Jumaat, 19 April 2013

Pagi itu dia mati

Beberapa minggu ketika semester berlangsung di UPM kedengaran heboh berita kemalangan melibatkan pelajar UPM di persimpangan 4 jalan menuju ke fakulti Pertanian nun hujung luar kawasan utama UPM.

Kawasan ngeri bagi warga UPM.

Dalam keheningan pagi, pelajar tersebut membonceng laju motorsikalnya, dengarnya dia telah lewat ke kelas. Manakala terdapat sebuah kereta yang rakus ingin menyeberangi jalan yang bukan laluannya. Ingin mengambil jalan pintas di bawah kerana jalan di atas flight over itu selalu sahaja sesak terutama waktu puncak. Oleh kerana si pemandu sombong dan angkuh untuk terus juga dengan harapan tiada yang melanggarnya atau tiada kisah kerana ia sebuah kereta, maka berlakulah perlanggaran hebat di situ.

Pembonceng terus terpelanting sebaik sahaja motorsikalnya terlanggar sisi kanan kereta tersebut.

Jatuh terkulai dia di sebelah kanan kereta. Tidak diketahui sempatkah dia mengucap syahadah kerana ia berlaku terlalu pantas. Sangat pantas sehinggakan si pemandu tercanggung dengan apa yang terjadi.

Saya yang mendengar kisah itu terkedu. Sungguh simpang jalan itu memang selalu digunakan oleh saya untuk berulang-alik pergi ke kolej. Mungkin tidak melawat kawan, tapi mungkin untuk pergi singgah ke masjid. Ia masih jalan utama yang menghubungkan saya ke kawasan utama UPM.

Sebagai pembonceng motorsikal saya tahu ngerinya kemalangan. Kami bagaikan telur di atas jalan raya. Dilanggar pecah, terlanggar pun pecah. Nyawa bagai telur di hujung tanduk.

Setiap kali saya melalui tempat kejadian, minda ini ralit berfikir tentang Asyraf. Ini membuatkan saya terfikir tentang mati.

Saya penunggang motorsikal sepenuh masa. Ke mana jua motorsikal Kriss ini menjadi peneman setia saya. Tak kira kala hujan mahupun panas. Sentiasa berdamping bersama saya.

"Eeee, takutnya. Tadi aku nyaris dilanggar kereta semasa lalu terowong jalan ke fakulti," kata Ain.

"Situ memang bahaya. Memang itu jalan utama tetapi aku tetap bawa perlahan. Orang yang lalu dari atas selalunya gila memecut," kata Hans.

Saya tersentap. Sungguh. Hati ini pasti terasa sedih mengenangkan nasib pemuda itu. Dia mati, hanya kerana kecuaian seorang pemandu kereta yang ingin mengambil jalan pintas yang tidak ingin melalui kesesakan di atas.

Mati. Ia menghantui saya kala saya melalui jalan itu. Bukanlah ketakutan mati akibat dilanggar tetapi perasaan resah untuk menjawab apabila kematian itu datang kepada saya. Apakah amal saya cukup untuk menampung saya untuk sampai ke syurga? Atau dosa saya yang menggunung tinggi ini mampu menelan saya terus ke neraka jahannam?

Astaghfirullah'al azim.

Dan kerana itulah Islam mengajar saya untuk selalu mengingati mati.

Moga-moga roh Asyraf berada di kalangan orang yang beriman. Amiin.

1 mengomel so far

Ooo baru tahu ni kawasan kemalangan..pernah lalu sini rasanya.. Tp bahaya ni ada di mana2, kita kena bhati2 selalu... Semoga arwah tenang di sana.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon