Isnin, 22 April 2013

Di Jendela Keputusan

Duduk termenung seorang pemuda di jendela. Memerhatikan sepohon Ara nun di hujung bangunan. Elok sahaja jurai-jurai akar pohon itu bergerak perlahan dek tiupan angin-angin sepoi.

Sudah lama dia termenung. Setiap hari dia termenung. Entah apa yang tersirat di hatinya tiada siapa yang tahu. Dia simpan seorang diri. Tidak mahu diluahkan kepada orang lain. Baginya masalah yang dihadapinya itu, jika diceritakan kepada orang bagaikan ditelan mati emak, diluahkan mati bapa.

Perit di hatinya masih terkesan. Banyak perkara dia simpan seorang diri. Terus dia berlayar tanpa arah rupanya. Selama ini dia ingatkan apa yang dia buat ada tujunya, kini tidak lagi.

Sejak kebelakangan ini dia keruan memikirkan kehidupannya. Kalau dahulu selalu sahaja dia ceria. Bercerita seloroh sana sini. Kini tidak. Dia diam. Seribu diam. Entah mengapa masalah ini berat sekali buatnya.

Hanya pohon Ara menjadi pandangan harian dia di bilik nun di hujung bangunan yang penuh dengan buku itu. Selalu dia sangka buku itu pengubat hati. Membaca menjadi amalan baik untuk dia meluaskan nuansa mindanya. Tidak mahu terikat dengan dunia yang kian hancur. Apatah lagi suasana riuh rendah di luar sana bercerita tentang aib pemimpin.

Keluh kesahnya tiada siapa yang dengar. Hanya hatinya sahaja maha menahan perit yang kian menimpa.

Terus dia leka dengan menungannya itu. Borang di tangan tersemat erat. Bilalah masanya dia mengisi borang itu tiada siapa yang tahu.

Pemuda itu bangun dan duduk di meja berdekatan jendela. Dimasukkan borang itu perlahan-lahan ke dalam sampul putih bersaiz A4. Ditutup kemas lipatan hujung sampul.

Dia sudah tekad. Surat itu akan dia hantar terus ke pejabat pos. Yang menentukan rezekinya nanti hanyalah ada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon