-3 kerat manusia sahaja berada di dalam.

Kami ambil tempat duduk barisan hadapan. Sementara menunggu panelis datang, saya bertanya dengan orang belakang saya adakah kami di tempat yang betul.

"Betul dik. Ni tempat seminar bersama tuan RAM," jawab kak genit bertudung labuh.

"Saya ingat tersalah tempat sebab saya lihat dewan sebelah ramai orang beratur."

"Itu sebab Adi Putra datang untuk drama terbaru dia."

Oh. Patutla saya lihat ramai wanita beratur. Seperti terungkai persoalan saya seketika tadi.

Habis sahaja seminar, kami pergi solat Asar dahulu sebelum terus pergi mencari tempat makan. Rakan saya lapar. Saya pun sedikit lapar tapi masih boleh bertahan.

Semasa rakan saya membeli nasi Ayam yang berharga RM10, saya tiba-tiba terasa nak sertai sekali. Kira saya makan sekali lah.

Ketika itu meja makan hampir penuh dengan manusia. Rakan saya dapat cop meja makan bersama 3 orang lelaki sedang kusyuk bersembang. Seorang tua berumur lingkungan 70an, seorang muda lingkungan 30an, dan 20an.

Orang tua di hadapan saya itu seperti seorang yang terkenal. Tetapi tidak saya tahu di mana terkenalnya itu. Saya abaikan sahaja.

Habis sahaja makan, rakan saya bergambar dengan orang tua tersebut.

Kemudian kami pergi ke tingkat 4. Saya ingin melihat buku-buku jualan antarabangsa. Nasib kami malang. Banyak booth telah ditutup. Baru saya tahu yang mereka hanya buka sampai pukul 7pm. Aduh. Melepas saya.

Selepas ini saya takkan pergi ke pesta 2013 ini lagi atas sebab kekangan masa. Semoga tahun hadapan saya berkesempatan seperti tahun ini dan tahun lepas juga. Amiin.


Berminat Baca

Sastera budak kampung

2 bualan
Tadi saya bercerita dengan sahabat saya yang saya terjumpa lubuk rahsia buku sastera di UPM. Sedang seronok saya bercerita, dia menempelak saya, "Kau ni kekampungan sangat la Wong."

Saya termengkelan dengan kata-kata itu.

"Kan aku dah suruh kau pergi je kat ATMA di UKM. Situ penuh dengan buku-buku sastera Melayu. UPM ni hampeh," kata dia sambil menghembus nafas geram.

"Nama sahaja ada sasterawan negara sebagai tenaga pengajar tetapi sumber buku sastera langsung tiada. Kau bayangkan USM. Univesiti SAINS Malaysia pun ada satu bangunan khas untuk rujukan sastera Melayu."

Saya hanya mengangguk mendengar. Di situ mulalah dia membebel melepaskan ketidakpuasan hatinya bagaimana pelajar yang belajar sastera di UPM terpaksa mengunjungi UKM dan UM hanya untuk mendapatkan sumber sastera yang jitu. Ada juga sampai dia ke USM.

Nampaknya minda saya baru terbuka dengan isu-isu sastera Melayu di Malaysia.
Berminat Baca

Azimat Gaji dan Buku

Berbual
Agaknya esok saya akan dapat gaji buat kali ketiga. Jadi saya berhasrat untuk 'window shopping' di Pesta Buku esok.

Tambahan pula esok di Pesta Buku akan ada seminar menjadi penulis sepenuh masa. Saya tak mahu lepaskan peluang menghadiri seminar ini. (Yola tu. Padahal sebab percuma).

Agak pelik juga perangai saya ni. Kalau orang lain, dapat sahaja gaji akan beli baju, kasut, stok barang dapur, tudung atau barang-barang mahal yang lain. Saya ni pula membeli buku.

Walhal buku yang saya beli menggunakan gaji bulan lepas pun saya tak habis baca lagi. Kerap kali saya katakan pada diri ini, "Tak mengapa Wong. Nanti habis lah baca buku tu. Yang penting beli buku baru buat koleksi. Peluang bukan selalu. Duit boleh dicari!"

Aduh. Habislah duit poket saya untuk bulan Mei ini nanti.

Dengan itu saya berazam hanya untuk melihat sahaja buku apa yang dijual di sana. Beli... (susah nak jangka).

Saya baru sahaja tadi ajak rakan saya untuk turut pergi sama ke sana. Tetapi nak buat macam mana, dia sibuk dengan kerjanya di makmal esok.

Saya cadang nak ajak sahabat-sahabat yang lain, tetapi saya tahu mereka juga sibuk. Apatah lagi dalam masa 2 minggu ini mereka bercekang mata untuk kempen PRU-13 kali ini.

Saya kadang kadang mencelah membantu mereka. Tidak banyak tenaga yang saya dapat berikan. Saya juga perlu tumpukan pada projek sarjana saya ini. Sudah dua semester saya di UPM, namun begitu progres projek saya sungguh lambat. Saya tak salahkan sesiapa dalam hal ini. Semua 10 jari saya tudingkan pada diri yang menaip ini.

Susah saya nak kata. Banyak sangat bendera hijau, biru, biru muda, merah, putih dan macam-macam warna tergantung di sekitar Serdang ini.

Dalam hati ini, terdetik slogan "Lain Kali Lah!"... heh.
Berminat Baca

Ketenangan tahap Moksha

Berbual
Huh!? Pelik pelik je tajuk yang aku pilih kali ni. Heh.

Saya menyuruti persisiran dinding di tingkat dua Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS). Tercari-cari kod PL865 A7Y29. Sudah lama saya ingin baca buku bertajuk "The Glass Slipper and other stories". Sebuah antologi cerpen Jepun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Saya pergi melihat rak yang ketiga dari hujung barisan rak menghala ke pintu masuk tingkat 2.

Sedang saya memerhatikan kod yang ada pada setiap buku, mata saya terpana melihat yang ada. "Reunion & Other Stories". Bersebelahannya buku "Confucious". Eh? Buku cerpen China kah?

Saya ambil dan membelek buku tersebut. Jangkaan saya tepat. Ia sebuah antologi cerpen penulis China.

Kemudian saya mula melihat sekeliling. Mata saya terbuka luas. Seakan-akan cahaya menyinar apabila mentari mula naik di waktu pagi. Saya telah menjumpai rak rahsia!

Saya terus membelek buku-buku yang ada di sepanjang rak itu. Rupanya PL mewakili kod untuk buku-buku sastera Asia. Kemudian saya lihat pula buku karya Keris Mas - The Jungle of Hope. Oh hati saya melonjak gembira. Nampaknya sangkaan saya mengenai PSAS rupanya salah sama sekali.

Dahulu saya cukup sepi ingin memenuhi jiwa ini dengan sastera. Saya rindu pada buku-buku seperti "The Garden", "The Three Kids", "Coping With Connor", "Poppa's Punch", dan pelbagai lagi buku cerita Inggeris. Saya pernah bertanya pada kaunter PSAS. "Maaf dik. Sini buku akademik banyaklah. Buku seperti itu rasanya susah jumpa," jawap pegawai yang bertugas.

Mungkin sastera saya jumpa ini bukanlah sastera Inggeris (Barat) tetapi dalam bahasa Inggeris sudah memadai. Asalkan dapat memenuhi jiwa saya yang inginkan sastera.

Pasti selepas ini saya akan selalu datang melawat rak PL ini.

Bagaikan saya mencapai ketenagan tahap Moksha pula kala membaca buku ini. Saya pun tak tahu sangat apa maksud Moksha, tetapi yang saya gunakan ia sebagai metafora bahawa saya mencapai ketenangan yang selesa tanpa sebarang gangguan dari wajah buku.
Berminat Baca

Menyusun kepingan puzel Naga

Berbual
Banyak juga benda yang perlu saya baca apabila saya mula serius pada projek master saya ini. Tadi hampir 10 jurnal saya muat turun untuk dibaca nanti. Erti kata nanti itu tidak bermaksud malam ini. Mungkin esok. Heh.

Apabila mula membaca bidang yang saya minati, saya seperti begitu teruja dengan pelbagai maklumat yang melimpah masuk ke dalam minda saya ini. Tak tahu mana satu perlu dipilih. Saya kelabu mata melihat sana sini apa yang perlu dibaca. Pelbagai kata kunci saya temui. Seakan saya seorang master sekarang! (patutnya dari tahun lepas begini. Uhuks)

Namun, saya juga tahu bukanlah semua maklumat yang saya jumpa itu berguna untuk saya. Memanglah kelihatan apa yang saya baca semua seakan mengiyakan maklumat yang saya perlu. Walhal hanya serpihan sahaja perlu buat saya faham.

Membaca ini ibarat menyusun teka-teki puzel maklumat. Kita mengeluarkan tujuan dengan menyatakan soalan. Kemudian akan terbentuk seperti serpihan naga yang akan kita susun dengan maklumat yang kita dapat. Tidak semua serpihan puzel yang kita dapat muat antara satu sama lain. Perlu dicari satu demi satu demi menyelesaikan puzel yang besar ini.

Oh nampaknya besar juga naga yang akan saya satukan ini.
Berminat Baca

Mendapat hormat orang lain

2 bualan
Saya terdengar perbualan jiran sebelah meja.

"Sal, macam mana masalah room mate kawan tu?" tanya Kak Melur.

"Sekarang siap bahagikan bilik dengan marker. Tingkap jadi penanda aras," kata Sal.

"Dia selalu kata, 'Kau tak tau ke aku nak study? hah?"

Mereka tergelak-gelak mendengarnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Dia sama umur ke?" Tanya Melati pula.

"Taklah. Dia junior. Rasanya dalam final year. Peliknya kalau dia bawa kawan-kawan dia masuk bilik, boleh je. Kami yang datang ni lain pula halnya."

"Ish ish. Kalau nak orang hormat kita, kita lah perlu hormat orang dahulu."

Hmm. Saya tak tahu pula ada kes begini di kolej kediaman pelajar perempuan. Setakat ini di pihak lelaki tidak pernah saya mendengar kes sebegini. Kalau ada pun, taklah sampai membahagikan bilik dengan pen marker. Huh!?
Berminat Baca

Kapal di tengah lautan

Berbual
Selalu saya lihat filem perkapalan menayangkan kehebatan kapal mudik di tengah laut. Melawan deras ombak yang melanda kapal kala ribut menyergah. Riuh satu kapal dengan arahan nakhoda. Ke sana ke sini anak kapal berlari kelam-kabut patuh kepada arahan nakhoda.

Apabila ribut mula reda, semua yang ada tidur seadanya. Takut-takut ribut kedua datang. Tapi itu jarang sekali berlaku dalam filem.

Setelah itu ramai berterima kasih kepada nakhoda kerana bijak mengendalikan suasana yang kelam tadi. Nakhoda hanya tersenyum dan berkata, "Kita mesti mempunyai arah tujuan. Ini hanyalah rintangan kecil."

Hebat sungguh mereka di tengah laut. Kapal yang terumbang-ambing itu kelihatan kecil sahaja kala dibidas ombak yang menggunung tinggi. Seakan-akan dunia ini akan kiamat melihat mereka bertungkus-lumus mengabdikan diri untuk kekal hidup di tengah lautan luas ini.


"Dik, tak baik terumbang-ambing. Bertaut pada mana yang dapat. Serahkan segalanya kepada Allah selepas itu," pesan Kak Ros terngiang-ngiang di telinga saya.

Banyak hal berlaku sepanjang awal tahun ini. Terasa berat sahaja hati saya ni. Apabila difikirkan kembali, setiap perkara pasti ada hikmahnya.

Seperti kapal yang terumbang-ambing dihempas ombak, hanya nakhoda yang kuat dan teguh sahaja mampu memandu kapal itu jauh dan kekal terapung di tengah lautan mendalam itu.

Berminat Baca

Beruzlah dari FB

3 bualan
Petang tadi ada seorang rakan saya menghantar satu pesanan ringkas berbunyi sebegini, "Wong, kau blok FB aku yea?"

Saya tergamam membaca pesanan itu. Takda kerja saya nak blok rakan FB tanpa sebab yang kukuh. Setakat ini saya sembunyikan sahaja newsfeed rakan-rakan yang suka merengek dan mencarut di FB.

"Taklah. Aku deactivate akaun FB aku sementara waktu," balas saya.

"Oh. Ingat blok aku. Sedih kalau macam tu... huhuhu.." Saya seakan mengerut dahi membaca mesej tersebut. =.="

Buat sementara waktu ini, saya rasa lebih baik saya berhenti bersosial dengan FB. Banyak masa saya habis hanya kerana FB. Menggolek tetikus ini terus ke layar yang entah ke mana perginya.

Lagipun, entah mengapa saya terasa begitu tertekan apabila membaca perkongsian di FB. Tak kiralah sama ada baik mahupun sebaliknya. Saya terasa seperti dalam kepompong saya sendiri. Mungkin terasa lebih dari itu.

Bagi saya, FB ini ibarat sebuah pasar. Tempat manusia berkumpul dan bercerita bagai tiada yang mendengar. Berkongsi apa sahaja yang mereka rasa patut dibaca oleh orang lain.

Entahlah. Saya pandang FB ini sebagai satu privasi. Sebagaimana nombor telefon saya. Tak mungkin saya dedahkan ia kepada orang lain jika tiada kaitan dengan saya. Mungkin kerana ia seakan memberi tekanan kepada saya. Apatah lagi apabila membaca status rakan-rakan FB yang lain.

Biarlah. Saya ingin beruzlah sementara dari FB. Menyendiri buat sementara waktu daripada wajah-wajah yang tidak saya tatapi secara realiti.
Berminat Baca

Khayalan sementara

Berbual
Kenangan kelmarin bagaikan khayalan,
Menghantui keadaan sekarang,
Seperti ia hanyalah mimpi,
Terbangun dari tidur yang nyenyak,
Tiada apa yang pasti dengan hati,

Kerana ia sentiasa berbolak-balik,
Bagaikan periuk yang sedang mendidih,
Mengelegak,
Turun naiknya bahan-bahan di dalamnya.

Kejahatan dan kebaikan saling berlawanan,
Amatlah untung bagi yang bertahan,
Amatlah rugi bagi yang menolak.


Berminat Baca

Kisah Bertukar Cikgu

Berbual
Pertukaran cikgu bukanlah senang. Terutama apabila murid-murid sudah mula menyayangi cikgu tersebut.

Abah pernah bercerita bahawa dia berhenti darjah 4 sebab cikgu yang ajar dia dari darjah 1 hingga 3 meninggal dunia. Dia sedih dan tak mahu ke sekolah lagi. Jadilah dia seperti budak kampung lain. Bermain-main di sekitar kampung sahaja pada zaman akademik masih tidak menjadi sijil bekerja.

Namun, dia terharu kemudiannya apabila pengetua sekolah ketika itu, Cikgu Samad sanggup kayuh basikal sejauh 10 km datang ke rumah hanya untuk memujuk dia kembali bersekolah. Abah amat berterima kasih kepada Cikgu Samad. Dengan habisnya darjah 6, abah ada kelulusan untuk memohon di sektor kerajaan.

Abah mendapat peluang bekerja menjadi polis hutan pada umur abah 20-an.

Sekarang situasi ini kena pada saya pula. Dr. A yang mengajar subjek statistik maju ditukarkan kepada Dr. P (warga Iran) atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Saya lihat beberapa pelajar warga asing beremosi apabila ingin Dr. A kekal mengajar kami. "We will stick to Dr. A," kata Khalid kepada ketua jabatan sains tanaman.

Bagi saya pula, sebenarnya kami perlu memahami situasi ini. Setelah berbincang untuk seketika waktu, akhirnya ketua kelas (tidak rasmi) kami, Khalid (dari Oman) akan berbincang pula dengan Dr. A mengenai hal ini.

Penungguan kami membuahkan hasil apabila kami mendapat emel daripada Dr. A mengatakan bahawa dia akan mengajar kami semula pada minggu ini. Alhamdulillah.

Dr. A pengajarannya kena dengan kami kerana beliau orang Malaysia dan tahu bagaimana orang Malaysia berfikir. Dengan itu pengajarannya nampak mudah dan senang difahami ramai.

Semoga Dr. A kekal mengajar kami sampai hujung semester ini.
Berminat Baca

Mudahnya Tanam Pepasan (timun kecil)

7 bualan
Bagai timun dendang: di luar merah di dalam pahit.Peribahasa Melayu

Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Kali ini saya nak memperkenalkan pula satu lagi jenis tanaman yang telah lama bertapak di rumah saya iaitu pepasan ( Coccinia grandis).

Tanaman timun kecil di belakang rumah.

Tanaman ini juga ada sulur / tendrils.


Berminat Baca

Di Jendela Keputusan

Berbual
Duduk termenung seorang pemuda di jendela. Memerhatikan sepohon Ara nun di hujung bangunan. Elok sahaja jurai-jurai akar pohon itu bergerak perlahan dek tiupan angin-angin sepoi.

Sudah lama dia termenung. Setiap hari dia termenung. Entah apa yang tersirat di hatinya tiada siapa yang tahu. Dia simpan seorang diri. Tidak mahu diluahkan kepada orang lain. Baginya masalah yang dihadapinya itu, jika diceritakan kepada orang bagaikan ditelan mati emak, diluahkan mati bapa.

Perit di hatinya masih terkesan. Banyak perkara dia simpan seorang diri. Terus dia berlayar tanpa arah rupanya. Selama ini dia ingatkan apa yang dia buat ada tujunya, kini tidak lagi.

Sejak kebelakangan ini dia keruan memikirkan kehidupannya. Kalau dahulu selalu sahaja dia ceria. Bercerita seloroh sana sini. Kini tidak. Dia diam. Seribu diam. Entah mengapa masalah ini berat sekali buatnya.

Hanya pohon Ara menjadi pandangan harian dia di bilik nun di hujung bangunan yang penuh dengan buku itu. Selalu dia sangka buku itu pengubat hati. Membaca menjadi amalan baik untuk dia meluaskan nuansa mindanya. Tidak mahu terikat dengan dunia yang kian hancur. Apatah lagi suasana riuh rendah di luar sana bercerita tentang aib pemimpin.

Keluh kesahnya tiada siapa yang dengar. Hanya hatinya sahaja maha menahan perit yang kian menimpa.

Terus dia leka dengan menungannya itu. Borang di tangan tersemat erat. Bilalah masanya dia mengisi borang itu tiada siapa yang tahu.

Pemuda itu bangun dan duduk di meja berdekatan jendela. Dimasukkan borang itu perlahan-lahan ke dalam sampul putih bersaiz A4. Ditutup kemas lipatan hujung sampul.

Dia sudah tekad. Surat itu akan dia hantar terus ke pejabat pos. Yang menentukan rezekinya nanti hanyalah ada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Berminat Baca

Beluncas ke rama-rama

1 bualan
Seekor ulat beluncas menyeret kakinya berpusing keliling batang pokok. Ia mencari beberapa daun untuk dimakan. Daun hijau muda menjadi pilihan. Rasanya lebih manis berbanding yang berwarna hijau tua.

Nyup nyup nyup, dia menelan daun. Sedap. Habis pada ranting yang pertama, ia pergi ke ranting yang kedua pula. Aktiviti ini berlangsung untuk beberapa ketika.

Apabila tiba masanya, ulat beluncas itu duduk di hujung ranting. Bersiap sedia menyelimuti dirinya dengan jaringan putih diludahinya. Sikit demi sikit badannya dipenuhi ludahan putihnya itu. Lama kelamaan terbentuk sebuah kokun dan di dalamnya tersembunyi seekor ulat beluncas.

Tatkala angin bertiup kencang atau sepoi, kokun itu kekal ditempatnya. Entah apa yang berlaku di dalam kokun itu, tiada siapa yang tahu.

Ulat beluncas berwarna hijau itu seakan duduk diam sahaja di dalam kokun itu. Seperti ia tidak lemas pun di dalamnya.

Terus masa berlalu menampakkan sinar mentari di sebalik ufuk timur, kelihatan rekahan pada kokun itu. Sikit demi sikit rekahan itu terbuka. Keluarlah sepasang sayap lemah longlai. Sayap itu bergetar-getar untuk keluar dari kokun itu. Ia meronta-ronta agar ada yang menolongnya.

Setelah berapa ketika, sayap itu berjaya keluar dari kokun itu. Kelihatan sepasang saya berwarna biru muda. Ia berkibar sikit sikit. Semakin lama semakin kuat. Dan akhirnya terbanglah sepasang sayap di udara.
Berminat Baca

Bahasa penulisan

Berbual
"Eh, Wong, kau orang Sabah ke?" tanya Meon.

"Taklah. Aku orang semanjung."

Pelik. Ya memang pelik kenapa boleh orang tanya begitu apabila mula berkawan denga saya?

"Kamu nak pergi mana?" soal saya kepada Firdaus.

"Eh, kamu?" Firdaus mula tergelak.

Saya terpinga. Apa salahnya 'kamu'?

"Takdalah. Orang sini tak guna 'kamu'."

Oh. Tak juga. Pensyarah saya guna sahaja perkataan kamu apabila berbicara. Jarang mereka guna awak. Jadi mana yang salahnya?

Dan saya kekal dengan perkataan kamu.

Mungkin ada yang pelik dengan kata-kata saya tetapi saya berdisplin dalam kata dan penulisan. Saya percaya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, ataupun orang yang berjaya, seseorang itu perlu melatih dirinya dahulu.

Dan itulah mulanya saya berbicara secara baik. Saya jarang guna "camne, gini, gano, gitu," dan seantero dengannya.

Saya banyak baca buku penulisan dan tekniknya, ramai penulis menekankan bahawa apa yang kita kata itulah apa yang kita tulis. Pemikiran kita terhasil daripada apa yang kita fikirkan.

Jika kita tulis SMS bermakna kita berfikir begitu juga. Singkat. Sesingkat mungkin. Saya tak kata bodoh tetapi singkat. Pendek.

Lalu amatlah penting saya berdisiplin dalam penulisan dan percakapan.

"Aku rasa kamu kena kahwin dengan orang Sabah," kata Meon.

Erk!?
Berminat Baca

Congakan perkahwinan alaf 21

1 bualan
Saya memandang perut kawan saya di hadapan. Kemudian memandang muka dia kembali.

"Kos nak kahwin berapa yea?"

"Eh, tanya aku pula. Aku belum kahwin lagi lah," kata Mahmud sambil mencebik muka.

Saya ketawa mendengarnya.

Rusman lalu di hadapan kami lalu aku bertanya soalan yang sama.

"Bergantung kepada keluarga," jawab Rusman.

"Maksudnya?"

"Kalau keluarga tak bantu, mahu dalam RM25 ribu."

Gulp. Aku menelan air liur. Di dalam kepala otak ini mula berfikir, "Kalau simpan RM1 ribu sebulan, mahu 2 tahun tunggu nih."

"Tetapi sekarang keluarga tak kisah sangat nak bantu anak-anak kahwin," tambah Rusman lagi seperti tahu apa yang aku fikirkan.

"Buat pinjaman pun boleh," celah Mahmud.

Saya mula berkerut dahi. Takkan lah nak kahwin pun perlu pinjaman.

"Kawan aku orang Johor dan dia kahwin di sana. Pulangan orang yang menghulur lebih banyak berbanding kos keseluruhan majlis kahwinnya," kata Mahmud lagi seakan mengatakan tak perlu fikir sangat kos kahwin ini.

Hmmm. Susah nak kata. Mungkin itu budaya di kampung di Johor. Kalau di Perak ini, huluran wang bermula daripada not hijau sehinggalah not merah sahaja. Amat jarang mencecah not unggu. Itupun kalau saudara-mara saya kaya.

Tiba-tiba laungan tafsiran bacaan surah An-Nur ayat 32 kedengaran;

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."
Berminat Baca

Syiah bukan mazhab dalam Islam

Berbual


Penjelasan oleh Maulana Mohd Asri Yusoff. Beliau menerangkan bahawa Syiah bukanlah mazhab tetapi agama baru dalam Islam.
Berminat Baca

Gementar Azan Subuh

3 bualan
Usai solat witir berjemaah, saya lihat orang kiri dan kanan saya sudah berlalu ke belakang. "Ada hal agaknya," fikir saya.

Saya tunduk menunggu program seterusnya, tiba-tiba Ibrahim selang sebelah saya menepuk peha kiri saya. "Wong, azan Subuh ya." Dia tersenyum dan aku pun tersenyum.

Dub. Dab. Dub. Darah aku berderas laju mengalir ke seluruh tubuh. Aku senyum kambing membalas senyumannya itu.

Uhuk. Terus terang saya tak pernah azan di hadapan orang seramai ini. Apatah lagi ada tahfiz dan ustaz-ustaz terkenal. Jantung saya berdegup pantas. Ligat memikirkan alasan untuk diberikan.

Muka Ibrahim penuh berharap. 

Saya menelan air liur yang terasa begitu kelat sekali. Terasa seakan menelan sebiji buah rambutan dan bukannya air liur.

Ibrahim bangun dan pergi ke belakang. Saya tak pasti entah ke mana dia hendak pergi. Berat sungguh tanggungjawab yang dia berikan kepadaku ini.

Perlahan saya bangun di hadapan saf. Lampu di pasang. Ah. Habislah aku. Kaki aku mula menggeletar. Aduh.

Saya membaca basmallah dan selawat sebelum azan.

"Allahuakbar, alluhakbar." Laung saya.

...

Pada laungan "Haiya..." saya berhenti seketika. Eh? Sudah atau belum?

Saya memandang belakang.

"Haiya'alalsolah," kata ustaz Anuar.

Saya sambung kembali azan.

"Haiya'alal fala.."

Saya pandang belakang semula.

"Assolatukhoirul minannaum," kata ustaz Anuar.

Saya sambung azan kembali.

Habis sahaja azan, saya terus keluar dari bilik surau. Termengah.

Terasa peluh sejuk di dahi ini.

"Kenapa ni Wong?" tanya Fansuri.

"Aku rasa aku tersilap azan tadi," kata saya dengan muka sedikit sayu dan gementar. Apalah nanti orang lain fikir.

Fansuri hanya ketawa sahaja. "Salah apa?"

"Entah. Aku rasa aku azan asyhaduallaillahaillah terbalik."

Fansuri hanya senyum. Aku buat buat senyum sahaja. Entah apa la dia fikir tentang aku ini.

"Aku tak pernah azan depan orang ramai. 2-3 orang bolehlah," kata aku memberi alasan mengapa aku salah laung azan.

Fansuri aku lihat masih tersenyum tidak berkata apa-apa.

Usai solat Subuh berjemaah saya duduk di belakang seorang diri. Bersedia menunggu teguran kesalahan yang dibuat tadi.

Namun saya lihat seperti tiada yang perasan akan kesalahan itu.

Saya terbatuk batuk sambil tersenyum dalam hati.

Pemgalaman saya melaungkan azan yang takkan saya lupakan.
Berminat Baca

Drama kisah Umar R.A

Berbual


Drama ini mendapat kontroversi kerana para sahabat terdekat Nabi Muhammad S.A.W dikatakan juga tidak boleh digambarkan seperti mana Nabi S.A.W.


Berminat Baca

Pagi itu dia mati

1 bualan
Beberapa minggu ketika semester berlangsung di UPM kedengaran heboh berita kemalangan melibatkan pelajar UPM di persimpangan 4 jalan menuju ke fakulti Pertanian nun hujung luar kawasan utama UPM.
Kawasan ngeri bagi warga UPM.

Dalam keheningan pagi, pelajar tersebut membonceng laju motorsikalnya, dengarnya dia telah lewat ke kelas. Manakala terdapat sebuah kereta yang rakus ingin menyeberangi jalan yang bukan laluannya. Ingin mengambil jalan pintas di bawah kerana jalan di atas flight over itu selalu sahaja sesak terutama waktu puncak. Oleh kerana si pemandu sombong dan angkuh untuk terus juga dengan harapan tiada yang melanggarnya atau tiada kisah kerana ia sebuah kereta, maka berlakulah perlanggaran hebat di situ.

Pembonceng terus terpelanting sebaik sahaja motorsikalnya terlanggar sisi kanan kereta tersebut.

Jatuh terkulai dia di sebelah kanan kereta. Tidak diketahui sempatkah dia mengucap syahadah kerana ia berlaku terlalu pantas. Sangat pantas sehinggakan si pemandu tercanggung dengan apa yang terjadi.

Saya yang mendengar kisah itu terkedu. Sungguh simpang jalan itu memang selalu digunakan oleh saya untuk berulang-alik pergi ke kolej. Mungkin tidak melawat kawan, tapi mungkin untuk pergi singgah ke masjid. Ia masih jalan utama yang menghubungkan saya ke kawasan utama UPM.

Sebagai pembonceng motorsikal saya tahu ngerinya kemalangan. Kami bagaikan telur di atas jalan raya. Dilanggar pecah, terlanggar pun pecah. Nyawa bagai telur di hujung tanduk.

Setiap kali saya melalui tempat kejadian, minda ini ralit berfikir tentang Asyraf. Ini membuatkan saya terfikir tentang mati.

Saya penunggang motorsikal sepenuh masa. Ke mana jua motorsikal Kriss ini menjadi peneman setia saya. Tak kira kala hujan mahupun panas. Sentiasa berdamping bersama saya.

"Eeee, takutnya. Tadi aku nyaris dilanggar kereta semasa lalu terowong jalan ke fakulti," kata Ain.

"Situ memang bahaya. Memang itu jalan utama tetapi aku tetap bawa perlahan. Orang yang lalu dari atas selalunya gila memecut," kata Hans.

Saya tersentap. Sungguh. Hati ini pasti terasa sedih mengenangkan nasib pemuda itu. Dia mati, hanya kerana kecuaian seorang pemandu kereta yang ingin mengambil jalan pintas yang tidak ingin melalui kesesakan di atas.

Mati. Ia menghantui saya kala saya melalui jalan itu. Bukanlah ketakutan mati akibat dilanggar tetapi perasaan resah untuk menjawab apabila kematian itu datang kepada saya. Apakah amal saya cukup untuk menampung saya untuk sampai ke syurga? Atau dosa saya yang menggunung tinggi ini mampu menelan saya terus ke neraka jahannam?

Astaghfirullah'al azim.

Dan kerana itulah Islam mengajar saya untuk selalu mengingati mati.

Moga-moga roh Asyraf berada di kalangan orang yang beriman. Amiin.
Berminat Baca

Simbiosis manusia

Berbual
"Dahulu di taman saya tinggal selalu sahaja ada kes rompakan." Dr. Said membuka bicara. "Ada polis ronda pun masih berlaku kes rompakan."

"Kebanyakan kes rompakan dilakukan oleh warga asing. Susah nak kesan siapa mereka. Yelah, buat rumah pun kita upah mereka. Mestilah mereka tahu selok belok taman tu."

"Semasa mesyuarat JKK taman, saya mengeluarkan satu idea simbiosis kepada mereka. 'Apa kata kita upah geng untuk jaga tempat kita?' "

"Dengan itu setiap rumah di taman kumpul duit untuk bayar dalam RM2,000 kepada geng kongsi gelap untuk jaga taman. Peliknya, selepas itu memang tiada kes rompakan berlaku."

"Beberapa tahun kemudian saya pindah. Sekarang saya tak tahulah bagaimana sistem di taman tersebut."

Nak dikatakanlah simbiosis antara manusia berlaku di dalam cerita itu. Kami sekelas tergelak mendengarnya. Kelas pembiakbakaan tumbuhan saya ambil semasa saya semester 2 di UPM. Tahun 2009.
Berminat Baca

Politeknik vs Matrikulasi

6 bualan
"Akak lebih suka anak akak sambung belajar di Politeknik," kata Kak Na, dengan pakaian pegawai keselamatan UPM. "Kalau sambung belajar ke ijazah pula, lebih baik mereka masuk UiTM."

Saya hanya mengangguk kepala tanda setuju. Ada betulnya jika ingin belajar bidang kejuteraan lebih elok sambung diploma dahulu di Politeknik. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Saya bersembang dengan Mak Guard di Bangunan Pentadbiran. Ada hal untuk naik ke tingkat 4. Rupanya mesyuarat pada petang ini batal. Saya turun kecewa.

Untuk meluangkan masa saya yang sudah habis hanya untuk datang ke sini, saya melepak sekejap di kaunter masuk. Di situlah bermula perbualan tentang kelebihan pelajar lepasan Politeknik.

Saya ada seorang kawan yang sambung ijazah muda ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam bidang Megatronik. Hebat orangnya. Dia lepasan politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Di sana, graduan politeknik boleh terus langkau setahun dan masuk ke tahun 2 pembelajaran. Jadi mereka hanya perlu ambil 3 tahun sahaja dalam bidang kejuteraan Megatronik.

Di sana dia selalu bercerita bagaimana pelajar lepasan matrikulasi banyak yang tersangkut dan gugur dalam perjalanan meraih ijazah muda. Drop out.

"Mereka tak faham tentang litar elektronik. Kebanyakan mereka ikut buku sahaja. Terlalu teori. Walhal di UMP ni banyak praktikal," kata Razif.

Dari situ saya dapat tangkap bahawa pelajar lepasan politeknik lebih mahir dalam ilmu kejuteraan berbanding pelajar lepasan matrikulasi. Ini mungkin kerana didikan di politeknik yang lebih bersifat praktikan.

Perbezaan ini jelas kerana budak matrikulasi banyaknya habiskan masa dengan membaca buku. Lagipun itu sahaja yang mereka dapat buat dengan masa setahun belajar dahulu.

"Budak Cina pun sama. Bila tiba ujian dan peperiksaan akhir, terus tinggalkan aku seorang terkontang kanting siapkan tugasan," cebik Razif.


Berminat Baca

Peristiwa gantung bendera PRU

2 bualan
Saya ingat lagi suasana pilihanraya umum ke-11. Pada masa itu saya berada di tingkatan 3. Bagi pelajar sekolah, PRU ini bukanlah apa-apa. Kami masih dengan dunia belajar kami.

Bagi budak-budak nakal, mereka aktif dengan pelbagai aktiviti kerahan JKK kampung. Hamid, Adib dan Mat memang pelajar nakal di kelas.

Namun tidaklah senakal yang dilihat di video buli Pulau Pinang itu.

Saya ingat lagi pada hari Isnin ketika kelas Matematik berlangsung. Adib masuk lewat ke kelas. Dia terhinjut-hinjut masuk. Cikgu Zarina menegur, "Ai, Adib. Sampai macam mana boleh kaki kiri kamu tu cedera?"

Adib tersengih sahaja terus melangkah ke meja di belakang.

"Kalau nak tolong gantung bendera tu pun, hati-hatilah. Dahlah badan kamu tu bukan kurus." Cikgu Zarina hanya menggelengkan kepala sebelum sambung semula mengajar 'Bulatan'.

Ketika rehat saya terdengar perbualan mereka bertiga di kantin.

"Semalam kamu dapat berapa Adib?" Tanya Hamid

"RM100. Aku gantung dekat tiang depan jalan masuk Kampung Batu 8 dan beberapa tempat lagi."

Huh!? Banyak juga ya wang saguhati menolong yang mereka dapat, fikir saya. Kerja senang sahaja. Panjat gantung bendera.

Teringin juga saya buat kerja macam tu. Yelah. Bagi budak kampung, RM100 pun sudah cukup banyak. Lepas beli macam-macam baju dan makanan.

Tapi apakan daya, saya hanyalah seorang pelajar biasa yang hanya belajar pun biasa biasa sahaja ketika itu.

"Jom pergi belakang blok. Kita sepam dua lu." Hamid bangun diikuti Adib dan Mat.
Berminat Baca

Tekno-Gik Alien

1 bualan
Saya ini bukanlah tekno-gik (baca techno-geek) sangat. Kira bolehla jika hendak tahu perkembangan semasa komputer terutama bab-bab perisian (baca software) di dunia IT.

Kira saya ada asas teknikal dalam dunia IT sahaja. Tetapi tidaklah sampai saya boleh menggondam pula. Setakat format komputer dan cucuk sana sini bak tikus membaiki labu bolehlah.

Jadi selalu sahaja saya menjadi rujukan oleh kawan-kawan saya tentang IT. Ada yang minta format komputer riba mereka, ada yang minta tolong bersihkan virus dalam komputer mereka dan lain-lain lagi.

Saya tak kisah membantu mereka asalkan ada hadnya.

Ada seorang rakan saya SMS saya tanya tentang komputer. Siap tanya harga dan bagai lagi. Saya sebenarnya malas nak menjawab. Saya bukanlah tauke kedai di Low Yat untuk tahu semua harga.

Tambahan lagi dia SMS dalam bahasa Alien. Cukup tidak berkenan saya membacanya. Memanglah saya boleh mengdekripsi bahasa Alien, tetapi cubalah faham kalau saya balas penuh. Tandanya saya mahu juga dibalas penuh. Tetapi wanita tetap dengan egonya.

Untuk menjaga hati seorang rakan, saya cadangkan dia Google sahaja dengan beberapa kata kunci saya berikan. Ini zaman IT. Jika tak pandai Google, tak tahulah saya nak kata apa lagi. Parah dibuatnya.
Berminat Baca

Kebuntuan menulis

1 bualan
Orang kata, kreatif itu datang dengan bakat. Jika tiada bakat, mana hendaknya kreatif seseorang itu. Lalu, mana datangnya bakat pula? Mestilah daripada darah daging atau keturunan orang itu.

Peliknya si emak atau ayah tidak juga kreatif. Kerja kampung sahaja. Masakan boleh hasilkan anak yang kreatif?

Kreatif juga boleh dikaitkan dengan penulis. Ah senang cerita kini saya buntu untuk menulis apa. Seperti setiap yang saya tulis tiada nilainya. Entahlah.

Saya keliru juga dengan diri ini. Pada awalnya memang saya tidak percaya 'writer's block'. Saya ingatkan itu hanyalah dongengan alasan si penulis semata-mata. Tetapi apabila kena pada batang hidung sendiri barulah saya mengerti.

Kekreatifan saya mula hilang. Saya rasa saya tidak mampu lagi menulis dengan baik. Asyik ayat sama sahaja. Itu ini tetapi maka lalu terus kesimpulan namun begitu dan macam-macam lagi.

Mungkin saya perlu upgrade diri saya ini ke bentuk ultraman pula. Asyik leka sahaja tidur di bilik siswazah ini.

Aish. Itulah diri saya ini. Masih buntu dengan pemikiran yang satu ini.
Berminat Baca

Bersama jemaah penulisan

3 bualan

Saya baru-baru ini ada menubuhkan sebuah jemaah penulisan dengan harapan saya dan kawan-kawan akan bersemangat menulis. Mereka semua adalah kawan sejurusan dengan saya semasa ijazah dahulu. Kini mereka sambung master bersama saya di lain jabatan.

Saya berhasrat untuk kami sama-sama menyampaikan ilmu hortikultur bersama. Setiap ahli telah saya jelaskan tugas mereka. Kerana tidak mahu gerak kerja penulisan bertindih, saya cuba membahagikan pengkhususan.

Ada yang menulis tentang landskap, hidroponik, herba, sayur dan pelbagai lagi.

Pada awalnya rancangan ini nampak mudah. Hanya perlu menulis artikel pendek seminggu sekali buat setiap ahli. Ia akan dimuat naik pada laman web kemudiannnya.

Saya betul-betul berharap dengan tertubuhnya jemaah penulisan ini akan mereka turut membantu dan menyokong penulisan saya. Kira kami dapat menampung antara satu sama lain.

Sudah sebulan berlalu. Apa yang diharap hanyalah tinggal tertulis dalam minda sahaja. Mereka kekal dengan dunia mereka. Tiada apa yang terhasil.

Saya sangat kecewa dengan sikap mereka. Saya ini orangnya yang berpegang kepada kata. Jika kata-kata tidak dipegang, dimanakah manusia ingin berpaut lagi?

Saya bertanya betulkah ingin serius? Ada yang menagguk tanda setuju. Ada yang kata ya. Ada yang menulis di blog.

Namun, saya tidak nampak kelibat penulisan daripada mereka. Saya kecewa.

"Sibukla. Kami pun ada kerja lain la."

Saya terkesima mendengarnya. Sekurang-kurangnya katalah ada kemajuan sedikit dalam penulisan. Jika sibuk langsung, kenapa hendak masuk awal dalam jemaah ini?

Saya kecewa.

Akhirnya saya membuat keputusan sukar untuk saya berada dalam jemaah sebegini. Biarlah saya buat sendiri semuanya. Susah duduk dalam kumpulan jika hanya ingin duduk tumpang kereta tetapi tidak mahu terlibat sama.

Silent reader katanya.

Entahlah. Saya sudah tidak larat untuk menyuntik semangat menulis. Kekecewaan itu sungguh terasa dengan janji-janji manis yang mereka lontarkan.

Biarlah diri ini berjalan seorang diri. Saya akan terus berdoa agar berjumpa dengan jemaah yang betul-betul komited dalam dunia penulisan ini. Amiin.
Berminat Baca

Panggilan meraih undi

1 bualan

10.40 pm 11/4/2013

Telefon berdering.

"Hello. Assalamualaikum. Boleh bercakap dengan en Wong?"

"Waalaikumussalam. Sedang bercakap."

"Saya sukarelawan dari parti XYZ. Nak tanya awak undi siapa ya nanti?"

"Hmmm. Kak pernah dengar tak pasal Arus Baru?"

"Ha? Apa tu?"

"Ia satu arus yang menyeru agar kita mengundi calon muslim berwibawa tak kira dia mana-mana parti."

"Kira awak undi kerajaan? atau pembangkang?"

"Tempat saya dua-dua orang Muslim bertanding. Insya-Allah saya akan undi mana-mana calon yang membawa agenda Islam, yang berwibawa dalam kata dan juga tindakannya. Yang setia memperjuangkan Islam dan Melayu dalam perlembagaan Malaysia. Ini tidak kiralah dia dari mana parti pun. Saya lihat calon dan bukannya parti."

"Oh. Tak apalah. Terima kasih."

"Terima kasih."

Nampaknya bahang PRU-13 semakin hangat dengan beberapa pihak menggunakan medium yang ada untuk meraih undi.

Sebagai seorang pemuda di Malaysia sebenarnya saya sedih melihat suasana politik sekarang. Kedua-dua belah pihak bergaduh sehinggakan terpaksa meraih undi daripada orang lain. Akhirnya Islam ditolak tepi.

"Biar kita menang dahulu. Kemudian barulah laksanakan apa yang patut."

Masa ini lah, katanya.

Saya tak kisah siapa yang menang tetapi saya tetap dengan pendirian saya, mengundi CALON MUSLIM BERWIBAWA.

Calon yang betul-betul ingin melihat agenda Islam tertegak di bumi Malaysia.

Apapun yang terjadi selepas PRU-13 ini, saya perlu persiapkan diri saya dengan ilmu memimpin kerana saya yakin suatu hari nanti pasti saya pula memimpin. Jika bukan negara, tetapi keluarga saya sendiri.
Berminat Baca

Pelajar sekarang lemah subjek Sejarah dan Geografi Malaysia

Berbual

Sahabat saya, seorang cikgu pelatih di sekolah berdekatan Kelang menyampaikan situasi yang dia alami baru-baru ini. Dilihat pelajar sekarang lesu dengan sejarah dan geografi Malaysia.

Jika di peringkat sekolah rendah mungkin boleh dimaafkan, tetapi di peringkat menengah?

Patutlah saya lihat ramai budak-budak sekarang tahu meroyan sahaja di Facebook. Tahu menyalahkan orang sana situ. Suka troll sana situ tetapi hakikatnya ilmu asas hidup di Malaysia pun mereka masih kurang.

Nampaknya tugas untuk memimpin bukan setakat sahaja memimpin negara tetapi menyuntik semula semangat jati diri dalam setiap orang Melayu tentang sejarah Malaysia.

Kerana apabila hilang jati diri, hilanglah semangat patriotik dalam diri anak bangsa kita. Dan siapa lagi akan mempertahankan Malaysia 50 tahun akan datang?
Berminat Baca

Samaran blog

Berbual
Terus tangan Lukman menaip laju di atas papan kekunci komputernya. Idea yang datang kepadanya tadi begitu laju bak air mengalir di sungai. Jernih dan sejuk.

Tidak banyak yang hendak dia katakan dalam karangannya itu, tetapi cukup buat tatapan dirinya sahaja. Sudah lama dia menulis cerpen di blognya. Pelbagai kisah dia nukilkan buat pengajaran dirinya.

Dia tidak berminat mempromosikan cerpen-cerpen nukilannya itu. Biarlah ia kekal di blog rahsianya. Tidak ramai tahu bahawa blog 'Di Persada Jawi' ditulis olehnya. Berbekalkan nama samanaran 'Fansuri', dia giat menulis cerpen cereka nyata.

Diulit pengalamannya yang jelas dengan sedikit imaginasinya. Memang ia kelihatan pengalaman betul, tetapi tidak dia mahu orang yang membacanya dapat menduga itulah dia.

Dalam dunia era media sosial menguasai hidup manusia, dia tidak kepingin popular dengan Facebook, twitter, Google plus ataupun Friendster. Biarlah dia dengan dunia penulisannya itu. Ya mungkin ada seorang yang bergelar 'ustaz' mampu popular dengan blog sejak dia dari tingkatan 6 dan terbang ke Jordan untuk belajar agama, tetapi Lukman tidak begitu.

Ilmu agama yang dipelajarinya tidak mahu dia gunakan untuk kepentingan diri sendiri. Berbicara dalam Facebook bagaikan seorang yang alim, hanya kerana meletakkan doa agar orang yang dikecamnya itu mendapat hidayah. Ah! Pemikiran tipikal penyokong sesuatu organisasi.

Lukman bencikan orang gaya begitu. Dia membaca buku-buku ustaz itu. Dahulunya dia menjadikan ustaz itu sebagai contoh untuk dia menulis di blog. Dia melihat ustaz itu berjaya sungguh dengan blognya itu sehingga tertubuhnya syarikat berdasarkan nama blognya itu.

Ah! Manusia. Berbicara seakan-akan dia itu malaikat. Mengkritik sana situ tidak sama seperti apa yang ustaz itu tulis dalam bukunya.

Lukman hampa. Hipokrit rupanya si ustaz itu. Oleh kerana bicaranya itu tidak sebulu dengan organisasi bertentangan dengannya terus dia mengkritik sana situ.

Ah! Biarlah dia dengan gaya hidupnya. Lukman lebih selesa tenggelam dalam dunia cerpen nyatanya itu.

Pernah yang mengunjung ke blognya itu si ustaz yang dikatakan itu. Memuji cerpen Lukman yang telus. Lukman kembang kempis hidungnya buat seketika. Bangga ada orang yang terkenal memuji nukilannya itu.

Tetapi setakat itu sahajalah. Tiada apa-apapun terjadi. Hanya pujian penaik semangat.

Kemudian Lukman tersentak. Astaghfirullah. Dia leka dengan pujian manusia sehingga lupa pujian manusia itu hanya memakan diri manusia itu sendiri.

Terus dia membentangkan sejadah di 1/3 malam untuk bermunajat kepada Tuhan yang satu.

"Man, kau ikut tak blog Fansuri? Terbaiklah tulisan dia. Aku suka gaya penulisannya. Santai tetapi mendalam!" Duduk Hanis di sebelah Lukman.

Lukman hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Dalam hati dia hanya tersenyum. Nampaknya identiti rahsianya masih kekal rahsia.

Dia tidak suka membongkarkan bakatnya dalam menulis. Pengalaman mengajarnya sesuatu bahawa orang yang banyak bercakap ini kurang kerjanya.

Dahulu cukup suka dia membangga diri dia ini pandai menulis. Habis semua orang dicanang yang dia pandai menulis. Dibawanya kertas cerpennya itu ke hulu ke hilir di sekolah menengahnya dahulu.

Ada yang memuji dan ada yang neutral. Tiada pun yang mengkritik. Lagi Lukman bangga dengan kisah itu. Sedang asyik dia menunjuk cerpen itu, tiba-tiba cikgu Azman, guru Bahasa Melayu berada di belakannya.

"Hah Man, Cikgu dengar kamu ada menulis cerpen. Mari sini cikgu baca," kata cikgu Azman.

Lukman menghulur tiga helai kertas kepada cikgunya itu. Dalam hatinya timbul perasaan inginkan pujian dan kata semangat oleh cikgunya itu.

"Ala. Biasa sahaja cerpen ini. Kenapa lah satu sekolah juga kamu nak bisingkan?" kata cikgu Azman sambil menyerahkan kembali helaian-helaian kertas tersebut kepada Lukman.

Lukman terdiam seketika. Mukanya merah padam. Kawan-kawan yang berada di meja makan kantin mula berbisik. Entah apa yang mereka bisikkan itu Lukman tak tahu. Dia terasa seakan ada orang yang mencurah air sejuk di mukanya itu.

Terus dia bangun dari tempat duduknya dan beredar pergi. Dia berasa kesal dengan kritikan cikgu itu. Balik sahaja dari sekolah dia duduk berkurung di bilik memerhatikan cerpennya itu. Lama sungguh dia perhatikan. Akhirnya dia bangun dan mengoyakkan helaian-helaian kertas itu dan mencampakkan ke dalam tong sampah.

Pada malam itu juga dia pergi melepak di kedai buku Pak Husin, tempat kegemarannya melepaskan geram. Memang pelik hobinya itu. Apabila terasa sedih, marah mahupun kecewa, bukulah ubat terbaik buatnya. Dia ralit membaca buku-buku yang ada di kedai itu.

Pak Husin kenal sungguh dengan Lukman. Dia membenarkan sahaja Lukman membaca buku di situ. Dia tahu Lukman bukanlah orang kaya. Kadang-kadang semasa cuti sekolah dia mengajak Lukman bekerja di kedainya itu menjaga buku.

Walaupun kedai buku itu kelihatan usang, tetapi jangan dipandang enteng buku yang dijualnya. Dari buku sekolah sehinggalah buku falsafah ada sahaja di kedai Pak Husin.

Kerana itu Lukman gemar melepak di kedai buku ini. Dia asyik dengan dunia tanpa bantasannya itu...

--

(bersambung)
Berminat Baca

Serius dalam sesi ujian PTD

2 bualan
Pada hari Sabtu lepas hangat di Facebook budak-budak lepasan ijazah muda mengenai ujian kemasukan PTD. Sedang asyik kami bersembang di FB, ada pula bertanya apa itu PTD?

Huh!? Ceruk mana la si minah ni tinggal? Fikir saya. PTD atau lebih panjangnya Pegawai Tadbir Diplomat adalah jawatan yang menjadi idaman para graduan sejak mereka masuk ijazah lagi (mungkin?). Heh.

Semalam sibuk juga rakan-rakan saya bersembang tentang ujian yang sukar itu. Dengan soalan penyelesaian masalahnya, pengajian Am, dan juga esei bahasa Melayu serta bahasa Inggeris.

Pening, pening.

Saya ada juga bertanya apakah persediaan mereka untuk menghadapi ujian PTD nanti.

"Entahlah. Aku tak baca apapun lagi. Tengoklah macam mana. Kalau ada rezeki, baguslah."

Saya termengkelan mendengarnya.

"Aku tak kisah pun. Mencuba je. Kalau dapat, ok la. Kalau tak, bukan rezeki. Nak buat macam mana?"

Hampir semua menyerahkan diri kepada takdir. Namun usahanya mana ya? Saya akui panggilan yang sekejap membuatkan mereka terkejut seketika. Mana taknya mereka baru tahu mereka kena ambil ujian ini hanya seminggu sebelum ujian berlangsung.

Wah!? Mana nak bersedia.

"Entahlah. Tanya soalan macam SPM. Sudahlah otak aku berkarat. Ish..."

Saya hanya tersenyum mendengarnya.
Berminat Baca

Cuai di ladang

4 bualan
Petang tadi saya sempat singgah ke ladang 10 untuk melihat semaian benih rosel saya semai minggu lepas. Alhamdulillah benih tumbuh subur.

Saya lihat apa salahnya saya dermakan sedikit anak benih yang ada ini kepada rakan saya, seorang pelajar PhD dari fakulti Fizik. Saya pun menelefonnya dan mengajak dia datang ke ladang 10. Handphone biasanya saya letak di poket kiri atau kocek kiri jaket saya.

Saya lihat dia gembira menerimanya. Sayapun gembira memberinya.

Selepas mengucapkan terima kasih saya membonceng motorsikal untuk singgah di Masjid UPM. Sedang membonceng itu saya rasa lain macam. Terasa ringan sahaja poket kiri ini, atas dan bawah.

Saya berhenti di tepi jalan. Ya Allah, handphone saya tiada di tempat biasa. Kemudian baru saya teringat saya ada memasukkan handphone saya di poket kanan, bersama dengan dompet.

Agaknya kerana terlalu padat, handphone saya terloncat keluar dari poket kanan.

Saya risau. Bukan apa, banyak nombor telefon di situ. Yang lain saya tak kisah. Kredit ada RM4 sahaja.

Terus saya patah balik dan melalui sekeliling laluan yang saya lalu tadi. Tiada. Hati saya kerap berdoa agar handphone saya ada di ladang. Saya takut ia tercicir semasa saya di jalan raya. Mesti hancur nanti.

Saya rasa saya perlu menelefon handphone saya itu. Lihat siapa yang jawab nanti. Tetapi masalahnya dengan apa? Terus saya fikir rakan saya yang tinggal di kolej serumpun - Fansuri. Mungkin dia boleh tolong saya.

Saya singgah ke biliknya namun nasib tidak menyebelahi saya. Dia tiada di bilik.

Saya singgah pula di bilik Ikhsan. Pun tiada. Fikir punya fikir, saya teringat bilik rakan saya di kolej 14, Amran.

Setelah penat melangkah tangga tingkat 4, saya hampa juga. Tiada sahutan dari dalam bilik. Hati saya mula gundah gulana.

Sedang saya ingin turun itulah saya lihat Amran naik dari tangga. Alhamdulillah.

Dipendekkan cerita kami bersama pergi mencari di ladang 10.

"Apa kata kamu cuba call lagi sekali," kata Amran.

tut tut...

"Assalamualaikum, siapa ni?" Suara lelaki yang saya kenal kedengaran.

"Waalaikumusalam. Ini Wong."

"Ini Syahmi."

Dalam hati saya terus ucap alhamdulillah.

Kami berjumpa di pintu masuk ladang 10.

"Tadi sewaktu aku call, ada seorang Cina angkat. Katanya kamu tercicir handphone di ladang 10," terang Syahmi.

Alhamdulillah.
Berminat Baca

Menipu dalam kata

Berbual


"Aku sudah tak tahan lah dengan En. Sumara tu," kata Azlan.

"Aku pun sama. Ada ke masa kita masuk ke dalam pejabat En. Roslan, boleh pula dia mengata pasal kita," tambah Hans.

"Siap En. Roslan bertanya kita ada pergi Perlis tak? Walhal kita pergi sama mereka, k."

"Ish. Dah rasa tak sedap hati aku kerja dengan dia tu. Terasa je nak berhenti kerja."

"Aku pun. Aku buat surat berhenti kerja nanti, hantar sahaja pada Puan Rosnah."

Sibuk mereka berdua melepaskan geram. Aku hanya mendengar sahaja. Tidak mahu melayan kerenah mereka. Sudah berapa kali aku dengar celoteh mereka. Sampai sekarang tak juga berhenti kerja.

Itu aku namakan rungutan.

"Badrul. Apa pandangan kau?" Pandang Azlan.

Aku diam seribu diam. Tak tahu pula mereka ingin masukkan aku sekali dalam perbualan yang sia-sia itu.

"Entahlah Lan. Aku dah dengar 2 minggu kata-kata nak berhenti kerja. Siap rangcangan kau nak berhenti kenakan En. Sumara tu sebelum dia pulang ke Bangladesh."

Azlan membuat muka geram. "Alah kau ni. Tak pandai nak bersembanglah."

Mereka terus melepaskan geram.

Itulah manusia biasa. Selalu bercerita tentang perkara-perkara sia-sia. Lebih baik aku fokuskan pada kerja aku. Banyak lagi surat yang perlu aku siapkan.

Duduk di pejabat dengan pelbagai ragam manusia memang menguji kesabaran. Apatah dengan manusia yang suka merengek. Rengekan yang entah ke mana dibawanya nanti.

Muak juga aku mendengarnya tiap-tiap hari. Dulu suka juga aku memerli mereka dengan mengaitkan kerja mereka dengan En. Sumara itu, namun entah kenapa aku rasa tidak selesa. Lama-kelamaan aku hentikan perbuatan aku itu. Sia-sia sahaja kerana seperti mereka suka akan perlian aku itu.

Aku lebih suka memilih untuk berdiam diri dalam kerja. Buat apa mengata orang atasan kita? Tidak ada gunanya bagi aku. Kalau tak puas hati, lebih baik aku cakap terus dengan empunya diri.

Aku tak mahu jadi hipokrit dengan kata-kata aku. Kerana aku manusia berpegang kepada janji. Jika ayam tuahnya pada kaki, manusia tuahnya pula pada janji.

Berjanji untuk berhenti kerja konon. "Tak dalah. Aku lepaskan geram sahaja. Kau ini ambil serius kenapa?" Tegur Azlan apabila aku mula mendengus dengan rengekan ugutan berhenti kerja mereka.

Walaupun hanya sebagai pembantu penyelidikan, takkanlah mereka tak tahu kerja mereka mengikut arahan orang atas? Pembantu, bukan pegawailah.

Muak. Aku muak dengan sikap manusia yang bersifat fana itu.

Merengek dan menyindir bukanlah apa yang patut ada dalam diri manusia yang berjaya.

Dan itulah yang aku dapat lihat dalam diri mereka sekarang.

Oh? Aku? Masih ingin mencipta kejayaan dengan memulakan langkah tidak merengek seperti mereka.

Orang hebat berbual tentang idea, orang biasa berbual tentang manusia.

Azlan dan Hans, janganlah kalian menipu dalam kata kerana buruk benar perangai kalian aku lihat.
Berminat Baca

Pesanan Ustaz Don semasa PRU-13 ini

Berbual

"... Barangsiapa yang menutup ke'aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke'aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya ..."

(HR Muslim)


Berminat Baca

Padah berlagak

2 bualan
Situasi bertemu sahabat baru:

"Assalamualaikum. Saya Anis."

"Waalaikumussalam. Saya Wong."

Kami berjabat tangan.

"Pelajar UPM? Tahun ke berapa?"

Saya senyum mengangguk. "Tahun pertama."

"Oh." Muka Anis mula menduga.

"Master." Tambah saya.

Muka Anis mula berkerut. Saya terasa seperti puas hati.

Saya memandang Fansuri di sebelah saya.

"Wong. Kamu tak patut buat macam tu. Nampak seperti kamu ini seorang yang suka berlagak." Fansuri mula menegur. "Apabila kamu kata kamu pelajar first year, orang yang dengar mesti ingat 'budak ni hingusan lagi'. Kemudian baru kamu tambah perkataan 'master', terus dia beranggapan, 'hek elek berlagak!'"

Aku terkesima mendengarnya. "Baiklah."

Terima kasih sahabat kerana menasihati saya. =)
Berminat Baca

Syair Bidasari

2 bualan

Sungguh syair ini mempunyai isi yang penuh.
Ia lebih baik berbanding kisah Puteri Salju mahupun Cinderella.
Berminat Baca

Menanti erti perjuangan

Berbual

Terdetik suara hati seorang anak muda di hujung desa. "Apakah erti perjuangan?"

Dia lesu dengan tomahan orang tua di kampungnya dengan erti perjuangan. Asyik mereka berbicara tentang perjuangan. "Anak muda kampung ini sungguh malas! Tak nak berjuang di jalan Islam. Leka dengan wayangan bodoh Tok Sidang." Kedengaran suara di surau An-Nur.

Arif tahu penguasa di surau itu semuanya orang tua-tua belaka. Mereka kerap kali bertegas dengan mengatakan anak muda di kampung ini leka. Kurang perjuangan. Perjuangan apa?

"Kita perlu memperjuangkan Islam. Tok Sidang membawa perkara lagha dalam masyarakat kita," ujar Pak Lebai pada hari malam Sabtu di Surau An-Nur.

Arif muak. Mereka si tua selalu sahaja memperjuangkan sesuatu dengan kata-kata. Dia memerhatikan sahaja keluarga si tua-tua yang banyak bercakap itu. Tidaklah seperti apa yang mereka katakan.

Mak Bedah. Ada sahaja perkara yang ingin dibualkan. Kemudian sampai ke telingan emak Arif. Habis dibebelkan kembali kepada dia. Kalau perkara itu elok tak apalah. Ini semuanya hal buruk-buruk sahaja.

Suka sangat jaga tepi kain orang...

Perjuangan. Apakah itu perjuangan Islam? Arif lihat Tok Sidang itu tidaklah keparat seperti apa yang si tua-tua itu katakan. Elok sahaja perilakunya. Ada sahaja mukanya di surau tiap kali jemaah. Apa salahnya sampai dikata begitu?

Persembahan kulit wayang Tok Sidang bukanlah berunsur lagha. Tidak. Arif sendiri hadir tiap malam Sabtu. Ramai juga muda-mudi yang hadir.

Rumah Tok Sidang nasib baiklah ada laman yang luas. Terdapat satu pentas kayu kecil di sana. Tiap hujung bulan malam Sabtu pasti direntangkan kain putih dari hujung kanan ke kiri pentas itu.

Kerusi memang tiada. Hanya hamparan tikar buruk berwarna biru dan merah di kiri dan kanan hadapan pentas.

"Sila patuhi ya syarat untuk menonton persembahan saya. Lelaki di kiri pentas. Wanita di kanan pentas," ujar Tok Sidang tiap kali sebelum memulakan persembahannya itu.

Muda mudi patuhi sahaja. Ada yang cuba mengingkar. Yelah. Anak muda. Suka memberontak. Tapi pasti kami melihat mereka kerana pesan Tok Sidang, jika dia terlihat sahaja perilaku itu, lantas dia akan mematikan persembahan dan 3 bulan tiada keluarnya dia di belakang pentas ini.

Pernah terjadi perkara ini. Hampir 3 bulan itu kami rindukan hiburan celoteh Tok Sidang. Setelah dipujuk rayu akhirnya Tok Sidang setuju memendekkan jadi 2 bulan. Itupun setelah Arif berkata dia sendiri akan menjaga perilaku muda mudi yang hadir nanti.

Ahh. Kusut Arif fikirkan perkara ini. Perjuangan Islam atau perjuangan Melayu? Arif buntu. Dia baru sahaja menghabiskan bacaan buku sejarah tingkatan 5 yang dia dapat secara pinjaman dari sekolah.

Di dalam perlembagaan mengatakan bahawa 3 syarat utama seseorang itu digelar Melayu; Islam, bertutur bahasa Melayu, dan berbudaya Melayu.

Apakah pula budaya Melayu itu? Termenung Arif memikirkannya.

"Orang Melayu hormat orang tua. Diberi salam," kata emaknya.

"Orang Melayu tak boleh main kepala. Nanti jadi bodoh," pesan ayahnya.

"Orang Melayu berbaju Melayu apabila hari Raya," ujar atuknya.

"Orang Melayu berkongsi juadah dengan jiran tetangga," kata Mak Bedah.

"Orang Melayu menghormati tetamu apabila ada yang bertandang ke rumah," pesan Tok Sidang.

"Orang Melayu hormat orang agama, walau jarang hadir ke surau," ujar Pak Lebai.

Banyak sangat perinya orang Melayu dan Islam. Habis mana satu yang perlu dia perjuangkan? Apa beza antara dua itu? Ditanya Pak Lebai, dihamunnya kembali orang muda terlalu banyak bertanya.

Arif kelu. Dia menghormati si tua-tua itu. Merekalah yang rajin mengimarahkan surau yang kian uzur itu. Anak muda beberapa kerat sahaja yang datang.

Entahlah. Arif tak keruan membezakan mana yang Melayu mana yang Islam. Dia fikir, asalkan dia tidak melakukan benda bercanggah dengan Islam sudah baik.

Dan dia, masih lagi menanti apakah itu erti perjuangan.
Berminat Baca

Kes Buli di Pulau Pinang

Berbual



Saya lihat ramai rakan FB saya mula berkongsi video buli ini. Ia berlaku di sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Eloklah juga ditonton satu dokumentari tentang buli juga untuk kesedaran bersama.



Dan ini sepatutnya orang yang kena buli patut buat.



Kemudian ramai pula yang berkongsi muka pelajar yang bersalah. Sebenarnya ia satu kesalahan untuk menyebarkan gambar pesalah juvana (bawah 18 tahun).


Rakan saya pernah dibuli, saya juga pernah dibuli... Ia berlaku di setiap sekolah di Malaysia. Mengapa? Saya tidak dapat berikan jawapan. Cuma, apa yang penting kita perlu ada kesedaran bahawa sindiran juga adalah salah satu bentuk buli!
Berminat Baca

Berkongsi dan beramal

2 bualan
Saya tahu ramai suka berkongsi petikan yang kena dengan pengalaman mereka. Ada yang suka kata perlu fikir positifla, kena kuatkan dirila, apa jela.

Makin lama makin saya rasa muak pula. Yelah. Terlalu banyak sangat 'positif' sampai saya lemas dengan lautan positif.

Kemudian saya teringat akan zaman para sahabat dan hikmahnya al-Quran diturunkan beransur-ansur. Para sahabat dapat memahami ayat al-Quran dan senang untuk mereka menghafal dan mempraktikkan ayat-ayat yang mereka terima.

Sama juga seperti kata-kata positif. Saya lihat punyalah mereka berbicara tentang perlu fikir positif, akhirnya saya lihat mereka takpun positif.

Contoh terbaik kawan saya. Saya lihat dia cukup suka bergosip. Bukankah gosip itu adalah salah satu perkara yang ditegah Nabi? Sebab apa? Kerana ia berunsur negatif.

Kemudian saya lihat dia berkongsi kata-kata positif. Hampir semua tentang kawan. Hmmm.

Ada bahaya juga ya Facebook ini. Peribadi kita mudah dirobek dengan segala perkongsian yang kita berikan.

Mungkin ada yang kata saya ini paranoid. Terlebih fikir tentang itu dan ini. Tetapi saya juga boleh cipta petikan saya sendiri!

Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah!

Aha! Itu betul.

Saya sedar jika saya berhasrat ingin mengubah dunia, mestilah bermula dengan diri saya. Kongsilah apa yang ada di Facebook, jika diri saya tidak seperti yang saya kongsikan, apa guna?

Prof. Muhaya adalah contoh terbaik berkongsi status positif. Beliau berkongsi sesuatu yang beliau amalkan. Kerana itu ia selalu sahaja melekat di hati pembacanya (mestilah saya juga).

Ok baiklah. Saya mengaku yang saya sudah muak dengan pepatah Inggeris. Semuanya lebih kepada sifat individualistik. Tiada langsung perkaitan dengan ketuhanan.

Kalau kita teliti kembali pepatah Inggeris yang selalu sangat orang kongsi di FB bukanlah terbaik. Walhal isi utamanya hampir sama sahaja dengan hadis. Apatah lagi hadis itu lebih baik berbanding petikan Inggeris itu. Ia mengandungi apa yang dikatakan sebagai nilai ketuhanan.

Pepatah Melayu? Itu pun dekat dengan diri kita. Sebab apa yang dikatakan orang dahulu dekat dengan budaya kita, orang Melayu. Jika tak manakan orang dahulu kala terpacul pepatah bermadah sakan.

Kesimpulannya, kalau boleh nak kongsi tu, biarlah kena dengan diri sendiri. Jika tak, lihat semula niat kita dalam berkongsi itu. Niat mendapat redha Allah atau hanya untuk memberitahu kepada manusia yang aku begini dan begitu?
Berminat Baca

Mengubah dunia ini - sebuah puisi

Berbual

Ketika aku masih muda dan bebas berkhayal
Aku bermimpi ingin mengubah dunia
Seiring dengan bertambahnya usia dan kearifanku
Kudapati bahwa dunia tidak kunjung berubah

Maka cita-cita itu pun agak kupersempit
Lalu kuputuskan untuk hanya mengubah negeriku

Namun tampaknya
Hasrat itu pun tiada hasilnya

Ketika usiaku semakin senja
Dengan semangatku yang masih tersisa
Kuputuskan untuk mengubah keluargaku
Orang-orang yang paling dekat denganku

Tetapi celakanya
Mereka pun tidak mahu diubah!

Dan kini
Sementara aku berbaring saat ajal menjelang

Tiba-tiba kusedar
Andaikan yang pertama-tama kuubah adalah diriku
Maka dengan menjadikan diriku sebagai ikutan
Mungkin aku bisa mengubah keluargaku

Lalu berkat inspirasi dan dorongan mereka
Bisa jadi aku pun mampu memperbaiki negeriku

Kemudian siapa tahu
Aku bahkan bisa mengubah dunia

Penyesalan menjelang ajal tiada guna
Tapi penyesalanku ini

Bisa menjadi pelajaran berharga bagimu
Yang membaca
Dan menerapkannya dalam kehidupan

Ubahlah dirimu sendiri dulu teman
Dan dunia akan berubah...

--

terjemahan:


When I was young and free and my imagination had no limits, I dreamed of changing the world. As I grew older, and wiser, I discovered the world would not change, so I shortened my sights somewhat and decided to change only my country.

But it, too, seemed immovable.

As I grew into my twilight years, in one last desperate attempt, I settled for changing only my family, those closest to me, but alas, they would have none of it.

And now, as I lie on my deathbed, I suddenly realize: If I had only changed myself first, then by example I would have changed my family.

From their inspiration and encouragement, I would then have been able to better my country, and who knows, I may have even changed the world.


sumber:

Unknown monk, 1100 A.D, Chicken Soup for the Soul.


Berminat Baca

Berkat memberi

Berbual

Melihat ibu bertungkus lumus membungkus nasi lemak, aku terdiam seketika. Sudah lama ingin aku memberi wang kepada ibu. Sudah 3 bulan aku mula bekerja. Memanglah kerja aku ini bukan apa-apa. Hanya seorang penoreh getah di ladang getah Ah Keong.

Aku ingin meringankan beban ibu. Tetapi apabila aku menyeluk saku ingin sahaja aku menghulur beberapa keping not merah, ibu akan membuka bicara, "Man, ibu ini kepinginkan teman. Bolehlah nanti rumah ini tidak sunyi di pagi hari. Kalau ada anak kecil, boleh la ibu bermain bersamanya."

Terus aku batalkan hasrat aku. Aku tak sanggup melihat ibu susah. Aku tahu keputusan SPM aku bukanlah cemerlang. Setakat mampu untuk sambung tingkatan 6 bolehlah. Jauh sekali untuk aku kecapi masuk ke matrikulasi.

Aku kurang faham apa itu Matematik dan Sains. Pelik. Lebih 50 tahun negara ini merdeka tetapi masih tidak lokek dengan bahasa asing sebagai pengantara ilmu.

Aku faham. Mungkin itulah istilah kapitalis yang aku baca di buku sejarah. Yang kaya terus kaya. Yang miskin terus miskin.

Lihat sahajalah Ai Ling. Bapanya kaya dengan beberapa ladang getah di kampung ini. Selalu sahaja aku lihat dia menaiki kereta pergi ke pekan pada petang hari selepas sekolah.

"Papa minta saya pergi tuisyen. Katanya mahu saya pandai bahasa Inggeris. Cikgu tuisyen lebih ramah," jawab Ai Ling apabila aku bertanya tentang perihalnya itu.

Beberapa hari yang lalu aku nampak kelibat Firdaus. Dia sekarang menjadi orang bandar. Hebat dia. Dulu kami selalu main bersama di ladang getah. Mencari biji getah untuk dijadikan guli.

Nasibnya lebih baik daripada aku. Sebaik sahaja SPM terus dia ditawarkan masuk ke Asasi Sains Pertanian UPM. Katanya mereka mengambil keputusan percubaan SPM dahulu.

Terasa sesal di dada ini mengenangkan kisah dahulu. Aku banyak bermain. Percubaan sahaja, fikir aku.

Pada pagi hari ketika aku menoreh selalu aku melihat kelibat Abang Akmal pula. Rajin dia ke surau di waktu Subuh. Aku pula, apabila sempat sahaja.

Semalam, entah mengapa hati ini terdetik untuk singgah ke surau solat Subuh berjemaah. Walhal sebelum ini aku hanya solat di rumah.

Usai solat, aku disapa Abang Akmal. Indah betul senyuman dia. Aku terasa tenang melihat mukanya.

Beberapa pak cik telah pulang kala tinggal kami berdua di surau.

"Abang selalu lihat Azman di ladang getah pada waktu pagi. Bagaimana dengan emak Azman?"

"Baik sahaja," jawab aku ringkas. Entah mengapa aku masih duduk berbual dengannya. Walhal aku perlu cepat habiskan torehan aku.

"Kita kalau sudah mula bekerja, kalau boleh hulurlah duit gaji kita kepada ibu kita." Senyum Abang Azman.

"Tak kiralah beberapa nilainya. Jika mereka faham, pasti mereka menerimanya."

Setelah beberapa ketika, aku meminta diri pulang. Perlu disiapkan kerja yang ada.

Kini, aku memandang ibu yang sedang duduk rehat di jendela rumah.

"Ibu," aku dekatinya di tepi jendela rumah kayu ini. "Ini RM30 duit hasil gaji Man 3 bulan lalu."

Wajah ibu seperti terkejut seketika. Aku bersungguh menghulurkan 3 keping not merah kepadanya.

Ibu tersenyum. "Alhamdulillah," ujar ibu ringkas.

Entah mengapa hati ini berasa sungguh lega. Terasa beban di dada hilang.

"Ibu dengar, Pak Leman mencari pekerja untuk kedai makanannya. Apa kata Man cuba mohon."

Aku hanya menanggukkan kepala. Pak Leman baik orangnya. Tetapi bukan mudah untuk bekerja di bawahnya. Tambahan lagi dengan beberapa anak gadisnya bekerja di kedainya itu.

===

(bersambung)

Berminat Baca

Jom Berpesta pada 26 April ini

2 bualan


Kali ini hati lega untuk menghadiri pesta buku Kuala Lumpur 2013.

Terdapat beberapa seminar yang ingin saya hadiri. Tak salah menambah ilmu, bukan?

Pastinya saya juga kepingin membeli beberapa buku di sana nanti. Saya berharap dapat menjumpai buku tersebut di sana.




Berminat Baca

Pengkritik, ia berada di mana jua


Pengkritik. 
Mereka hanya tahu mengkritik
Berbicara asalkan ada ilmu di dada
Berbicara asalkan ada yang menerima

Pengkritik
Mereka hanya tahu berkata
Apa yang tak suka semua tak kena
Matanya melilau mencari situ sana

Pengkritik
Mereka tahu berfikir
Asalkan ia sesuai dengan hatinya
Jika tak, pasti itu dikritik

Pengkritik
Apakah sumbangan mereka?
Nyatakanlah jua jalannya
Jika hanya tahu mengkritik,

Biarlah mulut itu diam sahaja

Buat apa menjerti bagaikan
ayam betina baru bertelur
sebiji?

----

Saya banyak belajar erti kritikan melalui Wikipedia Bahasa Melayu. Apabila pengkritik muncul di WBM, saya dapat menilai kritikannya itu.

Kebanyakan pengkritik yang muncul hanyalah tahu mengkritik. Sumbangan mereka di WBM amatlah sedikit. Walhal WBM hanyalah satu kerja amal sukarelawan.

Jika tak puas hati, sila lakukan sendiri. Tiada yang mencegah.

Jika mengkritik, sila nyatakan kaedahnya juga. "Itu bukan tugas saya. Itu tugas orang yang saya kritik."

Walhal apakah kredibilitimu untuk mengkritik? Pernah berniaga? Pernah menulis di WBM? Pernah berjaya?

Dengan itu, saya akan biarkan sahaja pengkritik dengan labu-labunya~
Berminat Baca

Dari mulut ke mulut

2 bualan
"Eh, kau dengar tak yang Dr. Y bercerita tentang tapak di ladang buah?"

"Tak."

"Aku tak tahulah mana beliau tahu, tetapi masa aku sembang dengan penyelia aku boleh pula beliau tahu yang kami sedang nak minta tapak di ladang buah."

Saya hanya mendengar.

"Aku rasa pelajar bawah beliau yang beritahu."

"Setahu aku, hanya kau dan Lela sahaja tahu... Eh, kejap. Tapi Ani ada sebelah, bukan?"

Saya hanya senyum. Terdapat satu pengajaran di sini.

Apabila satu berita itu tidak tahu kepastiannya, kalau boleh jangan sampaikan kepada semua orang. Kalau boleh sampaikan kepada orang terdekat sahaja. Kita tidak mahu ia tetiba kecoh tanpa sebab walhal ia belum pasti lagi.

Manusia suka bercerita. Sebab itu saya mula faham kenapa Nisah Haron mengatakan kisah yang belum pasti jangan dikisahkan dahulu. Simpan dahulu sehinggalah ia betul-betul menjadi.
Berminat Baca

Membaca 3 dalam 1

2 bualan
Saya dapati apabila lebih banyak buku yang saya baca, lebih mudah untuk saya faham apa yang saya baca. Contohnya setelah membaca satu buku tentang teknik penulisan, saya membaca buku dalam genre yang sama, membuatkan saya mudah faham kandungan buku pertama yang saya baca.

Lagi, saya tidak boleh baca sesebuah buku pada satu-satu masa. Saya perlu pelbagaikan genre bacaan saya. Contohnya membaca sebuah cerpen, buku teknik penulisan, dan buku pemasaran pada hari yang sama. Dengan itu saya terasa hidup ini bermakna. Heh.

Mungkin juga kaedah pembacaan saya ini akan membuatkan bacaan saya tidak berfokus. Yelah. Macam-macam baca dalam satu-satu masa.

Tetapi saya menafikannya. Dengan mempelbagaikan bacaan saya, secara tidak langsung saya dapat meningkatkan pemahaman saya pada satu-satu subjek. Saya dapat kaitkan apa yang saya baca dengan bacaan yang lain.

Indah sungguh ilmu yang Allah berikan kepada saya. Perlu diingatkan bahawa jumlah ilmu di dunia ini hanyalah setitik air di lautan dari ilmu Allah keseluruhannya.
Berminat Baca

Buang undi di Malaysia

Berbual





Alhamdulillah. Tahun ini tibalah masanya saya mengundi. Dan ini kata saya...


Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia