Ahad, 30 Jun 2013

Amarah Lengang

Aku melihat kiri dan kanan. Lengang kawasan Putrajaya ini. Kenderaan hanya dua tiga sahaja berlalu setiap 30 minit.

Aku dengan selambanya masih membawa motor kapcai aku ini pergi ke rumah Akmal. Rumahnya di Persint 15A. Tidak jauh katanya. Aku pula nun di Desa Pinggiran Putra.

"Jangan lupa ikut laluan motorsikal. Nanti disaman polis jika ingkar," pesan Akmal petang tadi.

Aku selama ini tidak pernah pun terasa ingin menyusuri motorsikal buruk aku ini di laluan motorsikal. Tidak suka. Terutamanya laluan yang malap jauh dari cahaya jingga lampu jalan.

Entah mengapa dalam detik tengah malam ini badan aku terasa seram sejuk. Hendak dikatakan angin hujan tidak juga. Langit aku lihat cerah sahaja.

Nak dikatakan angin kenderaan tidak juga. Jarang aku lihat kenderaan lalu.

Di hadapan aku lihat ada terowong laluan motorsikal. Berfikir 2-3 kali juga aku tentang ini. Tambahan dengan perasaan yang tidak tenteram ini.

Terus aku teringat filem-filem seram Melayu. Terbayang satu persatu wajah wanita berambut panjang.

Aduh! Menyesal pula aku rasanya. Kini jantung aku mula berdegup kencang tanpa sebab.

Aku pujuk hati ini agar melupakan segala kisah yang pernah aku dengar.

Putrajaya ini aman tempatnya, rayu hati aku.

Aku dengan hati yang redha membonceng masuk terowong gelap itu.

Aduh. Terasa begitu lama boncengan ini. Mata aku langsung tidak berkelip mengenangkan kisah-kisah penciptaan pengarah Filem Melayu yang dayus akan duit bangsanya.

Aku soal kembali hati ini. "Kau takutkan Allah atau makhluk?" Semestinya makhluk tetapi...

Arhhh! Konflik terus berkocak. Aku rasakan seperti sedang menahan rasa ingin pergi ke tandas saat aku memasuki terowong gelap ini.

Mata aku terus memandang ke hadapan. Tidak ingin aku menoleh kiri mahupun kanan. Mulut aku terkumat-kamit membaca ayat Kursi. Buat pelindung saat diperlukan.

Tiba-tiba motorsikal yang aku bonceng ini terasa berat sahaja belakangnya. Ah sudah, hati aku mula berkecamuk lebih hebat.

Aku tarik nafas dalam-dalam dan terus menumpukan pandangan aku di hadapan cahaya jingga di hujung terowong.

Aku rasa inilah saat aku fokus selama 18 tahun aku hidup di dunia ini. Tidak selama aku fokus seperti aku solat. Tidak juga selama ini aku rasa begitu aku mengharapkan pertolongan Tuhanku.

Betullah kata orang. Kala kita dalam kesusahan barulah hendak ingat Allah. Aku malu. Tetapi bagus sebenarnya.

Saat aku menghampiri lubang terowong yang bakal mengeluarkan aku dari kegelapan ini aku terasa bebanan motorsikal aku semakin berat.

Aku rasakan diri aku ini juga seperti 'vampire' drama 'Angel' yang mencari cahaya untuk membunuh diri kala siang menyinar.

Sebaik sahaja mata aku terasa pedih cahaya jingga, terus bebanan di belakang juga hilang.

Mulut aku tidak kesudah mengucap syukur. Aku terus membawa motorsikal aku keluar dari laluan motorsikal.

Biarlah aku disaman berbanding aku disentuh rasa ini lagi.

Sampai sahaja di rumah Akmal, aku diam tidak menceritakan kisah ini. Nenek pernah berpesan, jika hendak cerita pengalaman pelik, biar keesokannya, jika mahu selamat.

Dan aku berpegang pada pantang larang itu, walau dunia telah mencapai tahap penggunaan Muka Buku.