Pengalaman berniaga cempedak

4 bualan
Apabila niat ingin berniaga, cabaran pasti datang. Tadi saya cuba menjual beberapa biji buah cempedak yang saya beli. Pada minggu lepas, ketika saya ingin membeli cempedak goreng, saya terkejut dengan harga yang dijualnya.

Sebiji dijual dengan 50 sen. "Mahalnya," rungut saya dan rakan.

"Biasalah dik. Cempedak susah nak dapat. Sekilo kami beli RM8!"

"Eh? Mahalnya."

"Kalau adik ada jual cempedak, bawa sahaja ke sini. Kami beli."

Timbul perasaan berminat untuk cuba berniaga cempedak.

Saya pun membeli beberapa biji buah cempedak dengan harga murah. Saya pun singgah ke gerai abang tersebut untuk menjualnya.

Abang itu memandang belakang dan meminta saya berurusan dengan bos.

"Berapa adik jual?"

"1 kg = RM6."

"Ish mahalnya! Tak dapat la dik. Kami berniaga. Tak untung kalau kami beli begitu." Dan saya mendengar 1001 alasan yang mak cik itu berikan.

Saya tersenyum kelat.

"Kalau RM3-4 kami beli."

Kemudian saya membawa dia melihat cempedak yang ada. "Ni tak masak lagi dik. Tak apalah dik. Adik cuba pergi ke gerai sebelah. Mungkin dia nak beli. Akak tak pandai nak peram cempedak." Kak itu berlalu pergi sambil senyum mesra dilontarkan.

Saya termengkelan. Minggu lepas beria nak beli. Kali ini kenapa tak nak beli langsung? 1001 alasan diberi. Saya berfikir. Dan terus berfikir.

Akhirnya saya dapat membuat beberapa kesimpulan ringkas:

1. Peniaga menjual mahal. Apabila ada pelanggan merungut mahal, peniaga akan berdalih dengan membeli alasan rasional mengapa mereka menjual mahal.

2. Peniaga pandai mengaut untung. Apabila saya menjual cempedak dengan harga yang mereka katakan ingin beli, tawaran saya ditolak mentah. Katanya saya jual dengan harga persendirian dan bukannya borong.

3. Jual pada keperluannya. Saya rasa saya kurang membuat kajian tentang ini. Saya dengan bersikap terburu-buru cuba merasionalkan harga. Saya ingat bahawa peniaga akan membeli daripada saya dengan harga yang mereka tawarkan minggu lepas. Tetapi sebaliknya. Saya diminta menawarkan harga saya.

4. Mengetahui harga pasaran. Di sini saya dapat lihat kelemahan saya yang cuba ingin memasuki pasaran berniaga buah. Saya tidak tahu harga pasaran dan saya sembereno sahaja masuk. Saya diminta menawarkan harga dahulu. Jelas, kak itu pandai memujuk tidak mahu membeli dengan mengatakan cempedak saya tidak berkualiti dan dia tidak sanggup ambil risiko.

5. Beli pada penjual yang dipercayai. Kelakuan kak itu menolak saya dan tidak percaya kepada jualan cempedak saya itu menunjukkan bahawa dia hanya membeli pada pembekal yang boleh dipercayai. Dia tidak ingin menanggung risiko tersalah beli bahan mentah. Saya rasa ada betulnya juga. Mana boleh beli begitu sahaja. Nanti jika dia buka dan lihat isinya tiada, dia juga rugi.

Sememangnya kalau nak berniaga perlu ada cabaran. Dan saya belajar banyak perkara. Itu lebih baik.
Berminat Baca

Iklan Thailand: Kejar Mengejar

Berbual

Saya tertarik dengan iklan kejar mengejar bak Jackie Chan berlakon. Saya ingatkan iklan Cina, tetapi rupanya iklan orang Siam. Kreatif juga iklan ini.
Berminat Baca

Kenapa Harus Mengharamkan Buku-buku Syiah dan Islam Liberal

Berbual
sumber: Facebook dan penulisnya.

Jangan samakan tanggungjawab pemerintah dengan tanggungjawab sarjana.

Dalam siyasah syar'iyyah, "Tindakan pemerintah ke atas rakyatnya adalah tertakluk kepada maslahah".

Apabila pemerintah mengharamkan sesuatu buku seperti buku Syiah, ia bukan bertujuan untuk memandulkan pemikiran rakyat tetapi demi memelihara kemaslahatan ummah yang pelbagai latar itu.

Menurut Ibnu ‘Aqil, "siyasah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun (tindakan itu) tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan oleh wahyu" (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin: 6/26)

Dalam bab pengharaman buku, kata al-Imam Ibnu al-Qayyim, "Bahawa buku-buku sebegini yang berisi dengan pembohongan dan bid'ah, maka hendaklah dimusnahkan dan dihapuskan. Ia lebih utama daripada menghapuskan alat hiburan, alat muzik dan bekas arak. Sesungguhnya bahayanya (buku-buku tersebut) lebih besar daripada bahaya semua ini..." (al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar'iyyah: 714)

Adapun bagi para sarjana Islam, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk berhujah secara ilmiah, berdiskusi, berdebat, mengarang, berceramah dan sebagainya bagi menjelaskan kesesatan sesuatu ideologi secara intelektual dan keilmuan.

Maka barangsiapa yang memutarbelit, menukar tempat atau menafikan tanggungjawab salah satu atau kedua-duanya, maka sungguh dia telah keliru lagi mengelirukan!

--

Ini adalah balasan komen kepada artikel 'so called' ustaz Wan Ji, pemegang pemikiran Islam Liberal.

nota: Untuk makluman, Projek Dialog adalah pemegang kepada agenda Liberal, Pluralisme, dan adik beradik yang mampu menyesatkan lagi mengelirukan!
Berminat Baca

16 Personaliti Yang Menggugah Rasa!

4 bualan
Saya duduk diam memerhati apa lah si Fakrul lakukan. Kusyuk benar di melihat skrin laptopnya.

"Hang buat apa tu?"

Dua kali saya menyapa barulah dia menyahut.

"Ni aku sedang menyiapkan ujian personaliti. Mai la cuba."

Saya pun kemudian pergi ke http://www.16personalities.com/.

Menarik. Keputusan menunjukkan saya ini jenis INTJ.

Belek punya belek. Ish. Mungkin juga.
Berminat Baca

7 Jenis Pengomen Blogger

6 bualan
Saya tertarik dengan satu pandangan bernas oleh blogger Jeremy Myers tentang jenis-jenis pengomen yang ada dalam dunia blog ini.

Mari kita lihat dan baca setelah saya adaptasi post dia itu. Dimanakah kita?

1. Penyempam

Jenis ini kita akan dapat lihat dari segi komennya yang ada pautan apa entah. Selalunya dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa yang bukan Orang Melayu guna seharian.

2. Penjela-jela

Dia menulis sampai boleh buat satu karangan panjang! Lebih daripada 300 patah perkataan!

Mereka selalunya adalah daripada orang yang baru nak masuk dunia blog. Selalunya mereka tak faham bahasa tersembunyi komen dunia blog yang biasanya pendek dan manis (lebih kurang 50 patah perkatan sahaja).

Bagaimana mengendalikan mereka?

Pertama, puji usaha mereka mengomen dengan baik. Tidak salah nak komen berjela. Semangat itu harus dipuji. Kemudian beri cadangan kepadanya untuk tulis satu entri khas respon kepada post blog.

Di samping itu dapat bertukar idea dan menjalin hubungan baru antara blogger.

3. Pentak masuk akal

Anda baca komen itu dan terpacul, "apa!?" Entah tak terkata nak fahami apa yang dia tuliskan itu. Nak kata bahasa pengomen Alien tak juga.

Bagaimana mengendalikan mereka?

Tulis sahaja, "saya kurang faham. Boleh jelaskan?" atau lebih mudah, "uh? apa?"

Selalunya jika memang dia selalu datang ke blog anda, dia akan komen memberi penjelasan. Jika tak, hanya penjalan blog yang tegar. Abaikan.

4. Pentak baca

Pengomen ini memang tak baca apa-apapun selepas tajuk. Terus sahaja komen. Entah pendahuluan pun tak sempat nak baca.

Selalunya blogger akan menulis tajuk 'umpan' dan perenggan pertama yang 'bump' bagi menarik minat orang baca. Yang si pembaca ini memang sudah menjadi tabiat penjalan blog tegar, terus sahaja komen tanpa asal usul niat nak membaca.

Apa yang kita dapat buat hanya gelak sahaja. Mereka ini memang terburu-buru orangnya. Komen suruh dia baca kembali post itu. Jika tak, dia hanyalah blogwalker tegar yang datang sekali dan tak kisah nak datang lagi. Hanya titipan salam pautan sahaja.


5. Pempromosi diri

Dia ada agenda tersendiri. Dia ingin menterkenalkan dirinya dengan pelbagai pautan diletakkan selepas komen apa entah.

Bagaimana nak respon? Saya tak kisah sebenarnya kerana memang itulah kebenaran blog. Sedikit promosi diri tidak akan memakan diri. Tetapi jika berlebihan, nampaknya ada sesuatu yang mengurang senang hati ini.

Saya akan balas, "Terima kasih! Saya akan cek pautan itu nanti." Ya saya akan cek kemudian, dan tinggalkan komen juga atas membalas jasa dia datang komen ke blog. Hey, kita perlu saling bekerjasama bukan?

6. Pen-umum

Kita dapat kenal orang ini dengan komen bersahaja tidak lebih 3 patah perkataan. "Terima kasih. Menarik!", "Hebat! Suka baca.", "Tahniah! Baik orangnya.", "Memang begitu jadinya..." dan anda sendiri tahu, bukan?

Pada mulanya saya buang sahaja komen sebegini. Namun, kemudian saya menerima emel daripada mereka bertanyakan mengapa? Rupanya mereka memang setia membaca blog saya. Hmmm.

Lama-kelamaan saya biarkan sahaja. Hanya balasan, "Terima kasih kerana membacanya." sudah memadai.

7. Pengomen ikhlas dan jujur

Dia memang patut dihargai dan perhatian diberikan sepenuhnya. Komen dia selalunya kurang daripada 100 patah perkataan dan kena pada topiknya. Apatah lagi ada unsur-unsur mesra dalam komen mereka.

Kita patut menghargainya dengan menyediakan satu widget khas di sidebar dengan tajuk 'Pengomen Teratas' demi menghargai usaha mereka itu.


Berminat Baca

Puisi: Di bawah lampu jalan

2 bualan


Malam itu gelap nan sepi
Mulut-mulut mengeluar bunyi...

Mereka kata dia bodoh.
Mencari kunci yang hilang di bawah lampu jalan.

Mereka kata dia dangkal.
Mencari kunci yang hilang berdekatan cahaya.

Mereka kata dia dungu.
Mencari kunci yang hilang bukan pada tempatnya.

Kerana apa dia mencarinya di situ?
Mungkin selesa kerana petunjuk hanya itu
Walau dia tahu kunci itu jatuh ketika kita keluar dari rumah

Entah di mana kunci itu hilang
Mencarinya di bawah cahaya
senang memberinya kelegaan.
Berminat Baca

Di sebalik kebenaran dengan tanamsendiri.com

7 bualan
Saya suka melawat blog-blog homegardening. Mereka mempunyai gaya berkebun cara tersendiri yang kadang kadang berlainan dengan apa yang saya belajar selama ini. Menarik. Saya juga kagum dengan keteguhan mereka berkebun.

Tanamsendiri.com adalah salah satu blog yang pernah saya suka lawat dan baca. Empunya mempunyai idea berkebun, yang bagi saya menarik dan inovatif. Empunya blog juga sanggup menanggung risiko memakan makanan tanam sendirinya yang dia baca (moringa konon?)

Jika sayalah, saya memang takkan mencuba selain apa yang saya nampak sendiri atau kawan bagitahu. Jika hanya baca buku dalam kisah dongeng orang puteh, memang takkanlah saya mencuba sendiri makan hal itu.

Lalu saya memang hormat sama empunya blog akan hal itu.

Namun, semakin tinggi ilmu seseorang itu, betullah akan sombong jua ia. Saya ingatkan semakin berisi padi, semakin tunduk padi itu. Tetapi semakin tinggi padi itu sampai hingga nak patah batangnya!

Bukti jelas resmi padi itu bukan menunduk, tetapi meninggi.

Jelas, empunya blog telah bersikap jumud dalam perkongsian ilmunya dengan menganggap orang lain itu ilmunya tiada. Ya jangan ingat empunya blog sahaja pandai merujuk jurnal dan bagai. Kami, saya dan rakan-rakan juga tergolong dalam dunia akademik. Kami juga tahu jurnal untuk dirujuk.

Sepatutnya blogger homegardening saling lengkap melengkapi. Jika saya tak jual, saya boleh forward kepada orang yang jual. Jika benih yang saya jual juga tiada dalam stok, saya boleh forward kepada yang ada. Bergerak dalam kumpulan itu lebih bagus berbanding berlagak bahawa dia sahaja yang jual murah.

Inilah akibat apabila ada yang ingin memonopoli pasaran. Baru saya faham kelemahan erti 'pasaran monopoli' semasa saya ambil subjek pemasaran dahulu.

Perenggan terakhir itu semacam mengatakan empunya blog tidak menyindir. Heh.

Saya tegaskan di sini bahawa niat saya hanya berkongsi. Tidak lebih daripada itu.

Mungkin empunya ingat saya melepaskan geram untuk menjatuhkan blog empunya? Hmmm. Mungkin kerana terlalu sibuk berbisnes sampai ulasan atau komen saya dianggap begitu. Maaf ya tuan. Saya tak bermaksud begitu.

Saya percaya rezeki itu milik Allah. Dan rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kesihatan, masa, isteri, anak, dan kekayaan.

Lalu, saya tidak lokek untuk mempromosikan blog tanamsendiri.com tentang kebaikan yang mereka sebarkan. 

Gambar di atas hanyalah sebahagian yang saya tolong untuk mempromosikan blog tanamsendiri.com.

Namun, apakan daya, empunya blog sudah mula lupa diri, bagi saya yang selalu melawat blognya.

Ketahuilah bahawa rezeki itu milik Allah. Dan janganlah lokek nak berkongsi dengan orang lain, hanya kerana nama sudah mula naik. Memandang pandangan orang lain itu hanya picisan? Heh.

Tak kurang pun sedikit ilmu saya kerana saya percaya ilmu itu segalanya milik Allah.

Akhir kata, saya memohon maaf kerana tersalah tempat memberi komen. Dan, Terima kasih atas sindiran itu.

Semoga maju jaya empunya blog yang dikasihi oleh Allah dan Nabi.
Berminat Baca

Nasihat RIngkas

Berbual
Saya mengenali abang Azrin pada awal tahun ini di Masjid UPM. Abang Azrin ketika itu mengambil kelas pada hari Selasa dan Khamis. Kemudian terasa hendak menukar pada hari Isnin dan Rabu, kelas mengaji sama dengan Ustaz Hafiz.

Abang Azrin ini peramah orangnya. Suka menegur setiap orang yang ada di dalam kelas. Saya gembira berkawan dengannya.

Apabila masuk ke peringkat sarjana ini, saya mula sibuk dengan tugas harian. Apatah lagi cuaca sekarang tidak menentu. Hujan selalu di petang hari.

Saya mengambil keputusan untuk kurang hadir ke kelas mengaji. Lama-kelamaan kehadiran saya hampir tiada setiap bulan. Bukan apa, masa saya banyak dihabiskan di fakulti.

Petang tadi saya terkejut menerima satu mesej Whatsapps daripada abang Azrin.

"Salam. Apa cer tak datang kelas?"

Saya membalas,

"Maaf bang. Sibuk kebelakangan ni. Lagipun hujan petang hari."

"Kami pun sibuk juga. Tapi kami sanggup meluangkan masa datang mengaji."

Dup. Satu anak panah melekat di hati saya. Aduh. Terasa benar pula.

"Insya-Allah saya akan datang." Balas saya.

"Saya bukan apa. Hanya mengingatkan. Nanti kena dush dengan malaikat maut dan kita tak sempat nak khatam al-Quran, macam mana?"

Saya terkesima.

"Terima kasih kerana mengingatkan saya."

"Beres bos."

Walaupun jarang bertemu, abang Azrin tetap mengingati rakan sekelasnya. Saya bersyukur ada kawan sebegini. Walaupun kadang-kadang kami bersembang perkara dunia, namun hal akhirat selalu sahaja dia ingatkan saya.

Alhamdulillah.
Berminat Baca

Terima kasih perkara kecil

4 bualan
"Is it you Iqbal? Masya-Allah. It's been a long time." Saya bersalam dan melaga pipi bersama Iqbal.

Kami duduk berdua di sudut kanan masjid. Saya lihat Iqbal senyum sahaja.

"How are you brother?"

"I'm fine." Cliche soalan yang selalu saya dengar daripada warga Pakistan.

Dia mengusap-usap jambangnya itu. Kami berbual rancak tentang kelas. Tentang persekitaran universiti. Tentang keluarga. Rupanya dia sudah mempunyai seorang anak.

"I've seen you like my status in Facebook. Thanks brother."

Saya tergamam. Perkara kecil itu pun ingin dia ucapkan terima kasih.

Kami duduk bersahaja. Ada yang lalu-lalang melihat kami. Kami abaikan sahaja.

"Hope to see you soon, brother."

Kami melambai pergi.
Berminat Baca

Kekasaran Bahasa Inggeris

2 bualan
Tempat saya belajar, memang pelbagai pelajar ada. Bukan setakat pelajar tempatan tetapi juga ada pelajar dari luar negara.

Banyak juga pelajar datang dari Iran, Pakistan, India dan Bangladesh.

Bahasa yang kami gunakan untuk berinteraksi adalah bahasa Inggeris.

Namun, di situ ada perbezaan. Bahasa yang mereka gunakan sangat kasar! Maksud saya tiada perkataan, please, help, can I, may I...

Uish. Penguasaan bahasa mereka di tahap yang rendah! Inilah akibatnya jika tidak menguasai bahasa asing dengan baik.

Apatah lagi mereka langsung tak nak belajar bahasa Melayu. Kata mereka orang Melayu sini pun sama mereka cakap bahasa Inggeris. Jadi bagaimana nak belajar bahasa Melayu?

Ini membuatkan saya terfikir beberapa perkara.

1. Penguasaan bahasa yang baik mampu membawa kepada penggunaan perkataan yang betul

2. Bahasa baik, lambang pemikiran yang baik

3. Bahasa Inggeris juga ada kasarnya!

Haruslah kita memartabatkan bahasa Inggeris dengan bercakap dengan baik.
Berminat Baca

Seindah Pantun Bersama Puan Nisah Haron

Berbual

Post by BudayaSeni.my.


Dalam video ini, Puan Nisah Haron menerangkan secara ringkas kenapa pantun Melayu indah sebegitu rupa

Buah cempedak di luar pagar,
Kalau ada galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau ada salah tolong tunjukkan.
Berminat Baca

Diskusi Agama - Interfaith Menelan Jati diri Umat Melayu

Berbual

Ada orang mesej kepada saya dalam facebook tentang suatu perkara:

“Hari ini terlalu ramai org yang berbicara tentang berdiskusi dan berdialog agama dgn penganut agama lain. Adakah kita tidak dibenarkan sama sekali untuk berbincang dan berinteraksi dengan bukan Islam. Dalam negara yang bersifat majmuk, sudah tentulah interaksi agama sebegini amat penting. Ahmad Deedat dan Zakir Naik juga berinteraksi agama dan bermuamalah dengan bukan Islam. Apakah garispanduan yang sepatutnya di dalam berdiskusi tersebut. Apa pandangan Dr dalam hal ini”.

Saya rasa ini antara perkara yang penting utk saya jawab, paling kurang secara ringkas. Pada pandangan saya, tidak ada sebarang salahnya untuk berinteraksi agama dan berdialog dengan bukan Islam, bahkan itu adalah digalakkan dan garis panduan kasarnya ialah:

1) Dialog dan diskusi tersebut adalah bermatlamat untuk menyatakan bahawa hanya agama Islam yang benar dan tiada sebarang agama yang benar melainkan Islam.

2) Agama yang dianutinya adalah tidak benar dan kita tidak sama sekali menganggap agamanya benar atau diterima.

3) Jika Islam membenarkan dia mengamalkan amalan agamanya, maka ia adalah kerana di atas dasar tidak ada sebarang hak paksaan di dalam beragama, tetapi itu tidak akan membawa maksud sama sekali kita redha dgn agama mereka atau menerima agamanya sebagai benar, atau menganggap agamanya juga benar.

Tetapi jika sekiranya dialog dan diskusi tersebut menyebabkan seolah-olah mereka merasakan bahawa kita mengiktiraf agamanya, atau menerima bahawa agamanya juga boleh diterima untuk diamalkan, atau kita tak ada masalah dengan mereka kekal di atas kekufuran tersebut, maka itu adalah tidak dibenarkan oleh syarak.

Kalau kita tengok cara interaksi Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik, mereka tidak pernah lari daripada garispanduan kasar ini. Mereka tegas di dalam membawa pandangan Islam dan menyatakan kesalahan ajaran agama lain. Oleh kerana itu, para duat perlu berhati-hati dalam hal ini dan dalam dialog agama ini.

Wallahu A’lam
Berminat Baca

Di Bawah Pohon Angsana #2

Berbual
Aku cuba mengimbau kenangan masa aku mula berkenalan dengan Syamirul.

Kami berkenalan bukan setakat di alam universiti. Aku masih ingat lagi ketika aku asyik berjogging di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Memang menjadi satu tabiat bagi aku untuk jogging setiap petang. Walaupun penat habis kelas atau kuliah, aku tetap meluangkan masa untuk berjogging.

Selepas habis berehat aku suka duduk di bawah satu pohon rendang. Aku tidak tahu nama pokok itu tetapi aku tahu ia melenakan. Selalu aku membuka earphone dan memasang kuat lagu. Lagipun pohon ini nun jauh dari khalayak ramai. Di hujung padang. Pandai sesiapa yang menanam pokok ini.

Aku suka layan lagu-lagu Inggeris. Lagu-lagu tempatan kurang aku gemari kerana nilai-nilai liriknya sungguh mudah sehinggakan aku berasa jengkel.

"Micheal Learn To Rock." Satu suara di sebalik pohon kedengaran. Aku tersentak.

"Klasik." Kelibat seorang pelajar berbaju sukan muncul di sebalik pohon. Aku kenal pelajar ini. Dia seoarang yang selalu dipanggil ke hadapan untuk menjawab soalan Cikgu Suhaimi. Selalu juga dikerumuni pelajar perempuan ketika habis kuliah kimia. Entah soalan apa aku pun tak kisah.

Dia duduk di sebelah aku. "Saya Syamirul." sambil menghulurkan tangan.

Aku menyambut lembut masih terkejut dengan kedatangan pelajar di sini. "Amirul," jawab aku ringkas.

"Saya selalu lihat kamu datang ke sini. Pandai kamu pilih tempat yang tenang ini."

Aku hanya mengangguk sambil memperlahankan muzik di handphone.

"Tak mengapa. Biar juga saya menikmati bersama."

Aku kembalikan bunyi yang kian hilang tadi.

Kami duduk lama di situ. Tidak berborak apa-apa. Hanya melihat awan-awan yang berarak datang dan pergi di langit biru. Sedikit demi sedikit bunyi burung mula kedengaran di atas pokok. Sedikit demi sedikit cahaya jingga mula menyinari langit biru.

Kami berdua bangun bergerak merentasi padang. "Nanti jumpa lagi ya." Syamirul melambai tangan kepada aku. Aku membalas kembali sebagai tanda mesra.

Orang begitu mesra rupanya. Aku ingat orang popular sebegitu tak akan bergaul dengan pelajar biasa seperti aku ini. Yelah. Aku hanya pelajar yang selalu duduk di meja paling belakang. Selalu tertidur kala Cikgu Halimah mula kelas. Lelap mata aku membuatkan aku sentiasa segar di malam hari.

Malam aku peruntukkan masa untuk membaca buku-buku cerita. Aku minat novel. Tidak kisah la novel apa asalkan bukan novel cinta. Aku lihat kolej ini penuh dengan koleksi novel. Aku dapat habiskan satu novel dalam masa satu minggu. Tapi maaf. Aku tak layan novel romantik Inggeris. Terlalu banyak adegan yang tidak patut!

Fantasi, pengembaraan, dan persahabatan selalu menjadi buku buruan aku.

Najmi yang selalu melihat aku hanya menggelengkan kepala. Kami satu kuliah tetapi berlainan praktikum. Idris pula lain kuliah. Hafiz pula jurusan perakaunan. Setiap bilik di kolej ini mengandungi empat orang pelajar mendiaminya.

(bersambung
Berminat Baca

Di Bawah Pohon Angsana

Berbual
Aku melihat wajah Syamirul. Wajahnya gelisah. Dia menulis tanpa ada tumpuan. Bibirnya sentiasa bergerak seperti orang yang tak keruan.

Mengapa dia jadi begitu? Aku baru sahaja selesai berjumpa Dr. Rosni. Tadi dia kata aku boleh ambil ujian nanti. Tunggu kesihatan aku baik.

Baru sahaja aku ingin menyampaikan berita gembira ini kepada rakanku. Tetapi seakan ini bukanlah masanya.

Aku memandang pula wajah Nizam. Dia seperti prihatin. Ah kenapa seperti aku dipulaukan daripada mengetahui apa-apa kisah ini?

Aku memandang Nizam meminta penjelasan. Nizam hanya memerhatikan sahaja muka Syamirul.

Syamirul terus menulis.

"Ini perancangannya. Aku serahkan kepada kamu ye." Syamirul bangun pergi ke arah sinki.

Aku masih memandang muka Nizam. Nizam mengambil kertas pemberian Syamirul dan melipatkannya dan menyimpan terus ke dalam beg. Aku masih keliru.

Syamirul datang dan duduk. Aku lihat matanya merah. Eh? Ini mesti ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Telefonnya berdering. Dia mengangkat telefon dan kedengaran ibu dan adik.

Kami bertiga bangun dan beredar dari kafe.

Tiba di tempat letak motorsikal, kami bersalaman. Erat sungguh salaman Nizam kepada Syamirul. "Sabar ye. Ini semua dugaan."

Syamirul hanya mengangguk. Aku juga meniru apa yang Nizam lakukan walaupun aku masih lagi keliru.

Sebaik tiba di fakulti, aku melihat mesej dari grup Wasssap. "Maaf. Saya tidak dapat membantu kalian dalam minggu ini. Ibu dan adik saya dijangkiti demam denggi."

Aku terduduk di atas kerusi. Lambatnya aku tahu kisah ini. Patutlah muka Syamirul sedih dan muram sahaja. Jarang sekali aku lihat dia begitu. Selalunya aku lihat dia dalam keadaan riang.

(bersambung)
Berminat Baca

Hanya kerana Allah kubersahabat denganmu

3 bualan
Saya mula mengertai erti sahabat setelah mula keluar dari kotak pemikiran kolej. Sebelum ini saya hanya tersekat bahawa jika ingin berkawan perlu ada sebab. Antaranya seperti kawan sejurusan, sekolej, sekelas, dan sebilik. Semuanya mesti ada se- di hadapan penerangan.

Tetapi kali ini pengertian sahabat saya lebih luas. Saya mula mengerti apa yang dimaksudkan berkawan ikhlas kerana Allah. Bertemu dan berpisah hanya kerana Allah.

Ini apabila kita ditemukan di satu kawasan dan kita bersembang tanpa ada alasan kukuh untuk kekal baik dengan seseorang. Perhubungan berlangsung terus tanpa sebab kukuh.

Saya berkenalan baik dengan Fansuri mungkin setelah saya mula mengenali yang lain. Heh. Malu sebenarnya nak cakap. Tetapi orangnya hebat. Pandai memujuk hati ini.

Yelah. Kadang kadang memang marah dengan sikap kawan. Ada yang suka buat begini. Ada yang suka buat begitu.

Di situ saya belajar erti berlapang dada. Kita menerima kelemahan orang lain, dan menerima kelebihannya. Apalah sangat dengan kelemahan jika ingin kita fokuskan sangat. Walhal kebaikan itu 1001 lebih baik berbanding kelemahannya.

Di situlah saya mula menilai erti niat bersahabat kerana Allah. Apabila tiada pun satu ikatan logik yang menemukan saya dan mereka.

Penat juga berfikir di mana ya pertemuan ini berlaku? Di mana ya sifat sayang menyayangi antara satu sama lain di antara kami muncul?

Mestinya ia lahir dari hati yang ikhlas hanya kerana Allah.


Berminat Baca

Wayang Kulit Moden - Warisan Lama Penerus Jati Diri Melayu

2 bualan
Saya suka melihat sekeliling. Jika ada yang pelik, pasti hati ini turut tertanya. Apakah kepelikan itu?

Oh sikap ini bukanlah muncul dalam masa sehari dua. Ia muncul setelah ia diasuh oleh satu kelas yang saya pernah hadiri. Terima kasih Prof. Makhdir Mardan.

Saya datang ke satu makmal di Jabatan Pengurusan Tanah di universiti. Saya terlihat satu seni. Sangat cantik seni ini. Sangat tertarik hati ini untuk melihat lanjut.


Ah wayang kulit! Saya ketika itu baru sahaja masuk ke makmal fizik tanah untuk memberi sampel saya untuk dikaji oleh En. Aziz, pegawai yang bertugas di makmal ini.

"Encik, yang di dalam plastik ini, wayang kulit kan? Boleh saya tahu, siapa yang reka?" Tanya saya sambil tangan liga membelek bungkusan plastik di atas meja.

Encik Aziz senyum sahaja. Dia terus ke plastik itu dan membukanya.

"Sayalah."

Encik Sahar juga ada di situ. Dia bertanya macam-macam pula. Saya hanya diam dan mengambil gambar.
"Anak aku buat program di kolej kesepuluh. Dia minta aku buatkan wayang kulit ni. Lepas habis program, ada orang jumpa dia tanya siapa buat. Katanya nak beli."

Wah! Untung Encik Aziz. Bakatnya dapat menjana pendapatan!

Walaupun nampak ringkas sahaja, tetapi nilai Melayu pada wayang kulit moden ini memang banyak.

Saya pun tangkap gambar mana yang patut.
"Nanti, kalau ada sesiapa yang berminat beritahu yea," pesan Encik Aziz.

Insya-Allah.




Berminat Baca

Pantang larang di dalam hutan

4 bualan
"Pak cik, jauh lagi ke?" Rungut kak Surisa. Saya pula hanya mengikuti dari belakang di antara kak Bunga dan kak Surisa.

Tok Chik, renjer hutan hanya mengangkat tangan tanda suruh terus berjalan.

"Kalau jauh, tak apa lah pak cik. Lain kali sahaja pergi."

Saya lihat Tok Chik mengabaikan keluhan kak Surisa. Jelas dia tetap dengan pendiriannya mencari pokok lekir untuk kami. Misi ini harus tercapai dengan jawapan bahawa Perak juga ada terkandungnya pokok ini tumbuh melatar meliar.

Beberapa kalu saya mendengar keluhan kak Surisa.

Setelah lama berdiam dan dia agak jauh dari Tok Chik, saya membisik kepadanya. "Kak, ada pantang di dalam hutan ni. Perkataan jauh dan letih tak boleh cakap. Kak perasan tak kenapa Tok Chik diam je bila kak tanya jauh lagi ke?"

Kak Surisa tergumam seketika. Dia memandang saya dengan muka "awak serius?". Saya hanya mengangguk kepala tanda betul.

Setelah itu speanjang perjalanan tiada lagi rungutan kedengaran. Perjalanan seperti terasa mudah sahaja. Entah berapa lama, kami tiba jua di perkampungan orang Asli di Ulu Kinta ini.
Berminat Baca

COMANGO - Agenda Menghapuskan Identiti Islam di Malaysia

4 bualan

Apakah itu COMANGO? Mengapa orang sibuk-sibuk pasal COMANGO?

COMANGO adalah satu kesatuan puak-puak yang tidak suka Islam dan ingin membebaskan Islam sebenar dari bumi Malaysia.

Beberapa persatuan yang bertopengkan Islam menyokong COMANGO.

Adakah sebagai rakyat biasa kita patut biarkan isu ini sahaja? Bagi saya tak. Isu ini besar kesannya kepada kita, rakyat Malaysia.

Apakah bahayanya COMANGO? Kita lihat isi-isinya dahulu:

1. Memperjuangkan hak Lesbian, Gay, Bisexual dan Transexual
2. Mengiktirafkan Syiah sebagai salah satu Mazhab Islam
3. Membebaskan Malaysia dari ikatan Hak Istimewa Orang Melayu
4. Kalimah Allah adalah untuk semua

dan banyak lagi. Rujuk sini.

Semua yang mereka bawa atas dasar 'hak asasi manusia'. Manusia sepatutnya bebas. Tidak terikat dengan mana-mana agama. Itu yang mereka bawa.

Eh? Jangan bersangka buruk.

Eh? Sudah baca apa tuntutan COMANGO?

Tapi...

Baca sekali lagi. Dan hayatilah apa yang mereka bawa itu sebenarnya ancaman kepada kita, umat Islam.

Sebagai umat Islam yang peka, kita patut merasakan bahawa ini satu ancaman. Kita bukan sahaja setakat duduk di masjid solat lima waktu dan membaca al-Quran setiap hari namun tidak kisah dengan persekitaran kita. Ini bagaikan umat yang tidak kisah dengan perihal orang lain.

Sikap "asalkan aku tidak kena, sudahlah" bakal mendatangkan bencana kepada umat Islam di bumi Malaysia. Ia sama seperti nasihat oleh Dr. Zainur Rashid tentang menjadi ummah peduli.

Jika tidak kena pada kita, akan kena pada saudara-saudara dan sahabat handal keliling kita. Anak saudara, adik, abang, kakak, sepupu, pak saudara yang kita sayangi.

Jadi, kita harus cakna isu ini dan mengambil inisiatif menentang selagi boleh. Islam tertegak dengan kuasa. Walaupun kuasa Melayu Islam kian lemah, namun kita masih ada kuasa lagi.

Ayuh cakna isu ini. Jangan bersikap 'ini bukan hal aku' kerana sabda Rasullulah yang bermaksud

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,

“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya."

(Hadith riwayat Bukhary)

Marilah kita menjadi ummat yang peduli akan nasib bangsa kita.
Berminat Baca

Preposition dalam Bahasa Inggeris

2 bualan

Tertarik dengan gambar ni. Mudah nak faham.
Berminat Baca

Paksaan

Berbual
"Tidak. Aku tak mahu turut terlibat dalam apa-apa perancangan ini." Aku bingkas bangun ingin sahaja terus keluar dari bilik perbincangan ini.

Adli menahan tangan aku. Dia memberi isyarat supaya aku kekal. "Duduk dan dengar sahaja sudah mencukupi."

"Tapi." Aku cuba menolak tangan Adli. Adli menjegilkan matanya. Ah. Aku sudah terperangkap dengan kancah ini.

Perbincangan berterusan sehingga lewat malam. Aisyah dan Aminah keluar sekali sekala membeli makanan untuk kami.

Di dalam bilik ini terdapat lebih 10 orang duduk berbincang tentang hal yang aku masih tidak dapat cerna. Jelas aku memang bukanlah daripada golongan mereka.

Semua muka serius. Mereka juga berharap aku serius. Ah bagaimana ingin aku serius dengan hal ini walhal aku baru sahaja menyertai kumpulan ini.

Tidak aku sangka Adli mempunyai agenda di sebalik perkawanan kami. Aku terlalu naif mempercayainya di awal pertemuan.

"Assalamualaikum." Tegur Adli di awal pertemuan kami di stesen bas di hadapan fakulti. Aku menjawab salam. Terkejut juga dengan orang baru menyapa aku. Jarang sekali orang menyapa aku dengan salam. Mereka sering kali ingat aku ini daripada kaum Tiong Hua.

Kami berbual panjang. Entah mengapa aku dengan senang hati memberi nombor telefon dan nombor bilik kolej kediaman aku tinggal kepada Adli.

Lebih aku terkejut apabila malam itu juga Adli datang menziarahi aku seperti yang dia janjikan di awal pagi tadi.

Di saat itu aku rasakan kelainan.

Hidup ini bukanlah sahaja tentang pemilihan, tetapi takdir yang menentukan segalanya.

Aku bangun lewat keesokannya selepas perbincangan tamat. Hampir sahaja aku terlepas solat Subuh. Usai solat, aku duduk termenung di atas katil. Apakah mampu aku membawa agenda kumpulan rahsia ini?

Langsung tiada kata semangat yang mereka berikan. Hanya tugasan itu dan ini berselerak di atas meja belajar aku.

Ah serabut aku memikirkannya. Aku hanyalah orang biasa. Aku datang ke fakulti ini pun dengan impian biasa-biasa. Mana mungkin mereka berharap yang luar biasa daripada aku ini.

Mata aku kian gelap. Walaupun di awal pagi pelbagai tegahan tentang tidur mengatakan bahawa kurang membawa berkat, tetap aku tidak dapat menahan mata aku lelap.

Tuk tuk tuk. Pintu bilik aku diketuk. Suara yang aku kenali memanggil nama aku. "Khairul, jom pergi makan tengah hari. Aku tahu kau ada di bilik. Selipar di hadapan tidak dapat menipu aku."

Ah Adli. Masih dengan sikap telitinya itu. Kerana itu aku kagum dengannya. Hidupnya penuh dengan falsafah. Ada sahaja perkara falsafah kehidupan ingin dia sampaikan kepada aku kala kami bertemu di waktu makan. Tidak kiralah makan pagi, petang mahupun malam. Pasti terselit agenda kehidupan menjadi seorang pelajar muslim berjaya.

"Kita perlu ada agenda. Kita datang ke universiti ini bukanlah hanya sebagai produk kilang. Universiti bukanlah kilang menghasilkan kita untuk pihak industri datang memilih mana yang terbaik. Kita ada tanggungjawab lebih daripada itu. Jangan kita dikatakan lesu. Jangan kita dilabel mahasiswa lembik oleh generasi akan datang. Arus perubahan bermula di zaman kita."

Apakah maksud Adli ini?

"Tidak semua mahasiswa sedar ancaman-ancaman yang datang menyerang mereka. Apa yang mereka lihat kebrobokan pemimpin. Mereka hanya tahu mengkritik dan akhirnya apabila memegang jawatan, mereka sama sahaja seperti pemimpin yang mereka kritik dahulu."

Tidak aku sangka segala apa agenda dan cerita itu ada kepingan yang ingin dicantum Adli. Satu pesatu cantuman itu hadir dalam diri aku.

Aku ini bukanlah senang dipengaruhi. Pernah sekali datang seorang penjual barangan MLM. Sungguh dia mempamerkan pelbagai barangan yang mampu menggugah rasa seorang pelajar untuk turut serta. Pandai dia berbicara. Tetapi aku menolak sahaja.

Bukan minat saya, kata aku ringkas.

Tetapi pelik. Apabila Adli membuka cadangan ini, aku tanpa soal bicara banyak setuju sahaja. Walhal ini juga bukanlah minat aku. Malahan aku masih lagi orang biasa. Cadangan Adli sungguh luar biasa.

Kepingan jigsaw puzzle ini mula mencantum kuat apabila Adli membawa aku berjumpa dengan kawan-kawannya yang lain. "Kawan aku, kawan kau juga," kata Adli.

Mereka juga mesra seperti Adli.

Mungkin kerana aku jarang sekali dapat bersosial mesra dengan orang, aku terasa begitu kekok apabila bersama mereka di awal waktu. Aku menjadi pendiam. Tetapi entah mengapa mereka bijak membawa diskusi mesra bersama aku. Lama kelamaan aku hilang sedikit demi sedikit rasa kekok itu.

"Mungkin nanti apabila dia bersedia." Aku terdengar perbualan Adli semasa aku ingin menziarahi biliknya yang berada di blok sebelah.

Aku tidak tahu dengan siapa dia bercakap di telefon. Aku biarkan sahaja dia terus berbual dengan aku membelek pula telefon aku. Aku terlanggar kasut Adli membuatkan dia perasan aku di pintu yang terbuka sedikit.

"Eh Khairul. Jemput masuk."

"Nanti kita bual lagi. Assalamualaikum," kata Adli menutupi telefonnya.

"Malam ini aku ingin bawa kau ke tempat yang istimewa."

Aku muka kekeliruan.

Terukir senyuman manis di muka Adli.

(bersambung)
Berminat Baca

Menjadi Penulis atau Menulis?

Berbual
Saya banyak mendapat input-input baru apabila saya mula meninggikan impian saya. Input-input baru ini memberi saya lebih semangat untuk terus menulis.

Saya tertarik dengan satu esei tentang penulisan. Pengarang mengatakan bukan tentang kita menjadi penulis tetapi tentang kita menulis.

Menjadi penulis sesiapapun boleh. Namun menulis bukan semua orang boleh.

Saya dapati hal ini benar apabila sesetengah rakan saya tidak dapat menulis dengan baik. Malahan ada yang meminta saya menulis bagi pihak mereka.

Lalu membuat saya terfikir apakah saya mempunyai bakat menulis atau kemahiran menulis?

Sukar untuk mentafsir sesuatu tanpa memikirkan sesuatu.
Berminat Baca

Berjumpa MLMners Cina

4 bualan
Saya bersiap-siap untuk ke Alamanda. Ada temu janji penting perlu saya tunaikan. Dari minggu lepas penemu janji saya ini telah menghubungi saya. Tekun orangnnya.

Saya berkenalan dengannya secara tidak sengaja semasa saya sedang menunggu di hadapan perkarangan Kolej Kedua. Dia datang bertanya dalam bahasa Mandarin. Saya kurang tangkap apa yang dia cakapkan, lalu menjawab, "Ni zuo bashi qu KMR."

Dia tercengan mendenganr jawapan saya. Terus saya sambung, "Wo de huayu jiang de bu hao." Dia tersenyum. "Ni shi hua ren ma?"

"Wo de mama shi hua ren," jawab saya ringkas.

Saya melihat jam tangan. Saya menunggu kawan untuk datang. Terus dia meneruskan perbualan yang entah apa saya pun kurang faham. Yelah. Sudah 2 tahun saya meninggalkan kelas bahasa Mandarin. Jadi memanglah berkarat.

Apa yang saya faham perkataan 9 malam. Saya hanya mengangguk buat-buat faham. Haha.

"Errr. Ini malam ada ceramah bisnes pukul 9. You mau join tak?"

"Ah! Baru faham," spontan saya menjawab.

Kesian dia. Terang punyalah panjang lebar, apabila cakap dalam bahasa Melayu pendek dan ringkas, terus senang saya faham. Eksyen nak mengasah bahasa Mandarin saya tidak menjadi. Haha.

Saya menolak kerana ini bukanlah masanya. Dia mengambil nombor telefon saya dan beredar.

Minggu lepas dia menelefon saya untuk temu janji. Namun saya demam. Jadi saya terpaksa menolak.

Lalu dia menelefon lagi pada hari Selasa meminta temujanji lain dibuat.

Baiklah. Saya tidak ingin menghampakan harapannya itu. Hari ini kami bertemu di Subway Alamanda.

"Aha, Wong. Silakan duduk," kata Mr. Lim.

Kami berbual panjang. Dia bertanya tentang aktiviti saya semalam. Saya bercerita tentang perjalanan saya dan rakan-rakan mendaki Gunung Nuang untuk mandi air terjun.

Kemudian berbincang tentang idea bisnes. "Penulisan juga itu satu bisnes."

Dia seperti terkejut.

"Betul. Kalau you treat penulisan sebagai bisnes, pasti ia akan membuahkan hasil. Malahan untung yang berganda. Kenal tak Ramlee Awang Mursyid? Penulis novel Melayu terkenal."

Mr. Lim menggelengkan kepalanya seperti yang saya agak. Orang Cina mestilah baca novel Cina.

"Dia boleh digelar jutawan. Bukunya lebih daripada 25 buah. Dan setiapnya sentiasa ada jualan keras."

Tapi saya tahu. Dia bukanlah mengharapkan penerangan lebar saya ini. Dia hanya ingin mendengar memberi keselesaan kepada saya dan kemudian menerangkan produk yang patut saya ceburi.

Mr. Lim membuat pengenalan dengan menerangkan satu kajian kes tentang Tesco di Korea. Pembelian barang runcit secara online. Satu info baru buat saya.

"Ini adalah produk terbaik kami, AmWay. Kita tidak perlu menjual. Hanya melatih orang untuk menjual dan menggunakan produk AmWay. Nanti ada peringkat keuntungan." iPad di hadapan kami digesek Mr. Lim.

Saya hanya mengangguk kepala. Saya tidak mahu mencelah dan mematikan semangatnya bahawa saya pembaca blog Aidid Muadib, blogger pengutuk sistem MLM. Sejak membaca blog Aidid, kepercayaan saya bahawa sistem MLM ini memang salah bertambah kukuh.

Saya memberi hint bahawa saya tidak berminat dengan produk ini. "Berniaga ini perlu ada passion. Saya rasa berniaga cara TQB ini bukanlah minat saya. Seperti saya terang tadi, minat saya kepada penulisan."

"Mungkin you boleh cuba?" Mr Lim masih lagi berkeras ingin memujuk saya.

Saya hanya senyum sambil menggelengkan kepala. 2 buah buku berkaitan syarikat TQB dia berikan kepada saya. "You boleh baca dahulu. Nanti pulangkan kepada saya."

Saya membelek-belek ringkas buku-buku itu. Saya meletakkan kembali di hadapan Mr. Lim. "Sorry. Saya ada 10 buku menunggu untuk dibaca. Buku agama. Buku motivasi. Buku bisnes. Buku Master." Saya menolak baik hasrat Mr. Lim menggalakkan budaya membaca oleh bakal pelanggannya.

Lama juga kami berbual. Hampir 2 jam. Perut saya sudah lapar. Mr. Lim seperti tidak ingin membelanja saya makan. Adeh. Kalau MLMers Melayu ada juga la belanja makan di kedai Mamak.

Ini Subway setakat habis air liur... Adeh.

Selepas gagal meyakinkan saya, jelas kelihatan sedikit raut kekecewaan di muka Mr. Lim.

Saya tahu perasaannya apabila bertemu orang seperti ini. Saya pernah berjumpa orang sebegini, hati keras menerima ajakan kebaikan. Tapi niat saya ketika itu menyampaikan perkara kebaikan kerana Allah. Mengajak mereka untuk mengaji al-Quran bersama. Jika dia tidak menerima, itu bermakna ada sesuatu yang masih kurang dalam diri saya, atau bukannya sekarang pintu hidayah terpancar di hatinya.

Saya bangun dan bersalam. "Kalau Lim mahu tahu tentang gardening, jangan segan call saya. Insya-Allah saya boleh beri konsultasi secara percuma."
Berminat Baca

Pasar

1 bualan
Di tengah kesibukan pasar, duduk seorang budak menangis. Dia menangis tanpa henti. Ketakutan dengan pelbagai mata yang memandangnya. Dilihat sekeliling bagaikan kegelapan malam. Hanya yang bercahaya berpuluhan sinaran mata.

Dia terus menangis. Tiada siapa yang mempedulikannya. Seorang ibu meninggalkannya kerana perangainya. Hanya kerana ingin membeli barang permainan. Ibu itu ada kerja yang lebih besar ingin dilakukan. Ibu itu perlu membeli barangan pasar. Sayur, ikan, santan, dan masa untuk pergi ke salon.

Akhirnya budak itu tersedu keletihan. Perasaannya untuk memiliki barang permainan di kedai di hadapannya sudah hilang. Apa yang dia inginkan hanyalah sebuah pelukan hangat seorang wanita yang dikenalinya.

Namun kelibat wanita itu tiada. Dia rasa sungguh kesunyian. Apakah dunia ini sudah meninggalkannya? Apakah dia kini berseorangan hidup? Adakah kata-kata yang ibu akan meninggalkannya itu bakal menjadi kenyataan?

Tenaga yang tersisa ada membuatkannya menangis kembali. Menangis mengingati perbuatannya. Dia hanya mahukan pujukan ibu. Permainan itu bukanlah yang utama. Tetapi mengapa ibu begitu kejam meninggalkannya?

Pancaran terik matahari mula memendekkan bayang-bayang yang melalui di atasnya. Budak itu mengesot mendekati dinding yang ditumpannya.

Dari jauh dia melihat kelibat wanita berbaju merah. Dia geram. Mengapa baru sekarang hendak berjumpa dengannya? Setelah dia habis melimpahkan segala air mata. Sehingga dia tidak mampu bersuara lagi?

Dia memaling muka ke arah lain. Dia geram.

Ibu memandangnya sambil berkata, "Jom pulang."

Budak itu teragak-agak. Adakah dia mahu teruskan protesnya itu? Atau dia akan ditinggalkan lagi?

"Lihat apa yang ibu belikan." Sebatang lolipop besar bersaiz piring cawan dihulurkan kepadanya.

Tersenyum budak itu. Rupanya ibu masih mengingatinya. Terus ibu mendukung dia walaupun tangan si ibu penuh dengan plastik.

"Sudah. Aiman baikkan? Jom kita pulang," pujuk ibu sambil mengusap kepala Aiman yang sedang leka menjilat lolipop di tangan kanannya.

Aiman duduk di hadapan raga motorsikal. Ibu meletakkan plastik di pemegang motorsikal memberi laluan untuk Aiman duduk di hadapan. Dia mahu Aiman menikmati lolipop sampailah pulang nanti walaupun kebiasaannya Aiman duduk di belakannya memeluk erat pinggangnya.
Berminat Baca

Kata itu, kawan

Berbual
Kawan,

Aku memandang katamu tinggi,
Setinggi awan di langit,
Seluas lautan biru,
Sedalam paksi bumi.

Kawan,

Aku menunggu kata itu,
Kata yang membuatkan kumemahami,
Bukan kata untuk jalan itu,
Kerana aku tahu di mana ia membawa.

Kawan,

Aku mencari kata itu,
Yang mampu melembut hatiku,
Mengatakan itu yang aku tunggu,
Yang menjadikan aku terkedu.

Sahabat,

Aku tahu dikau sibuk dengan tugas yang pelbagai,
Yang menantikan tujuh tangga kenikmatan,
Hanya katakanlah itu kepadaku,
Saat itu nanti,
Pasti akanku turut serta dalam perjuanganmu itu...


Berminat Baca

Disleksia - Sebuah Filem Menyentuh Perasaan

Berbual


Seorang sahabat berkongsi filem ini di laman sosial Facebooknya. Saya lihat seperti menarik. Jarang sekali rakan saya itu berkongsi tentang filem.

Katanya filem ini istimewa. Saya skeptikal sebenarnya dengan filem Hindustan.

Kenapa? Sebab saya tak suka dengar lagu Hindustan. Cukup tak suka. Ini kerana tiada sari kata. Hahah. Satu alasan yang tidak munasabah!

Nasib baik sekarang TV tempatan mula menyiarkan sekali sari kata ketika mereka menyanyi.

Apa yang saya dapat katakan, filem ini membuka pandangan saya terhadap kisah keluarga yang memandang dyslexia ini satu penyakit perencat akal.

Dengan bantuan seorang guru, potensi pelajar ini akhirnya terserlah.

Serius. Sungguh menyayat hati... (mata berlinangan air... sebab potong bawang. =P )
Berminat Baca

Kisahnya Blog

2 bualan
Agak sukar untuk kekal berblog jika tiada idea. Apatah lagi idea mula tersekat apabila orang terdekat membaca nukilan hati saya di sini.

Heh.

Seperti yang awak baca, saya ini bukanlah perahsia orangnya, tetapi pemalu. Saya malu jika rahsia saya ini saya nukilkan disalah tafsir oleh teman sekeliling. Jika tak, masakan saya menukar nama pena saya di sini.

Oh begitu? Ya. Apa yang saya fikirkan, jika saya menulis dengan nama pena, pasti kawan tidak menyangka itu saya yang menulis.

Hari demi hari saya seronok menulis. Saya asyik dengan dunia penulisan. Saya seronok dengan komen yang tidak kunjung mendatang. Sekali sekala datang menyapa berblogwalking. Ah. Apa hairan dengan budaya blog, bukan?

Kini idea mula tersekat akibat ketakutan yang entah tiada yang pasti. Saya menjadi pemalu apabila ada yang menegur mengatakan blog saya ini ada harapan.

Tidaklah itu tandanya saya tiada keyakinan diri? Mungkin. Itulah yang dikatakan oleh pakar motivasi bahawa apabila kita kekurangan keyakinan diri, pasti orang yang memuji kita anggap itu sindiran.

Pastinya idea berblog saya juga boleh tersekat oleh pandangan orang lain.

Namun apabila difikirkan kembali, saya hanya berkata apa yang benar. Mungkin benar itu kelihatan tulus. Mungkin juga benar itu kedengaran tirus. Hanya yang membaca sahaja mampu menafsir mengikut pandangan mereka.

Saya hanya menulis untuk mencari jati diri. Acap kali saya keliru dalam dunia ini. Apatah lagi dunia penulisan. Terlalu banyak pancaroba yang melanda. Terlalu banyak badai yang kian datang nan pergi.

Bermadah kata di blog sukar diolah manusia. Mahupun juga google translate. Lebih elok terus kepada isinya.

Tapi saya suka kreatif. Saya suka bahasa. Jika tidak, mengapa saya mahu tanggung risiko menyulam ayat di dunia Maya?

Mungkin, satu hari nanti, saya bisa mengetahui jawapannya....
Berminat Baca

Demam

3 bualan
Entah kenapa semalam saya bangun pada pukul 3 pagi. Ketika itu saya rasakan diri saya sungguh berat. Sangat berat sehinggakan segala macam perkara berselirat di kepala saya ini.

Perut saya berasa mual. Saya ingin termuntah. Saya duduk sebentar di bilik air. Merenung apa entah saya pun tak pasti.

Badan terasa panas. Allhurobi.

Terasa segalanya berat. Saya kembali ke katil. Mata saya kelip kelap tidak tertutup jua. Rupanya saya terkena demam.

Badan saya gering. Sakit yang melanda begitu teruk sekali. Saya sempat bangun untuk solat Subuh. Kemudian sambung tidur. Itu pun tidur tidak lena.

Pada pukul 11 pagi saya bangun dan teringat akan ibu di kampung. Ibu pesan untuk telan panadol. Saya ikut nasihat ibu.

Alhamdulillah. Selepas 2 biji panadol saya telan, badan saya terasa kuran sakit. Tidur boleh lena.

Sampai hari ini badan saya masih lagi sakit. Mungkin boleh bangun sebentar tetapi kemudian terbaring pula. Dugaan yang Allah berikan kepada saya.
Berminat Baca

Cara Buat Tauge Kasar

2 bualan


Bagi peminat taugeh kasar atau tauge kacang soya, video ini menerangkan secara ringkas kaedah membuat tanam tauge tersebut.

Mudah sahaja. Untuk makluman, tauge kasar menjadi makanan kegemaran orang Korea. Jadi banyak jurnal yang saya baca ada mereka selitkan teknik ini.

Ada yang automatik dan sehinggalah manual. Untuk rumah, cara manual lebih senang.


Berminat Baca

Kalimah Allah dan Isunya

3 bualan
Saya lihat di Facebook hanya rakan-rakan yang sefikrah dengan saya sahaja share perkara berkaitan kalimah Allah. Yang lain (baca Islam) kekal diam. Entahlah. Mungkin bagi mereka tugas pendakwah sahaja yang patut prihatin hal ini. Bukan masanya untuk mereka kongsikan hal 'kecil' ini. Kenapa hal akidah dianggap kecil?

Saya sedikit kecewa.

Namun, saya tahu saya hanya mampu berkongsi tentang isu ini. Biarlah orang nak kata apa. Saya yakin isu kalimah Allah ini membuatkan beberapa orang (baca Islam) duduk diam. Yang selalu pergi masjid diam. Yang selalu pergi ke surau diam. Yang duduk berhujah agama (ini tak diam. Berhujah memberi sokongan penggunaan nama Allah untuk semua).

Saya hanya mampu berkongsi sebagai orang yang sayangkan saudara-saudara saya yang lain.

Ini bukanlah kerana perkauman atau apa. Tetapi ini tentang akidah umat Islam. Tentang agenda serangan pemikiran dan penerus perang Salib. Mereka melanggar sensitiviti umat Islam di Malaysia. Tetapi apa kata kita?

Saya berpendirian menolak penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Bible.

Hujah akademik boleh baca di sini dan sini.

Dan ini pula selingan cerita seorang lelaki di Australia. Harap membuka mata kita. Sedarkan masyarakat dan kuatkan amal kita.
--
11.15 pagi. Khamis 17/10/2013.
Selepas parkir skuter di tempatnya, saya mula berjalan dari tempat parkir skuter ke arah Uni. Pegang helmet di tangan kiri. Telefon bimbit di bahagian kanan, asyik vibrating sahaja. Ada mesej atau call ke? Saya decide untuk berhenti berjalan untuk melihat phone.

Berhenti. Tepi jalan Frome Road. Di kawasan tengah antara Medical School North (The Univ of Adelaide) dan bangunan School of Pharmacy and Medical Sciences (Univ of South Australia).

Saya tengok phone. Ada messages drpd sahabat-sahabat. Mula membaca.

"Hi, brother. How are you?" Saya yg sedang menunduk mula mendongakkan kepala. "We're missionaries."

Handsome bergaya. Kemas berkemeja putih bertali leher dan berkot lengkap, dua lelaki ini memperkenalkan diri. Seorang berasal dari Los Angeles dan seorang warga England. Umur 21 dan 24. Jelas di dada kiri ada lencana "Jesus Christ." Soalan pertama saya, "Kenapa 'Jesus Christ'? Kenapa bukan 'I love Jesus Christ' atau seangkatan dengannya yang menunjukkan diri sebagai hamba?" Saya rasa pelik. Entah.

Tujuan merantau ke Adelaide adalah untuk menyebarkan agama Kristian. Good on you. Muda-muda dah ada kesedaran agama.

"Do you believe in God?"
"Yes, definitely. I'm a Muslim. I strongly believe in Islam," saya menjawab. Memang selalu jawab begini sebab saya sangat izzah dengan Islam. Nampak tegas ke? Ok je saya rasa. Saya senyum sokmo.
"So you believe in Jesus?"
"Yes, I do believe in Prophet Isa and he's known as Jesus in Christianity."

Bla bla bla...

"Do you know that we have a prophet nowadays?"
Ini soalan baru. Sangat terbaru. "You mean, today? Today we have a prophet? Prophet from the God?" Saya bertanya mahukan kepastian.
"Yes, today. The messages from God are still being delivered from the above. Our prophet is Thomas S Monson. Do you want to see his photo?"
Saya terkesima. Terkejut besar! Ada rasul lagi? Saya respon, "Oh, that's new for me. Prophet Thomas? Never heard about him. It's OK no photo. I'll google him. In Islam, we strongly believe Prophet Muhammad is the final messenger and nobody else after him." Masa saya sebut ni, muka keduanya macam marah. Mungkin mereka tak senang apabila saya bertegas dengan pendirian saya tentang prophecy. "You're talking about Christianity so that's your religion that you believe in. I'm a strong Islam believer so it's OK for me not to know everything about Christianity. Or what say you?" Saya saja menduga.
"You can like him on Facebook so that you learn more."
"You mean Thomas?"
"Yes, our prophet is on Facebook. Thomas S Monson," semangat dia menjawab. Siap lengkap dengan ejaan dan suruh saya taip nama tu dalam phone lagi. Fuh!

Bla bla bla....

Selepas lebih 15 minit berbual, saya mohon izin. Dah lambat nak ke office.
"InsyaAllah, hopefully we can arrange a time to meet you someday," lelaki ini menyebut InsyaAllah.
Saya hanya senyum.
Mungkin dia tak puas hati saya senyum tanpa tunjuk rasa minat, dia menyambung, "In Indonesia, all religions may use the word 'Allah' to represent their God. Islam, Christian, some Buddhas etc... That makes things easy. And the most important part is many Muslims become Christian believers when we refer our God as 'Allah' when we speak to Muslims. Don't you think Christian is the true religion?"
Masa ni saya emotional. Darah naik. "Do you mean Allah is referred to the God only when you speak to Muslims." Tapi saya maintain senyum. Jangan risau, saya tak melenting.
"Yes, apparently Muslims become more interested to Christianity when we use 'Allah' and I know Malaysia has disapproved this. It's very disappointing to stop people especially Muslims to know this truest religion of Christianity by disapproving the use of the word," dia pun penuh emosi. Tak puas hati kot. Si rakannya seorang lagi ini cuba menghentikan rakannya yang sedang bercakap.
"So the use of the word means you can spread Christianity more easily in Malaysia?"
"Yes, it definitely will be..."
"Oh, no. Don't continue...," secara tiba-tiba si rakannya ini menghentikan kata-kata si rakannya ini.

Membuka pekung di dada ke? Tersalah cakap apa misi utama?

Ini kisah benar. Berlaku kepada saya. 17/10/2013. Di Adelaide ini. Allah swt mengatur ini dalam kehidupan saya.

14/10/2013 yg lepas pihak mahkamah Malaysia membuat keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah 'Allah.' Dalam beberapa hari ini, sangat ramai orang yg mempertikaikan keputusan mahkamah ini. Bukan non-Muslim je malah Muslims pun mempertikaikan. Bergaduh-gaduh di laman sosial. Apakes??

Saya juga ada baca golongan Sikh pun dah mula umumkan mereka nak guna kalimah yg sama di Malaysia walaupun tidak dibenarkan pihak berkuasa.

Hari ini Allah swt mengatur hidup saya dipertemukan dengan dua orang missionaries ini. Apa signifikasi kisah ini dalam hidup saya/kita?

Sebelum berpisah dengan mereka, saya keluarkan pesanan saya kepada mereka. "For you is your religion. For me is my religion. There's nothing similar, really. We believe in Allah swt The Only God. You believe in your Gods. Please don't use the word 'Allah' to cause confusion because if you do it like that to get Muslims converted to Christianity, they won't believe you. They're confused. We make people confused we go to the hell, if you get what I mean. Please spread the true religion if you want to enter paradise," cuba sedaya upaya bercerita tentang surah al-Kafirun.

Kelam kabut sebab dah lewat nak ke office. Saya berlalu pergi meninggalkan mereka selepas bersalaman dengan mereka.

"You shouldn't discuss the topic," dari kejauhan saya dapat mendengar si rakan itu menegur si rakannya.
"My bad. Hopefully he didn't understand the mission," si rakannya ini respon.
Masa ni darah saya menyirat naik. MARAH!!!!!!

(Marah pendam ye. Bukan saya pergi tengking mereka).

---

Foto: Mereka bagi buku ni kepada saya utk dibaca. Dalamnya ada kisah Joseph Smith bertemu Tuhan-tuhannya. Saya ada baca beberapa muka.

Kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya Muslims, sudah-sudahlah bergaduh tentang penggunaan kalimah 'Allah' ini. Mahkamah sudah TIDAK meluluskan. Kita ikut selagimana tidak menjejaskan agama Islam.

Katakanlah wahai Muhammad, Wahai orang kafir! Aku tidak menyembah apa yg kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yg aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yg kamu sembah. Dan kamu tidak pula pernah menyembah apa yg aku sembah. Untuk kamu agama kamu, dan untuk aku agama aku. (Ayat 1 hingga 6, surah al Kafirun 109)

Kisah saya ini perlu jadi pengajaran. Kalimah 'Allah' diguna bukan untuk menyenangkan orang Islam, definitely bukan.

Perkongsian oleh Syahr MusafirZawawi.
Berminat Baca

Tauge dan air kencing

6 bualan
Saya tertarik untuk memberi komentar di sini tentang penggunaan air kencing bagi menyuburkan tauge.

Sebagai seorang yang telah membuat projek tauge dan membaca thesis tentang cara penghasilan tauge, saya rasa maklumat yang diberikan tidak berapa betul. Juga boleh rujuk satu berita tentang kenapa tauge Ipoh terbaik di Malaysia?

Pertama, perlu kita tahu apa ada dalam kandungan air kencing? Ammonia. Iaitu tinggi kandungan Nitrogen. Jika disembur secara terus, biji benih atau anak benih akan melecur. Bagaimana nak tahu melecur? Lihat kesan hitam dab lebam kepada tauge tersebut.




Uji kaji nak kata tauge berbau hancing? Itu pun mengarut. Saya siram tauge saya dengan mesin tauge yang langsung tak guna air kencing, tetap ada bau air kencing. Kenapa? Kerana biji benih leguminosae apabila direndam dengan air akan menghasilkan ammonia. Bau ammonia lebih kurang sama macam air kencing kerana kandungan yang sama!

Kedua, kita lihat pula bagaiamana tauge terhasil. Tauge terhasil dengan percambahan biji benih. Di Malaysia untuk menggemukkan tauge, para pengusaha merendam biji benih dengan 2 bahan kimia rahsia yang diimport dari Jepun. Bahan kimia ini bertindak sebagai hormon bagi merencatkan pertumbuhan kecambah dan seterusnya membuatkan ia gemuk.

Dan isu ini telah lama pun berbangkit. Sprouts and urine is the lame story ever.

Ada pandangan lain? Atau anda hanya tahu boikot tanpa ada kefahaman? Jom kongsi pandangan.
Berminat Baca

Pokemon, Digimon, Dragon Ball dan kisah yang lalu

4 bualan
"Aku dulu sangat berharap pada cerita Pokemon. Sanggup tunggu waktu maghrib hanya nak tengok apa akan Ash lawan." Afif menghirup air teh o nya. "Tapi, biasalah. Aku tahu kena move on juga akhirnya. Memang cerita itu untuk kanak-kanak."

Saya mengangguk. Yup. Pokemon hanya berkisar dengan dunia kanak-kanak. Watak Ash dan Pikachu yang tidak pernah berubah. Sentiasa muda sahaja. WTH!?

"Kau tak lihat lagi Dragon Ball." Kami berdua memandang Nakula.

"Aku baca sampai muak. Sampai Z apa entah. Siap Gorilla boleh jadi Super Saiya tahap 4."

"Gorila?"

"Ya. Mereka ulang balik saat Gohan lawan Bezita." Nakula menggeleng sedikit kepalanya.

Saya mencelah, "Kalau Digimon mungkin baik sedikit."

"Itu lagilah. Selepas musim kedua, terus aku tak faham langsung." Nakula menghirup milo aisnya. "Bayangkan manusia bersetubuh dengan monster nak melawan monster lain? Apa ke hal beb!?"

Hahaha. Kami tergelak mendengar perkataan pelik 'bersetubuh'. Patutnya bergabung. Tetapi gabungan Digimon musim ketiga melibatkan gabungan badan di antara manusia dan juga digimon.

"Kita ni master. Dia itu digimon. Mana boleh nak bersatu beb. Syirik dan kurafat!"

Saya tergelak mendengarnya.

Afif mengangguk juga tanda setuju.

"Yelah. Kita semua membesar dengan Dragon Ball, Pokemon dan Digimon," ujar aku. "Oh jangan lupa cerita sains fiksyen yang budak-budak minat tonton - Doraemon."

Kami semua sama-sama tergelak.

Generasi gen Y membesar dengan kisah-kisah komik yang ada. "Kalau boleh, aku nak minta balik segala duit komik yang aku beli dahulu. Membazir!" ujar Afif.

Ada betul juga. Sekarang jarang orang nak beli komik. Kami, generasi I (internet. haha), baca sahaja di Internet. Tak perlu membazir duit membeli komik yang kian naik harga. Lainlah jika ingin membuat koleksi teragung di kamar tidur. Heh.
Berminat Baca

Berbincang

Berbual
Seronok pagi tadi apabila dapat bertemu dengan Afif. Kami bertemu selepas perjumpaan GRF. Dia masih seperti biasa, gembira dan serius. Saya memang serius tak faham bagaimana dia boleh gabungkan dua perkara itu dalam satu ekspresi. Heh.

Saya ajak dia makan sekali. Dia pula ajak seorang rakan sekerjanya bernama Nakula. Kami makan di Restoran Jamek.

"Sekarang hangat berita salomanela. Dr. aku gesa aku untuk terus tulis pasal projek aku ini. Masanya sudah tiba," kata Nakula. Itulah antara yang kami sembangkan.

Kemudian berkisar tentang pandangan ia tentang Sainstologi. "Pernah seorang lelaki mana entah di dalam bas sama aku, terlihat aku membaca novel 'Walking Dead'. Kemudian boleh pula dia bercerita tentang kita perlu berbalik kepada sains.

"Aku dengar jela. Selepas itu aku tanya, 'Are you a scientist?'. Dia menggeleng sahaja. Haish. Terus aku kata aku ini pelajar master. Tapi tetap muslim. Percaya Tuhan. Terdiam dia terus dan cakap, 'Please don't talk with me more'. Ambik kau." Dengan nada yang bangga dan sinis Nakula berkata.

Saya lihat Afif dan Nakula seakan serasi. Minat baca novel omputeh dan cerita berkisar politik dan intelektual. Oh juga bola. Saya yang datang menumpang bersama hanya mendengar sahaja. Tak mahu masuk campur persembangan hal orang bujang. Lagipun saya bukanlah kaki bola.

Semasa bersembang ini, saya terus teringat tentang apa yang Eleanor Rooseveld kata.

Minda hebat bincang idea; minda biasa bincang acara; minda kecil bincang manusia.

Jadi dimanakah minda saya dan mereka ketika itu?
Berminat Baca

Bercerita kisah sendiri

7 bualan
Setiap daripada kita ada kisah yang ingin dicoretkan. Ada cerita yang ingin dipamerkan. Tidak kiralah kisah kita gembira, duka, ataupun kecewa.

Apa yang penting di sebalik perkongsian kita itu, kita tidak tahu di mana ia dapa mengubah hidup orang lain.

Saya tertarik dengan penerangan jelas oleh Jeff Goin tentang kisah hidupnya. Ringkas sahaja dia bercerita tentang bagaimana dia ingin sangat berkongsi ceritanya di khalayak ramai.

Dia memberi kriteria perkongsian. Biarlah kita berkongsi kisah itu, ada coretan pengajaran buat kita dan orang lain yang membaca.

Saya? Entah. Saya hanya menulis di sini demi perkongsian di dunia Internet. Sambil itu mencari kawan dengan cara moden. =)
Berminat Baca

Dirahmati Orang Sekeliling

2 bualan
Saya masih lagi dengan sikap memandang tingkap. Ingin tahu bolehkah saya boleh terbang nanti? Senyum sendiri nampaknya saya.

Telefon bimbit berbunyi pendek tanda satu pesanan ringkas masuk. Nama Fansuri tertera.

"Salam. Hari ini solat di Masjid UPM. Sambut hari lahir Udin."

Saya tersenyum keseorangan lagi. DVD yang saya beli tempoh hari masih ada lagi di rak. Tidak digunakan sangat kerana saya sudah tidak percaya kepada Aqif Azizan.

Tapi tak bermaksud ia dibiarkan begitu sahaja. Saya kenal Udin. Orangnya berbakat menulis. Apa salahnya saya hadiahkan sahaja DVD itu kepadanya. Mana tahu suatu hari nanti terbuka hatinya untuk menonton DVD tersebut dan mendapat manfaat daripadanya?

Saya balutnya kemas. Saya mahu ia menjadi satu yang istimewa buat sahabat tersayang.

Tengah hari saya bertemu dengan Jo pula. Saya ingin menunjukkannya cerpen yang telah saya karang. Mata saya melirik mukanya ketika dia membaca 3 helaian kertas bercetak depan belakang itu. Kadang kadang dia tersenyum sendiri.

Entah mengapa hati saya terasa gembira melihat reaksi mukanya itu.

"Macam mana?"

"90 peratus untuk kau," kata Jo gembira.

Saya terdiam. Terbeliak mata mendengar.

"Ini lah baru dikatakan cerpen. Nilai-nilai realisme banyak terdapat di dalam cerpen ini." Jo menunjukkan ayat-ayat yang membuatkannya terfikir.

Saya melirik senyuman pula. Alhamdulillah. Diterima baik. Terima kasih Jo atas komen yang baik itu.

Selepas solat Jumaat, kami melepak di sudut belakang masjid. Sebuah kek telah dibeli khas untuk menyambut hari jadi Udin. Saya mula membawa kotak dibalut pembalut perang untuk diberikan kepada Udin.

Sedap kek yang ditempah. Manis. Ada juga rasa tiramisu. Pandai Fansuri memilih.

Selesai majlis, saya kembali ke fakulti.

Duduk keseorangan di bilik siswazah. Tiada penghuni di sini. Mungkin hari Jumaat. Ramai sibuk untuk pulang.

Sedang saya ralit dengan Facebook, Fakrul masuk. "Eh lambat datang. Aku ingat langsung tak datang," tegur saya.

"Mestilah datang. Baru balik holiday," kata Fakrul sambil mengemas barang di mejanya.

Kami bersembang seketika sebelum dia bergegas pergi ke Dewan Banquet untuk berjumpa penyeliannya.

Sebelum manghrib menerima SMS daripada Soleh.

"Aku dapat emel GRF. Kau dapat tak?"

Terus hati merundum jatuh. Allahurobi.

"Tak. Tahniah." Balas saya ringkas.

Semoga Isnin ini mendapat berita baik. Amiin.
Berminat Baca

Keseorangan

7 bualan

Dahulu saya sering rasakan saya hidup keseorangan. Saya berjiwa keseorangan. Saya melihat semuanya asing bagi saya.

Saya melihat apa yang saya buat biarlah berseorangan. Itu lebih baik. Ini semua berdasarkan pengalaman saya.

"Jom pergi membeli-belah. Ada barang aku hendak beli," ajak saya kepada kawan.

"Malaslah. Aku ada hal." Kata Azri.

Saya diam. Saya ini orangnya kalau sudah ajak, tiada orang nak teman, saya tak kisah. Saya tak mahu makan hati hanya kerana hal kecil. Lalu saya pergi seorang diri di Megamall Pulau Pinang. Ketika itu saya masih lagi di matrikulasi Pulau Pinang.

Mengajak orang untuk ke program bukanlah kepakaran saya. Jika orang itu menolak, saya akan mencari orang lain. Jika tak, saya lebih suka bersendirian. Kerana tidak perlu memikirkan hal orang lain.

Dan, orang yang saya ajak, jika selalu menolak, saya tidak akan ajak sudah. Kerana saya tidak mahu nanti saya termakan hati atas penolakannya lagi. Lebih baik saya keseorangan.

Jika mengajak makan pun begitu. Saya sering makan sendirian. Bagi saya itu lebih senang. Tetapi jika kawan ada mengajak, saya turut serta sahaja.

Pernah teman sebilik saya semasa tahun pertama di UPM menasihati agar saya makan dengan kawan-kawan. Mungkin dia mengingat saya ini nerd. Saya hanya senyum. Malas nak jawab. Saya tahu dia orang terkenal. Budak sukan memang begitu. Suka bersosial.

Saya ini bukanlah tidak suka bersosial, tetapi hati ini lebih suka akan ketenangan. Bunyi deruan angin selalu mengingatkan saya tentang kesunyian.

Entahlah. Mungkin saya masih kurang berjumpa lagi kawan yang sekepala dengan saya. Minat membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.

Setakat ini ada. Tetapi minat bahasa rojak. Bagi saya, bahasa rojak itu adalah petanda inferior complex. Tidak mempercayai kejayaan bahasa ibunda. Dan saya memilih untuk keseorangan.

Namun, saya tidak menolak perilaku orang lain. Manusia dicipta berbeza. Pandangan tetap pandangan. Mengapa harus bertelagah hanya dengan perkara yang tak dapat kita ubah?

Kerana berseorangan saya lebih mudah membuat keputusan. Dengan keseorangan, saya lebih mudah mencipta hala tuju saya.

Lagipun, ketua diikuti, dan pengikut mengikuti.
Berminat Baca

Perjanjian antara kami

4 bualan

Saya seorang yang berpegang kepada kata. Apa yang dikata wajib ditunaikan. Itulah prinsip saya.

Saya pernah berjanji dengan Nain bahawa saya akan dapat mempelajari bahasa Mandarin sehingga level 3. Kami berjanji pada masa konvokesyen nanti kami berdua boleh berbahasa Mandarin. Katanya mahu belajar bahasa Cina kerana ingin mengorat Amoi.

Lalu kami berjanji. Tahun demi tahun saya terus bertambah baik dalam pembelajaran bahasa saya. Nain masih di tahap itu. Masih lagi sibuk dengan permainan DoTa nya. Tidak endah dengan janji kami.

Saya sedih. Saya seorang yang berpegang kepada janji. Kami telah berjanji, namun dia yang memungkarinya.

"Kita tukar nak? Aku rasa aku mahu belajar tamil. Lagi senang. Aku kesian dengan abang ipar aku tak pandai tamil. Susah cari pekerja dari India," kata Nain di tahun terakhir kami belajar.

Aku diam. Seribu diam. Hanya senyuman dapat aku balas. Hanya pandangan sinis sahaja dapat aku lontarkan. Aku tahu dia memang tidak akan menepati janjinya itu. Alasan sahaja mampu dia berikan kepadaku. Aku berlapang dada. Buat apa sakit hati dengan orang yang memang tidak menunaikan janji?

"Alah, janji biasa je pun."

Namun itulah membezakan kita dengan orang munafik. Betul tak?

Kelmarin, saya bersembang dengan sahabat sekolej dahulu. Gembira apabila dia ingin bertemu saya. Tidak tahu apa yang menggerakkan ingin bersembang dengan saya.

Sekurangnya saya tahu dia masih ingat akan saya.

Kami bersembang lama. Hampir 2 jam bersembang. Bagaikan 2 tahun tidak berjumpa, walhal fakulti tidak lebih 10 km jaraknya.

Saya masih dengan cerita manuskrip novel saya. Dia hanya mendengar. Saya tahu dia masih ada inferior-complex. Terlalu pening memikirkan apa yang dia tulis ada orang baca atau tidak.

"Alah, kau ni. Banyak fikir sangat! Hantar sahaja. Aku baca majalah Sereniti macam haram tu pun boleh tulis dan jual. Apatah lagi kita yang ada kemahiran akademik!" Cubaan saya memberi kata semangat untuknya memulakan langkah menulis artikel dan hantar ke penerbit.

Dia hanya mengangguk seperti biasa. Anggukannya seakan dia memahami. Namun, itulah yang telah dia anggukan tahun lepas tentang cerita yang sama.

Biarlah. Sekurangnya saya sudah sampaikan amanat saya bahawa saya sudah menghantar artikel dan akan diterbitkan nanti. Beberapa artikel bakal menyusul.

"Just do it! Aku tak nak komen ini itu. Yang aku tahu sudah ada novel baru aku baca dan komen. Kalau tak, tak perlu nak cakap dengan aku," kata saya kepadanya apabila dia berkata tentang pandangannya terhadap manuskrip novel yang dia sedang tulis.

"Apa kata kita buat perjanjian? Kita tetapkan timeline untuk kita sama-sama proofread manuskrip novel kita," kata dia.

"Baik." Aku tersenyum mendengarnya. Pengalaman aku dengan Nain mengajar aku seribu satu tentang janji manusia.

"Tarikh akhir adalah pada 26 November. Tarikh hari lahir aku. Hadiah buat aku?" kata dia lagi.

Kami membuat pinky promise. Menggengam jari kelingking kami dan menemukan ibu jari bersama.

"Janji," kata aku.

Itulah perjanjian antara kami. Perjanjian yang pasti aku laksanakan tanpa mengharap apapun daripada dia. Kerana, aku manusia yang berpegang kepada kata.
Berminat Baca

Dunia Tanpa Agama - Sebuah Lagu Memesong Akidah

3 bualan



Dahulu saya biarkan sahaja lagu ini berkumandang di komputer. Biasalah. Lagu sahaja pun. Apa salahnya? Ia tidak akan mengganggu apa-apa. Walau hati ini terdetik tentang kesalahan jelas lagu ini.

Lama-lama apabila saya mula mendalami ilmu agama, hati saya mula faham apa yang ingin disampaikan lagu ini.

Penulis lirik dan penyanyi menyalahkan agama sebagai punca kepada apa yang terjadi di dunia ini. Peperangan, permusuhan, dan pergaduhan yang tiada henti.

Agamalah yang membuatkan manusia semua bergaduh. Tetapi tunggu sekejap...

Adakah anda melihat dengan mata kasar atau mata hati apabila membaca lirik lagu ini?

Jika tiada agama, apakah dunia ini dijadikan hanya untuk berseronok? Ah itu pastinya si John Lennon fikirkan.

Kalau kita lihat, dia adalah seorang hippie. Atau lebih tepat lagi seorang aethis. Seorang yang tidak mempercayai akan sebarang agama.

Dalam Islam, terdapat 5 tiang atau rukun agama.

1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Menunaikan solat 5 waktu
3. Menunaikan zakat
4. Berpuasa di bulan Ramadan
5. Menunaikan haji

Rukun pertama jelas memberitahu bahawa umat Islam wajib mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu Rasul Allah.

Eh? Sebenarnya saya tak nak bicara panjang. Hanya nak mengatakan bahawa lagu ini mampu membawa kepada kesesatan jika kita mengiyakan. Memanglah nampak macam kasihan lihat kumpulan pekak menyanyi.

Tetapi akidah tetap akidah. Kita mesti menjaga akidah kita. Ketahuilah ini adalah serangan pemikiran (ghazwatul fikri) yang dilancarkan oleh golongan Yahudi dan Nasrani sebagai penerus perang Salib mereka.

Ada banyak lagi lagu-lagu yang mengoncang akidah. Gunakanlah akal dan iman bagi menilai lagu-lagu bawaan kafir ini. Ada banyak lagi lagu yang boleh didengari, wahai sahabatku.

"Sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan redha dengan kamu selama-lamanya sehinggalah kamu menurut cara hidup mereka. Katakanlah 'sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah petunjuk yang benar'. Dan sesungguhnya jika kamu memilih untuk mengikuti kemahuan Yahudi dan Kristian ini setelah datang kepada kamu 'ilmu (Al Quran), maka ALLAH tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu". (Al-Baqarah 120)
Berminat Baca

Video - Giving atau Memberi Yang Menyentuh Perasaan

Berbual


Video ini telah menjadi viral. Tatkala menontonnya, hati ini ada jugala merundum rasa. Bijak pengarah menyampaikan mesejnya.

Ya saya dapat agak yang budak kecil itu akan membalas jasa tatkala si penjual itu sakit. Tapi tetap ia memberi kesan tentang pemberian.
Berminat Baca

Solat mengubah rupa - Dari Free Hair Kepada Tiada Hair

3 bualan
Saya suka bergaul dengan orang. Banyak kisah yang saya dengari dan ambil iktibar.

Bos di tempat saya bekerja, selalu bercerita bagaimana solat mampu mengubah sifat orang. Dikisahkan bahawa di tempat dia bekerja dahulu ada dua perwatakan wanita berbeza yang pernah dia jumpai.

Pertama, seorang wanita berpakaian muslimah lengkap. Bertudung, berbaju kurung semua. Lengkap bagai seorang Melayu yang patuh kepada ajaran agama. Manakala seorang ini berpakaian wanita KL. Tidak berjilbab dan memakai skirt sebagai pakaian rasmi pejabat. Persis pelakon wanita Melayu drama TV3 selalu muncul (contohnya Rita Rudaini?).

Yang menariknya lagi, wanita pertama itu tidak solat. Manakala yang tidak menutup aurat itu solat. Sungguh menghairankan buat bos saya ini. Erti takwa berlainan buat kedua-dua orang ini.

Setelah beberapa tahun dia berhenti kerja, dia mengadakan rumah terbuka tahun lepas. Dia mengajak semua rakan yang dia kenali.

Sedang dia seronok menyambut tetamu yang hadir, datang seorang wanita muslimah bersalaman dengannya. Dia tenung lama wajah wanita itu. Sungguh seperti dia kenal orang ini. "Suzanna? (bukan nama sebenar)"

"A'ah kak. Lama tak jumpa," senyum Suzanna.

"Ya Allah. Subhanallah," ucap bos saya sambil terus memeluk Suzanna.

Di sini dia dapat simpulkan bahawa dengan solat, lama-kelamaan diri akan terbentuk jua mendekati agama Islam yang sebenar.

"Kak juga pernah jumpa seorang lelaki umur 27 tahun tak pernah solat seumur hidup. Katanya kenapa perlu solat? Mak ayah dia pun tidak solat," kata bos saya.

"Jadi jangan marah mereka kenapa tak solat. Mereka jahil. Tugas kita menyedarkan mereka dan membimbing mereka mengenali rukun Islam yang kedua ini," jelas bos saya lagi.

Saya hanya mampu tersenyum memikirkan kisah ini. Hikmah solat bagi yang berfikir.
Berminat Baca

Bisnes 3 serangkai

1 bualan
Pada Isnin lalu, saya terserempak dengan Murni dan Fakrul. Mereka kusyuk memerhati benih padi yang ada. Ini mesti projek Fakrul, fikir saya.

"Hampa dua orang ni buat apa?" tegur saya setelah memberi salam. Mereka berdua ini saya kenal sebagai orang Perlis

"Takda. Tengah tengok projek ni," kata Fakrul.

Saya hanya perhatikannya. Kebetulan datang Minah Syiah bersembang dengannya. Saya melayan sembang bersama Murni pula. "Aku dah baca pasal kelulut. Bagus. Potensi tinggi. Di Kedah ramai penternak kelulut tetapi production low," kata Murni.

Kami terus bersembang sehingga Fakrul selesai berbual dengan rakannya itu. "Jom pi kafe sat. Minum-minum ke, makan."

Kami ikut sahaja.

Sedang elok kami bersembang, aku dapati beberapa peristiwa menarik. Semua orang di sini hebat bersembang bisnes. Fakrul dengan pengalamannya bersembang dengan orang tentang bisnes. Banyak falsafah yang dia keluarkan berkaitan dengan Robert T. Kiyosaki.

Saya pula lebih kepada falsafah tempatan. Dr. Rusly menjadi idaman perbualan saya. Murni pula hanya ikuti kerana dia belum biasa baca buku perniagaan.

Kebanyakan kami hanya berteori sahaja tentang perniagaan. Kena begitu, wajib begini dan macam-macam lagi.

"Daripada kita bersembang sahaja, apa kata kita tubuh team bisnes?" cadang Fakrul. Huh!? Aku terkejut.

Berdasarkan pengalaman saya, team sebegini tidak akan ke mana. Sebab semua hanya teori. Jika ada keazaman sahaja team ini akan berjaya. Saya teragak untuk berkata ya. Saya mengubah topik dengan melanjutkan cerita mengenai kelulut.

"Tak apa. Simpan dulu idea bisnes. Esok kita bincang lagi. Waktu sama. K?" kata Fakrul.

Saya dan Murni mengangguk sahaja. Entah jadi atau tidak, masa hadapan masih kabur lagi. Saya hanya memerhati dan membuat induksi buat beberapa hari ini.
Berminat Baca

Mimpi Sahabat

4 bualan
Pagi Rabu. Terjaga daripada tidur dengan deringan handphone di sebelah katil. Ini bukanlah bunyi penggera yang saya set.

"Fansuri is calling."

Pelik. Mengapa dia telefon? Ada hal penting kah kerana itu sahajalah sebab yang selalu dia telefon.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Apa khabar? Gerangan apakah kamu call ni?" Cubaan saya bercanda dengannya.

Dan perbualan kami berlangsung buat seketika sehinggalah...

"Entah. Aku termimpi kan kau tadi."

Saya hanya tergelak mendengarnya.

"Betul. Kau datang jumpa aku cerita pasal blog kau. Cerita seram lah, kemudian versi blog kau terdahulu."

Saya masih tergelak mendengarnya.

"Tak pa. Nanti aku cerita lanjut."

"Jom lunch sama-sama. Pak Ya?" tanya saya.

"Ok."

Perbualan diakhiri dengan salam.

Pelik. Bagaimana pula boleh dia termimpikan saya? Sebelum ini ada juga saya terfikir dan termimpikannya. Yelah. Saya tak mahu susahkannya. Sudahlah dia seorang presiden persatuan. Takkanlah saya sendiri tidak dapat buat kerja saya sampai susahkannya.

Lagipun, mimpi ini hanyalah mainan syaitan.

Ketika berbual di restoran Pak Ya, Fansuri berkata, "Manusia apabila ada hubungan rapat, akan terasa sesuatu. Boleh sampai bermimpi tau!"

Aku terkesima. Sungguh! Saya tak sangka dia anggap saya sampai begitu. Sahabat.

Ketika berpisah, "Wong, jika ada masalah pasal bahagian kau, jangan simpan sahaja. Bagitau lah. K?"

"Tengoklah macam mana," jawab saya sambil tersenyum. Kadang kadang sesuatu itu lebih elok dipendam.

Namun kadang kadang kita juga perlu menawarkan kata bagi yang terpendam itu terasa mudah diluahkan kepada yang mengerti.

Terima kasih, Fansuri, kerana memahami.
Berminat Baca

Kenaikan Harga Petrol

6 bualan
Terkejut. Itulah yang dapat saya gambarkan perasaan saya apabila membaca berita ini. Ya terkejut dan juga bingung.

Bagaimanakah boleh berlaku kenaikan harga petrol tanpa sebab munasabah? Timbul persepsi negatif kepada kerajaan tentang ini (walhal sebelum ni banyak je skeptikalnya. Hahah).

Apatah lagi di laman-laman media sosial giat saya lihat pihak pembangkang jelas menuduh rakyat salah memilih. Oh saya sungguh ini tak terkejut. Minda mereka di tahap kelas bawahan! Tidak dapat salahkan kerajaan, salahkan orang lain!

Yang mengundi telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Kenapa perlu persoalkan hak mereka? Tiada paksaan dalam mengundi!

Mereka secara tak langsung menimbulkan sikap was-was ke dalam diri mereka sendiri dan orang sekeliling mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: “Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah: “Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’akan membukakan pintu amalan syaitan.” (HR Muslim)

Seterusnya mereka memecahbelahkan ukhwah di antara muslim dengan tuduh menuduh!

Ok. Itu bab minda kelas bawahan.

Balik kepada kenaikan harga petrol. Kesan kenaikan petrol bukanlah pada kereta sahaja tetapi malahan lebih daripada itu. Harga makanan turut akan naik juga.

Perlu diingatkan kejatuhan Tun Datuk Seri Ahmad Badawi pada tahun 2008 adalah kerana beliau tidak pandai mengawal harga petrol. Jelas, Dato' Seri Najib akan mengulangi kesilapan pemangku perdana menteri sebelum ini.

Satu pandangan neutral oleh Saudara Muhammad Zulfikar Azlan dalam ISMAWeb yang menyatakan kita boleh melihat isu ini di sudut yang lain.

Bagi saya, pandangan ini walaupun memang jelas kelihatan berat sebelah, namun ia lebih baik berbanding menuduh itu dan ini dan menjerit itu ini. Janganlah kita menjadi beruk apabila dirampas buah dari pokok!
Berminat Baca

Video Kontroversi Sempena Kemerdekaan ke-56

2 bualan


Pelik. Video ini memaparkan realiti namun ada juga yang tersedak ketika menonton video. Apakah yang cuba ISMA bawa ini menyimpang jauh dari realiti Islam di Malaysia?

 

Oh, juga ada azan selepas upacara Kemerdekaan. Allahuakbar.
Berminat Baca

Motorsikal

Berbual
Alang-alang saya menukar tiub motorsikal, saya juga menukar minyak hitam sekali dengan filter. Kemudian saya menukar juga lampu hadapan yang rosak.

Meter motor tertera nombor 5103. Apabila tiba 5303, wajib saya tukar lagi minyak hitam, tanpa menukar filter pula nanti.

Menurut pomen lagi, eksos motorsikal saya telah bocor. Lebih elok ditukar baharu kerana eksos bocor memakan petrol banyak. Harga RM58 ditawarkan.

Saya menelan air liur. Terfikir manalah hendak saya dapat duit sebanyak itu. Namun, bukanlah buat masa ini.

Jumlah kesemua RM27 tidak termasuk bayaran tiub.

Minyak hitam - RM16
Filter - RM6.50
Lampu hadapan - RM4.50

Entah. Saya tak tahu itu harga standard, murah ataupun mahal. Yang saya tahu saya membayar dengan duit halal yang saya dapat ketika mengajar tuisyen. =)
Berminat Baca

Pengorbanan sahabat

Berbual
Saya teringat kisah semalam.

Tayar hadapan motorsikal saya pancit gara-gara saya terlebih pam. Saya keruan. Azan Zuhur sudah berkumandang tanda khatib akan menyampaikan khutbah Jumaat nanti. Apa perlu saya buat? Satu persatu kereta berlalu pergi. Ingin saya tumpang tetapi saya tak kenal mereka.

Saya membelek telefon. Fansuri adalah orang terakhir saya telefon tadi.

Saya senyum selepas meminta pertolongannya. Alhamdulillah dia ada masa untuk datang mengambil saya dan pergi solat bersama di masjid UPM.

"Jom. Ada apa urusan tak selepas solat nanti?"

Saya hanya menggelengkan kepala tanda tiada.

"Kalau begitu, ikut aku kedai printing dan kemudian kita pergi ke HEP. Ok?"

Hanya senyuman dapat saya balas. "Selepas itu baru kita cek motorsikal kamu."

Deruan motorsikal memecah kesunyian di fakulti ini.

Dalam pukul 4 petang, kami tiba di fakulti semula. Saya memandang motorsikal. Berfikir cara nak memboncengnya. Tadi hujan lebat, sekarang hanya merintik sahaja.

"Tak apa. Kamu bawa perlahan-lahan. Aku ikut dari belakang." Fansuri menderam-deram motorsikalnya tanda memberi sokongan kepadaku.

Eh? Saya rasa lebih baik Fansuri pulang. Lagipun dia mungkin ada hal untuk diselesaikan nanti.

Dia hanya tersenyum meminta saya terus membawa motorsikal ke bengkel berdekatan. Tak la dekat. Sekitar 3 km juga saya membonceng motorsikal ini.

"Baiklah. Nanti kalau pancit lagi bagitau aku," kata Fansuri apabila kami selamat tiba.

Saya hanya senyum. "Jazakallah." Itulah ucapan yang sempat saya ucapkan.

Di dalam hati, sebenarnya saya berasa amat bersyukur ada sahabat seperti ini. Fansuri sebenarnya boleh sahaja terus meninggalkan saya keseorang membonceng motorsikal ke bengkel. Tiada masalahpun buat saya. Lagipun susana gelap dengan hujan gerimis. Habis basah nanti dia hanya kerana menemankan saya.

Tetapi dia berkorban masanya bagi memastikan saya selamat sampai ke destinasi.

Jazakallah. Hanya Allah sahaja mampu membalas kebaikannya itu.
Berminat Baca
Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

Manusia