Ahad, 29 Julai 2012

Inferior Complex #2



"Takdir. Ia tidak boleh diubah lagi. Itulah pemikiran seorang yang tidak inginkan kejayaan dalam kehidupan.

Betulkah itu? Atau ia hanya kata-kata nista seorang yang telah gagal?

Selalu aku fikirkan ini. Apakah definasi kejayaan aku? Terlalu banyak perkara yang aku fikirkan."

Dia keliru.

Terlalu rumit pemikiran sang pemikir. Hakim Ikramul, seorang pelajar biasa yang telah meneruskan pelajaran di peringkat menara gading. Namun, ia masih keliru akan erti kehidupan.

"Hidup ini tidak susah, kalau nak berjaya, usaha sahajalah" nasihat opahnya masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Tapi opah, apakah itu kejayaan? apakah itu usaha? Saya masih perlukan opah. Kenapa opah pergi meninggalkan saya kesorangan?" rintih Hakim Ikramul di suatu malam.

Cik Wan Hazimah atau Opah Wan merupakan nenek yang paling disayangi Hakim. Setiap kali balik ke kampung pasti nenek Hakim itu menyambut gembira kedatangan dia.

Namun umurnya sudah tua. Ajal dan maut di tangan Tuhan. Beberapa minggu sebelum Hakim melangkah masuk ke universiti, opahnya itu telah meninggalkannya buat selamanya.

Hati Hakim ketika itu remuk. Tempat dia berkongsikan rasa gembira dan sedih kini sudah tiada selamanya.

Pelikkan? Kenapa tidak ibu bapanya yang dijadikan tempat perkongsian luahan rasa? Ia tidak semudah itu. Keluarga Hakim rumit untuk dirungkaikan. Ia memerlukan masa sehinggalah dapat difahami semua.

----


Jumaat, 27 Julai 2012

Berhenti Tanya Jurusan Saya


Salah seorang kawan karib saya sejak sekolah menengah, Andrew, menukar jurusannya pada semester pertama di kolej. Saya dan dia selalu kagum dengan politik, berkongsi setiap perkara terbaru yang kami jumpai dan menyertai aktivisma Internet yang membentuk satu kuasa politik baru. Walaupun minatnya pada politik masih ada, namun ia masih tidak cukup. "Saya perlu menghadapi kebenaran," dia mesej saya pada suatu hari, "berfikir mendapat kerja selepas bergraduat. Maksud saya, seperti yang ibu saya selalu tanya kepada saya: Apa yang dapat kamu lakukan dengan sains politik pun?"

Saya juga mendengar soalan yang sama daripada kawan saya, Jesse apabila para pelajar seluruh kampus terseksa ketika cuba memilih jurusan yang sesuai dengan mereka. Dia tidak berapa pasti apa yang dia mahukan dalam pembelajaran, tetapi setiap kali ada sahaja bidang yang dia minati, bapanya akan berleter dengan soalan mengenai pekerjaan yang tersedia ada untuk bidang tersebut. Selama ini bapa Jesse berjaya meyakinkannya bahawa cara untuk berjaya hanya dengan memasuki jurusan kedoktoran.

Pengalaman rakan-rakan saya bukanlah sesuatu yang pelik.



Rabu, 25 Julai 2012

Inferior Complex #1


Di satu sudut bilik itu duduk termenung seorang lelaki. Memikirkan kehidupannya kini. Ia telah banyak berubah dari dahulu. Syukur dia ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kurnia akan nikmat ini. Berjumpa dengan sahabat yang amat memahminya kini.

Dahulu dia bukanlah begini. Selalu termenung tanpa sebab. Selalu dia rasa takut tentang kehidupan ini. Terlalu banyak kisah pahit yang dia lalui. Terlalu takut untuk dia tempuhi. Mungkin kerana dia berfikiran begitu.

"Mungkin sebab dahulu, aku tidak tahu protokol sosial yang perlu aku lalui. Aku terlalu naif dalam kehidupan ini," keluh dia.

Dia itu bernama Muhammad Hakim Muhd Ikramul Muslim atau pendeknya Hakim Ikramul. Sungguh dia tidak sangka perangai yang dia pegang selama ini sudah kian pudar di hatinya itu.

Sungguh. Dia pun tidak tahu mengapa, tapi ia pergi perlahan-lahan sejak ia mula mengenali sahabatnya itu. Ya sahabatnya yang setia yang dikenali baru sahaja tahun lepas.


Isnin, 23 Julai 2012

Lampu isyarat -- fiksyen

Kereta lalu-lalang di hadapan tiang itu. Terdapat satu tiang berlampu yang mengawal jalan itu. Ia setia menjadi pengawal jalan raya tidak kira hujan atau panas. Tetap ia mengeluarkan 3 cahaya utamanya.

Hijau. Warna alam bergema. Bergerak lancarlah segala macam kereta, bas, lori dan motorsikal melepasi tiang itu. Hati mereka pasti terasa lega.

Kuning. Warna senja mentari. Perlunya si pemandu atau pembonceng memperlahankan kenderaan mereka. Tanda kemarahan tiang itu akan tiba. Namun, itu bukanlah perkara yang sebenarnya berlaku. Pecutan demi pecutan berlaku. Semua pemandu seperti hendak gila membawa kereta. Takut akan kemarahan tiang itu akan tiba.

Merah. Warna marah membara. Ini masanya semua kenderaan berhenti. Mereka tahu akibatnya jika melawan kemarahan tiang itu. Pasti nanti akan datang surat berharga RM450 ke rumah mereka nanti. Yang itu pasti memakan duit perbelanjaan mereka nanti pula.

Itulah lampu yang mengeluarkan 3 cahaya itu. Mukanya hijau, kuning, dan merah. Bertukar sentiasa mengikut aturan yang ditetap. Itulah si lampu isyarat.

"Manusia ini pelik. Sudah aku katakan bahawa kuning itu bawanya perlahan kenapa dipecutnya lagi?" fikir si lampu isyarat melihat gelagat manusia memandu kereta di hadapan muka kuningnya.

"Lagi pelik, jika aku berwarna hijau di awal waktu, perlahan sahaja di bawanya."

"Tatkala mukaku merah, masih ada yang degil. 5-10 saat awal masih lagi memecut kenderaan cuba mengambil hak kenderaan lain."



Sabtu, 21 Julai 2012

Kaedah mudah mengenal pasti keaslian madu


Madu sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu. Ia menjadi penawar kepada segala penyakit jika betul pemakanannya. Terdapat 2 ayat al-Quran yang sering orang sebutkan apabila madu menjadi topik perbualan.

"Dan Tuhan mewahyukan kepada lebah 'binalah sarang-sarang di gunung-ganang, pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibina manusia." Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhla jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan manusia..." Surah An-Nahl[16]; Ayat 68-69.

Tak perlulah saya sebutkan khasiatnya kerana google boleh menunjukkan jawapannya.

Apa yang menarik perhatian saya ketika mengambil kelas apikultur, iaitu kelas mengkaji mengenai perlebahan daripada pengurusan hinggalah penuaian madu, terdapat satu teknik ringkas yang pensyarah saya tunjukkan untuk kenal pasti keaslian sesebuah jenis madu itu. Tip ini boleh diaplikasikan untuk pengguna biasa.


Jumaat, 20 Julai 2012

Saat Memelihara Silaturrahim (SMS) dalam Ramadhan


Hari ini bermulalah hari pertama bulan Ramadan untuk umat Islam di Malaysia.

Dengan itu, saya mengambil kesempatan mengucapkan ucapan selamat menyambut Ramadan sebagai saat memelihara silaturrahim (SMS) saya kepada orang terdekat dan jauh daripada saya.

Menjadi tradisi bagi saya sejak memilik handphone untuk menghantar SMS ucapan peringatan Ramadan kepada semua nombor hp para sahabat yang terdapat dalam hp saya ini.

ucapan SMS masih menjadi amalan walaupun dunia kini bergerak pantas dengan Internet.


Ada yang kata mengapa perlu hantar SMS walhal facebook kan ada?

Baiklah jika begitu marilah saya terangkan situasi ini dari dahulu lagi.

Dahulu katanya ikhlas kalau datang ke rumah ucapkan selamat hari raya (atau Ramadan).

Kemudian penghantaran kad raya itu ikhlas.

Kemudian menelefon itu ikhlas.

Kemudian SMS itu ikhlas.

Kemudian email itu ikhlas.

Kini facebook itu ikhlas?

Ini pula keterangan daripada saya. Saya tidak dapat ucapkan berdepan kerana tidak semua sempat saya ziarahi. Tak semua dapat saya poskan kerana alamat tiada dalam simpanan. Bukan lah semua orang ada capaian internet sentiasa.

Maka, SMS lah menjadi pilihan yang saya segani sehingga kini.

Ya nampak kolot dan membazir sahaja wang. Entahlah. Bagi saya itulah ikhlas yang mampu saya berikan kepada sahabat-sahabat saya yang berjauhan. Ukurannya hanya yang memberi dan menerima itu sahaja tahu. Apa perlu yang lain fikir itu saya kisahkan, bukan? Inilah sahaja cara saya dapat eratkan silaturrahim untuk orang kejauhan.

Daripada semua yang saya hantar bukan semua yang membalas. Yang membalas dengan apa cara sekalipun, saya ucapkan terima kasih. Senang hati saya apabila ada yang membalas. Terasa SMS itu tercapai di memory handphone mereka.

Selamat menyambut bulan Ramadan semua. Perbanyakkan ibadah di bulan Ramadhan ini dan yang pasti, puasa penuh yea.


Rahsia? #1


Entah mengapa jiwa aku ni terasa kosong. Kenapa komen yang aku baca di muka buku tidak membantu aku langsung? Walhal aku sudah lama meniti saat ini. Saat aku menjadi pandai dengan apa yang aku ada. Kenapa? Oh kenapa Tuhanku?

Tidakkah cukup aku berdebat dengan facebook tentang kebenaran aku ini? Walhal aku memang benar. Kenyataan yang aku dengar benar. Fakta aku keluarkan juga benar. Adakah kebenaran itu tak semestinya benar juga?


Khamis, 19 Julai 2012

Hujan itu turun, kemudian ia berhenti...


Langit mula tampak mendung tanda hujan akan turun lagi. Aku perlu cepat jika tidak kerja aku tidak akan habis. Sudah lama aku menangguhkan kerja aku. Jika aku tidak siapkan hari ini juga bilakah lagi akan siap?

Kerja aku menimbun dan aku perlu siapkan mana yang terdahulu. Aku perlu hantar 2 surat dalam tangan aku  ini. Aku berdoa dalam hati agar hujan turun nanti. Biarlah aku sampai dahulu ke destinasi.

Aku turn ke tempat parkir motorsikal melihat sebuah motorsikal kris elok berdiri di satu sudut parkir itu.

Motorsikal Kris itu menjadi peneman aku pada hari ini. Sudah berapa tahun ia bersama aku sepanjang aku mula berada di bumi asing ini. Mencari rezeki untuk meneruskan hidup ini. Ia pemberian daripada ayah aku yang tersayang.

Terlalu banyak lampu isyarat di sini. Setiapnya pasti menyinarkan warna merah semasa aku menghampiri mereka. Ah. Seperti menghalang aku yang sudah lewat ini. Seperti ingin sahaja aku merasai titisan hujan pada badan aku nanti.

Langit bertambah gelap lagi. Hati aku ini mula risau akan keadaan ini. Sempatkah aku menghantar surat-surat ini? Kalau hujan, mungkin esok sahajalah aku hantar surat-surat ini. Satu sudut di hati aku ini mengatakan biarlah hujan. Esok boleh hantar lagi surat ini.


Rabu, 18 Julai 2012

Penulis - sebuah cerpen


Apakah itu penulis?

Siapakah itu penulis?

Mengapa mereka perlu menulis?

Bilakah mereka menjadi penulis?

Manakah mereka mula menulis?

Bagaimanakah penulis itu hidup?

Itu lah persoalan yang aku selalu lontarkan pada diri aku. Apakah bezanya aku dengan si dia, si penulis itu? Mereka sama sahaja seperti aku. Menulis. Tapi apakah sebab mereka menulis? Aku buntu. Aku kadang-kala ingin menulis. Kadang-kala pula ingin membaca.

Adakah penulis itu si pembaca juga?


Selasa, 17 Julai 2012

Pasu itu bersendirian

Pasu itu duduk diam di rumah pemiliknya. Sudah lama ia dibeli tapi belum masih berisi tanah dalamnya. Entah  sudah berapa lama ia dibeli. Dahulu ia gembira dibeli tapi kini rasakan menyesal pula kerana dibeli.

Pasu itu duduk di hujung sudut halaman rumah itu. Pemilik nampaknya seperti sudah melupakan ia. Dahulu seperti beria pemilik membelinya. Terfikir untuk menanam pelbagai jenis pokok bunga dalamnya. Namun ia masih kosong. Pemilik sibuk dengan kerenah kerjanya. Tidak ada masa melayan kerja remeh itu.

"Alangkah bagus jika aku maih lagi di nurseri Tong Haw," pasu itu merengek keseorangan. Dahulu ketika di nurseri Tong Haw, pasu itu selalu melihat kelibat manusia berjalan-jalan memilih pohon bunga. Ada yang inginkan bunga yang kecil. Ada yang inginkan bunga yang besar. Ada yang inginkan bunga berseri. Seronok pemilik nurseri melayan mereka.

Pasu itu juga seronok melihat gelagat manusia-manusia tersebut. Ada yang datang membeli pasu bunga untuk emaknya yang sakit di hospital. Pemilik nurseri mencadangkan pasu bunga ros sebagai hadiah. "Bunga ros cantik dan harum. Ia tanda sayang kita pada ibu kita", terus si pembeli menerima cadangan pemilik itu.

Ada pula datang membawa khabar ingin menanam sayur di rumah. Pusing keliling nurseri memilih pokok yang sesuai. "Pokok cili cantik dan mudah dijaga. Boleh petik apabila buah muncul," terus si pembeli menerima cadangan pemilik itu.

Ada yang datang ingin membeli biji benih. Belek ia ke rak biji benih yang ada. "Kangkung sayur yang paling sedap dibuat masakan. Senang tumbuh tak banyak jagaan." 3 paket biji benih kangkung berada di kaunter pembelian.

Kini, semua itu hanyalah kenangan sahaja. Mahu betul si pasu itu menjerit pada si pemilik "Hey kau di sana, bila lagi mahu kau isikan aku dengan tanaman? Aku bukan hiasan sahaja di sini." Tiba-tiba terhenti si pemilik melihat pasu itu ketika sedang keluar dari rumah. Mukanya seperti sedang memikirkan sesuatu. Lalu ia berlalu pergi. Pasu itu masih lagi di situ.

Esoknya seperti biasa sahaja. Pemilik lalu pergi ke tempat kerja. Tidak melihat langsung pasu itu.

Petang sudah lewat. Matahari mula terbenam. Pelik. Kenapa si pemilik tidak pulang lagi. Walhal waktu ini sudah ia pulang. Pasu berfikir lagi.

Deruan motorsikal berbunyi di hadapan halaman. Terliha si pemilik bermuka gembira. Turun membawa 3 paket bungkusan hitam dari bakul motorsikalnya. Dalam poket pemilik ada satu paket benih yang pasti menghasilkan makanan.

Pasu gembira. Kini ia boleh menabur jasa pada si pemilik. Menyerikan laman si pemilik dengan kawan barunya nanti.




Ahad, 15 Julai 2012

Bangunan Hijau itu masih di situ

Bulan mula menampakkan sabitnya. Cerah memancarkan cahayanya ke seluruh kawasan UPM. Di satu tempat terdapat bangunan berwarna hijau di sebalik bangunan-bangunan lama itu. Bangunan itu tersembunyi di belakang perpustakaan. Sungguh ramai mengetahui bangunan itu sungguh lama. Ia berada sejak UPM ini ditubuhkan. Lama itu juga bermakna ia menyimpan pelbagai kisah yang hanya diceritakan dari mulut ke mulut. Generasi terdahulu hanya menyimpan kisah-kisah itu. Untuk ceritaan buat si cucu yang inginkan cerita daripadanya.

Tersergam indah walaupun lama. Ia mula mendapat sinarnya kembali apabila perdana menteri Malaysia kelima pada masa itu mengagumi pertanian.

Ah.. kini ia tinggal kesepian. Hanya 4 tahun sahaja sempat ia menikmati kegemilangannya di kurun dua ribu ini. Ditinggalkan kerana si tua itu sudah pun turun dari pangkatnya. Memang itu lumrah kehidupan. Yang lama pasti akan ditinggalkan. Yang baru pasti disanjungi.

Cuaca malam hari ini sejuk. Dingin ditiup angin yang sepoi-sepoi berlalu. Dalam bangunan itu terdapat seorang lelaki sedang sibuk menaip di ruang papan kekunci laptopnya.

Klik tuk, klik tak, klik tuk. Sibuk mengisi data yang baru ia dapat. Kusyuk sampai tidak sedar Isyak sudah 5 jam masuk.

"Akhirnya! Siap juga aku masukkan data ini. Esok boleh la aku bawakan ini kepada Dr. untuk perbincangan lanjut," kata lelaki itu sambil menghirup nafas lega.

Dia bangun menggeliat lega. Dilihat sekelilingnya sunyi.

"Oh, sudah pukul 1 pagi rupanya. Kusyuk betul aku buat kerja pada hari ini," langkah lelaki itu keluar dari biliknya. Dia terasa ingin melepaskan hajat yang baru kejap tadi datang.

Kedengaran di ruang legar bangunan bertingkat 3 itu bunyi deruan angin sahaja. Tup tap tup. Hanya bunyi tapak kaki lelaki itu sahaja di ruang tingkat 3 itu.

Bangunan ini sudah lama. Sangat lama sehingga pelbagai cerita disimpan olehnya. Setiap tingkat ia berpenghuni. Lagi tinggi tingkat tersebut lagi ramai penghuninya.

Lelaki itu tidak tahu akan kisahnya itu. Dia pun tidak mahu tahu kisahnya itu. Yang dia tahu, dia mahu kerjanya cepat siap. Banyak barang sudah dipindahkan kebangunan baru. Ini telah menyukarkan kerjanya. Sedikit sahaja lagi eksperimen dia mahu habis. Dia tidak mahu melambatkan kerjanya itu lagi.

2 tahun bukanlah masa yang sekejap. Penantiannya ia sungguh perit. Dia hanya mahu dirinya itu cepat-cepat memakai jubah yang biasa orang pakai di hari konvokosyen. Dia mahu pakai dengan bangganya. Kisah-kisah pelik itu selalu dielakkan didengarinya.

Masuk lelaki itu ke dalam tandas. Dia melihat cermin. 

"Kacak juga aku ni," tersenyum dia sendirian.

Dia kembali melihat cermin sambil membasuh tangan dia. Hajatnya sudah tercapai. Malam sudah larut. Kerja untuk hari ini pun sudah selesai.

Mata lelaki itu pun sudah mula layu. Dia mula menguak besar mulutnya itu. Perasaan mengantuk mula menikam mindanya.

Keluar sahaja dari bilik air terasa angin pelik meniup ke tengkuknya itu. Sejuk. Tapi sejuk ini lain dari sejuk yang biasa dia rasakan. Namun, lelaki itu endahkan. Apa yang dia mahu sekarang hanyalah melelapkan mata di makmal nanti.

Pintu terselak. Sebaik sahaja lelaki itu masuk ke bilik kajiannya dia tergamam.

"Eh? Bukankah tadi kerusi aku itu mengarah ke tempat lain? Kenapa ia menghadap aku pula? Ah mungkin perasaan aku sahaja ni," berlalu lelaki itu ke satu sudut di bilik kecil itu.

Lelaki itu membuka almari lama bersebelahan meja kerjanya itu. Diambilnya toto dan selimut untuk dibuat alas tidurnya itu.

Lelaki itu baring melihat syiling. Dia memikirkan kehidupan masa hadapannya sambil hendak melelapkan mata yang sudah mula berat.

Tiba-tiba satu bunyi yang biasa dia dengar berbunyi, Bunyi itu seperti ada orang baru sahaja melabuhkn punggung di atas kerusi kerja dia. Pelik. Dia menoleh dari kanan melihat kerusi itu. Pandangannya terhadang oleh dinding meja itu.

Tiadapun kaki di roda kerusi itu.

"Mungkin perasaan aku agaknya," pujuk lelaki itu terhadap dirinya.

Kiuk kiak kiuk... bunyi itu datang lagi.

Kali ini bulu roma lelaki itu tidak semena-mena naik. Angin sejuk yang dirasakan tadi ketika keluar dari tandas mula terasa di belakang tengkuk. Dia tidak mahu berfikir bukan-bukan walaupun tahu malam ini adalah malam Jumaat...

Bunyi seperti ada benda berpusing. Seperti ada yang sengaja memusingkan sesuatu. Tidak semena-mena degupan lelaki itu meningkat dari 104 perminit ke 136 perminit apabila dia memandang ke arah tempat kerusinya berada.

Plastik yang ada di bawah kerusi itu berpusing!

Terus lelaki itu memejamkan matanya. Tidak sanggup ia berfikir apa yang akan jadi pada dirinya itu. Timbul pula perasaan menyesal dalam dirinya kerana mengendahkan pesanan kerani di tingkat 1.

"Ingat tau, malam ni malam Jumaat. Jangan kerja sampai lewat malam. Kalau boleh balik awal. Sambung sahaja kerja kamu itu di rumah," ujar kak mah dengan nada berpesan.

Perlahan-lahan dia mengangkat selimu menyelebungi dirinya penuh seperti mana kegelapan mula menyelebungi malam itu. Awan mula mengambil pandangan bulan. Anjing-anjing sedih melihat situasi itu. Mereka menyalak di atas bukit tertinggi memanggil kembali bulan untuk muncul.

Salakan itu kedengaran sampai ke telinga lelaki itu. Tapi pemikiran lelaki itu kabur. Hanya satu yang dia ingat ketika itu. Bacaan ayat kursi yang dia hafal sejak berumur 12 tahun lagi.

"Nanti, kalau terasa takut, jangan lupa baca ayat kursi. Ia menjadi pendinding untuk kita," pesan arwah atuknya. Sejak itu dia mula menghafal ayat kursi.

Lelaki itu terus menerus membaca ayat kursi memohon agar dia masih selamat ketika tidurnya itu. Dibacanya ayat kursi berterusan sehingga entah ke berapa kali sudah dibacanya sehingakan dia mula masuk terlelap...

----

Bunyi ayam berkokok kedengaran. Ah rupanya sudah pagi. Lelaki itu sudah tiada di tempatnya. Toto dan selimut sudah kembali ke tempatnya. Laptop lelaki itu pun sudah tiada. Deruan bunyi motorsikal kedengaran di luar bangunan hijau itu. Ia berlalu pergi hinggalah sampai ke satu kawasan yang sungguh asing oleh manusia kini di awal pagi.

Terdapat beberapa orang berpakain baju tradisional Melayu masuk ke dalam kawasan itu. Mereka berkopiah. Semuanya berniat ingin menunaikan solat Subuh bersama. Dalam himpunan saf itu terdapat seorang lelaki yang kini juga menyimpan kisah bangunan hijau itu... Ia masih kekal sehingga kini.




Sabtu, 14 Julai 2012

Lahirnya dia penyambung warisan - sebuah cerpen

Di hening pagi ini bergeraklah segala pelusuk mahkluk di dunia ini mencari rezeki. Mengais pagi, makan pagi. Mengais petang, makan petang pula. Terdapat satu pohon yang redang di satu sudut hutan itu. Rimbun dengan bunga. Bakal ada buah rambuta muncul selepas itu.

Senang lenang penghuninya menunggu hasil pohon itu, rezeki kurniaan Tuhan yang esa.

Di saat bunga berkembang terdapatlah bunyi kecil berdesing. Meneliti kandungan bunga. Mencari nektar yang ada. Itulah sang lebah madu. Rajin mencari makanan di awal pagi ini. Pulanglah ia setelah penat menghirup madu. Disimpankan ia di satu sudut perutnya.

Apabila pulang, ia disambut meriah oleh rakan sekerjanya yang lain. Sang pekerja itu memuntahkan madu yang diambilnya tadi ke rakan sekerjanya yang lain. Rakan sekerjanya itu pula menelan madu itu dan memuntahkannya pula pada lubang heksagon yang ada.

Keadaan sarang sini sangat sibuk. Beribu-ribu pekerja bekerja siang dan malam. Menjaga harta yang bernilai di dunia. Telah disebut dalam sebuah al-Kitab teragung mengenainya. Penawar segala penyakit di dunia.

Semuanya tunduk hormat pada seekor ketua. Pemerintah agung bak puteri Balqis memerintah Sabaq. Itulah sang Ratu lebah.

Perginya ratu melawat satu demi satu ruang heksagon yang ada. Dipesan agar setiap pekerja bersatu. Jangan dilupakan tanggungjawab yang ada. Pesanan itu pula disebarkan kepada yang lain melalui sentuhan. Bagi yang bergesel mengerti seakan tidak perlu bicara panjang. Itulah kuasa sang Ratu. Menyebarkan hormon tanpa sebarang masalah....

(bersambung)



Selasa, 10 Julai 2012

Dokumentari Penghasilan Tauge di Amerika


Kali ini saya berkongsi satu dokumentari yang saya dapati ketika melakukan kajian semasa melakukan kajian perpustakaan (literature review) berkenaan projek tahun akhir saya.


Dokumentari ini terbahagi kepada 9 bahagian.


Ahad, 8 Julai 2012

Membina Imaginasi Cemerlang


Seperti sebelum ini, saya suka membaca. Novel bagi saya mengaktifkan imaginasi cemerlang saya. Setiap kali saya terasa kurang bermotivasi untuk membaca buku-buku akademik, novel pasti menjadi teman setia menaikkan semula semangat saya membaca. Novel pilihan saya bukanlah novel yang biasa dibeli oleh remaja-remaja masa kini.

Saya lebih suka novel yang mengajar erti kehidupan. Mempunyai nilai-nilai murni dan pengajaran yang tinggi. Ia lebih bersifat motivasi. Lebih bersifat ketuhanan.

Antara novel yang saya minati ialah novel karangan Hilal Asyraf. Beliau berjaya mengubah pandangan saya bahawa bukan semua novel bersifat kecintaan dunia sahaja. Ada juga novel bersifat dakwah.

Antara novel karya Hilal Asyraf.
Apa kaitannya dengan hortikultur? Ia nampak tidak ada kaitan langsung tetapi jika diperhatikan betul ia ada.



Jumaat, 6 Julai 2012

Fakulti Berhantu Malam Khamis (FBMK) UPM

DSC01693
Dunia ini sementara. Jangan kita leka dengan permainan dunia ini. Tempat seperti ini pasti bagi yang hidup...

Hari Khamis, malam Jumaat adalah hari yang paling orang Melayu suka bercerita hantu. Pelbagai cerita seram terbitan sang penerbit tempatan keluar terbang mencari mangsa mereka, sang penonton Melayu. Kisah ini diturunkan secara turun-temurun. Daripada anak cicit, moyang dan segala macam salasiah keluarga tahu akan cerita hantu.  Pontianak, pocong, hantu raya, jembalang mata satu, mata dua, mata tiga, bermata-mata… Budak kecik kepala botak a.k.a toyol pun ada sudah terkenal. Si toyol itu hanya hendak mencari pendapatan sampingan je lah. Kenapalah dikomersilkan pula...

Di mana-mana sahaja tempat di Malaysia ini pasti akan ada cerita hantunya tersendiri.

Ini tak lari juga di universiti yang saya diami, Universiti Putra Malaysia (UPM). Banyak kisah seram yang saya dengari. Biasalah. Cerita hantu sebegini memang terkenal. Sebaran hanya daripada mulut ke mulut. Setiap tempat di UPM ini boleh dikatakan ada kisah seramnya. Semestinya ia bukan yang baik untuk diceritakan.

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) menjadi wadah penceritaan kisah seram pada kali ini. Saya putar istilah FBMK ke 'Fakulti Berhantu Malam Khamis' bagi menyedapkan sedikit kisah yang ingin saya ceritakan ini...

Al-kisah bermula apabila seorang kawan saya, si budak fbmk (secara tak rasminya) membuka cerita di suatu malam yang hening…. Dimulakan dengan kisah seorang pensyarah dikacau dalam pejabat sendiri di fbmk, blok B. Pada suatu malam beliau balik lewat dari pejabat sebab nak uruskan beberapa hal yang tertangguh. Ketika beliau sedang kunci pintu pejabat hendak pulang lebih kurang dalam jam 10-11 malam, beliau terdengar bunyi pelik dalam pejabat. Sret srot sret srot. Pelik. Tak apalah katanya. Sudaah lewat malam pun. Balik jer la dulu.

Keesokannya apabila beliau masuk dalam pejabat, beliau terkejut melihat berselerak pejabatnya. Fail bertebaran di atas lantai. Kertas-kertas berselerak di atas meja. Kesan cakar sana sini situ pada dinding. Seperti ada makhluk yang mengamuk… Rupanya ada yang tak suka beliau kerja lebih masa. Buat apa lama-lama di pejabat sehingga waktu malam. Dah cukup masa, balik jer la. Itu mesej si pembuat kacau agaknya. Setelah kes itu berlaku, tak digalakkan pensyarah balik lewat malam di fbmk…

Dikisah yang lain pula, pernah ada seorang pensyarah terlanggar pintu utama sliding door fbmk. Beliau ingatkan pintu sudah terbuka jadi jalan la cepat-cepat tapi rupanya tak. Bammm! Terlanggar sampai retak pintu tu dibuatnya. Takkan terlanggar pun boleh retak, bukan? Seperti ada yang sengaja menolak sekali supaya langgaran menjadi kuat. Tidak dapat dipastikan apakah ‘benda’ tu. Pensyarah tersebut dikejarkan ke wad ICU…
Hit hard you know!loaMakhluk mungkin?,,,,,


Langgan Majalah Inggeris



Saya suka membaca. Terutama bacaan yang boleh mengaktifkan minda saya ini. Setakat ini saya hanya boleh membaca dalam 2 bahasa utama di Malaysia. Insya-Allah yang ketiga bakal mendatang. Bacaan yang paling banyak saya baca adalah dalam bahasa Inggeris. Sukar untuk saya dapatkan bacaan berilmiah dalam bahasa ibunda saya. Atau mungkin saya ini kurang mencari?

Beberapa bulan lepas seorang kawan baik saya ajak untuk turut bersama dia melanggan majalah Time (MT). Harga normal di pasaran ialah RM10/isu. Majalah ini terbit 2 minggu sekali. Pembaca terpaksa menghabiskan duit sebanyak RM20 untuk setiap bulan hanya untuk baca majalah ini.

Majalah Time - majalah propaganda Amerika


1 tahun akan ada 54 isu diterbitkan, bermakna RM540 untuk satu tahun (kalau beli biasa). Kalau langgan melalui syarikat ini, akan dapat diskaun. Saya akan dapat membeli dengan hanya RM468 (54 isu MT) + 2 majalah bulanan percuma.



Selasa, 3 Julai 2012

Kertas menulis - puisi



Wahai kertas,
Kiranya aku menulis kerana duit,
Takkanlah aku menulis dengan bersungguh,

Kiranya aku menulis kerana nama,
Takkanlah aku menulis dengan hati,

Kiranya aku menulis kerana hobi,
Takkanlah aku menulis dengan gembira,

Kiranya aku menulis kerana suka,
Takkanlah aku menulis dengan percuma,

Penulisan itu suatu makalah abadi,
Kekal ia buat yang menghargai
ertinya tiada nilai
Hanya ia juaku bawa kehadrat Illahi.



Ahad, 1 Julai 2012

Melawat Putrajaya Floria 2012


Pintu masuk utama ke Pameran Floria 2012
Bunga dan landskap adalah salah satu dari cabang hortikultur. Keindahan kedua-duanya bersifat subjektif kepada individu tertentu. Namun, asas nilai estatik pada bunga dan landaskap mestilah ada.

Saya telah mengambil kesempatan melawat Putrajaya Floria 2012 semalam. Al-maklumlah, kalau nak melawat tempat-tempat pameran hortikultur lebih berbaloi untuk 3 hari pertama. Takut bunga layu jika lewat lawat. Dengan faktor cuaca yang kini panas, saya yakin bunga akan cepat layu.

Mengikut website Floria 2012, pesta Floria 2011 tahun lepas mencapai jumlah kunjungan lebih daripada 1 juta pengunjung dari pelbagai tempat. Untuk tahun ini, mereka mensasarkan lebih dari tahun lepas. Setiap kawasan disusun menarik untuk pengunjung lawati. Boleh rujuk peta yang telah disediakan.

Rekaan landskap rumah tradisional Melayu bersama pokok-pokok bunga kertas di halamannya.
Jika tahun lepas temanya bunga ros, kali ini bunga kertas (bougainvillea) pula mengambil alih. Pelbagai varieti dan kultivar bunga kertas dipamerkan. Dapat saya lihat bunga kertas daripada yang biasa kita lihat sehinggalah yang jarang dilihat. Dengan bentuk dan warna yang pelbagai, memang bunga kertas mungkin boleh menjadi penawan pandangan pengunjung.


Perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah


Assalamulaikum semua!

Setelah sekian lama menyepi kini blog saya kembali dengan wajah baru! Ia bagaikan dilahir semula dengan pelbagai isi-isi menarik yang akan saya masukkan nanti.

Kenapa bertukar wajah baru? Kerana saya rasa perlunya perubahan di blog saya ini. Saya telah menjumpai fokus utama blog saya - hortikultur semestinya!

Bagaimana pula dengan entri-entri sebelum ini? Usah khuatir. Entri-entri sebelum ini akan saya timbulkan kembali tetapi dengan suntingan semula bersesuaian dengan perubahan blog saya ini.

Jadi untuk itu, bagi entri awal rasmi aya ini, tidak banyak ingin saya katakan. Hanya log ringkas hortikultur saya.