Sabtu, 2 November 2013

Pasar

Di tengah kesibukan pasar, duduk seorang budak menangis. Dia menangis tanpa henti. Ketakutan dengan pelbagai mata yang memandangnya. Dilihat sekeliling bagaikan kegelapan malam. Hanya yang bercahaya berpuluhan sinaran mata.

Dia terus menangis. Tiada siapa yang mempedulikannya. Seorang ibu meninggalkannya kerana perangainya. Hanya kerana ingin membeli barang permainan. Ibu itu ada kerja yang lebih besar ingin dilakukan. Ibu itu perlu membeli barangan pasar. Sayur, ikan, santan, dan masa untuk pergi ke salon.

Akhirnya budak itu tersedu keletihan. Perasaannya untuk memiliki barang permainan di kedai di hadapannya sudah hilang. Apa yang dia inginkan hanyalah sebuah pelukan hangat seorang wanita yang dikenalinya.

Namun kelibat wanita itu tiada. Dia rasa sungguh kesunyian. Apakah dunia ini sudah meninggalkannya? Apakah dia kini berseorangan hidup? Adakah kata-kata yang ibu akan meninggalkannya itu bakal menjadi kenyataan?

Tenaga yang tersisa ada membuatkannya menangis kembali. Menangis mengingati perbuatannya. Dia hanya mahukan pujukan ibu. Permainan itu bukanlah yang utama. Tetapi mengapa ibu begitu kejam meninggalkannya?

Pancaran terik matahari mula memendekkan bayang-bayang yang melalui di atasnya. Budak itu mengesot mendekati dinding yang ditumpannya.

Dari jauh dia melihat kelibat wanita berbaju merah. Dia geram. Mengapa baru sekarang hendak berjumpa dengannya? Setelah dia habis melimpahkan segala air mata. Sehingga dia tidak mampu bersuara lagi?

Dia memaling muka ke arah lain. Dia geram.

Ibu memandangnya sambil berkata, "Jom pulang."

Budak itu teragak-agak. Adakah dia mahu teruskan protesnya itu? Atau dia akan ditinggalkan lagi?

"Lihat apa yang ibu belikan." Sebatang lolipop besar bersaiz piring cawan dihulurkan kepadanya.

Tersenyum budak itu. Rupanya ibu masih mengingatinya. Terus ibu mendukung dia walaupun tangan si ibu penuh dengan plastik.

"Sudah. Aiman baikkan? Jom kita pulang," pujuk ibu sambil mengusap kepala Aiman yang sedang leka menjilat lolipop di tangan kanannya.

Aiman duduk di hadapan raga motorsikal. Ibu meletakkan plastik di pemegang motorsikal memberi laluan untuk Aiman duduk di hadapan. Dia mahu Aiman menikmati lolipop sampailah pulang nanti walaupun kebiasaannya Aiman duduk di belakannya memeluk erat pinggangnya.

1 mengomel so far

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon