Nasi lemak kesedaran

2 bualan
Pin It
Azrin mengangkat beberapa kotak kecil yang dahulu memuatkan kertas A4 kini memuatkan makanan. Sebagai pelajar, dia juga ingin mencari duit lebih dengan berniaga di kolej. Ikram turut membantu dia mengangkat kotak-kotak itu.

"Bagaimana dengan hasil jualan?" tanya Ikram kepada Azrin.

"Dua tiga minggu ini tidak memberangsangkan." Azrin menyusun 12 kotak di hadapan biliknya. Semuanya bersedia untuk diedarkan pada tempat strategik di blok-blok yang ada.

Ikram berkerut dahi mahukan jawapan lebih.

"Pada Jumaat lepas 15 bungkus tidak terjual. Kelmarin 5 bungkus. Semalam 3 bungkus," kata Azrin dengan muka masam.

"Mungkin kerana sebab ada kedai di bawah itu. Sekarang ada pesta jualan berhampiran kafe," tambahnya lagi.

"Kau guna kaedah letak dan tinggal. Tiada masalah kecuriankah?"

Azrin diam seketika. Dia teragak untuk berbicara.

"Ada. Semalam di blok L2 sebelum aku turun pergi makan malam, aku lihat ada dua keping duit kertas RM1 di dalam kotak. Apabila tengah malam aku datang pungut kotak, hanya tinggal duit syiling dengan jumlah dua ringgit sahaja."

Ikram mengelengkan kepalanya dan memulakan bicaranya pula.

"Itu lah. Bisnes sebegini tiada untung. Baik kau tukar sahaja bisnes lain. Aku beri cadangan kau niaga dari bilik ke bilik ke, bisnes format laptop ke, atau mana-mana yang tidak perlu kau tinggalkan duit. Risiko tinggi bisnes kau sekarang ni."

Azrin diam sahaja. Dia malas untuk menjawab kerana tahu kawannya ini bukanlah pernah berniaga. Setakat pandai berkata-kata sahaja dengan segala teori perniagaan yang dia belajar.

"Aku tahu. Tapi kasihan. Kita juga pelajar..."

"Itulah peniaga Melayu. Tidak pandai membezakan hal peribadi dengan bisnes," celah Ikram lagi. "Lagipun jelas pelajar di universiti ini tidak jujur. Moral sudah turun sehingga sanggup mencuri duit jualan orang lain. Nama sahaja mahasiswa yang inginkan semuanya percuma. Minda masih kelas ketiga!"

Azrin hanya diam mendengar.

Bisnes yang Azrin lakukan mudah sahaja. Dia mendapatkan bekalan nasi lemak dari luar dan kemudian menjualnya dengan harga sendiri di dalam blok kolej kediaman. Modus operandinya hanyalah dengan meletakkan lapan bungkus nasi lemak di dalam setiap kotak dan diletakkan di setiap aras bawah di tepi tangga di setiap blok lelaki. Mudah sahaja.

Setakat ini bisnesnya baik sahaja. Tetapi kebelakangan ini sahaja ia mula menurun. Menurut teori perniagaan, akan ada satu tempoh di mana sesuatu perniagaan akan mula menurun. Azrin merasakan mungkin ini kalilah perniagaannya mula menurun.

Keuntungan yang biasa dia dapat berjumlah berbelas ringgit kini menjadi beberapa ringgit sahaja. Kadang-kadang sampai tidak pulang modal.

Dia termenung. Dia tahu berniaga sentiasa ada risiko. Dan risiko berniaga letak tanpa pemerhatian ini memang tinggi. Nasi lemak dicuri, duit jualan pun dicuri. Semuanya risiko berniaga. Azrin tahu dan dia bersedia dengan risiko itu. Setiap hasil jualan keuntungannya dia akan simpan sepuluh peratus sebagai simpanan jika hal-hal seperti itu terjadi.

Ikram bangun setelah penat memberi syarahan bak sang politukus mengutuk lawannya. "Baiklah Rin. Aku balik bilik dahululah. Maghrib dah ni. Oh, nasi lemak aku ambil ya. Nanti aku bayarkan. Masuk buku 555 dahulu," sengih Ikram sambil memegang dua nasi lemak di tangannya.


Azrin hanya mengangguk. Kali ini sudah 10 bungkus Ikram ambil. Entah bila dia mahu bayar, Azrin pun tidak tahu. Namun, dia tidak kisah kerana Ikram itu bukanlah dari golongan keluarga kaya. Wang biaya pembelajarannya banyak disalurkan kepada keluarganya di kampung.

Kira ini pun salah satu sedekah yang Azrin dapat lakukan kepada Ikram. Pernah dia menghulur beberapa keping duit kepada Ikram tetapi ditolaknya mentah-mentah dengan berkata, "Rin, aku ini ada tulang empat kerat lagi. Kau simpan je duit kau itu untuk bisnes yang kau nak buat. Itu lebih baik."

Biasalah. Sifat manusia bukanlah semua sempurna. Ada sisi baik, ada juga sisi buruk. Apa yang penting sebagai seorang sahabat, Azrin berlapang dada dengan sikap sahabatnya itu.

Sepuluh minit kemudian Amri singgah ke bilik Azrin. Dengan berpakaian baju Melayu, berkain pelekat, dan berkopiah dia datang mengajak Azrin ke surau bersama.

Usai solat Maghrib, Azrin menceritakan masalah jualannya kepada Amri, rakan sejurusannya itu. Bilik Amri nun di tingkat 5 di blok sama dengan Azrin. Selalu apabila kedengaran azan, beberapa minit kemudian pasti Amri datang mengajaknya menunaikan solat berjemaah bersama, jika Amri berada di kolej.

Amri mendengar dengan kusyuk. Beberapa kali dia tersenyum sambil menggelengkan kepala. Mulutnya terkumat-kamit istighfar.

"Dugaan apabila kamu berniaga agaknya. Aku yakin suatu hari nanti kamu pasti lebih bersedia apabila cabaran lebih besar datang ketika kamu menjadi usahawan sebenar di luar sana," nasihat Amri.

Sebelum beredar, Amri memberi pesan kepada Azrin, "Rin, jika ada rezeki lebih, jangan lupa menderma. Perlu kita ingat bahawa sebahagian apa yang kita dapatbukanlah hak kita sepenuhnya. Ada juga hak orang lain yang perlu kita berikan juga."

Azrin terkesima mendengar nasihat kawannya itu. Selama ini tidak pernah pula dia terfikir untuk mendermakan sedikit pun duit hasil jualannya itu. Hanya disimpan untuk kecemasan.

Esoknya semasa menjejak langkah di masjid universiti, Azrin mengeluarkan sekeping not biru kehijauan. Dengan niat ikhlas kerana Allah, dia memasukkannya ke dalam tabung di bahagian dalam pintu masuk masjid. Mungkin perbuatannya tipikal orang menderma di masjid, tetapi itu lebih baik berbanding membakar duit dengan asap rokok.

Sebaik sahaja dia memasukkan not itu ke dalam tabung, terasa bahunya di tepuk dari belakang. Amri tersenyum sambil bersalaman dengan Azrin.

Mereka terus masuk ke dalam masjid bersama bersedia mendengar khutbah Jumaat.
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

2 ulasan:

  1. nice story......
    teringat masa remy kat kolej dulu2.....

    BalasPadam
  2. Teringat makcik selalu jual nasi lemak di kpz dulu2. Dia memang letak nasi lemak di awal pg dan ambil duit waktu malam. Ramai yang ambil nasi lemak tapi tak byr. Nasi lemaknya mmg sedap.

    Ustaz di sekolah pondok al-jenderami pernah berpesan, ketika hendak bersedekah di mana-mana tpt... Sebelum masuk duit dlm tabung atau diserahkan ke mana-mana, niat dahulu agar diperluaskan pintu rezeki selepas itu baca bismillah terus masukkan duit atau derma.

    BalasPadam

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia