Ruang masa berbeza

2 bualan
Pin It

Sesekali melihat diri saya di cermin saya tertawa sendirian. Inilah diri saya yang ada. Badan kurus kering dengan muka ala-ala pemain sukan. Bekas parut jerawat di muka pun ada.

Kalau dulu saya lihat dengan muka benci. Saya tidak suka muka saya yang ala-ala Tiong Hua. Pemalasnya orangnya. Bukankah masyarakat itu rajin orangnya? Suka berbisnes? Suka mengambil kesempatan atas peluang yang ada?

Apabila direnung kembali, saya selalu diejek rakan-rakan sebaya ketika kecil dahulu. Dipanggil apek. Uh. Hati budak mana yang suka diejek? Geram.

Masa berlalu. Ditakdirkan Allah, saya bertemu lebih ramai rakan ketika masuk alam menengah. Pandangan saya mula berubah. Ramai memuji saya ini istimewa. Rupa lain daripada kaum majoriti di sekolah luar bandar ini. Timbul perasaan yakin terhadap diri ini.

Betullah kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan. Semakin jauh saya merantau, semakin banyak perkara saya belajar.

Kalau dulu, ya saya dipuji unik, tapi hati kecil ini masih mengatakan kamu tidak kacak. Kamu tidak setanding orang yang boleh bersukan. Bukankah kacak itu orang yang badannya berotot? getus hati kecil saya.

Saya bukanlah budak sukan. Hanya tahu duduk di ruang kecil di sudut pusat sumber membaca cerita-cerita dongeng yang menghiburkan hati. Manakala ramai rakan saya bermain bola sepak di sudut hujung sekolah.

Sampai kini, saya masih lagi kaki bangku menendang bola. Pasti dua tiga tendangan barulah ia terbang ke arah enta mana saya pun tidak pasti. Asalkan ia bergolek jauh pergi dari saya.

Nak bermain ragbi? Uh. Itu bukanlah saya. Berbadan kurus kering seperti ini bermain ragbi? Mahu patah tulang saya kala dihenyak nanti. Saya tahu sukan ragbi terkenal di kolej kediaman saya tinggal, namun perlukah saya sertai semua jenis sukan terkenal hanya kerana majoriti rakan saya minat bersukan?

Saya endahkan sahaja. Jogging tetap menjadi pilihan saya. Ia mudah. Hanya perlu kaki bergerak. Dan yang penting kemahuan untuk bergerak itu ada.

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Saya berkenalan dengan lebih ramai rakan di hujung pengajian ijazah. Dan kali ini bukan sekadar rakan, mereka adalah sahabat. Saya terasa sesuatu berlainan apabila bergaul dengan mereka.

Ada satu yang saya tidak pasti kenapa. Perasaan dan keyakinan saya terhadap diri saya mula meningkat.

Saya memandang cermin dan melihat diri ala-ala pemain badminton negara ini. Beliau mungkin hebat smash di gelanggang, saya pula?

Apabila difikirkan kembali, setiap manusia ada kelebihan yang Allah berikan. Kenapa kita perlu fikirkan hak orang lain walhal hak kita sendiri kita tidak perhatikan? Bukankah Allah itu Maha Adil.

Saya berkembali bersemangat. Wajah yang saya lihat di sebalik cermin itu bukanlah ala-ala orang lain. Tidak. Ia adalah saya. Dan itulah yang sahabat-sahabat saya lihat dalam diri saya.

Jawapan itu mula jelas mengapa saya terasa dekat dan sanggup menggelar mereka sahabat. Persahabat itu indah apabila kita, manusia, bersahabat kerana Allah.
Pin It
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

2 ulasan:

  1. tak pe anggap setiap ejekkan sebagai membakar semangat utk terus berjaya.. ins sha allah, allah akan kuatkan hati kita. ^_~

    BalasPadam
    Balasan
    1. Apabila bertemu sahabat yang betul, ejekan itu ibarat kenangan manis buat saya.

      Padam

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.

Manusia