Khamis, 7 Februari 2013

Belajar Nun di hujung daerah

"Kamu hendak pergi mana?" tegur adik saya semasa saya hendak keluar.

"Pergi kerjalah."

"Eh? Master pun kerja kah?"

"Mestilah..." saya menutup pintu rumah dan berlalu pergi ke lif untuk ke parkir motorsikal di bawah kuarters.

Selama ini saya gunakan perkataan pergi ke kelas untuk bergerak keluar dari rumah. Kini apabila saya gunakan perkataan kerja, lain pula rasanya. Ia seperti mengatakan bahawa saya ini seorang yang berkerjaya. Ahaks. Walhal saya ini memang pun sepatutnya bekerja mencari ilmu.

Rumah saya berada di dalam kawasan Putrajaya. Apabila saya bersembang dengan orang tentang saya sebagai seorang sarjana, mereka pasti mengagak saya tinggal dalam kolej kediaman UPM. Ini dapat dilihat melalui reaksi muka mereka seperti orang mengerti mengatakan pelajar sarjana itu wajib tinggal di kolej.


"Tidaklah. Saya tinggal di Putrajaya."

"Tidak jauhkah?"

"Tidak. Sekitar 20 minit sahaja perjalanan."

Berbasikal ke sekolah, berusaha 
mencari ilmu kerana Allah.
Saya rasa persepsi orang sekarang bahawa jika kita belajar di sesuatu tempat wajib jika orang itu tinggal berdekatan tempat dia belajar itu.

Namun, bukankah orang zaman dahulu belajar jauh? Contohnya ayah saya selalu bercerita dia mengayuh basikal sejauh 1 jam perjalanan hanya untuk bersekolah.

Kini, apabila dengar kisah begitu di bandar, pasti mata terbeliak seakan tidak percaya kepada kebenaran.

Pandangan ini pula berbeza dengan kerja. Ada pensyarah saya tinggal di Shah Alam tapi boleh sahaja kerja di UPM. Seawal 6.30 pagi lagi sudah beliau bertolak pergi kerja. Selewat 6.30 petang atau seawal 4.30 petang dia pulang. Perjalanan mengambil masa 1 jam.

Tidak pula orang pelik.

Juga ada rakan saya yang tinggal di Seremban berulang-alik ke UPM untuk bekerja. Itu lagi jauh! Hampir 1 jam perjalanan (jika tiada kesesakan lalu lintas).

Ukuran jarak untuk menimba ilmu bukanlah masalah pada zaman ini. Masa telah menjadi cepat dengan penciptaan pelbagai jenis teknologi untuk memudahkan perjalanan kita.

Jadi mengapa kita perlu terkejut mendengar kisah orang duduk jauh nun di hujung kampung boleh tetap datang menimba ilmu ke nun di hujung bandar?

Asalkan ada kemahuan pasti di situ ada jalan.

4 mengomel

Kamu tinggal dengan keluarga ya? Mesti selesa. Dulu selepas bergraduat BA, beberapa kali juga saya pindah rumah kerana tidak selesa sehinggalah saya duduk seorang di kawasan Equine Park.

Diam tak diam, hampir 8 tahun saya duduk di sini. Mula-mula, saya duduk bertiga di rumah ni.. lepas tu berdua dan akhirnya setelah mampu, saya duduk seorang bersama seekor kucing saya.

Ketika MA dulu, memang byk korban masa sebab saya kerja sambil belajar. Maklumlah kerja di Seksyen Penyelidikan dan Inovasi, kerja terlalu banyak dan penuh dengan audit. Sementelah, UPM ni merupakan RU. Hampir2 putus asa sebab kepenatan otak di pejabat slps itu hendak menyiapkan MA pula. Tapi Alhamdulillah, berjaya akhirnya.

Cuma bila dah menjadi pelajar sepenuh masa (berhenti kerja) dengan biasiswa MyPhD dan penyelidikan ditaja oleh geran penyelidikan supervisor saya, ramai ingat saya duduk kolej atau duduk di kampung. Mereka mengandaikan bahawa saya tak boleh hidup dengan hanya biasiswa tanpa bekerja, sedangkan apa yang perolehi sekarang ini melebihi gaji saya peroleh dahulu. Mereka samakan dengan elaun yang diperolehi oleh GRF dan GRA. Sedangkan ianya sangat berbeza.

Itulah manusia, suka membuat andaian tanpa menyelidiki dengan lebih mendalam tentang sesuatu.

@Kak Dell
Termasuk juga saya. Sebelum saya sambung ijazah, saya juga ingatkan pelajar sarjana patut tinggal di kolej. Mudah nanti nak belajar. Namun setelah saya sendiri merasa macam mana jadi pelajar sarjana, sama sekali paradigma saya berubah.

Pandangan kak Dell pastinya lebih kerana peringkat lebih tinggi berbanding saya. Huhuhu.

Sebenarnya terpulang kepada keselesaan seseorang pelajar itu sendiri. Ketika saya sambung MA, saya sudah 3 tahun duduk di luar, sudah selesa dengan keadaan itu. Kebetulan, disebabkan saya sudah bekerja.. saya sudah membeli banyak peralatan rumah dan tak sesuai dibawa utk duduk di kolej. Lagi satu, saya tidak suka berasa terkongkong berada di kolej. Ada juga kawan-kawan saya yang sambung MA duduk di kolej krn mereka suka dengan kemudahan yang ada.

@Kak Dell
Lain orang lain citarasanya.

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon