Paksaan

Berbual
Pin It
"Tidak. Aku tak mahu turut terlibat dalam apa-apa perancangan ini." Aku bingkas bangun ingin sahaja terus keluar dari bilik perbincangan ini.

Adli menahan tangan aku. Dia memberi isyarat supaya aku kekal. "Duduk dan dengar sahaja sudah mencukupi."

"Tapi." Aku cuba menolak tangan Adli. Adli menjegilkan matanya. Ah. Aku sudah terperangkap dengan kancah ini.

Perbincangan berterusan sehingga lewat malam. Aisyah dan Aminah keluar sekali sekala membeli makanan untuk kami.

Di dalam bilik ini terdapat lebih 10 orang duduk berbincang tentang hal yang aku masih tidak dapat cerna. Jelas aku memang bukanlah daripada golongan mereka.

Semua muka serius. Mereka juga berharap aku serius. Ah bagaimana ingin aku serius dengan hal ini walhal aku baru sahaja menyertai kumpulan ini.

Tidak aku sangka Adli mempunyai agenda di sebalik perkawanan kami. Aku terlalu naif mempercayainya di awal pertemuan.

"Assalamualaikum." Tegur Adli di awal pertemuan kami di stesen bas di hadapan fakulti. Aku menjawab salam. Terkejut juga dengan orang baru menyapa aku. Jarang sekali orang menyapa aku dengan salam. Mereka sering kali ingat aku ini daripada kaum Tiong Hua.

Kami berbual panjang. Entah mengapa aku dengan senang hati memberi nombor telefon dan nombor bilik kolej kediaman aku tinggal kepada Adli.

Lebih aku terkejut apabila malam itu juga Adli datang menziarahi aku seperti yang dia janjikan di awal pagi tadi.

Di saat itu aku rasakan kelainan.

Hidup ini bukanlah sahaja tentang pemilihan, tetapi takdir yang menentukan segalanya.

Aku bangun lewat keesokannya selepas perbincangan tamat. Hampir sahaja aku terlepas solat Subuh. Usai solat, aku duduk termenung di atas katil. Apakah mampu aku membawa agenda kumpulan rahsia ini?

Langsung tiada kata semangat yang mereka berikan. Hanya tugasan itu dan ini berselerak di atas meja belajar aku.

Ah serabut aku memikirkannya. Aku hanyalah orang biasa. Aku datang ke fakulti ini pun dengan impian biasa-biasa. Mana mungkin mereka berharap yang luar biasa daripada aku ini.

Mata aku kian gelap. Walaupun di awal pagi pelbagai tegahan tentang tidur mengatakan bahawa kurang membawa berkat, tetap aku tidak dapat menahan mata aku lelap.

Tuk tuk tuk. Pintu bilik aku diketuk. Suara yang aku kenali memanggil nama aku. "Khairul, jom pergi makan tengah hari. Aku tahu kau ada di bilik. Selipar di hadapan tidak dapat menipu aku."

Ah Adli. Masih dengan sikap telitinya itu. Kerana itu aku kagum dengannya. Hidupnya penuh dengan falsafah. Ada sahaja perkara falsafah kehidupan ingin dia sampaikan kepada aku kala kami bertemu di waktu makan. Tidak kiralah makan pagi, petang mahupun malam. Pasti terselit agenda kehidupan menjadi seorang pelajar muslim berjaya.

"Kita perlu ada agenda. Kita datang ke universiti ini bukanlah hanya sebagai produk kilang. Universiti bukanlah kilang menghasilkan kita untuk pihak industri datang memilih mana yang terbaik. Kita ada tanggungjawab lebih daripada itu. Jangan kita dikatakan lesu. Jangan kita dilabel mahasiswa lembik oleh generasi akan datang. Arus perubahan bermula di zaman kita."

Apakah maksud Adli ini?

"Tidak semua mahasiswa sedar ancaman-ancaman yang datang menyerang mereka. Apa yang mereka lihat kebrobokan pemimpin. Mereka hanya tahu mengkritik dan akhirnya apabila memegang jawatan, mereka sama sahaja seperti pemimpin yang mereka kritik dahulu."

Tidak aku sangka segala apa agenda dan cerita itu ada kepingan yang ingin dicantum Adli. Satu pesatu cantuman itu hadir dalam diri aku.

Aku ini bukanlah senang dipengaruhi. Pernah sekali datang seorang penjual barangan MLM. Sungguh dia mempamerkan pelbagai barangan yang mampu menggugah rasa seorang pelajar untuk turut serta. Pandai dia berbicara. Tetapi aku menolak sahaja.

Bukan minat saya, kata aku ringkas.

Tetapi pelik. Apabila Adli membuka cadangan ini, aku tanpa soal bicara banyak setuju sahaja. Walhal ini juga bukanlah minat aku. Malahan aku masih lagi orang biasa. Cadangan Adli sungguh luar biasa.

Kepingan jigsaw puzzle ini mula mencantum kuat apabila Adli membawa aku berjumpa dengan kawan-kawannya yang lain. "Kawan aku, kawan kau juga," kata Adli.

Mereka juga mesra seperti Adli.

Mungkin kerana aku jarang sekali dapat bersosial mesra dengan orang, aku terasa begitu kekok apabila bersama mereka di awal waktu. Aku menjadi pendiam. Tetapi entah mengapa mereka bijak membawa diskusi mesra bersama aku. Lama kelamaan aku hilang sedikit demi sedikit rasa kekok itu.

"Mungkin nanti apabila dia bersedia." Aku terdengar perbualan Adli semasa aku ingin menziarahi biliknya yang berada di blok sebelah.

Aku tidak tahu dengan siapa dia bercakap di telefon. Aku biarkan sahaja dia terus berbual dengan aku membelek pula telefon aku. Aku terlanggar kasut Adli membuatkan dia perasan aku di pintu yang terbuka sedikit.

"Eh Khairul. Jemput masuk."

"Nanti kita bual lagi. Assalamualaikum," kata Adli menutupi telefonnya.

"Malam ini aku ingin bawa kau ke tempat yang istimewa."

Aku muka kekeliruan.

Terukir senyuman manis di muka Adli.

(bersambung)
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 mengomel:

Catat Ulasan

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia