Rabu, 12 Disember 2012

Menghidupkan kembali buku merah



"bawa aku pergi
pacu laju-laju
kita lari dari realiti
bawa aku pergi
pacu laju lagi
malah kita
tak perlu kembali


.....

oh, buku merah jangan lupa bawa
moga-moga belum tamat tempoh
kali ini kita pergi lebih lama
pergi lebih jauh, ayuh

...." - Pacu laju-laju

Buku merah. Ia satu benda wajib apabila seorang rakyat Malaysia untuk menjejak kaki luar dari lingkungan sempadan Malaysia.

2 tahun lepas saya pertama kali membuat satu buku merah untuk saya pergi ke sebuah negara pulau Oriental. 2 tahun itu sudah berlalu. Kini tiba masanya untuk saya menghidupkan kembali buku merah itu.

Entah kenapa kenangan lalu menyusup masuk ke dalam minda saya kembali. Saya teringat pertama kali saya membuat buku merah itu di Persint 15 Putrajaya ditemani oleh adik saya.

Saya tidak tahu kenapa rakan saya, Chung, boleh memilih saya sebagai salah seorang rakan yang menyertai ekspedisi 2 minggu ke Taiwan. Apa yang pasti, ia satu rezeki yang telah Allah tentukan buat saya. Alhamdulillah.


"2 benda je adik perlu ada untuk buat pasport. Salinan kad pengenalan dan gambar berukuran pasport satu," kata abang yang bertugas di kaunter nombor giliran.

Alamak! Gambar pasport aku sudah kehabisan rasanya. Ni semua gara-gara nak memohon kerja di MAHA lah. Cis. Akhirnya tak dapat. Patutnya awal-awal kak tu cakap "Adik pasti tak dapatlah. Adik ada ijazah. Datang ke kelas lebih baik..." Sekarang tengok. Aku mungkin terpaksa menghabiskan RM4 untuk mencetak semula gambar pasport aku...

"Ini nombor giliran. Encik boleh buat gambar pasport di kiosk di hujung laluan ini," tambah abang itu sambil memberi aku 2 keping nombor giliran tertera "1052 (sekarang 1011)".

Tak apa. Mungkin di rumah ada lebihan gambar tersorok di tempat yang aku tidak perasan...


Alhamdulillah. Ada juga sekeping gambar saya tersorok di dalam laci meja belajar saya. Ia penyelamat masa dan jiwa saya. Heh.

Sementara menunggu giliran itu, aku mengambil kesempatan bersarapan di kedai mamak Hatijah Maju.

Sebaik kembali di Pejabat Pasport, nombor saya masih belum lagi dipanggil. Saya ambil kesempatan mengisi masa dengan membaca buku bertajuk 'Islam Liberal'. Ia satu tajuk yang menarik minat saya. Tambahan lagi dengan Barat kini cuba mendefinasikan umat Islam sebagai muslim moderate. Nampaknya unsur liberal cuba bertapak kukuh di bumi Malaysia.

Proses membuat pasport sangatlah mudah sekarang. Hanya dalam masa sehari. 8.30 pagi tadi saya pergi mengambil nombor giliran dan pada pukul 9.45 pagi nombor saya telah dipanggil. 10.18 saya membuat bayaran dan menunggu untuk mengambil buku merah saya siap minimum 11.18 pagi.

Terdapat 2 pilihan untuk bayaran pasport.

2 tahun - RM100   

5 tahun - RM300

Akhirnya hidup juga buku merah saya. Harap-harap saya dapat terbang ke negara-negara luar Malaysia pada tahun hadapan. Amiin.

2 mengomel

bro ambil pilihan yang mana, 2 tahun atau lima tahun terus?

Saya ambil yang murah sahaja. =)

Saya suka dan amat menghargainya jika tuan/puan boleh komen menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saya ucapkan Jazakallah dan terima kasih.
EmoticonEmoticon