Rabu, 20 Mac 2013

Epal Hitam

Orangnya hitam manis. Badan biasa sahaja. Tingginya tiga per empat pintu rumah. Selalu dengan celoteh menarik tentang Pangkor. Itulah si dia yang tidak lepas daripada kehidupan seorang mahasiswa di universiti tempatan.

Izzat (bukan nama sebenar), mengambil ijazah sarjana muda di universiti terletak di Serdang. Hidupnya seperti mahasiswa lain sibuk dengan kelas berbelas jam kredit. Tak terlepas sehari daripada kehadiran ke kelas.

Epal Hitam buat semua.
Izzat memang dikenali ramai. Bagi rakan sejurusannya, dia seorang yang bijak. Cuma sikapnya itu kurang bijak. Heh.

"Kenapa kamu datang lambat?" ujar Dr. Fatimah (bukan nama sebenar).

"Maaf Dr. Saya terserempak dengan pak Arab tadi," jawab Izzat.

"Habis tu?"

"Lalu kami bersembang bertanya khabar."

"Sampai satu jam sembang?"

Izzat hanya tersenyum sipu mengiyakan kenyataan itu. Dia berlalu mencari tempat duduk di belakang. Rakan-rakan yang mendengar sudah terkekek ketawa.

Pernah suatu hari ketika mengambil kelas bahasa Inggeris 'Interaksi Oral', selalu sahaja dia lewat.

"I'm at lost," jawab Izzat selamba apabila Puan Chandrika (bukan nama sebenar) bertanya.

Akhirnya satu kelas setuju menggelarnya 'The Lost Man'.

Di sebalik sikapnya itu, Izzat memang seorang rendah diri. Ramai tidak tahu kisahnya yang banyak dipaparkan melalui cerpen-cerpen yang ditulisnya sendiri.

Entah kenapa nama Epal selalu melekat pada isi cerpen yang dikarangnya. Mungkin banyak salah di awal penceritaan, namun Izzat kekal dengan semangat membara menulis cerpen.

Walaupun seorang pelajar jurusan Sains Ternakan, dia memang meminati sastera. Mungkin awalnya sastera Inggeris mewarnai hidupnya itu, lama kelamaan, sastera Melayu jua yang dinukilkan olehnya.

Hidup tidak semestinya satu jalan sahaja. Cabang takdir hanya Tuhan yang tahu. Manusia hanya merancang dan perihal esok hanyalah perkara ghaib. Tiada siapa tahu kecuali yang Tuhan mencipta manusia.

Izzat gigih menulis tentang epal. Peliknya dia minat menulis epal hitam. Cantik bersinar fikirnya.

Kelas? Dia tetap hadir. Namun sikapnya... begitulah. Hatta sampai ke peringkat peperiksaan akhir pun boleh terlewat.

Akhirnya dia berjaya bergraduat jua. Walaupun lewat sedikit, namun tidak mengapa kerana prinsip Izzat, biar lambat asal selamat. Tuk kura-kura lambat, namun dia gigih melawan arnab yang sombong. Bukankah kegigihan itu lebih penting berbanding kesombongan?

Beberapa bulan kemudian terdapat satu novel misteri mendapat perhatian bacaan ramai. Sungguh ia mengujakan bak penulis J.K Rowlin! Walaupun ia bukan tentang sihir, namun kisah-kisah dahulu kala kehebatan orang Melayu menjadi asas kejayaan novel itu.

Si pengarang menggunakan nama Epal Hitam. Novel 'Sang Pengembara Lepas' mendapat tempat di hati muda mudi. Ia pencetus kepada revolusi sejarah Melayu. Sentuhan rasa yang baru dan tidak kaku membolehkan Epal Hitam terus menerus menerbitkan siri-siri novelnya itu.

Sejarah bagaikan roda. Hanya perlu orang memutarkannya untuk menaikkan mana yang telah jatuh hilang dilupai zaman. Dan Epal Hitam berjaya memutar sejarah kegemilangan orang Melayu dahulu kala.

Ramai anak muda mula ingin tahu apakah sejarah mereka. Revolusi Epal Hitam memang hebat hinggakan ada satu desakan baru meminta kerajaan menyemai semula subjek sejarah dengan perspektif yang lebih tegar.

Epal Hitam membawa erti bahawa perjuangan orang Melayu dahulu kala bukan kerana cukai, tetapi kerana jihad. Ya jihad. Mereka berjuang menentang penjajah bukan kerana wang atau harta, tetapi kerana mereka memahami erti jihad.

Dan siapa sangka, si penulis Epal Hitam itu seperti apa yang anda semua tahu.

Dahan pokok bukan bercabang satu. Dan dahan yang Izzat pilih, bukanlah satu.

*cerpen ini khas saya tujukan kepada Ai Radium sempena umurnya mencecah 24 tahun hari ini.

Semoga terus cekal menulis.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon