Samaran blog

Berbual
Pin It
Terus tangan Lukman menaip laju di atas papan kekunci komputernya. Idea yang datang kepadanya tadi begitu laju bak air mengalir di sungai. Jernih dan sejuk.

Tidak banyak yang hendak dia katakan dalam karangannya itu, tetapi cukup buat tatapan dirinya sahaja. Sudah lama dia menulis cerpen di blognya. Pelbagai kisah dia nukilkan buat pengajaran dirinya.

Dia tidak berminat mempromosikan cerpen-cerpen nukilannya itu. Biarlah ia kekal di blog rahsianya. Tidak ramai tahu bahawa blog 'Di Persada Jawi' ditulis olehnya. Berbekalkan nama samanaran 'Fansuri', dia giat menulis cerpen cereka nyata.

Diulit pengalamannya yang jelas dengan sedikit imaginasinya. Memang ia kelihatan pengalaman betul, tetapi tidak dia mahu orang yang membacanya dapat menduga itulah dia.

Dalam dunia era media sosial menguasai hidup manusia, dia tidak kepingin popular dengan Facebook, twitter, Google plus ataupun Friendster. Biarlah dia dengan dunia penulisannya itu. Ya mungkin ada seorang yang bergelar 'ustaz' mampu popular dengan blog sejak dia dari tingkatan 6 dan terbang ke Jordan untuk belajar agama, tetapi Lukman tidak begitu.

Ilmu agama yang dipelajarinya tidak mahu dia gunakan untuk kepentingan diri sendiri. Berbicara dalam Facebook bagaikan seorang yang alim, hanya kerana meletakkan doa agar orang yang dikecamnya itu mendapat hidayah. Ah! Pemikiran tipikal penyokong sesuatu organisasi.

Lukman bencikan orang gaya begitu. Dia membaca buku-buku ustaz itu. Dahulunya dia menjadikan ustaz itu sebagai contoh untuk dia menulis di blog. Dia melihat ustaz itu berjaya sungguh dengan blognya itu sehingga tertubuhnya syarikat berdasarkan nama blognya itu.

Ah! Manusia. Berbicara seakan-akan dia itu malaikat. Mengkritik sana situ tidak sama seperti apa yang ustaz itu tulis dalam bukunya.

Lukman hampa. Hipokrit rupanya si ustaz itu. Oleh kerana bicaranya itu tidak sebulu dengan organisasi bertentangan dengannya terus dia mengkritik sana situ.

Ah! Biarlah dia dengan gaya hidupnya. Lukman lebih selesa tenggelam dalam dunia cerpen nyatanya itu.

Pernah yang mengunjung ke blognya itu si ustaz yang dikatakan itu. Memuji cerpen Lukman yang telus. Lukman kembang kempis hidungnya buat seketika. Bangga ada orang yang terkenal memuji nukilannya itu.

Tetapi setakat itu sahajalah. Tiada apa-apapun terjadi. Hanya pujian penaik semangat.

Kemudian Lukman tersentak. Astaghfirullah. Dia leka dengan pujian manusia sehingga lupa pujian manusia itu hanya memakan diri manusia itu sendiri.

Terus dia membentangkan sejadah di 1/3 malam untuk bermunajat kepada Tuhan yang satu.

"Man, kau ikut tak blog Fansuri? Terbaiklah tulisan dia. Aku suka gaya penulisannya. Santai tetapi mendalam!" Duduk Hanis di sebelah Lukman.

Lukman hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Dalam hati dia hanya tersenyum. Nampaknya identiti rahsianya masih kekal rahsia.

Dia tidak suka membongkarkan bakatnya dalam menulis. Pengalaman mengajarnya sesuatu bahawa orang yang banyak bercakap ini kurang kerjanya.

Dahulu cukup suka dia membangga diri dia ini pandai menulis. Habis semua orang dicanang yang dia pandai menulis. Dibawanya kertas cerpennya itu ke hulu ke hilir di sekolah menengahnya dahulu.

Ada yang memuji dan ada yang neutral. Tiada pun yang mengkritik. Lagi Lukman bangga dengan kisah itu. Sedang asyik dia menunjuk cerpen itu, tiba-tiba cikgu Azman, guru Bahasa Melayu berada di belakannya.

"Hah Man, Cikgu dengar kamu ada menulis cerpen. Mari sini cikgu baca," kata cikgu Azman.

Lukman menghulur tiga helai kertas kepada cikgunya itu. Dalam hatinya timbul perasaan inginkan pujian dan kata semangat oleh cikgunya itu.

"Ala. Biasa sahaja cerpen ini. Kenapa lah satu sekolah juga kamu nak bisingkan?" kata cikgu Azman sambil menyerahkan kembali helaian-helaian kertas tersebut kepada Lukman.

Lukman terdiam seketika. Mukanya merah padam. Kawan-kawan yang berada di meja makan kantin mula berbisik. Entah apa yang mereka bisikkan itu Lukman tak tahu. Dia terasa seakan ada orang yang mencurah air sejuk di mukanya itu.

Terus dia bangun dari tempat duduknya dan beredar pergi. Dia berasa kesal dengan kritikan cikgu itu. Balik sahaja dari sekolah dia duduk berkurung di bilik memerhatikan cerpennya itu. Lama sungguh dia perhatikan. Akhirnya dia bangun dan mengoyakkan helaian-helaian kertas itu dan mencampakkan ke dalam tong sampah.

Pada malam itu juga dia pergi melepak di kedai buku Pak Husin, tempat kegemarannya melepaskan geram. Memang pelik hobinya itu. Apabila terasa sedih, marah mahupun kecewa, bukulah ubat terbaik buatnya. Dia ralit membaca buku-buku yang ada di kedai itu.

Pak Husin kenal sungguh dengan Lukman. Dia membenarkan sahaja Lukman membaca buku di situ. Dia tahu Lukman bukanlah orang kaya. Kadang-kadang semasa cuti sekolah dia mengajak Lukman bekerja di kedainya itu menjaga buku.

Walaupun kedai buku itu kelihatan usang, tetapi jangan dipandang enteng buku yang dijualnya. Dari buku sekolah sehinggalah buku falsafah ada sahaja di kedai Pak Husin.

Kerana itu Lukman gemar melepak di kedai buku ini. Dia asyik dengan dunia tanpa bantasannya itu...

--

(bersambung)
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 mengomel:

Catat Ulasan

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia