Rabu, 23 Januari 2013

Ertinya Amanah


Amanah. Ia satu perkara yang jarang manusia ambil kisah kini. Aku melihat ramai orang pandai berkata tentang amanah. Tapi adakah mereka tahu apakah itu amanah?

Aku mempunyai satu kisah untuk dikongsi bersama. Ia tentang amanah.

Ia bermula dengan aku menyertai program anjuran syarikat aku. Ia bertujuan merapatkan hubungan antara ahli satu Malaysia.

Di situlah aku berkenalan dengan ramai orang yang boleh dikatakan baik-baik. Seronok dan gembira kerana aku bersama pasangan aku hadir. Ramai juga sahabat-sahabat lama yang hampir beberapa tahun tidak berjumpa kini berjumpa di bawah program ini.

Terdapat seminar di awal pagi pogram itu. Seminar bermula dengan penceramah memberi sedikit pengenalan tentang dirinya. Terdapat beberapa aktiviti yang dilakukan.

Kami diminta untuk menulis beberapa benda dan ia memerlukan pen. Oleh kerana aku ini jenisnya bukanlah suka membawa pen ke mana jua aku pergi, sukar untuk mengikuti aktiviti tersebut.

Aku memandang kiri dan kanan dan terlihat ada sahabat yang membawa pen lebih.

"Jo, boleh pinjam pen?" tanya aku.

Dia hanya menganggukan kepala. Tanda setuju, fikir aku.

Hendak dijadikan cerita, apabila semua aktviti selesai aku pun letaklah pen yang aku pinjam di atas meja seminar. Terlupa bahawa itu bukanlah pen aku.

Pada sebelah malam pula terdapat aktiviti lain yang dijalankan. Habis sahaja aktiviti itu aku didatangi sahabat yang aku pinjam pen. Rupanya dia terpaksa pulang awal dan tidak dapat mengikuti seminar tiga hari ini.

"Man, saya terpaksa balik malam ini juga. Pen saya tadi di mana ya?"

Dengan serta merta aku terkejut. Hati mula rasa resah. Aku terlupa bahawa pen itu aku tertinggal di bilik seminar petang tadi. Terus aku bergegas pergi ke bilik seminar itu.

Hampir 30 minit aku berpusing dari bawah lantai sehinggalah atas meja tiada satu pun tanda pen itu masih di situ.

"Maaf Jo. Aku rasa pen kau itu sudah hilang," kata aku apabila puas mencari.

Muka Jo merah seperti orang yang sedang menahan marah. "Itulah. Kalau bagi orang pinjam pen aku, mesti hilang," terus dia berlalu pergi meninggalkan dewan makan.

Aku tersentap. Hati aku runtuh. Amanah yang diberi sungguh terasa berat hari itu. Hanya kerana sebatang pen malam itu bukanlah malam aku. Seminar itu bukanlah seminar untuk aku nikmati.

Pada malam itu ramai sahabat-sahabat lelaku aku seronok bersembang tentang anak dan keluarga masing-masing tetapi aku pula duduk di atas katil memikirkan perkara ini.

Aku ambil keputusan untuk hantar SMS memohon maaf kepada sahabat aku itu. Dia balas. Tapi hati ini masih rasa gusar.

Itulah. Walaupun sekecil mana amanah, apabila tidak dapat dijaga oleh aku, terasa sungguh besar akibatnya.

Hanya kerana sebatang pen, aku terasa hidup ini bukanlah apa untuk hari itu....

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon