Harga buku murah di Big Bad Wolf?

6 bualan

Saya pernah pergi jualan kedua Big Bad Wolf pada tahun lepas di South City Plaza. Ketika itu harga buku jualan 'after math' memang murah. Boleh dikatakan setiap daripada buku diturunkan hampir 50% harga jualan pertama.

Untuk kali ini, saya lihat tidak berapa banyak harga buku turun. Ini membuatkan saya berfikir adakah kerana mereka merebutkan baucer buku yang kerajaan berikan?

Susah untuk saya katakan. Apa yang penting, saya akan pergi esok untuk membeli beberapa buah buku. Ini bermakna saya wajib habiskan satu baucer untuk ini sahaja.

Saya target untuk membeli buku-buku ekonomi untuk 'dummy'. Buat koleksi. Saya pernah beli buku bertajuk Wikinomics dan ia memang terbaik!

Nanti saya kongsikan bersama isi-isinya buat pembaca sekalian.

---

Nota:
1. Nampaknya harga buku BBW tidak turun banyak pada jualan kali kedua ini.
2. Buku tetap buku.
3. Terpaksa guna 1 baucer berharga RM50.
Berminat Baca

Ralat Mybrain15

Berbual
"Wong, kamu dah cek tak permohonan MyBrain15?" mesej kawan saya di FB.

"Belum. Katanya mereka akan hantar emel?"

"Aku tak dapat... sedihlah."

Terus saya pergi ke laman MOHE/mybrain15 untuk menyemak keputusan permohonan saya.

"Tempoh semakan telah tamat."

Hah! Terkejut saya membaca notis tersebut. Terus, saya tekan semak semula.

"Anda perlu mengisi semula borang." (lebih kurang begitu ayatnya).

Terus, saya tekan dan saya terpaksa isi borang semula!

Allahuakbar. Terkejut saya! Habis selama saya isi sejak dari bulan 11 semuanya sia-sia sahajakah?

Saya tekan 'seterusnya' sahaja kerana saya maklumat yang saya isi sebelum ini masih kekal disimpan.

Dan saya hantar semula.

Apabila saya login, 

"Permohonan anda sedang diproses."

Hmmm. Nampaknya rezeki saya untuk dapat MyBrain15 untuk semester ini masih belum nampak lagi....

Berminat Baca

Hujan Menanti Pelangi

2 bualan
Suasana di luar bilik sizwazah agak kelam. Di luar bangunan blok B ini hujan turun dengan lebatnya. Saya terperangkap di sini sambil menunggu hujan reda.

Pernah dua kali saya terperangkap di Fakulti Agrobio sehingga pukul 9 malam akibat menunggu hujan reda. Al-maklumlah saya ini hanya membonceng motorsikal untuk datang bekerja.

Kadang-kala kedengaran bunyi dentuman guruh di langit. Hujan ini seperti membasuh hati aku semalam.

Pada mulanya memanglah saya rasa tidak keruan kerana saya ditolak untuk menjadi cikgu tuisyen. Apabila difikirkan kembali, tak apalah. Sekurang-kurangnya saya dapat pengalaman mengajar budak tingkatan 3.

Seperti yang Kak Dell katakan, Pusat Tuisyen ini memilih. Kalau boleh mereka nak cikgu sahaja mengajar. Bila saya kenangkan kembali, saya lebih sesuai untuk mengajar tuisyen rumah (home tuition). Senang untuk fokus pengajaran saya pada individu berbanding kelompok.

Lagipun, saya mengajar untuk budak faham bukannya untuk budak hafal. Budaya pelajar kini hanya suka menghafal mematikan budaya ilmu di dalam diri pelajar itu sendiri.

Saya ini orangnya mudah stabil emosi jika kena tekniknya. Heh. Ubat terbaik untuk saya kembali tenang, mudah sahaja, lelapkan mata selama 8 jam. Lihatlah sekarang. Sudah hilang keruan saya tentang kisah semalam.

Saya juga mengajar bahasa Inggeris untuk tuisyen rumah. Ini semua atas jasa baik Kak Dell. Jazakallah atas pertolongan kak. Tak tahu saya nak balas bagaimana.

Apa yang penting, saya tidak mengaku kalah. Terus berjuang untuk menjadi seorang penulis berjaya. Yeah!
Berminat Baca

Sinar Pelangi di sebalik Hujan

6 bualan
Saya meletak telefon bimbit di atas katil. Termenung mendengar berita yang baru saya dengar tadi. Serta-merta kepala saya sarat dengan pelbagai soalan.

"Assalamualaikum encik Wong, kami dari Pusat Tuisyen. Ada sedikit khabar nak beritahu," kata suara wanita dari telefon bimbit saya kejap tadi.

"Ada perubahan pada hari pengajaran encik Wong."

"Maksudnya?" Saya keliru mendengar kata itu.

Pemikiran saya sudah melayang. Bukankah hari itu kata telah ditetapkan saya mengajar setiap hari Selasa? Takkanlah kelas bertukar hari pula?

"Begini. Atas permintaan pelajar, mereka nak juga cikgu lama yang mengajar."

Betullah seperti apa yang saya sangka. Pengajaran saya ditolak.

"Kena reject lah ni?" Soal saya.

"Bukan. Kami tak dapat nak tolong sebab pelajar sendiri minta."

Hati aku terus merundum jatuh. Terasa seperti ada batu yang berat menghempap dada ini.

"Tak mengapalah," jawab saya perlahan.

"Kami betul betul minta maaf. Nanti jika ada kelas kosong, kami akan panggil encik."

Aku menutup bual bicara suara itu dengan menjawab salam yang diberikan.

Saya diam kaku masih memikirkan berita tadi. Betulkah aku boleh mengajar orang lain atau menjadi cikgu tuisyen bukan kerja aku? Bukankah ini buktinya kamu gagal untuk menjadi seorang pengajar bagus?

Minggu lepas cukup gembira saya mendengar berita bahawa saya akan menjadi seorang cikgu Sains dan Matematik. Hati ini berbunga memikirkan pengalaman yang bakal saya tempuh sepanjang saya mengajar nanti. Pasti ada sesuatu yang boleh saya berikan kepada 8 orang pelajar yang hadir di dalam kelas itu.

Sayup sayup bunyi cengkerik di luar kuarters ini. Mereka seperti memujuk hati saya yang lara ini.

ARhhhh! Pemikiran ini bercelaru memikirkannya. Bagaimana hendak aku menyara hidup belajar ini? Disangkakan cerah di petang hari, hujan yang turun pula.

Walaupun hujan itu turun dengan lebatnya, saya yakin, pasti ada sinar pelangi yang muncul di sebaliknya nanti.
Berminat Baca

Berani Menghantar

4 bualan
Kadang-kala saya jelek membaca tulisan orang ternama tentang tips menulis. Ada yang berkata penulis muda terlalu cepat untuk menghantar karya hinggakan banyak karya mereka ditolak. Kata mereka penulisan pengarang muda terlalu cetek sehinggakan tidak menepati ciri-ciri artikel berkualiti.

Saya menolak pandangan itu. Sebagai seorang penulis muda dan baru, saya rasa lebih elok saya hantar karya saya terus kepada mana-mana akhbar atau majalah untuk dinilai. Jika saya terus berkira-kira untuk menghantar atau tidak artikel saya, sampai bila saya tahu ia baik atau tidak?

Banyak saya lihat penulis terkenal bermula dengan menghantar tulisan mereka yang dianggap berkualiti rendah. Dari situlah mereka belajar untuk menulis dengan berkualiti.

Hmmm. Sebenarnya nak katalah, karya saya telah ditolak. Uhuk... Agak sedih tetapi ia berulam gembira! Ye gembira kerana editor ada membacanya. Alhamdulillah.

Ulas editor, "perkataan bersambung antara satu sama lain. Mohon tulis semula."

Saya kurang faham tentang ini. Nak ditanya maksudnya, tak lah pula saya sempat untuk balas.

Tak apa. Saya tulis semula artikel ini dari awal. Kali ini lebih teratur. Idea dan isi sudah ada. Cuma perlu disulam dengan baik agar ia boleh dibaca dengan mudah.

--

Nota:
1. Penolakan tidak semestinya bermaksud kegagalan.
2. Perlu berfikiran positif apabila menerima penolakan.
3. Perlu berani untuk menghantar karya kita ke mana-mana syarikat penerbitan.
Berminat Baca

Pandangan luar tentang fakulti

3 bualan
Saya mula sedar yang apa yang saya ada jauh lebih baik daripada orang lain. Fakulti yang saya tinggal jauh lebih baik dari fakulti yang lain.

"Kira ok la fakulti ini Wong. Besar dan cantik," kata kawan saya apabila saya bawa dia berjalan-jalan di sini.

Selama ini saya selalu dengar desas-desus dan kelu-kelahan staf (termasuk pensyarah) dan pelajar tentang fakulti pertanian. Tak cukup bajet la, tak cukup perabot, tak cukup bahan pengajaran, dan macam-macam lagi.

Namun, apabila dilihat pada kaca mata orang lain, kami jauh lebih beruntung daripada mereka.

Itulah nabi pesan agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.

Terus saya ucapkan alhamdulillah, syukur atas nikmat yang Allah berikan kepada kami.

Kalau dalam sesi motivasi, pasti mereka akan guna analogi pandangan kita terhadap gambar ini:



Ada dalam sebuah buku motivasi saya baca pula pengarang mengatakan "Apa aku kisah tentang separuh penuh atau separuh kosong. Apa yang penting ia menghilangkan dahaga aku atau tidak?"

Jadi di sini saya dapat simpulkan bahawa apabila kita melihat sesuatu perkara, lihatlah secara positif. Bukan semua benda di dunia ini sempurna. Apa yang penting kita bersyukur dan berusaha mencapai matlamat kita.

--

Nota:
1. Mendengar pandangan orang luar kadang-kala boleh membuatkan kita sedar bahawa tempat kita lebih baik daripada orang lain.
2. Bersyukur adalah salah satu perkara yang dituntut dalam Islam.
3. Tak kiralah gelas itu separuh kosong atau separuh penuh, yang penting ia memenuhi keperluan kita - menghilangkan dahaga!
Berminat Baca

Pengalaman mengajar Sains #2

2 bualan
(sambungan kisah Pengalaman mengajar Sains)

Dari awal pagi sehinggalah lewat petang saya rujuk buku rujukan PMR yang saya beli minggu lepas. Saya cuba memahami tajuk 'Pembiakan' agar mudah untuk saya sampaikan ilmu yang ada kepada bakal pelajar saya nanti.

Yelah, saya tak nak nanti tersilap mengajar pada sesi pertama saya ini.

Buku matematik tidak saya rujuk sangat. Kerja mudah sahaja untuk ajar matematik ini.

Yang penting saya fokuskan kepada Sains nih.

Saya datang awal ke Pusat Tuisyen. Cadangnya nak merisik berapa orang pelajar saya dan siapakah mereka.

"Assalamualaikum kak," sapa saya. "Berapa orang pelajar perlu saya mengajar sebenarnya kak?"

"8 orang sahaja dik. Tak banyak. Ini kertas latihan yang kami sediakan. Adik akan ajar matematik dahulu kemudian diikuti Sains."

Alhamdulillah, syukur. Nasib baik matematik mula dahulu. Tak perlu pening kepala nak terang istilah-istilah pelik.

Berminat Baca

Pengalaman mengajar Sains

1 bualan
Semalam saya mendapat panggilan telefon tentang tawaran kerja menjadi guru tuisyen. Bagi yang tak mengikuti perkembangan lama, boleh rujuk entri ini.

Sepatutnya diadakan pada Khamis lepas tetapi puan pengetua lupa. Jadi aku ingat tiadalah 'mock teaching' (maksudnya kira aku tak dapat kerja cikgu tuisyen).

"Assalamualaikum. Saya dari Pusat Tuisyen nak tanya adik hari ini boleh datang untuk 'mock teaching'?" kata  suara wanita yang menelefon saya.

"Maaf kak. Hari ini saya ada kelas tuisyen lain untuk diajar. Hari lain boleh?" Terpaksa menolak kerana malam nanti saya kena ajar budak lain pula (kemudian ditunda ke hari Jumaat ini).

"Hmmm. Kalau begitu tak apalah. Nanti saya telefon balik."

Beberapa jam panggilan saya mendapat panggilan telefon daripada nombor yang sama.

"Assalamualaikum. Saya dari Pusat Tuisyen."

"Ya saya Wong bercakap," jawab saya sambil membonceng motorsikal ingin pulang ke rumah.

"Macam ini lah dik. Setelah berbincang dengan puan pengetua, esok adik boleh datang mengajar?"

Mengajar? Eh? Terus saya berhentikan motorsikal di persimpangan jalan.

Bukankah kena 'mock teaching'? Aku rasa was-was tapi hanya mengiyakan sahaja.

"Nanti saya hantar SMS tajuk apa yang adik boleh mula ajar untuk subjek Sains dan Matematik tingkatan 3."

Beberapa minit kemudian satu SMS masuk ke dalam peti mesej telefon bimbit saya,

"Sains ajar 'Reproduction', manakala M3 ajar 'indices'".

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku capai 2 buah buku tingkatan 3 yang aku beli minggu lepas.

Matematik mudah sahaja. Indeks, kata Melayunya. Cuma keluarkan hukum-hukum yang ada, hafal dan buat latihan.

Saya membelek buku Sains PMR pula. Gulp. Saya menelan air liur. Reproduction ya. Kata orang Melayu 'Pembiakan'. Ia melibatkan perkara-perkara sulit antara lelaki dan wanita. Budaya Melayu jarang nak bercerita tentang ini (terasa seperti mengajar pendidikan seks pula. erk!?)

Aiseh. Awal pengajaran sudah ajar tajuk sukar. Macam mana ni, fikir aku. Kalau semua budak lelaki, mungkin mudah nak terangkan. Tapi pusat tuisyen mestilah ramai budak perempuan.

Tambahan yang mengajar ini adalah seorang lelaki... (kacak lagi tu. Hehe)

Tak apalah. Saya redha dengan pilihan itu....

(bersambung entri seterusnya, esok)


Berminat Baca

Pengajaran Yang Bermakna

4 bualan

Saya duduk sendirian di bilik siswazah. Termenung mengenangkan nasib. Apakah akan terjadi dengan gred C yang saya dapat semester lepas? Fikir saya.

Pertama, mestilah dana untuk GRF tidak akan saya dapat kerana syarat jelas menyatakan bahawa PNGK siswazah yang memohon tidak boleh bawah 3.0.

Kedua, saya risau tentang biasiswa MyBrain15 pula. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas bahawa pemohon tidak perlu gred PNGK bawah 3.0 saya tetap risau.

Beberapa hari lepas saya terserempak dengan rakan saya yang juga mendapat gred bawah 3.0.

"Alah Wong. Apa susah. Kau isi sahaja borang semakan. Minta pensyarah subjek itu upgrade gred," ujar dia kepada saya.

Saya kurang yakin dengan penerangan dia kerana saya pernah terkena dengan nasihatnya. Walaupun perwatakan nampak alim, tetapi tidak bermakna dia bersifat begitu.

Saya hanya menganggukan kepala sahaja tanda setuju. Tidak mahu bersembang panjang dengannya tentang ini.

Keesokannya juga saya isi borang rayuan.

"Adik pergi jumpa pensyarah subjek adik itu. Kemudian minta cop daripada dia," kata pegawai di kaunter Sekolah Pengajian Siswazah.

Memori saya kembali ke alam nyata apabila ditegur jiran sebelah meja saya.

"Wong, tak perlu risau. Pergi sahaja tanya Dr. Dia tak makan oranglah."

Aku membalas dengan anggukan.

Baik. Saya bangun dan terus ke tingkat 2. Bilik pensyarah itu betul-betul di hadapan pintu tangga tingkat 2.

"Masuk," kedengaran suara dari dalam bilik.

"Selamat pagi Dr. Saya Wong, pelajar Master yang ambil kelas Dr. semester lepas," saya membuka kata. "Saya datang ini nak minta jasa baik Dr. upgrade gred saya."

Beliau memandang saya. Kami saling berbalas pandangan.

"Maaflah Wong. Saya sudah bagi gred terbaik untuk awak."

"Tapi Dr."

"Tiada tapi-tapi. Awak sudah la buat tugasan cincai. Laporan amali pun awak tidak hantar."

"Saya hantar."

"Saya ingat lagi. 2 laporan amali awak tidak hantar." Beliau terus merujuk ke paparan skrin LCD di belakangnya.

Kemudian berlakulah sesi dialog antara kami. Beliau banyak berleter tentang betapa pelajar sekarang mudah dapat pinjaman sampai tidak menghargai apa yang mereka belajar.

Saya melanguk di situ. Berdiri tegak mengharapkan belas ihsan beliau.

Setelah selesai berceramah, beliau mencapai kertas permohonan semakan gred.

"Ini untuk kebaikan awak juga." Tangannya laju menulis sesuatu pada ruang kotak gred baru. Kemudian beliau turunkan cop atas itu.

"Apabila awak kaya nanti. Jangan lupa tentang ini," tutup beliau perbincangan kami.

Saya mengambil kertas itu dan mengucapkan terima kasih. Memang dalam hati ini terasa kecewa kerana nampaknya saya kena bersusah payah lagi untuk semester mendatang ini. Walaupun begitu, saya yakin ada hikmah di sebaliknya.

--

Nota:
1. Saya sepatutnya berjumpa pensyarah awal-awal lagi sebelum peperiksaan akhir jika mendapati markah tugasan saya rendah.
2. Jika tidak dapat ikuti subjek, ambil keputusan mudah dengan menggugurkannya berbanding bersikap positif saya mampu bawa.
3. Saya perlu tingkatkan lagi teknik pemujukan saya.
Berminat Baca

Belajar untuk berjaya

Berbual
"Wong, sejak aku ingin beli laptop baru ini, banyak istilah IT aku belajar. Contohnya RAM, processor, graphic card, screen size, brand laptop terbaik dan lain-lain lagi," ujar sahabat saya ketika kami berjumpa di kafe tadi.

Saya diam seketika. Terfikir tentang ini. Mestilah. Saya mula mengerti apabila kita mula ada matlamat untuk memiliki sesuatu secara tidak langsung kita akan bertindak cuba memahami apa-apa maklumat berkaitan.

Begitu jugalah apabila kita bergelar mahasiswa. Saya lihat ramai lagi pelajar yang masih kabur dengan matlamat mereka selepas belajar. Apa yang mereka tahu, ikut sahaja apa yang pensyarah ajarkan.

Mereka hanya ingin mencedok tetapi tidak ingin meminum air ilmu yang pensyarah berikan.

Saya tak nafikan saya dahulu begitu juga. Apatah lagi jurusan hortikultur ini bukanlah satu perkara yang saya lihat signifikan dalam kehidupan saya.

Namun pandangan saya mula berubah apabila saya mula berblog. Ya berblog. Saya lihat banyak blog hortikultur dan perkebunan yang bagus seperti tanam sendiri. Para penggemar tanam sendiri juga banyak berkongsikan pengalaman mereka tentang bercucuk tanam di blog mereka.

Ini secara langsung membuka mata saya bahawa ilmu yang saya belajar ada gunanya.

"Jadi, kalau kamu belajar, biarlah tetapkan matlamat seperti kamu tetapkan matlamat untuk membeli laptop baru," nasihat saya kepada dia sambil menghirup air teh O. "Saya yakin nanti insya-Allah kamu akan nampak apa yang kamu belajar ada gunanya."

Dia hanya menganggukkan kepala.

--

Nota:
1. Matlamat bertulis mampu memandu kita mencapainya.
2. Apabila kita berkeinginan akan sesuatu, pasti kita akan lakukan terbaik untuknya.
3. Belajar biarlah kerana Allah. Demi mendapatkan ilmu untuk redha-Nya.
Berminat Baca

Hadiah Buku Daripada Si Cikgu

2 bualan

Letih. Saya melangkah masuk ke rumah melihat keadaan sekeliling.

"Wong, ada bungkusan untuk kamu. Ia ada di atas meja," ujar adik aku yang sedang asyik bermain permainan komputer.

Saya menutup pintu seraya bergerak melihat bungkusan bersampul perang itu. Mungkinkah ia bungkusan yang dikirimkan oleh sahabat aku itu?

"Wong, ada dapat tak bungkusan yang saya berikan?" SMS sahabat saya entah bila saya tidak pasti.

"Belum." Balas aku ringkas.

"Oh tak apalah."

"Ini alamat penuh saya. Mungkin silap hantar hari itu?" Balas saya untuk tidak menghampakan hati seorang sahabat.

Saya ambil bungkusan itu dan terus ke bilik. Saya ambil sebilah gunting yang terdapat di atas meja saya. Saya gunting perlahan-lahan agar isinya tidak rosak.

Seperti yang saya sangkakan, ia adalah buku. Terdapat dua buah buku dengan tajuk berlainan kedua-duanya.

Aku tersenyum sendirian. Entah apa terasa satu kesegaran yang mengalir dari sudut hati aku. Terasa akan ada hormon adrenalin yang mengalir laju terus ke otak aku.

Aku berasa segar daripada keletihan balik daripada kerja tadi.
Buku-buku yang menguatkan
lagi hubungan ukhuwah.

Inikah dinamakan ukhuwah?

Saya ingat lagi saya pernah memberikannya sebuah buku berkaitan dengan profesionnya sebagai seorang cikgu. Saya yakin dia juga seorang yang minat membaca kerana kami pernah berbicara tentang buku.

Buku yang saya berikan juga bertepatan dengan kerjayanya seorang guru walaupun buku itu lebih khusus untuk cikgu pedalaman, namun tidak bermakna dia sebagai guru bandar tidak dapat mendapat iktibar daripadanya.

Saya tertawa sendirian melihat sebuah buku tulisan Mandarin di atas meja saya. Mungkin saya boleh berbicara bahasa yang paling banyak penuturnya di dunia ini, tetapi tidak bermaksud saya menguasainya.

Setakat sembang 2-3 patah perkataan bolehlah. Namun, tetap saya hargainya kerana, ia pemberian daripada seorang sahabat.


Berminat Baca

Panggilan Kehormat

2 bualan
Saya ada seorang rakan yang suka panggil orang yang baru dia kenal abang atau kakak. Tak kiralah pangkat orang itu sama ada Datu', Datin, mahupun YB.

Nak panggil abang Najib 
dan Atuk Nik Aziz-kah? 
(gambar hiasan)
"Ala Wong, mereka itu sukalah aku panggil mereka abang atau kakak. Nampak muda you~," jelasnya.

Saya hanya mendiamkan diri. Mungkin kerja sambilannya sebagai pelayan di restoran terkenal di Seremban membolehkan dia berbicara begitu.

Bagi saya yang kerdil orangnya, tidak boleh mengamalkan sikap itu.

Saya masih mengamalkan sikap memanggil orang berdasarkan pangkat. Ada sesetengah orang tidak suka, manakala ada sesetengah orang suka.

"Lagipun ini bukanlah masjlis formal," tambah dia lagi.

Beberapa bulan kemudian aku berjumpa dengannya lagi. Aku lihat elok sahaja dia panggil seorang pensyarah ini dengan gelaran Dr..
Berminat Baca

Damak cinta di hari Cinta?

Berbual

Pendulu yang mudah. Ia mengisahkan tentang damak cinta (love dart). Ramai tidak mengetahuinya. Setelah diberikan satu rencana Wikipedia tentang damak cinta ini, terus mereka faham apa itu damak cinta.

Begitulah kuasa ilmu. Bak kata orang Puteh, ilmu itu kuasa. Bagi saya, hanya yang betul-betul tahu bagaimana menggunakan ilmu itu kuasa.
Berminat Baca

Kejutan Budaya Makanan KL

5 bualan
Saya memang tak faham istilah kejutan budaya sehinggalah saya sendiri terkejut dengannya. Kebelakangan ini saya melepak dengan rakan-rakan saya yang boleh saya kategorikan orang bandar.

Selama saya tinggal di Serdang ini, saya biasa kawan dengan budak baik-baik. Jarang bergaul dengan budak bandar. Maksudnya budak bandar betul yang suka berjalan-jalan di sekitar bandar KL. Kalau ada pun mereka tidak masukkan saya dalam kategori budak yang boleh diajak keluar.

"Wong, nak ikut tak? Kami nak pergi iKea jalan-jalan cari makan," ujar rakan saya itu.

Terkejut juga saya kerana mereka sanggup pergi ke Damansara hanya untuk makan tengah hari. Saya ikut sahaja kerana tiada apa hendak dibuat di bilik siswazah.

"Eh iKea pun ada restoran ya? Aku tak pernah tahu. Selama ini hanya perabot sahaja."

"Ada la Wong. Fish and Chips di sana memang sedap!" kata Az, rakan saya itu.

Sampai di sana saya rasa lain pula. Saya lihat pemakaian orang-orang KL lain daripada orang-orang Serdang, khususnya UPM.

Pertama, mereka kebanyakan memakai pakaian berfesyen. Susah nak lihat wanita bertudung labuh tidak berkelip-kelip bajunya. Manakala lelaki Melayu berbagai bentuk baju ada.

Saya pula hanya memakai t-shirt merah dengan seluar jeans serta kasut lusuh warna cokelat.
Berminat Baca

Provokasi Temuduga

5 bualan

Semasa saya bergelar mahasiswa dahulu, saya pernah menghadiri sesi temuduga tidak rasmi untuk satu subjek kokorikulum yang saya ambil. Subjek 6 jam kredit itu memang mengcengkam saya selama tiga tahun awal saya bergelar pelajar ijazah muda.

Pandangan menjadi kabur setelah
diprovok oleh penemuduga...
Pada tahun akhir saya agak sibuk dan tidak berkelapangan menghadiri program-program anjuran subjek tersebut. Alamatnya saya dipanggil oleh pengajar untuk sesi temuduga disiplin kerana kehadiran yang kurang.

Ada lebih kurang lapan orang yand dipanggil bersama. Saya orang ketiga dipanggil masuk menghadap.

"Awak Wong ya. Boleh beri alasan kenapa perlu saya beri awak A untuk subjek ini? Saya lihat prestasi awak sepanjang hujung tahun ini kurang memberangsangkan," kata pegawai disiplin, Dr. Izham.

Saya gementar ketika itu. Yelah tak tahu nak jawab apa. Perasaan bersalah betul-betul melanda diri saya. Apatah lagi terasa rendah diri teramat pula. Sudahlah saya ini bukanlah pelajar cemerlang dalam subjek ini. Tambahan pula saya memerlukan alatan tambahan untuk melihat dengan jelas.
Berminat Baca

Penangan Pesta Jualan Buku Murah

2 bualan
"Aku ini bukan jenis membaca orangnya," kata kawan saya Jo. "Terutama buku bahasa Inggeris."

Saya pandang dia pelik. Habis itu mengapa beli buku BI ketika di Big Bad Wolf?

"Murah," jawabnya ringkas.

"Kadang-kala bosan, bayangkan, aku sanggup membelek membaca atlas. Walhal tiada apapun. Sahaja mengisi masa lapang mengenal tempat-tempat di dunia."

Seraya, aku dan dia tergelak mendengarnya. Sampai begitu sekali penangan buku murah. "Janji ia murah," tambahnya lagi.


Kali ini akan diadakan pesta jualan buku Big Bad Wolf kali kedua dengan menawarkan harga buku yang lebih murah.
Berminat Baca

Sifat Defensif Blogger Pembaca Buku

2 bualan
Beberapa hari ini saya kurang bersemangat untuk datang ke mana-mana blog pembaca buku yang suka mengulas buku. Ini adalah kesan sebuah blog yang saya kerap kunjung kebelakangan ini menghentam saya kerana kunjungan komen saya.

Saya boleh amalkan sikap seperti menuang air ke atas daun keladi, tetapi itu bukanlah yang terbaik buat saya.

Saya ini jenis orang yang menerima dan berfikir apa yang saya terima itu. Saya terima saya dikritik kerana dikatakan saya ini cakap belakang orangnya. Kalau kawan saya kata "Wong kau ni suka cakap Keling la!" Gulp....

Pandangan

Lalu, saya buatlah entri di blog ini untuk menyatakan pandangan dan pengajaran yang saya dapat berdasarkan pengalaman saya kena hentam dan dikritik.

Puan Nisah Haron ada berkongsi pautan ke laman blog yang membincangkan tentang bukunya.

Saya terasa ingin komen, namun memori lama menyekat saya.
Berminat Baca

Kata-kata berunsur perkauman

Berbual

Menghukum manusia berdasarkan keprihatinan mereka untuk menaip dengan betul!

Berminat Baca

500 patah perkataan untuk Blogger

2 bualan
Sebelum ini saya ada memberi definasi tentang entri terbaik buat blogger. Saya terfikir juga takkanlah menulis maksimum 500 patah perkataan sahaja bukan?

Ditakdirkan Allah, saya membelek blog peminat baca buku. Bagus blog puan ini. Dia bercerita tentang minat dan pandangannya terhadap buku. Isinya bagus-bagus belaka. Namun, hiasannya tidak memberangsangkan. Saya rasa lesu sahaja selepas membaca 2-3 entri blog ini.

Kebanyakan penulisan dia melebihi 500 patah perkataan. Lagi, ia tidak teratur membuatkan saya tidak tertarik untuk membaca. Saya bagi analogi mudah. Kita masak ayam berempah. Kalau goreng sampai hitam, rasanya masih enak, tapi bagaimana pula rupanya? Adakah ia akan menarik minat orang untuk merasanya?

Apa yang penting untuk blog adalah menarik minat orang bertandang dahulu. Kemudian barulah dapat tarik minat orang untuk terus kekal membaca dengan isi-isi mantap kita.
Berminat Baca

Temuduga Cikgu Tuisyen

3 bualan
Alhamdulillah, semalam saya baru sahaja selesai temuduga kerja. Ini merupakan temuduga kedua saya. Walaupun ia sekejap sahaja, pengalaman yang saya dapat cukup berbaloi.

Ini bermula apabila saya mendapat satu panggilan misteri pada hari Khamis yang lalu.

Pengajaran pusat tuisyen pastinya
berbeza dengan sekolah harian.
(gambar hiasan)
"Hello, assalamualaikum. Ini en. Wong ya? Kami dari Pusat Tuisyen ZZZ."

"Waalaikumsalam. Ya saya bercakap."

Hati saya berdebar. Telah lama saya hantar permohonan untuk mengajar sambilan di Pusat Tuisyen ini. Seingat saya pada tahun lepas dalam bulan September ketika saya asyik mencari kerja sambilan.

"Kami nak panggil temuduga. Hari Sabtu ini pada pukul 1 tengah hari. Boleh?"

"Boleh! Ada apa-apa barang perlu saya bawa?"

"Bawa resume dan beberapa salinan sijil. Oh serta gambar berukuran pasport 2 keping."

Terus, pada hari Sabtu aku menyiapkan diri untuk hadir ke sesi temuduga itu. Saya datang awal 30 minit. Yelah. Untuk datang temuduga kita kenalah datang awal walaupun ia hanyalah temuduga menjadi cikgu tuisyen sahaja.

Berminat Baca

Bertemu Orang Hebat Belaka

3 bualan
Terdapat dua kemungkinan yang saya fikirkan apabila saya berkenalan dengan orang hebat. Pertama, saya rasa rendah diri dan menjauhkan diri daripadanya. Kedua, saya mengaguminya dan berasa semangat untuk turut serta bersama searas dengannya.

Jadi, manakah yang menjadi pilihan saya?

Biar saya terangkan satu persatu untuk memberi penjelasan ringkas.

Jika saya pilih pertama, itu mungkin lebih baik buat saya. Saya tidak perlu lagi berasa rendah diri dan memilih untuk berkawan dengan orang biasa sahaja. Orang yang tidak mempunyai impian tinggi dan kami hanya akan berbincang perkara-perkara biasa mahupun bergosip tentang orang lain.

Itu lebih baik buat orang biasa seperti saya bukan?
Berminat Baca

Dokumentari The Pirate Bay

Berbual

Sebuah video dokumentari tentang sejarah The Pirate Bay, laman sesawang perkongsian terbesar di dunia. Amat menarik bagaimana ia boleh terus berkembang sehinggakan Hollywood ingin saman pengasas laman web ini.

TPB bertapak di Sweden. Di sana peraturan cetak rompak lebih bebas berbanding Amerika Syarikat.
Berminat Baca

Wikipedia Bahasa Melayu dan rakyat Malaysia

8 bualan
Sebenarnya saya sudah penat membuat promosi untuk meningkatkan jumlah editor bebas di Wikipedia Bahasa Melayu (WBM). Kebanyakan pengguna bebas hanya sebentar sahaja. Amat sukar nak jumpa yang komited dengan penulisan ilmiah. Yang saya lihat banyak penciptaan drama apa entah. Terutama bab-bab anime dan K-Pop.

Perlu ingat WBM bukan terhad kepada penulisan sahaja. Editor boleh kemaskini bahasa, muat naik gambar untuk kegunaan rencana, memberi sumbangan idea untuk penambaikan rencana dan pelbagai lagi. Jikalah ada yang ingin bertanya...

Saya juga telah berusaha membuat promosi. Jelas, ramai yang hanya suka mendapatkan input tetapi tidak suka menyumbang. Memang sedih. Saya sendiri promosi WBM kepada rakan-rakan sekeliling.

"Jom la sunting di Wikipedia Bahasa Melayu. Boleh sumbang ilmu, tambah pahala."

"Yeke! Boleh. Boleh."

Dan setakat itu sahajalah. Saya mula hilang minat untuk membuat promosi kepada rakan-rakan sekitar saya.

"Aku pun nak buat juga la." Kata seorang kawan saya.
Berminat Baca

Janji Manusia Hipokrit

4 bualan

Saya baru sahaja membaca komen
FB seorang rakan saya tentang janji.
Saya tuliskan dia sebagai A.
Entah kenapa, apabila seseorang itu yang telah berjanji berkata tentang janji, saya sukar nak percaya. Dia sendiri telah memungkiri janji kepada 80 ahli yang menjadi saksi, lalu apakah perlu aku mempercayainya setiap katanya juga?

Kini, hampir semua apa yang dia katakan saya susah nak percaya. Betul. Sungguh. Mungkin orang boleh kata yang lepas biarlah lepas. Tapi bagi saya tidak. Saya telah berusaha sesungguh mungkin cara seperti memerli, mengherdik, dan akhir sekali bujukan, dia masih tidak dapat mengotakan janjinya. Akhirnya, saya redha.

Terus, redha itu datang juga dengan kosnya. Kepercayaan saya kepadanya ibarat cermin yang jatuh berderai di atas lantai. Walaupun dia cuba kembalikan serpihan-serpihan yang ada ke bentuk asal, rekahan dan refleksi kerosakan itu kekal ada.

Berminat Baca

Meniup belon penulisan

4 bualan

Menurut Nisah Haji Haron, sebagai seorang penulis dia mempunyai pantang saat projek penulisannya berlangsung.

Jika sudah meniup belon, tiup
sampai ia kembang habis.
Dia memberi anekdot seperti seseorang sedang meniup belon. Sedang dihembus angin ke dalam belon dia tidak boleh berhenti walau apapun. Jika tidak, secara perlahan-lahan angin di dalam belon itu keluar. Lama-kelamaan ia kempis.

Ini samalah dengan projek penulisannya. Jika dia berkata apa-apa tentang projeknya kala dia mula menulis, dia takut nanti dia akan lesu tidak bersemangat untuk menyiapkannya.

Dia lebih suka meniup belon dan tidak acuh untuk berkata tentangnya melainkan meminta input dan pendapat daripada orang terdekat. Dia biarkan sehingga belon itu cukup besar dan kemudian mengikatnya. Kemudian menghantar belon itu kepada tempat sepatutnya untuk dinikmati semua.
Berminat Baca

Belajar Nun di hujung daerah

4 bualan
"Kamu hendak pergi mana?" tegur adik saya semasa saya hendak keluar.

"Pergi kerjalah."

"Eh? Master pun kerja kah?"

"Mestilah..." saya menutup pintu rumah dan berlalu pergi ke lif untuk ke parkir motorsikal di bawah kuarters.

Selama ini saya gunakan perkataan pergi ke kelas untuk bergerak keluar dari rumah. Kini apabila saya gunakan perkataan kerja, lain pula rasanya. Ia seperti mengatakan bahawa saya ini seorang yang berkerjaya. Ahaks. Walhal saya ini memang pun sepatutnya bekerja mencari ilmu.

Rumah saya berada di dalam kawasan Putrajaya. Apabila saya bersembang dengan orang tentang saya sebagai seorang sarjana, mereka pasti mengagak saya tinggal dalam kolej kediaman UPM. Ini dapat dilihat melalui reaksi muka mereka seperti orang mengerti mengatakan pelajar sarjana itu wajib tinggal di kolej.
Berminat Baca

Berani dengan Impian

3 bualan

Apabila kita berimpian untuk berjaya semestinya kita kena satu sifat berani tertanam dalam diri kita. Kita kena berani untuk mencuba. Ini tidak kiralah apa halangan yang mendatang kita tetap akan tempuhnya kerana impian kita.

Apatah lagi apabila impian yang kita tempuh itu mungkin kita menemui kegagalan. Lalu perlulah kita ada sikap berani untuk gagal.

Gagal tidak bererti kita buat sesuatu dan kemudian terus jatuh dan tidak bangkit.

Biarlah saya sambung kisah yang saya ceritakan dahulu.

---

"Tidak mengapa. Inilah masanya awak bangkit," ujar Dr. Husni. "Semua orang ada mengalami kegagalan. Saya pun pernah gagal. Apa yang penting ialah bagaimana kamu naik setelah kamu jatuh."

Saya pandang sahaja muka penyelia saya. Tidak mampu saya berbicara lagi.
Berminat Baca

Si Merpati Kembali Pulang

Berbual

Subhanallah bagaimana Allah ciptakan burung merpati untuk tahu kembali ke tempat asalnya. Otak mereka mungkin kecil, namun ia mampu pulang di mana ia tinggal dengan mudahnya melalui teori infra red.

Sebenarnya ia sama juga dengan lebah. Saya belajar lebah hidup dalam koloni dan setiap daripada mereka mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.

Kemudian saya terfikir tentang manusia pula. Bagaimanakah manusia dapat aplikasikan kebolehan merpati ini dalam kehidupan?
Berminat Baca

Bicara Rakan tentang Impian

3 bualan

Saya mempunyai seorang sahabat yang saya senang bersembang. Kami telah berkawan sejak saya mula pindah ke sebuah kolej tradisional di UPM. Dia baik orangnya. Selalu berada di sisi saya ketika saya bersembang tidak kiralah bergosip sehinggalah bercerita tentang keluarga. Terlalu baik bagi saya.

Saya seronok bersembang dengan dia. Dia mempunyai ilmu yang banyak dan tidak terhad kepada bidang yang dia belajar sahaja. Orangnya tinggi berbadan besar dan kulitnya putih mulus. Kacak juga orangnya. Hatinya lembut dan berjiwa...

Setakat itu sahaja saya dapatkan gambarkan perilaku dia. Semalam saya berjumpa dengan dia untuk bersembang tentang peristiwa bulan sabit saya. Entah kenapa sejak dua menjak ini saya akan ada perasaan tidak begitu selesa bersembang dengannya. Walhal dahulu elok sahaja kami meluahkan apa yang terbuku di minda untuk perkongsian bersama.

Saya berfikir panjang untuk mengetahui perasaan itu sehingga saya terlelap dan terjaga di awal pagi ini. Usai solat Subuh, saya seperti mendapat jawapannya.

Matahari mula terbit menyinari tetingkap kuarters yang saya tinggal. Burung mula berkicauan tanda mencari rezeki di hari bakal indah ini. Embun pagi mula tersejat dek pancaran matahari.
Berminat Baca

Budak 7 tahun membina PC sendiri (DIY)

Berbual

Saya tertarik bagaimana bapa budak ini mengajar anaknya cara-cara memasang PCnya sendiri. Hebat!

Budak umur 7 tahun ini juga mampu menerangkan konsep komputer dengan mudah mengikut kefahamannya. Saya yakin bahasa ibunda budak ini adalah bahasa Inggeris.

Berminat Baca

Keputusan peperiksan Bulan Sabit

Berbual
"Kak, bagaimana keputusan subjek analisis tanah?" kedengaran suara bersembang di sebelah meja kerja saya. Jiran saya sedang bersembang tentang keputusan peperiksaan.

"Alhamdulillah. A-," jawab kakak bertudung biru itu.

Terus saya membuka mata dan menggerakan tetikus saya terus ke laman SGS. Saya juga ingin tahu keputusan peperiksaan saya.

Saya ambil pautan keputusan.

Mata saya terbungkam luas. Saya redha dengan keputusan yang muncul. Nampaknya usaha saya sama seperti apa yang saya dapat.

Huruf berbentuk bulan sabit itu membuatkan saya rasa lain macam. Nampaknya pelan untuk saya ambil biasiswa semester ini gagal.

Selayaknya 3.0 perlu untuk mendapat biasiswa RM1.5 k sebulan. Dengan keputusan yang keluar ini, saya nyata tidak boleh berharap untuk itu.

Saya tutup pelayar web. Termenung melihat tingkap. Hujan renyai-renyai di luar sana. Ia seperti merintih bersama saya.
Berminat Baca

Teknik menambah 'Like' untuk Facebook page

2 bualan
Pada asalnya saya tidak tahu tentang Facebook page. Kemudian rakan saya membuat Facebook page untuk blognya. Jumlah like untuk pagenya pun hanyalah sekitar 20-30 sahaja ketika itu. Saya terfikir kenapa tidak pula saya?

Akhirnya saya ikut serta. Saya lihat senang sahaja page-page terkenal mempunyai jumlah like yang banyak. Saya mengidam untuk mendapat jumlah like sama seperti mereka. Sekurang-kurangnya satu ribu.

Setelah 2 tahun berlalu, page Facebook saya hanyalah mencecah sekitar 300 like sahaja. Rupanya bukan mudah untuk mendapat Facebook like untuk sesuatu page.

Saya dapati juga page yang selalu berkongsi kisah-kisah menarik setiap hari mendapat jumlah kongsi yang banyak. Walaupun page itu hanya berkongsi apa yang page lain kongsikan. Gambar sama, isi sahaja berlainan.

Melalui pengamatan saya itu, saya lihat rakyat Malaysia tak kisah kalau isi itu asli atau tidak daripada pemilik page tetapi yang penting isi perkongsian itu. Juga kekerapan page itu berkongsi gambar-gambar dan maklumat-maklumat berguna.

Ini jelas terbukti apabila saya mula berkongsi gambar yang saya dapat di page lain dan saya muat naik semula ke page saya dengan menggunakan tagline bahasa Melayu. Ternyata jumlah like page saya meningkat.

Sekarang barulah saya yakin jumlah like juga memainkan peranan penting populariti sesuatu page itu. Kadang-kala saya hairan bagaimana page yang guna bahasa Alien pun boleh mencecah ribu riban like. Ini mendatangkan ketidakpuasan di hati saya ini.

Pelik tetapi benar.
Berminat Baca

Perkahwinan - Mahal atau Murah?

3 bualan
Apabila berkata tentang perkahwinan setiap orang mempunyai reaksi yang berlainan. Bagi anak dara sunti, pasti tersipu-sipu malu. Buat teruna pula, tersenyum sengih. Buat pasangan suami isteri pula, melirik manja antara satu sama lain.

Bagi saya, perkahwinan itu satu perjalanan lain selepas bujang. Ia tidak sama apabila hidup ini sudah menjadi dua. Tidak juga sama seperti hidup adik beradik.

Persoalannya, perlukah mencari pasangan untuk kita kahwin atau berserah sahaja kepada Illahi? Ia satu yang subjektif. Jika orang dahulu, mereka meletakkan sepenuhnya kepada keputusan ibu bapa. Orang sekarang pula, suka mencari sendiri. Kata mereka ingin cari yang sesuai.

Bagi saya itu elok tetapi perlulah ada adabnya. Saya lihat anak muda mudi sekarang cuba mencari alasan untuk melakukan perkara yang hampir kepada zina dengan alasan mereka berdua akan berkahwin nanti. Berdua-duaan berpacaran. Ada juga yang lebih ekstrem menunggang motorsikal berdua.

Bukankah itu berdosa? Mereka tahu tapi mereka tetap melakukannya. Hmmm. Dan apakah kes pembuangan bayi meningkat di Malaysia tidak mereka baca? Itu membuatkan saya keliru.

Pernah saya bersembang dengan rakan saya tentang ini.

"Ish Wong. Kalau nak kahwin mestilah besar-besaran. Mana boleh kahwin kecil-kecilan. Tambahan kau nak jadi penulis terkenal. Kenalah belanja besar," kata kawan saya.

Saya terkesima mendengar pandangannya itu.

"Standardlah untuk orang sekarang belanja RM40 ribu untuk kahwin sahaja. Kita bukan orang kampung lagi."

Untuk tidak mengecilkan hatinya, saya hanya senyum sahaja. Tidak mahu bertelagah tentang ini. Jika duit saya banyakpun, bukanlah saya orangnya yang mengikut adat. Saya mengikut agama.

Tidak hairanlah apabila kes zina meningkat jika orang kita fikir kahwin itu memerlukan kos yang tinggi sehinggakan terpaksa berhutang sama seperti kita berhutang membeli rumah dan kereta.

"Insya-Allah, akan dicukupkan rezeki kalau niat ikhlas nak kahwin," kata kawan saya yang lain pula.

Erk. Kenapa apabila umur ~24 tahun ini ramai pula bercerita tentang kahwin. Hmmm.
Berminat Baca

Mendisiplinkan Diri

2 bualan
Sejak kebelakangan ini saya kerap kali berada di fakulti untuk melakukan kerja. Walaupun kebanyakannya hanya duduk di meja kerja dan tidak tahu hendak buat, sekurang-kurangnya saya berasa lega.

Saya rasa tidak selesa apabila berada di rumah. Yelah. Saya rasakan saya bukanlah pelajar sarjana apabila saya asyik melepak di rumah. Memanglah rumah saya ada sambungan Internet laju (unifi you~), tapi rasanya lain sungguh. Walaupun ada begitu banyak buku di rumah, saya masih rasa lain.

Apabila berada di fakulti ataupun di perpustakaan, saya rasa bersemangat. Saya juga dapat berjumpa rakan-rakan. Bertanya khabar. Terasa hidup ini ada sesuatu untuk dilakukan.

Saya kemudian dapati saya lebih bersemangat dan kembali merujuk objektif tahunan saya apabila saya ada jumpa orang. Sekurang-kurangnya bertegur sapa.

Jika tak, motivasi saya mudah turun.

Agaknya, saya ini jenis yang kena jumpa orang barulah boleh hidup. Hmmm.

Dengan itu saya mendisplinkan diri saya untuk duduk di fakulti selama 8 jam sehari. Sama seperti waktu pejabat. Cuma saya gerak lewat iaitu pada pukul 10am. Biasanya awal pagi saya akan bersiap-siap dahulu. Buka emel, Facebook, cek Wikipedia, dan membuat beberapa kerja yang lain.

Apabila di fakulti pula, saya akan mula membuka netbook dan membuka emel dan Facebook juga. Erk.

Nampaknya saya kena disiplinkan diri untuk membuka dan membaca jurnal sebaik sahaja sampai di fakulti. Jika tak, bila lah projek sarjana saya akan tamat...

Saya balik ke rumah pada lewat pukul 6 petang. Selalu juga saya lihat penyelia saya, Dr. Husni di biliknya sedang ralit membuat kerja. Biliknya berada dalam laluan saya untuk pulang jadi saya selalu menegur Dr.. Kadang-kala jika Dr. terlalu ralit membuat kerja, saya berlalu sahaja tanpa menegur. Tidak mahu kacau beliau bekerja.

Apa yang penting sekarang, saya perlu mendisiplinkan diri untuk membuat kerja saya sebagai pelajar sarjana...
Berminat Baca

Agenda, penyelesaian masalah umat Islam

Berbual

Video ini mengisahkan realiti umat sekarang. Yang alpa dengan keduniaan. Terlalu asyik dengan diri sendiri sampai lupa akan matlamat hidup mereka yang sebenar. Tidak kisah persekitaran masyarakat.

Ayuh! Kembali mekarkan nilai Islami dalam diri kita wahai belia. Kembalilah mengingati kehebatan umat terdahulu. Mereka berjaya dengan mengamalkan apa yang telah dipesan oleh Rasulullah SAW iaitu dengan mengamalkan al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan.

Amar makruf nahi mungkar...
Berminat Baca

Membaca itu bagus, Bertindak itu cemerlang

Berbual

Membaca buku adalah cara saya melepaskan tekanan perasaan. Terutama apabila ia berkait dengan ilmu. Saya kadang-kala rasa tertekan apabila kekurangan ilmu. Contohnya sekarang saya kekurangan ilmu untuk menulis rencana. Saya seperti seorang yang hilang arah. Seperti lalang ke sana ke sini apabila ditiup dengan pelbagai jenis kaedah menulis.

Saya ini jenis suka baca buku semua yang berkait dengan subjek yang saya minat pada satu-satu masa. Contohnya sekarang saya minat akan buku teknik menulis cerpen. Habis semua jenis buku teknik menulis cerpen saya baca. Tetapi, kemudian saya terfikir, apakah ada output daripada pembacaan saya yang 'banyak' itu?

Saya lihat saya masih lagi membaca dan terus membaca. Tapi tindakannya mana? Di blog ini sahaja cukup untuk kita lihat.

Dengan itulah saya teringat nasihat dari blog Leo Babauta mengatakan kita ini manusia terus membaca dan membaca dan mencari dan mencari tetapi hasilnya masih tidak memberangsangkan. Terdapat satu perkara yang membuatkan kita terus mencari walaupun sebenarnya apa yang kita cari telah jumpa.

Perkara itu ialah perasaan takut. Kita takut akan perubahan yang bakal melanda diri kita dan persekitaran kita jika kita buat seperti apa yang kita dapat. Contoh terbaik sayalah.

Saya baca teknik menulis cerpen terbaik. Perlulah bermula dengan peta minda, kena rajin menulis, sentiasa memerhati dan pelbagai lagi. Tapi saya takut untuk melaksanakan apa yang saya belajar itu.

Saya takut nanti kalau saya sudah cuba kemudian hasilnya masih tidak begitu baik.

Berhenti di situ, kata Leo. Penyelesaiannya mudah sahaja.

Kita boleh terus membaca tapi jangan terlalu banyak membaca. Mulakan sambil membaca. Baca sikit dan terus buat.

Saya setuju dengan padangan dia tentang ini. Sama seperti kisah saya menjadi cikgu BI, jika saya tidak mula sekarang bila lagi?

Saya perlu atasi perasaan takut itu dengan melihat kaedah-kaedah terbaik yang muncul. Ya saya mungkin boleh bertanya kepada beberapa orang yang mempunyai pengalaman, namun adalah pilihan bijak jika saya mulakannya juga.

Sama seperti menulis cerpen. Jika saya asyik membaca tetapi tak mula langsung untuk mencipta, bilakah satu cerpen terhebat akan terhasil dengan tangan saya sendiri?


Berminat Baca

Ertinya bermula sambil bertanya

Berbual

Takut. Cemas. Tak tahu. Allah. Terasa lemah sahaja bila tiada pengalaman nak ajar anak orang. Yelah. Saya ini bukanlah pelajar aliran pendidikan. Keliru mana nak mula dan teknik terbaik mengajar.

Awal matlamat nak dapatkan duit, namun kemudian setelah mendapat nasihat daripada rakan alam maya, niat perlulah ikhlas kerana Allah. Insya-Allah rezeki akan Allah cukupkan. Terima kasih saya ucapkan.

Termengkelan seketika. Kembali muhasabah diri. Jika tidak mula sekarang bila lagi saya akan mula? Mungkin bertanya boleh, tapi kalau asyik bertanya tetapi tidak melakukan sebarang tindakan, ia ibarat menunggu buah yang ada di atas pokok. Entah bila ia akan jatuh...

Ia samalah seperti awal saya mula berblog. Memang saya bermula dengan kosong. Ada jugalah saya membaca dua tiga buah buku tentang blog tapi sungguh saya tak faham apa saya baca. Saya buat blog untuk seketika. Kemudian tinggal entah sudah berapa ia berhabuk.

Kemudian ada pula rakan saya yang sudah mula berblog. "Eh, blog susah la." kata aku kepada dia.

"Tak lah. Tulis sahajalah. Nak sempurna bila lagi?" jawab dia.

Ya cabarannya banyak. Apabila mula aktif blog barulah saya belajar satu demi satu apa itu blog. Ia samalah seperti ketika saya ambil jurusan hortikultur. Saya tidak boleh terus faham apa itu hortikultur dan bagaimana hendak mempraktikkannya dalam kehidupan.

Saya melalui proses 4 tahun dibasuh dan diasah untuk mengenali keindahan hortikultur. Setiap subjek yang saya ambil mula mendatangkan makna kepada saya apabila saya mula mempraktikkannya.

Sama juga lah seperti saya mula mengajar ini. Ya saya mempunyai pengalaman yang amat sedikit. Tapi saya yakin dengan, usaha dan doa, insya-Allah akan ada pertolongan daripada Allah. Bukankah Allah itu Maha Pemurah dan Penyayang terhadap hamba-Nya?

Saya ini bukanlah orang jenis 'perfectionist' atau terlalu suka akan kesempurnaan. Saya jenis belajar sambil mengamalkannya.

Buktinya, blog ini. Seperti saya katakan, ia bermula hujung 2010 dan 2011 mencatat arahnya sehinggalah kini.

Dari situ juga saya belajar bahawa blog ini ada caranya. Ada yang peribadi ada yang komersial. Namun asasnya tetap sama, iaitu memudahkan pembaca membaca blog kita. Jika tidak, kenapa kita berblog? Hanya suka-suka? Jika begitu pergi beli sebuah diari di kedai buku dan catatkan luahan isi di situ sambil letakkan beberapa 'aksesori' merimaskan.

Dengan ini, saya memulakan lafaz bismillah, untuk mengajar anak orang tentang ertinya bahasa Inggeris.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Berminat Baca

Umur Kejayaan

Berbual

"Wong, apabila melihat umur aku, terasa aku tak capai apa-apa lagi." Memandang jauh Ariff semasa bersembang dengan aku.

Aku kehairanan.

"Yelah. Kalau orang lain, umur 25 seperti aku ini sudah kahwin. Sudah ada kerjaya yang gah. Aku ini pula hanyalah pelajar sarjana yang sedang bekerja sebagai RA," sambung dia lagi.

Saya hanya tersenyum mendengar luahan kata Ariff itu. Ya saya sedar tentang itu. Sudah masuk bulan Februari tahun ini dan saya masih berada di tahap yang biasa-biasa (mungin?).

Oh. Itu tidaklah seperti yang dikatakan. Ada beberapa perkara yang jauh lagi untuk saya capai lagi. Cuma apa yang penting, saya jalankan ia sikit demi sikit. Tidak boleh terlalu ingin berlari jika badan ini masih lagi tidak dapat menahan penat lelah yang bakal melanda.

Apabila stamina sudah mencukupi, terus saya akan berlari selaju mungkin untuk mencapai matlamat-matlamat yang saya tulis. Dan yang pasti, matlamat utama kita sebagai umat Islam hanyalah satu, untuk masuk ke syurga Allah yang paling tinggi sekali.

"Kita tak perlu fikir banyak. Aku yakin, jalan yang kita lalui ini ada kejayaannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui," balas aku selepas melihat Ariff masih termenung sayu.


Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia