Khamis, 21 November 2013

Di Bawah Pohon Angsana #2

Aku cuba mengimbau kenangan masa aku mula berkenalan dengan Syamirul.

Kami berkenalan bukan setakat di alam universiti. Aku masih ingat lagi ketika aku asyik berjogging di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Memang menjadi satu tabiat bagi aku untuk jogging setiap petang. Walaupun penat habis kelas atau kuliah, aku tetap meluangkan masa untuk berjogging.

Selepas habis berehat aku suka duduk di bawah satu pohon rendang. Aku tidak tahu nama pokok itu tetapi aku tahu ia melenakan. Selalu aku membuka earphone dan memasang kuat lagu. Lagipun pohon ini nun jauh dari khalayak ramai. Di hujung padang. Pandai sesiapa yang menanam pokok ini.

Aku suka layan lagu-lagu Inggeris. Lagu-lagu tempatan kurang aku gemari kerana nilai-nilai liriknya sungguh mudah sehinggakan aku berasa jengkel.

"Micheal Learn To Rock." Satu suara di sebalik pohon kedengaran. Aku tersentak.

"Klasik." Kelibat seorang pelajar berbaju sukan muncul di sebalik pohon. Aku kenal pelajar ini. Dia seoarang yang selalu dipanggil ke hadapan untuk menjawab soalan Cikgu Suhaimi. Selalu juga dikerumuni pelajar perempuan ketika habis kuliah kimia. Entah soalan apa aku pun tak kisah.

Dia duduk di sebelah aku. "Saya Syamirul." sambil menghulurkan tangan.

Aku menyambut lembut masih terkejut dengan kedatangan pelajar di sini. "Amirul," jawab aku ringkas.

"Saya selalu lihat kamu datang ke sini. Pandai kamu pilih tempat yang tenang ini."

Aku hanya mengangguk sambil memperlahankan muzik di handphone.

"Tak mengapa. Biar juga saya menikmati bersama."

Aku kembalikan bunyi yang kian hilang tadi.

Kami duduk lama di situ. Tidak berborak apa-apa. Hanya melihat awan-awan yang berarak datang dan pergi di langit biru. Sedikit demi sedikit bunyi burung mula kedengaran di atas pokok. Sedikit demi sedikit cahaya jingga mula menyinari langit biru.

Kami berdua bangun bergerak merentasi padang. "Nanti jumpa lagi ya." Syamirul melambai tangan kepada aku. Aku membalas kembali sebagai tanda mesra.

Orang begitu mesra rupanya. Aku ingat orang popular sebegitu tak akan bergaul dengan pelajar biasa seperti aku ini. Yelah. Aku hanya pelajar yang selalu duduk di meja paling belakang. Selalu tertidur kala Cikgu Halimah mula kelas. Lelap mata aku membuatkan aku sentiasa segar di malam hari.

Malam aku peruntukkan masa untuk membaca buku-buku cerita. Aku minat novel. Tidak kisah la novel apa asalkan bukan novel cinta. Aku lihat kolej ini penuh dengan koleksi novel. Aku dapat habiskan satu novel dalam masa satu minggu. Tapi maaf. Aku tak layan novel romantik Inggeris. Terlalu banyak adegan yang tidak patut!

Fantasi, pengembaraan, dan persahabatan selalu menjadi buku buruan aku.

Najmi yang selalu melihat aku hanya menggelengkan kepala. Kami satu kuliah tetapi berlainan praktikum. Idris pula lain kuliah. Hafiz pula jurusan perakaunan. Setiap bilik di kolej ini mengandungi empat orang pelajar mendiaminya.

(bersambung

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon