Rabu, 15 Mei 2013

Daripada Amatur ke Profesional - Revolusi penulisan Wikipedia/Blog

'Apa yang kamu dengar kamu lupa, apa yang kamu lihat, kamu ingat, apa yang kamu buat, kamu faham.'
-- Konfusius

Pada awalnya saya tidak gemar berblog. Saya tidak percaya semua orang mempunyai pandangan yang bernas untuk dilontarkan. Bagi saya hanya yang berkredibiliti sahaja dapat berblog.

Apabila dikenangkan kembali, ini semua gara-gara laman web yang suka 'kaut untung' menipu pengguna buta IT. Kata mereka boleh dapat duit dengan mudah hanya dengan klik itu dan ini di Internet.

Saya memang anti-MLM dan saya lihat geng-geng itu terlibat dengan MLM.

Apatah lagi saya pernah tertipu dengan iklan sarung dan bungkus belon di rumah yang penuh tertera di akhbar PENIPU no 1 Malaysia -PERDANA. RM40 hangus begitu sahaja.

Tetapi alhamdulillah, dengan terkena pada batang hidung sendiri, barulah saya mula berfikir logiknya untuk dapat duit di mana. Hanya dengan kerja keras sahaja barulah duit dapat berkepuk banyak di poket kita.

Sama sahaja dengan blog. Hanya dengan menulis perkara-perkara bermanfaat buat diri kita dan yang membaca, barulah dapat buat duit. Bagaimana? Caranya mudah sahaja, tulislah dengan baik dan betul.

Apabila saya terjun dengan dunia blog, barulah saya mengerti kenapa ramai orang mula berblog. Bagi blogger yang sudah mendapat nama, mereka tahu duit bukan matlamat utama mereka berblog.

Walaupun mungkin tidak terkenal, tetapi pandangan blogger mempunyai bernasnya. Unik dan lain dari lain.

Apa yang penting isinya dahulu. Kemudian barulah belajar teknik pemasaran blog yang betul. Banyak juga ilmu penulisan saya belajar hanya dengan berblog.

Sama juga di Wikipedia. Oh, itu kisah lain pula nanti, tentang bagaimana Wikipedia Bahasa Melayu membuka mata saya terhadap proses pembelajaran.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon