Pen Amanah

2 bualan
Pin It

Manusia selalu leka dengan apa yang mereka kerjakan. Mereka terlalu asyik dengan diri sendiri sampai lupa apa yang mereka ada.

Aku melihat sendiri peristiwa itu di hadapan aku. Bukan nak mengata tetapi itulah hakikatnya. Manusia tetap manusia. Mereka masih seorang pelupa. Kadang-kala kata yang sedikit mampu menghiris hati yang basah.

Aku tahu aku menyertai gerakan ini bukanlah mudah. Telah aku berusaha membersihkan diri aku dengan air berguguran tiap-tiap malam. Ah biarlah hanya aku dan Tuhan yang tahu.

Peristiwa itu begitu meruntun jiwa aku. Tidak aku sangka aku boleh bertemu seorang yang mampu memberi hati aku kesedaran hidup. Habis semalaman aku memikirkannya.

"Akhi, boleh saya pinjam pen sekejap? Saya terlupa bawa," pinta aku kepada sahabat di sebelah. Sebagai seorang urus setia majlis perkaderan ini, aku mestilah perlu sentiasa bersiap sedia dengan pen. Entah macam mana aku boleh tertinggal pen di dalam kereta.

"Ambillah. Nanti jangan lupa pulang," balasnya.

Aku hanya meanggukkan kepala tanda aku akan pulangkan nanti.

Sungguh sibuk hari itu. Dari pagi sampai ke petang tangan aku asyik mengangkat sana situ barang yang ada. Ini tidak termasuk lagi menulis itu dan ini tentang program yang berlangsung.

Program 2 hari ini penuh dengan pelbagai aktiviti. Hari pertama aku tempuhi dengan baik. Malam sudah mula pekat. Para peserta mula beredar seorang demi seorang untuk naik ke bilik hotel untuk berehat. Aku pun turut serta naik.

Sampai di pintu bilik 405, ada orang memegang bahu aku dari belakang.

"Assalamualaikum akhi." Satu suara yang aku kenal

"Waalaikumussalam. Oh ya Rizuwan. Ada apa hal?"

Dia memadang muka aku seperti ingin meminta sesuatu.

"Jangan buat lupa pula akhi. Saya perlu balik malam ini juga. Ada hal di kampung."

Aku keliru dengan kenyataan dia itu.

"Pen saya?"

Ya Allah! Sungguh aku lupa tentang itu. Aku meraba kocek di dada kiri. Kosong. Aku meraba di kocek seluar kiri dan kanan. Juga kosong.

Terus aku minta dia tunggu sebentar. Aku bergegas pergi ke dewan tadi untuk mencari pen itu. Sampainya sahaja aku di situ kelihatan seperti dewan sudah dikemas oleh pekerja hotel. Aduh. Habis setiap meja yang aku rasa ada aku singgah aku selongkar. Kosong.

Badan aku mula rasa tidak sedap. Rizuwan sudah tercegat di pintu dewan.

"Maaf akhi. Saya betul tidak sangka boleh hilang pen enta."

"Inilah ikhwah. Bagi pinjam sahaja barang mesti tak jaga baik baik. Amanah susah nak jaga. Tak apalah. Ana pulang dahulu." Bergegas dia pulang bersama isteri yang menunggu di pintu hotel.

Aku terkesima mendengar kata-kata itu. Sungguh ia memberi kesan kepada aku. Amanah.

Sampai sahaja di bilik aku mendengar beberapa rakan yang turut menginap sibuk bercerita tentang hidup berkeluarga mereka. Bermula dari ingin mencari pasangan sehinggalah sudah mempunyai anak.

Aku tidak turut serta dalam perbualan itu. Hati aku seperti terendam dalam air sejuk. Beku memikirkan kata-kata yang dilontarkan oleh Rizuwan itu tadi.

Malam semakin pekat. Seorang demi seorang beransur meminta diri untuk tidur. Aku pula tidak dapat memejamkan mata ini. Teringat pesan ustaz, jika ada buat salah, sebolehnya minta maaf. Aku telah minta maaf tetapi seakan Rizuwan tidak meredhainya.

Pantas aku fikir lebih baik aku kuatkan ucapan maaf aku dengan menghantar pesanan ringkas kepadanya. Cukup panjang pesanan ringkas yang aku hantar. Tanda betul aku ikhlas memohon maaf atas kesalahan aku. Kehilangan pen yang diamanahkan aku begitu besar ertinya buat aku.

Kerana iman menjaga aku daripada pecah amanah.

Setengah jam kemudian sedang ingin aku terlelap, kedengaran dua bunyi beeb daripada telefon bimbit aku.

"Tak mengapalah. Ana maafkan."

Ringkas sahaja jawapannya. Aku tidak pasti bila mata aku sudah terlelap. Yang pasti aku dikejutkan oleh rakan sebilik aku, Amin untuk bangun solat Subuh berjemaah di surau hotel.

Program berjalaan dengan lancar untuk hari kedua. Aku pulang dengan seribu satu pengalaman tentang amanah. Kini aku tahu ertinya amanah. Apa rasanya apabila kita pecah amanah dan iman memberi kesannya kepada aku.

Terus, setiap kali aku berjalan keluar ke mana-mana, pasti sebatang pen terikat di kocek kiri kemeja aku.

Beberapa bulan kemudian aku menghadiri konvensyen anjuran gerakan. Aku fikir Rizuwan juga pasti akan turut serta kerana aku terlihat senarai namanya di dalam senarai peserta yang akan hadir dari zon Selatan.

Aku sudah bersedia memulangkan amanah yang diberikan kepada aku dahulu. Bukan aku berdendam tetapi aku mempunyai iman. Aku tahu erti amanah. Aku tahu sakit hatinya ini apabila kepercayaan yang diberikan dirobek oleh peristiwa yang berlaku.

Orang ramai berasak-asak di Dewan Seri Pulasan. Semua kerusi merah penuh. Aku melilau ke sana ke mari mencari Rizuwan. Aku melihat kelibat lelaki berbaju kot kelabu berkemeja putih lalu di hujung dewan. Terus aku mengejarnya.

Lelaki itu sedang sibuk bersembang dengan telefon bimbit di telinga kirinya. Aku tunggu di sebalik pintu dewan. Tidak mahu mengganggu perbualannya itu.

Perkataan salam terdengar di hujung perbualan itu. Aku tahu itu tandanya aku masuk. Aku buat seakan-akan aku ingin ke tandas.

"Eh Rizuwan! Assalamualaikum." Aku menghulur tangan sambil melagakan pipi padanya.

"Waalaikumussalam, Fateh. Alhamdulillah baik," jawab dia.

Kami bersembang seketika tentang kehidupan masing-masing. Kemudian, dengan perlahan, aku mengeluarkan sebatang pen berwarna biru jenama G-Soft dari poket kiri aku dan menyerahkan kepadanya.

"Ini akhi. Pen yang saya terhilangkan. Saya gantikan semula," kata aku ringkas.

Dia terkejut dan cuba menolak. Aku terus meletakkan pen itu di kocek kotnya itu. Dapat aku lihat raut wajahnya mula berubah tersipu malu.

Hanya senyuman manis dapat aku balas dan aku kembali ke dewan ke tempat duduk aku tadi.
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

2 ulasan:

  1. Alhamdulillah, awak berjaya menggantikan amanah itu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Moga cerpen ini dapat memberi makna kepada yang membacanya.

      Padam

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia